Sabtu, Ogos 27, 2011
SUDAHLAH DAN BEBERAPA CATATAN LAIN
DENGAN apa yang ada dan sudah terima, saya fikir tiada apa lagi yang hendak saya rebut dan berkejaran dengan orang lain. Biarlah kalau dikata orang saya sudah hilang semangat juang, saya peduli apa dengan segala kata dan ucap sebegitu.
Apa yang saya sudah tulis dan telah diterbitkan secara rasmi dengan mana-mana penerbitan yang memaparkan cop mohornya yang tertentu, jika dirasakan oleh pihak yang berkenaan layak dan sesuai hendak dinilai demi sesuatu hadiah atau anugerah, silakanlah.
Soal apakah nanti akan menerima atau tidak, saya tidak fikir itu sesuatu yang terlalu perlu untuk saya rusuhkan di dalam perasan serta fikiran, sehinggakan menjadi gangguan pula buat saya dan boleh menyebabkan saya tidak berdaya hendak terus menulis lagi.
Katakanlah jika tidak menerima hadiah, saya berasa saya tidak ingin marah atau terlalu memikirkan soal itu. Tugas menulis saya sudah selesai dan saya pun sudah menerima sedikit atau sejumlah bayaran untuk apa yang sudah saya tulis dan disiarkan itu.
Tidak mengapalah kalau bayaran itu tidak mampu membuatkan saya menjadi kaya dan hidup senang lenang. Tetapi setidaknya, dengan bayaran yang sekadarnya itu, saya dapatlah mengelak daripada mengemis dan menjual harga diri sendiri dalam urusan menafkahi keluarga.
Urusan menilai dan memberikan hadiah bukan menjadi urusan saya. Kerana setahu saya, sudah ada institusi berserta pegawainya yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perkara ini. Biarlah mereka yang menguruskannya.
Apa lagi institusi itu pun berhubung kait juga dengan urusan terbit dan menerbitkan karya. Jadi kalau memang ada karya yang hendak mereka kumpul dan nilai, sudah tentulah karya tersebut boleh didapatkan langsung daripada bahagian yang menerbitkan, yang juga berada di bawah bumbungnya yang sama.
Itu pendapat saya peribadi. Tetapi mungkin juga lain pula yang difikirkan oleh mereka yang mengurus persoalan penilaian dan segala macam hadiah ini. Mereka mungkin punya segudang alasan mereka sendiri.
Mungkin soal dan alasannya, kerana kekurangan tenaga dan anggota, atau demi untuk menjimatkan waktu dan berlaku adil kepada semua yang menulis.
Maka, itulah sebab agaknya maka saya diberitahu supaya mengirimkan empat naskhah buku saya yang sudah diterbitkan jika mahu dinilai oleh pihak mereka.
Tetapi seperti yang sudah saya katakan, kalau dirasakan sesuai untuk dinilai, nilailah. Kalau memang dirasakan tidak sesuai, tidak mengapa, lupakan sahaja.
Sebabnya mudah sahaja. Kalau sampai ke tahap saya sendiri yang perlu mengirimkan karya, walhal karya tersebut diterbitkan oleh institusi yang sama, jawapan saya cuma ini: sudahlah.
Saya sudah bosan dengan semua benda yang mengarut dan nampak macam sengaja hendak dipayah-payahkan ini. Nampak sangat, sepuluh jong yang masuk, anjing bercawat ekor juga.
Ogos 27, 2011
BERLAGAK
ADA banyak cara dan gaya orang berlagak. Tidak mengapa. Itu hak kau. Cerita dan laungkanlah ke seantero benua dunia betapa hebatnya kau. Laungkanlah.
Tetapi kalau diteliti benar-benar, apa yang hebat sangat maka sampai begitu sekali kau melagak-lagakkan itu?
Hendak dikatakan sesuatu yang baru dan berlainan sangat, tidaklah juga. Kalau setakat bercerita mengenai seluar dalam atau longkang, apa yang hebatnya?
Begitu juga dengan cara dan gaya nyanyian kau. Apa yang hebatnya maka dengan angkuh dan bangganya kau berkoar konon penyanyi tersohor di benua Afrika hendak berduet dan membikin album bersama denganmu?
Memanglah. Apa yang hendak kau lagak dan hebohkan itu hak diri kau. Suka hati kaulah.
Tetapi, kalau tidak ada benda sangat yang hebatnya melampau-lampau sehinggakan boleh mengatasi apa yang sudah sedia ada, tidak payahlah hendak kau berlagak dan melagak-lagakkan sangat.
Sebabnya mudah sahaja. Benda dan perkara yang tidak sepadan, kalau terlalu sangat dilagak-lagakkan, lebih-lebih lagi dengan gaya sombong dan pongah, mudah membuat rasa mual dan hendak muntah orang yang melihat, membaca atau mendengar.
Itulah sahaja sebabnya. Walau pun macam selalulah kau akan cakap: itu aku peduli apa!
Ogos 27, 2011
BUDAYAWAN
MEMANGLAH hebat bunyinya gelaran. Dengan gelar itulah ke mana-mana kau mengheret diri. Kalau perlu dan demi waktu serta ketika yang lain, kau tambah gelar di belakang namamu: penyair, pejuang bahasa, pejuang budaya ada paling tegar, penegak maruah bangsa!
Tetapi hakikat sebenarnya apa? Apa kau sudah lupa atau sengaja buat-buat lupa?
Apa yang menjadi heboh dan kecoh kini lantaran siapa?
Atas nama budayawan jugalah kau tanpa sedikit pun rasa malu menulis di sana sini dengan nada ampu dan bodek yang melambung tinggi.
Siapa sahaja yang kau sukai dan fikirkan boleh mendatangkan kembali laba kepada dirimu, kau sebut, kau angkat dan kau pujilah namanya sehinga melangit tingginya.
Tetapi siapa yang kau anggap musuh atau pernah mencabar dirimu, walau hidup dan bergerak di depan kelopak matamu, usahkan hendak disebut, hendak disapa pun kau sudi tidak.
Maka, dengan gelar budayawan tersohor itulah, kau hidup dan suburkan budaya ampu dan menjilat.
Siapa yang sanggup mengampu dan menjilat, maka dialah tokoh yang sentiasa menjadi sebutan.
Seolah, segala dosa silam yang pernah kau perbuat, sedikit pun tidak pernah membekas di hati sanubarimu.
Atau kau memang tidak pernah melihat segala yang runtuh dan menjadi landas di depan matamu!
Ogos 27, 2011
HINA
TANGGALKANLAH songkok dan pakaian Melayu yang membalut tubuhmu di hari Jumaat yang mulai ini. Gantilah ia dengan pakaian yang lain. Pakaian Red Indian atau puak Zulu di Afrika.
Usah kau perhinakan dirimu dengan bersongkok dan pakaian Melayu di hari Jumaat yang mulia ini. Apa lagi di bulan mulai Ramadhan ini. Tolonglah. Usah perhinakan dirimu sehinggakan demikian.
Kau tahukah sebab dan kenapa kukatakan begitu kepada dirimu? Kalau kau tidak sedar dan tahu, biarlah kuberitahu akan dirimu.
Di pagi membuta begini siapa sahaja memang mengejar waktu ke tempat kerja. Tetapi tidakkah tahu berapakah had laju jalan melewati kampung sebegini? Berapa kelajuan hendak kau tekan? Kalau aku yang memandu 80 kmj pun masih kau acah-acah supaya melabihkan laju, berapa sebenarnya kelajuan yang kau hendak? 100 kmj? 120 kmj? Kau bodoh atau lupakah? Ini bukan lebuh raya.
Memang aku cakap kau bodoh dan dengan sengaja memperhinakan diri kau sendiri dengan berpakaian songkok dan pakaian Melayu di pagi Jumaat yang mulia ini, tetapi laku dan perangaimu bak Red Indian mengejar koboi kulit putih di era western.
Tanpa sedikit pun rasa malu, kau perhinakan dirimu, memotong di sebelah kiri, di lorong kecemasan yang dikhaskan untuk motorsikal.
Kusangka, begitu tergesanya kau di pagi Jumaat ini kerana hendak mengejar roket di angkasa atau menuju ke Kuala Lumpur. Rupa-rupanya tidak. Tidak sampai satu kilometer kau memotong secara berbahaya di sebelah kiri, kulihat kau memberikan lampu isyarat ke kanan dan kemudian memasuki pintu pagar sebuah institusi pendidikan.
Hina sungguh diri kau di mataku di pagi Jumaat yang mulia dan di bulan Ramadhan ini. Dengan bersongkok dan bertugas di sebuah institusi pendidikan, tetapi laku dan perangaimu ketika memandu tidak ubah bagaikan laku Red Indian!
Ogos 26, 2011
SIA-SIA
ADAKANLAH 100 forum pun, keadaan kalian tetap akan begitu juga. Bila bertemu dan berkumpul yang diceritakan hanyalah kejayaan masa lalu konon pihak kalian telah dan pernah melahirkan orang itu atau ini sebagai penulis.
Memang pun mengenang-ngenang dan bernostalgia itu sesuatu yang indah dan seronok. Tetapi biarlah berpada dan berpatut-patut. Kiri dan kanan, masa akan datang dan kini kenalah juga direnung serta diteliti.
Janganlah sebokkan orang itu atau ini sudah menjadi kacang yang lupakan kulit. Itu semua tiada gunanya.
Yang patutnya, gerak dan ikhtiarkanlah kelompok kalian sendiri membina semula kekuatan dan bukannya sekadar menjadi tempat berkumpul orang-orang pikun yang sudah malas berkarya dan berkreatif. Atau mengucapkan rasa iri bila melihat orang lain yang kalian dakwa pernah dilahirkan meneruskan jalan hidupnya sendiri.
Apalah gunanya berbuat begitu dan aku bukanlah hendak menunjuk pandai mengajar kalian yang memang sudah pun pandai.
Binalah kekuatan baru dan kalau perlu, berilah kepercayaan kepada orang yang lebih muda untuk untuk memimpin. Kalian yang berusia, apa salahnya menjadi penasihat dan biarkan kelompok kalian diterajui dengan semangat baru.
Buatlah sesuatu, sebelum kalian pergi sia-sia!
Ogos 23, 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Salam, Abg Marsli. Bila baca artikel tuan ini, terfikir saya lagu Ramli Sarip, Bukan Kerna nama.
-:)
Sdr Naim: Terus terang, selain ingin menyampaikan buah fikir kepada khalayak pembaca, juga sebagai mencari sedikit sumber rezeki. Ya, seperti kita bekerja. Bohong kalau saya kata tidak mahu duit. Tetapi nama? Bukan menjadi kejaran pertama. Semoga begitulah.
Salam Idulfitri, memohon dan memberi maaf kepada Sdr.
MARSLI N.O
Catat Ulasan