Ahad, Oktober 16, 2011
PUNYA
JAWAB pun sudah diduga. Jangan dibanyak tanya. Buat apa kau mengada-ada. Itu suka hatilah mereka.
Kata orang kau dipanggil pun mujur ada. Kalau tidak, duduk dan tidurlah selama di dalam dunia sempit milikmu sendiri yang tiada pun siapa peduli tidak atau adanya. Siapa mahu ambil peduli dan hendak ambil kisahkan dia.
Jadi belajarlah syukur dan berpada. Apa kisah siapa ada siapa tiada. Jangan hendak dibuat menujuk pandai dan bertanya-tanya. Itu bukan kau punya kerja.
Ingat itu. Semua adalah emak bapak mereka yang punya. Syarikatkah, sekolahkah, jabatankah, atau apa-apalah juga adanya. Memang semualah begitu laku dan lagaknya. Memang emak bapak mereka yang punya gayanya.
Jadi jangan sekali-kali kau hendak gatal-gatal mulut keluarkan tanya. Cakap senang, ada mata cukuplah dengan memandang sahaja dan mulut yang ada kuncikan menjadi bisu dan kelu segala.
Ingat itu kalau kau tidak mahu dipenangan. Ini sekarang dunia suka hati dan dunia emak bapak dia yang punya. Kalau siapa berani menaikkan muka atau tinggikan suara, tunggulah akibat serta balasannya. Jika tidak hari ini, tunggulah juga esok dan lusa akan akibatnya.
Kerana itu kau kenalah belajar ingat dan waspada sentiasa. Janganlah berlagak galak dan berani kononnya. Untuk sejahtera kau sentiasalah duduk di dalam diam dan teruslah dengan bodohmu selama adanya. Dengan begitu sukalah kepadamu akan mereka. Dipuji baik dan sentiasa dibawa dan diajak dalam segala hal atau perkara.
Kecuali kalau kau memang memilih hendak dilampuskan kerana pandai dan berani sangat menunjukkan soal dan tentang. Konon atas nama sebagai pejuang.
Maka jadilah kau setongkol kayu hitam. Hangus terbakar oleh segala penangan.
Oktober 15, 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan