Isnin, Oktober 17, 2011
TANYALAH DIRI KAU SENDIRI
DUA tahun lalu, anak gadis seorang jiran saya yang menuntut di sebuah universiti, yang juga mengetahui saya seorang penulis, dengan wajah ceria dan bangga menyapa dan memberitahu saya pertemuannya dengan seorang pensyarahnya yang di pangkal namanya diletakkan gelar doktor. Ketika ditanya oleh anak gadis itu apakah saya kenal atau tidak pensyarahnya itu, saya hanya tersenyum dan tidak ingin memberikan komen apa-apa.
Bulan lalu, ketika menziarahi seorang teman dari Kuala Lumpur yang memberitahu dia kini berada di sebuah pusat peranginan tidak begitu jauh di luar Kuantan, saya diberitahu oleh teman ini betapa seorang yang di awal namanya bergelar doktor merisik dengannya apakah benar kini ada usaha untuk memburukkan dia di kalangan rakan-rakan penulis.
Kepada teman dari Kuala Lumpur ini saya berkata patutnya orang yang berkenaan bertanya dulu kepada dirinya sendiri. Di pihak saya pula, saya bercerita, sejak beberapa tahun belakangan ini saya pun tidak pasti salah apa kepada dia sehinggakan setiap kali saya menyapa, sapaan saya itu tidak dijawabnya. Tetapi kata saya lagi, saya secara positif berfikir, mungkin sapaan itu tidak dijawabnya kerana saya tidak menyebut gelar doktor atau prof ketika menyapa orang yang berkenaan itu.
Tegas saya kepada rakan dari Kuala Lumpur itu, bagaimana saya mahu memanggil dia doktor atau prof begitu kerana saya berasa amat kekok dan mengada-ada dengan panggilan itu. Puncanya, ketika saya mula mengenali dia belasan tahun yang lalu, saya mengenali serta mengakrabi beliau hanya dengan namanya sahaja dan bukan pun ada gelaran doktor atau prof. Andai lantaran tidak menyebut gelarnya itu maka dia tidak mahu menjawab sapaan saya, tidak mengapa dan saya tidak ingin menyimpan sebarang rasa sakit hati. Bagi saya, upaya untuk tidak berlagak sombong dengan menyapa orang yang berkenaan di pihak saya sudah selesai. Tetapi kalau kerana saya tidak menyebut gelar doktor atau profnya itu maka sapaan saya tidak mahu dijawab, saya kira selesai sudah urusan di pihak diri saya.
Tadi senja, seorang penyair di Kota Bharu yang baru pulang dari Kuala Lumpur menyampaikan cerita lewat seorang temannya. Kata penyair itu, orang yang berkenaan mengadu kepada dia dan bertanya kenapakah saya ini marah dan memburuk-burukkan diri dia.
Saya? Apa pula kena mengena saya dengan dia? Apa pula faedahnya saya hendak buruk-burukkan dia?
Kepada teman yang menyampaikan cerita itu saya katakan supaya tolong sampaikan kepada penyair dari Kota Bharu itu, andai bertemu lagi dengan orang yang berkenaan, patutnya soalan itu ditanya langsung kepada saya dan bukannya dengan cara melalui orang ketiga atau ke empat. Tetapi yang anehnya, kata saya kepada teman yang menyampaikan cerita itu, sudah beberapa kali saya bertemu dengan orang yang berkenaan, bukan sahaja apa yang terbuku dihatinya itu tidak langsung ditanyakan kepada saya, malah sapaan saya pun tidak dia balas atau sahut.
Malah kalau tidak salah ingatan, minggu yang lalu juga saya melihat dan bertemu dengan orang yang berkenaan di dalam suatu majlis. Kalau benar dia tidak bersalah dan berasa menjadi mangsa kejahatan saya, kenapa pula dia tidak berani hendak bersemuka dengan saya dan langsung bertanya, supaya saya boleh menjawab dan biar menjadi saksinya adalah puluhan rakan dan teman lain di majlis yang sama?
Jadi soal sebenarnya apa? Apakah ini satu cara untuk merwar-warkan bahawa yang sedang menjadi mangsa kejahatan kini sebenarnya adalah orang yang berkenaan dan pelaku kejahatan itu mahu dinyatakan secara tidak langsung adalah saya?
Saya tidak peduli apakah andaian ini benar atau tidak. Di pihak saya, saya tidak punya kepentingan apa-apa untuk berbuat sebarang apa pun terhadap yang berkenaan. Malah kalau hendak dihitung-hitung, saya sebenarnya yang sepatutnya gelisah dan berasa marah kerana sudah pun menghadapi tindakan di luar akal sihat, tanpa saya ketahui jelas apakah sebab dan punca, oleh orang yang berkenaan ini sejak tahun 1999 lagi. Kemudiannya, tahun 2009 berulang lagi peristiwa kurang lebih sama, saya disindir lewat tulisan saya sebelumnya, seolah-olah apa yang saya tulis tidak beradasarkan fakta yang tepat dan benar melalui sebuah tulisan orang yang berkenaan dengan mauduk yang hampir sama berikutnya.
Sekali lagi saya tegaskan, seingat saya, saya tidak pernah berbuat apa pun untuk menyusahkan oknum yang satu ini. Saya tidak ingin melayan dan mengambil peduli hidup dan perkara yang berhubungan dengan orang lain, khususnya orang yang berkenaan. Walau semakin lama, semakin saya melihat orang yang berkenaan menunjukkan wajah sombongnya di hadapan saya, saya selalu ingin melihat daripada sudut yang posotif. Agak saya, sayalah satu-satunya orang yang sehingga kini tidak pernah menyebut dan menyapa dia sebagai doktor dan kerana itulah dia amat terkilan dan berasa benci!
Tetapi untuk marah dan berbuat sesuatu yang lain terhadap yang berkenaan, sebagaimana yang diadukan orang yang berkenaan kepada penyair dari Kota Bharu itu, saya tidak fikir itu penting dan perlu saya lakukan. Siapakah dia jika hendak dibandingkan dengan saya dan saya pun sedar antara saya dengan orang yang berkenaan pun tidak punya apa-apa kaitan.
Andai selama ini tanpa saya ketahui sebab dan punca saya disindir oleh yang berkenaan dan sapaan saya agar tidak sampai dikatakan sombong tidak pun mahu dijawabnya, bagi saya itu pun bukanlah menjadi soal besar buat diri saya.
Namun khabar terbaru yang disampaikan oleh penyair dari Kota Bharu itu kini memperjelaskan persoalan. Telah disebutkan secara jelas oleh yang berkenaan bahawa yang berbuat kejahatan itu adalah saya.
Maka sudah jelaslah duduk persoalan buat saya kini. Lantaran itu juga, satu demi satu peristiwa kembali berdatangan menjengahi ruang ingatan saya. Apa yang dialami penyair dari Kota Bharu itu sebenarnya sudah pun saya lalui lama dahulu.
Masih saya ingat, dalam keadaan tidak mahu menyambut sapaan saya, yang mungkin kerana tidak mahu memanggil namanya dengan gelar doktor atau prof itu, tiba-tiba suatu hari orang yang berkenaan boleh menjadi terlalu ramah dan baik dengan saya. Baru saya sedar keramahan dan kebaikannya itu ada sebabnya. Rupa-rupanya dia berbuat muka manis dengan saya tidak lain kerana mahu bercerita mengenai keburukan seorang penyair dan deklamator dari Kuala Terengganu. Dengan muka manisnya, orang yang berkenaan bercerita bagaimana dalam satu majlis baca sajak yang dia hadiri, khalayak semuanya menutup telinga kerana tidak tahan mendengar pekikan deklamator dari Kuala Terengganu itu.
Justeru itu saya tidak hairan dengan apa yang diceritakan oleh penyair dari Kota Bharu itu. Saya fikir memang itu cara dan gaya orang yang berkenaan menggunakan mulut manisnya. Di sebalik kisah dan cerita, ada umpatan mahu disampai secara tidak langsung mengenai keburukan orang lain. Dengan mulut manisnya juga, cerita disampaikan seolah-olah dialah yang menjadi mangsa kejahatan, sedangkan perbuatan yang diselindungkannya dengan pelbagai cara seperti sengaja dia lupa-lupakan sendiri.
Dan kemudian, entah bagaimana atau puncanya, satu demi satu maklumat sampai kepada saya mengenai tindak-tanduk oknum yang satu ini. Kebanyakannya menyatakan rasa kurang senangnya kerana diperpayahkan oleh oknum yang satu ini. Ada pelajar yang mahu menyiapkan studi sarjananya menjadi demikian payah, atau sejumlah teman di intitusi yang mengadu dia menjadi mangsa kecam ketuanya gara-gara laporan dan mulut manis oknum yang satu ini. Ini termasuk juga sejumlah teman lain yang mengaku jeran dan serik sudah dengan oknum ini lantaran terpedaya dengan mulutnya yang manis tetapi penuh berbisa.
Namun saya bukanlah manusia yang mudah percaya dengan segala sesuatu. Saya tidak mahu ambil peduli dan tidak ingin terlibat dengan segala perkara sia-sia begitu. Buat saya, biarlah masa dan keadaan jadi penentu benar atau tidaknya segala sesuatu. Saya fikir, siapa sahaja boleh berlakon dan berlagak sebagai apa pun. Tetapi hakikatnya nanti yang sebenarnya akan tetap terbukti juga.
Misalnya siapa sahaja boleh berlagak dia maha tahu dan pakar segala sesuatu dan tanpa sedikit pun terasa malu memberikan ajar dan segala macam petuah. Tetapi hakikatnya, kalau itu bukan bidang kajian atau penguasaaanya, apakah ajar dan petua itu memadai dengan hanya membaca kembali laporan panel penilai atau naskhah yang telah memenangi anugerah berkenaan.
Saya bukan sarjana daripada mana-mana institusi pengajian tinggi. Saya tidak tahu dan tidak pandai untuk menilai sesiapa. Namun begitu, ini tidak bererti saya boleh diperbodohkan oleh sesiapa yang berasa dirinya lebih cerdik. Atau digula-gulakan dengan segala lakon dan sandiwara.
Bukan sehari ini saya mendengar gunjing tohmah mengenai diri saya. Saya tahu dan sedar hidup dan bangun saya bukanlah kerana tohmah atau sesiapa yang lain. Makan saya tidak mereka memberi, apa lagi hidup dan mati saya ini.
Saya tidak fikir seseorang yang punya gelar doktor sedemikian baghalnya akan berfikir dirinya boleh musnah hanya kerana seorang manusia bodoh yang tidak punya gelar akademik apa-apa seperti saya. Tetapi kalau memang itu pilihannya, silakanlah dan saya sentiasa bersedia untuk mengatur langkah seterusnya.
Sepatutnya, tanyalah dirinya sendiri akan segala maksud perbuatannya. Tetapi kalau itu dia tidak sudi, maka selamatlah memperbodohkan diri sendiri.
Saya tidak punya waktu untuk bodohkan diri saya melakukan kerja sia-sia seperti gunjingan orang yang berkenaan. Fokus saya kini, saya hendak berkempen dengan apa sahaja cara dan medium supaya diri saya dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pertama daripada kalangan lulusan sekolah rendah!
Saya harap, kawan-kawan yang memiliki blog dan FB tolonglah warwarkan kempen saya ini. Tolonglah. Sudah lama sangat saya mengidamkan gelaran ini. Tolonglah!
Oktober 16, 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 ulasan:
Pak Marsli,
Entri ini memberi sekilas pandang akan rumitnya jiwa manusia yang sebegini. Akan dijadikan iktibar.
Puan Sri: Watak sebegini selalu ada, bertopeng di sebalik nama sastera dan sarjananya. Di mana-mana. Tinggal keberanian menghadapinya sahaja.
MARSLI N.O
Catat Ulasan