Rabu, Januari 06, 2016

KENAPA RUANG AMAUN DIKOSONGKAN?


KETIKA  masih bertugas menjaga peti tunai pembayaran baki bayaran deposit masuk wad pesakit, di sebuah hospital kerajaan satu masa dahulu, pegawai atasanku selaku berpesan dan mengarahkan: "Sebelum minta mereka tanda tangan sub baucer penerimaan baki bayaran, jumlah dengan angka dan perkataan yang dikembalikan mestilah ditulis terlebih dahulu. Ini untuk mengelak berlaku penyelewengan. Misalnya, baki dia RM 200, kau pakat dan minta rasuah dengan dia, kau beri dia seratus dan kau songlap seratus. Ini perbuatan salah." Pesan dan procedure ini kuingat sampai kini.

Tapi di acara baca sajak yang aku salah seorang pembaca sajak yang dibayar RM 100 atau RM 200 oleh penganjur, banyak kali berlaku, di mana aku disuruh tanda tangan sebagai akuan menerima bayaran, tetapi ruang amaunnya dibiarkan kosong, tanpa mencatat pun jumlah akaun yang dibayar kepada aku dan pembaca sajak yang lain sebanyak  RM 100 atau 200 itu.

Itu di majlis yang kononnya kendalian organisasi di sebelah sini. Tahun lepas, saya ke satu acara pihak sebelah sana pula. Kejadiannya pun sama juga. Ketika diminta tanda tangan senarai bayaran untuk pembaca sajak, pun saya lihat ruang amaunnya dibiarkan kosong.

Apa ini? Sebenarnya berapa amaun mereka nak bayar pembaca sajak? Kenapa tak tulis terang terang di senarai itu? Atau sebenarnya mereka sengaja bayar ciput, lepas itu tuntut balik dari para pemberi dana dengan amaun yang lebih besar dan lebihan itu akan masuk ke poket peribadi mereka?

Saya pernah berpersatuan dahulu dan selalu nampak bendahari persatuan guna taktik begini. Itu di persatuan peringkat kampungan dan anggota kerja sukarelanya terdiri mereka yang hanya lulusan darah enam atau SRP dan tak pandai pun nak berfalsafah dan berkhutbah mengenai moral di dalam karya dan ucapannya?

Saya tahu mereka menipu secara licik. Hujahnya mudah. Kalau mereka kata tak tulis amaun itu awal awal kerana sebok dan nak cepat, dah jelas mereka berbohong. Apa yang susahnya? Kalau nama, nombor kad pengenalan pembaca sajak boleh ditaip dalam senarai penerima bayaran, kenapa tiba ruang amaun mereka tinggalkan?

Apa pun dalih dan alasan yang mereka hendak berikan, bagi saya mereka jelas telah menipu, bukan sahaja pembaca sajak yang terlibat, tetapi juga pihak yang memberi dana, semata mata kerana mahu menyonglap dana selebihnya ke dalam saku peribadi mereka atau bersama konco konco mereka.

Kerana Itulah kini, semakin lama semakin saya rasa tak tergiur untuk pergi membaca sajak. Puncanya itulah. Penyair hanya jadi alat orang yang jahat dan berkepentingan, yang bila menulis dan bercakap, selaku menyebut soal maruah, moral, kesopanan dan nilai nilai murni di dalam karya. Kadang kala pula, sudahlah bayarannya hanya RM 100, cara bayarannya pun main pakai kepal dan salam kaut sahaja! 

Saya tahu mereka yang keparat ini boleh kembali menafikan dan kembali menempelak saya pula. Apa sahaja boleh mereka katakan. Tetapi saya sudah tidak hairan dengan tempelak dan apa pun.

Misalnya, saya tak lagi diajak membaca sajak kerana bacaan sajak saya asyik menjerit dan melalak sahaja. Atau saya tidak lagi diajak kerana sikap saya sendiri yang bongkak dan sombong. Atau kalau tidak pun, mereka akan kata, selain saya masih ramai lagi yang boleh baca sajak lebih bagus dan hebat!

Sebabnya, tanpa perlu mengharapkan belas manusia seperti mereka, untuk mengajak saya membaca sajak, saya telah dan pernah dibayar dan disponsor untuk ke Korea, Manila dan Singapura, hanya untuk membaca sajak dengan bayaran yang mahal!

Sedang mereka? Hanya sekedar melalak dan bertempik di bawah tempurung negeri sendiri, atau paling paling hanya ke Indonesia. Dan itu pun pergi kerana mereka sendiri yang mengeluarkan segala kos tambang, makan dan penginapan ketika di sana. 

Januari 5, 2016

Selasa, Januari 05, 2016

RENUNGAN JANUARI 2016 #1


SATU
KERANA sudah bertekad dan memilih untuk lebih bersendiri dan lebih mandiri begitu memasuki tahun 2016 ini, saya tidak berasa terlalu perlu dan penting untuk menceritakan apa-apa yang ingin dan akan saya laksanakan sebagai seorang penulis di sepanjang tahun 2016 ini di sini secara terbuka. Sehinggakan kadang, boleh menimbulkan pula kesan untuk terlalu menunjuk-nunjuk dan mengada-ada.

Sebagai penulis, sudah pasti saya akan terus menerus menulis. Katalah itu buku, atau apa sahaja karya. Tetapi tidak terlalu perlu juga untuk saya menceritakan di sini berapakah jumlah atau apakah bentuk dan genrenya. Biarlah waktu dan hasil akhirnya nanti yang menentukan.

Selamat tinggal semuanya: dunia galau dan kawan-kawan yang sombong, pengkhianat atau para penggunjing. Semakin menjadi tua, semakin saya berasa ingin lebih menyendiri dan semakin saya berasa tidak memerlukan apa-apa keriuhan lagi. Kepada yang berminat dan menggilainya, saya tidak ingin menyalahkan anda. Silakanlah!
Dan saya sudah memilih untuk terus berjalan: sendiri dan mandiri. Sendiri dan mandiri!

Januari 2, 2016

DUA
Aku memilih tetap terus melawan dengan sajak-sajak, betapa pun dipandang hina dan tertindas.

Januari 2, 2016

TIGA
Fikir positif. Jangan fikir negatif. Jangan asyik marah-marah. Sebelum marahkan orang lain, marahkan diri sendiri dulu. Banyakkan tulis puisi dan jangan banyak tulis status diri di FB. Apa lagi yang nak dibebelkan?

Baru hari ketiga 2016. Sudah mula bergentayangan pelbagai bebelan yang bertopengkan nasihat atau peringatan.

Tidak mengapa. Aku tak begitu tersentuh walau apa pun. Tetapi mengatakan langsung tidak, tentulah suatu pembohongan. Macamlah kau tu malaikat. Langsung tiada perasaan marah dan tidak pernah tersentuh perasaan.

Aku berkata kerana apa yang aku rasa dan alami sendiri. Kerana aku manusia biasa. Terlalu banyak cacat cela. Juga kerana aku tidak mahu berlagak malaikat. Memberi nasihat dan menunjuk sopan yang hebat. Tetapi jauh di dalam hakikat aku sembunyikan hasad dan busuk yang pekat dan likat.

Sejujurnya sahajalah. Aku hanya ingin menjadi diriku yang seadanya. Manusia yang tidak mahu berpura dan berlagak. Jadi terserah. Bagaimana kau atau kalian membaca. Aku tidak kuasa menghalang. Apa lagi mengemis simpati atau mengarah-arah. Begitulah dan demikianlah aku. Tidak ingin berdusta. Tidak ingin berpura. Tidak ingin menipu. Walau sesiapa.

Ya. Katakanlah. Kau ini makhluk ketinggalan zaman. Tidak mengikuti musim dan perubahan. Lurus dan bendul. Akan selalu ketinggalan. Atau akan lenyap ditimbus perubahan musim dan keadaan.

Aku sudah menikmati sepenuhnya zaman dan waktuku. Kalau hari ini itu sudah berlalu. Tiada pun kesal di hatiku. Kerana demikian pilihan ketika sepenuhnya memilih. Dengan jiwa dan dengan raga. Hanya ingin menjadi diriku.

Ini memang ruang yang kupilih. Mencatat dan terus mencatat. Galau jiwa. Gelisah hati. Marah rasa. Semua dan segala. Ini adalah buku harian jiwaku. Sebuah buku harian yang dengan rela hati kukongsikan. Dengan beberapa teman terpilih dan terbaik.

Di ruang ini jugalah. Aku merakam dan kemudian mentafsir kembali segala peristiwa dan kejadian. Kemudian menjadi sperma. Yang bersenyawa di rahim imaginasiku. Bertukar dan berevolusi pula lagi. Menjadi janin yang dikandungkan sekian waktu. Dan bila tiba waktu kemudian dilahirkan. Sebagai bayi. Bernama cerpen atau puisi.

Tetapi kalau kerana catatanku itu menggelisahkan kalian, aku akan kembali kepada permulaan. Biarlah lagi aku tidak berkongsi. Dan diriku tetap menjadi penyendiri. Hanya aku sendirian yang menuliskan dan membaca. Tanpa kalian atau sebarang kawan. Dan hanya aku akan sendiri di sini. Tanpa kau. Tanpa teman. Tanpa sesiapa di sini. Kecuali hanya aku. Bersendiri dan bersunyi di sini!

Januari 4, 2016

EMPAT
Tidak mengapa. Saya tak akan mengemis lagi pengertian. Biarkan saja saya begini. Luluh dan hanyut dengan kesendiriannya. Saya tahu inilah harga yang perlu saya bayar. Menjadi penulis yang tak ingin berbohong dan bersandiwara. Memang mudah disalah tafsirkan dan dituding prasangka. Tidak mengapalah. Kini saya pasrah dan redho. Kerana hari ini, saya benar-benar menangis, ketika menulis catatan ini. Selamat tinggal. Hari ini, saya memilih untuk menjadi penyendiri yang penuh.

Januari 5, 2016