Selasa, November 15, 2011
MENIKMATI BAHAGIA
SEKALI waktu dan ketika ini malah saya terfikir. Andai kata saya tidak memilih menjadi seorang sasterawan dan seniman, yang selalu mengambil peduli segala permasalahan masyarakat, bangsa, budaya dan bahasanya dengan cara serta kodrat kemampuannya sendiri, pastilah hidup saya tidak akan selalu rusuh dan segelisah ini.
Apa lagi belakangan ini. Tidur saya selalu terganggu dan jadi kurang lena. Malah perasaan kesal, sebal dan marah saya juga kian membuak.
Saya bayangkan, alangkah indahnya hidup mereka yang hanya memilih kehidupan yang sayur: bangun, makan, bekerja, berkelamin dan tidur. Tanpa banyak berfikir atau mengambil tahu segala sesuatu yang seolah bukan menjadi keperluan hidupnya untuk difikir-fikirkan sehingga menyendat akal serta fikiran.
Lebih indah lagi andai menjalani hidup sebagai pengampu dan penjilat. Tiada suatu pun yang perlu mereka fikirkan selain mengangguk dan membenarkan segala kata serta suruhan atasan, ketua atau siapa sahaja yang dikirakannya wajar dijadikan patukan untuk diampu serta dijilati pantatnya.
Agaknya, kerana itu jugalah pada suatu hari saya telah ditegor oleh seorang pembaca blog saya.
Katanya, saya kini kembali marah-marah di blog saya. Walhal sepatutnya, begitu kata pembaca itu lagi, saya sudah tidak punya sebarang sebab untuk terus marah kerana apa yang saya kehendaki sudah pun tercapai, misalnya novel saya tahun ini sudah diterbitkan, karya saya masih tetap disaiarkan di mana-mana. Jadi, apa lagi yang saya mahukan? Begitu kurang lebih pembaca ini mengakhiri tanyanya.
Saya tidak menyalah pembaca yang bertanya ini. Dia punya hak untuk bertanya apa sahaja selagi tidak sampai ke tahap menghina atau menuduh-nuduh saya.
Baru saya tahu kini. Bila seorang seniman atau sasterawan berkata sesuatu dengan nada yang lebih vokal dan tegas, khususnya mengenai masyarakat, bangsa, budaya dan bahasanya, orang pantas menghubungkaitkan itu dengan rasa tidak puas dia kerana tidak mendapat sesuatu. Seolah-olah, setiap kali sasterawan dan seniman berkata sesuatu dengan nada tidak puas hati, sesal atau marah, itu tidak lain hanyalah manifestasi kemarahan kerana tidak mendapatkan sesuatu yang diingininya.
Jika benar demikian, hina sungguh jadinya tanggapan masyarakat terhadap sasterawan atau seniman kita. Kerana itu jugalah, baru saya mengerti kini kenapa SN Dato’ A Samad Said, yang dengan berani dan ikhlasnya bercakap ke mana-mana mengenai bahasa dan menyatakan hasrat untuk melihat pemilu dinegara ini berlangsung dalam suasana yang lebih bersih, akhirnya menjadi manusia yang tidak sunyi dicebir dan jeling dengan pelbagai tohmahan yang juling.
Nampaknya begitulah hukuman dan kehendak masyarakat di sebuah negara yang semakin cuba memperbodohkan rakyatnya dengan pelbagai sandiwara.
Agar tetap terus terpandang sebagai manusia baik dan sopan, anda jangan sama sekali menyatakan kehendak dan fikiran anda secara tebuka di hadapan khlayak. Sebaliknya, jadilah pengangguk dan penjilat, walau pada waktu sama banyak penyelewengan dan pembodohan cuba dipasakkan ke benak rakyat.
Dan agar dapat sentiasa hidup bahagia, jalanilah kehidupan sayur. Tanpa perlu berfikir apa-apa selain kepentingan diri sendiri semata-mata dan memperhambakan diri terhadap siapa sahaja yang bergelar pemimpin tanpa sebarang soal serta membenarkan walau apa sekalipun kesalahan yang telah diperbuatn, apa lagi jika atas nama bangsa dan maruah rakyat.
Tetapi sayang. Saya tetap memilih jalan untuk tidak berbahagia secara demikian. Walau apa pun, saya tidak peduli. Walau kerananya, saya akan hanya hidup sendirian di dunia yang riuh ini!
November 15, 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Tuan perlu meneruskan perjuangan. Kerna begitulah hidup berjuang. Tidak berhenti kecuali mati. Tidak rehat kecuali di negeri abadi.
Catat Ulasan