Rabu, Februari 29, 2012

BAHANA


SAYA ke sana 26 Februari 2012 lalu sebagai penonton dan sekaligus  ingin merakamkan sebuah peristiwa sejarah yang tidak banyak sedikit melibatkan juga diri dan keselamatan nyawa saya, keluarga saya, serta jiran-jiran saya. Saya katakan begitu kerana jarak antara rumah saya dengan apa yang dianggap sebagai bakal mendatangkan bencana itu tidak pun sampai 2o kilometer dari rumah saya.

Pagi itulah, saya melihat sendiri bagaimana tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman, puluhan  atau mungkin belasan ribuan rakyat berkumpul menyatakan sikap dan bantahan mereka. Pinta mereka hanya ini: HENTIKAN.

Siapa sahaja yang berkepentingan boleh menuduh dan berkata saya pemimpi yang takutkan sesuatu yang sebenarnya tiada apa-apa sebenarnya.  Saya tidak peduli.

Tetapi saya tidak bercakap atas atau dengan apa pun alasan politik di pihak mana pun. Bagi saya ini isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan kerana itu saya tidak ingin bercakap bertele-tele mengenainya. 

Siapa sahaja di pihak sana atau di parti politik  mana pun boleh bercakap atas nama kuasa dan wibawa yang mereka miliki bahawa tiada apa pun bahaya yang bakal mendatangkan bencana terhadap kehidupan saya dan mereka yang lain di kawasan ini.

Tetapi kalau itu memang benar, kenapa pula sebuah syarikat keparat itu sanggup bersusah payah datang ke negeri lain untuk mendirikan kilangnya? Kenapa tidak dirikan sahaja kilang itu di negaranya sendiri? Kenapa tidak?

Sebenarnya logik begini terlalu mudah untuk difaham serta dimengerti. Namun demi kepentingan serta muslihat yang hanya  mereka sendiri tahu apakah maksud serta niat di sebaliknya, logik yang sebegini mudah pun cuba disunglap dan diputarbelitkan.

Saya tidak fikir mereka yang bergelar pemimpin di atas sana atau yang tidak berada di atas sana terlalu bodoh untuk mengerti atau langsung tidak  faham apa maksud sebenar niat dan hasrat segala rayuan dan desakan yang dikemukakan oleh rakyat.

Tetapi kenapakah mereka masih bermatia-matian cuba mempertahankan segala tindakan. Dengan pelbagai dalih dan cara untuk mereka-rekakan alasan?

Saya tidak fikir saya terlalu bodoh untuk faham dan mengerti. Memang dari kilang itu nanti akan dihasilkan bahan yang kemudian akan dipergunakan dalam banyak peralatan seperti mislanya telefon bimbit, peralatan tertentu kenderaan dan sebagainya. 

Tetapi bagaimana dengan sisa atau bahan buangan dari kilang itu? Ke mana hendak dibuang atau dihumbankan? Ke sebuah pulau atau ke sebuah negara lain yang tidak berpenghuni? Di mana? Tolong sebutkan?

Atau kata mereka hendak dikitar semula. Dengan cara apa? Melalui kolam takungan yang dalamnya ratusan meter? Tetapi selepas itu, ke mana pula air buangannya hendak disalirkan? Ke dalam sungai Balok dan dialirkan pula masuk ke laut? Semudah itukah?

Terus terang sahaja bagi saya ini semua wayang dan tipuan belaka. Untuk kepentingan sekelompok orang nyawa dan keselamatan lebih banyak manusia tega dipermainkan sesuka hati.

Sebagai seorang rakyat yang cintakan negaranya, semakin lama saya semakin berasa jemu, jelak dan bosan dengan segala permainan ini.

Terserahlah anda mahu mendengar dan berbuat sesuatu atau tidak. Saya sudah terlalu banyak secara baik, sopan dan bersantun merayu dan merayu.  

Terserah.

Februari 29, 2012

Isnin, Februari 27, 2012

MEREPEK


MENULIS sahajalah. Buat apa bercerita buku itu dan buku ini yang sudah kaubaca. Itukan urusan kau peribadi sebagai penulis. Perlukah hendak dicanangkan ke seluruh negara? 

Atau memang hendak supaya orang tahu betapa hebat dan rajinya kau membaca?  Tidak payahlah.  Kecuali untuk kau lagak dan sombong-sombongkan.

Februari 27, 2012

Rabu, Februari 22, 2012

DEJA VU


TANPA itu, apa  sangat bezanya antara anjing dan manusia, atau manusia dengan anjing. Lebih aib lagi jika manusia yang dengan rela meletakkan taraf dirinya umpamakan anjing, semata-mata kerana mengejar  ganjar kesenangan, pangkat serta keuntungan untuk dirinya peribadi, sehinggakan sanggup mencemarkan hakikat manusiawinya sebagai manusia.

Anjing-anjing ini semakin hari semakin banyak bercokol  di kalangan kita. Bertopengkan pelbagai keduk dan gelar serta nama yang indah-indah.

Lebih berbahaya lagi tatkala mereka semakin menongol di kantor-kantor politik atau sebagai aparat yang cuba dan ingin menentukan ruang dan peluang orang lain.  Malah ada pula yang dengan keduk agama serta peraturan berkoar ke mana-mana, mengaku  dirinya pejuang dan pembela, yang dihalalkan segala tindak serta hamun makinya atas nama maruah dan agama.

Jika anjing yang menyalak di lorong kohong dan hanyir jelas kita kenal wajah dan keperibdian anjingnya, tetapi anjing yang selainnya selalu mudah menjerat kita yang lupa dan kurang waspada.   

Februari 22, 2012

Jumaat, Februari 17, 2012

MENJADI


HANYA satu cara untuk tetap kekal menjadi manusia. Tetapi untuk menjadi syaitan dan anjing, ada banyak cara.

Februari 17, 2012

Rabu, Februari 15, 2012

MENULISLAH (1)


BISUKAN diri. Hentikan bicara. Aktifkan fikir dan imaginasi. Menulislah. Apa yang difikir dan dimaginasikan. Tanpa perlu takut kepada salah, logik atau tidak logik. Menulis. Menulis. Menulislah.

Februari 15, 2012.

Selasa, Februari 14, 2012

TAKUT


TIADA apa pun lagi yang menimbulkan rasa takut, bila mengetahui dan mempercayai tiada kuasa dan ketentuan apa pun yang mengatasi segala kuasa serta ketentuan Dia.

Februari 14, 2012

Rabu, Februari 08, 2012

KRONI


KALAU pihak lain mendapat sesuatu,  kau bilang kroni.  Kalau kau pula yang mendapat sesuatu, apa kau bilang? Rezeki, nikmat, anugerah, atau apa?

Dunia berputar.  Perasaan hasad sesama manusia tidak berubah. Walau seribu ceramah dan khutbah dibacakan di mimbar-mimbar masjid atau di dewan seminar dan kuliah.

Februari 8, 2012

Selasa, Februari 07, 2012

BERCAKAP


KEMAREN saya ke sana. Bertemu ramai  orang yang bercakap dan mahu bercakap.

Saya fikir andai mereka memilih diam alangkah lebih baik.  Kerana tidak semua yang mereka cakap menjadi perkara yang perlu dan penting untuk orang lain, atau paling tidak saya, mendengarnya. Sebahagian besar mereka cuma melontar buih dan gelembong. Begitu memasuki  ruang udara, ternyata kosong dan lompong.

Atau mereka ingin mempamerkan dirinya yang kosong lewat kata-kata yang juga kosong.



Rabu, Februari 01, 2012

PUNDEK LAGI


MEMANG pundek. Tambah dengan bodoh dan bangang mereka yang empunya. Konon hendak berkongsi. Walau semakin lama semakin kena ludah dan dikencingi. Memang pundek.

Februari 1, 2012