Rabu, September 02, 2020
KISAH SEORANG PEREMPUAN PEKERJA DAN SEORANG BOSS
INI kisah lama beberapa tahun yang
lalu.
Mengisi senja seusai Asar ini, saya
membongkar fail-fail tulisan lama di dalam komputer tua di kamar tulis saya.
Terjumpa antaranya sebuah surat yang saya tulis kepada kepala sebuah jabatan di
mana saya waktu itu bertugas. Sebuah surat memperjelas serta menjawab
suatu tuduhan seorang perempuan pekerja terhadap diri saya, yang saya kononnya
telah memukul dan menyerang dirinya secara fizikal.
Kerana memang saya tidak langsung
melakukan perbuatan yang didakwa itu, kes itu disenyapkan akhirnya dan saya
meneruskan hidup dan tugas seperti biasa. Dan saya masih ingat punca dan mula
tuduhan fitnah ini.
Saya sebelumnya telah menegor
perempuan pekerja ini kerana kesukaannya mencampuri urusan kerja unit
lain dan mengadukan perkara yang tidak benar kepada ketua jabatan.
Maksud saya, dia yang berkerja di
bidang perawatan selalu mencampuri urusan saya di unit pentadbiran dan
kerananya saya sudah berkali-kali dipanggil menghadap sang kepala untuk
menjawab segala fitnah itu. Dan sang kepala, bila saya berikan penjelasan,
menyuruh saya kembali ke ruang kerja saya begitu sahaja.
Kerana kehilangan sabar dan bosan
saban hari dipanggil mengadap sang kepala lantaran fitnah-fitnah perempuan
pekerja itulah maka saya menegor perempuan pekerja itu. Dan, saya selalu
diperingatkan kawan-kawan agar tidak berbuat demikian. Kata mereka, "Kau
jangan marah dia. Suami dia orang besar pangkat pengarah!"
Saya yang waktu itu hanya berkerja
sebagai seorang kerani biasa dan bertugas menyelia rekod-rekod perubatan di
ruang di mana saya bertugas di sebuah pusat perawatan jiwa milik
kerajaan, sangat berasa terganggu dan tertekan dengan situasi yang
diciptakan tanpa kehendak saya itu.
Saban malam tidur saya jadi
terganggu dan terjaga di tengah malam buta dengan pekik dan lolong dari baki
igau serta mimpi ngeri.
Saya jadi hilang semangat untuk
bekerja dan terpaksa setiap pagi benar-benar memaksakan diri untuk keluar
bekerja. Rasa kecewa dan malas meraja di dalam jiwa.
Namun kerana kenangkan saya ada enam
mulut yang mesti diberi makan dan ada anak yang sedang belajar di pusat
pengajian tinggi, rasa malas dan kecewa itu saya lawan dan berangkat ke tempat
kerja dengan doa: "Tuhan, jadikanlah hari ini aku manusia yang penyabar
dan tidak membunuh sesiapa!"
Kini saya sudah beberapa tahun
meninggalkan ruang pekerjaan dan ruang tugas itu pun sudah belasan tahun saya
tinggalkan. Saya berasa sangat berhutang kepada manusia yang telah menukarkan
saya dari tempat bertugas "celaka" itu ke bahagian lain dan tidak
lagi melihat ruang itu sebaik sahaja dinaikkan pangkat kepada seorang penyelia
di unit sumber manusia di sebuah jabatan yang lain.
Namun ingatan mengenainya masih
tidak pudar dan padam. Wajah para watak dan pelakunya masih segar di ruang
ingatan saya. Malah perempuan pembuat fitnah itu pernah saya jumpa suatu tengah
hari di sebuah pusat membeli belah barang keperluan dapor. Hanya memakai baju-t
lusuh, berambut kusut dan keadaan dirinya seperti belum mandi.
Saya tahu dan selalu mempercayai.
Hidup kita manusia, maju atau mundur, gagal atau jaya, miskin atau kaya, bukan
ditentukan oleh sesama manusia. Tetapi bergantung usaha-usaha peribadi dan
ketentuan daripada Allah SWT.
Perempuan pembikin fitnah ini, saya
agak, hidupnya tidaklah lebih mewah dan lebih bahagia berbanding saya
yang pernah menjadi mangsa habuan fitnahnya.
Begitu juga sang kepala yang di
tugas jabatannya bergelar seorang pakar itu, pun saya tak rasa dia menjadi
lebih cerdik dan mulia berbanding saya yang dahulu, kerana mempercayai dan
memberi muka kepada perempuan pencipta fitnah itu, saban hari mencari salah,
memperli dan menyindir saya.
Malah saya diberitahu kawan yang
masih bertugas di sana, meski gelaran jawatannya sang kepala itu semakin
tinggi, namun dia tetap jua terpuruk di kamar, dan tetap menagih pengormatan
daripada kakitangan bawahannya untuk mengakurkan segala perintah tongong dan
bahlolnya, masih mengemis dan meminta penajaan tiket kapal terbang atau hotel
untuk seminar di luar negara daripada syarikat yang menjualkan ubat-ubatan.
Malah, saya sangat yakin, amat
yakin, dua manusia ini, tetaplah taraf dirinya tidak pun terangkat menjadi wali
atau malaikat, semata-mata kerana daya usaha mereka selama saya bertugas di
sana untuk membuat fitnah dan menyusahkan hidup saya.
Kerana siapa pun kita, akhirnya,
akan kembali ke tanah juga!
@MARSLI N.O
2 Ogos 2015
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan