Rabu, Oktober 12, 2011

SAYA MENUNGGU? TIDAK!


TELAH berlalu semua itu. Untuk apa menunggu.

Setelah sejak dahulu menetapkan arah dan tuju, tiada lagi yang menggoyahkan yakin serta percaya. 

Apa lagi dengan segala lakon dan sandiwara yang saban hari diperankan oleh pelbagai watak dan nama.  Konon atas nama bangsa dan negara tercinta. Tetapi hakikatnya apa?

Kejujuran dan keikhlasan yang dilaungkan hanyalah angin semboyan untuk membujuk dan menipu siapa yang disangkakan demikian bodoh dan mudahnya dapat ditipu.

Bertempik bagaikan hendak memecahkan anak tekak tetapi apa sudahnya.

Kemurnian, kehebatan, keaslian. Apa semua itu kalau bukan topeng untuk melindungkan sang boragas haloba yang bersembunyi di dalam diri.  Menanti untuk merebut dan membaham segala peluang. Tidak peduli siapa yang dipijak atau siapa yang perlu dituduh tohmah. Asalkan hasrat dan maksud sendiri tergapai.

Sarungkan jubah kewalian kerana itu mudah memukau mata yang memandang. Bicara dan berbahasalah dengan kata sopan kerana itu menjadi bukti orang budiman. 

Ah, siapa akan tahu diri sebenar di sebalik segala lakon dan topeng.

Saya tidak menunggu. Saya tidak menunggu.

Tidak!

Oktober 12, 2011

Tiada ulasan: