Rabu, Januari 06, 2016
KENAPA RUANG AMAUN DIKOSONGKAN?
KETIKA
masih bertugas menjaga peti tunai
pembayaran baki bayaran deposit masuk wad pesakit, di sebuah hospital kerajaan
satu masa dahulu, pegawai atasanku selaku berpesan dan mengarahkan:
"Sebelum minta mereka tanda tangan sub baucer penerimaan baki bayaran,
jumlah dengan angka dan perkataan yang dikembalikan mestilah ditulis terlebih
dahulu. Ini untuk mengelak berlaku penyelewengan. Misalnya, baki dia RM 200,
kau pakat dan minta rasuah dengan dia, kau beri dia seratus dan kau songlap
seratus. Ini perbuatan salah." Pesan dan procedure ini kuingat sampai
kini.
Tapi
di acara baca sajak yang aku salah seorang pembaca sajak yang dibayar RM 100
atau RM 200 oleh penganjur, banyak kali berlaku, di mana aku disuruh tanda
tangan sebagai akuan menerima bayaran, tetapi ruang amaunnya dibiarkan kosong,
tanpa mencatat pun jumlah akaun yang dibayar kepada aku dan pembaca sajak yang
lain sebanyak RM 100 atau 200 itu.
Itu
di majlis yang kononnya kendalian organisasi di sebelah sini. Tahun lepas, saya
ke satu acara pihak sebelah sana pula. Kejadiannya pun sama juga. Ketika
diminta tanda tangan senarai bayaran untuk pembaca sajak, pun saya lihat ruang
amaunnya dibiarkan kosong.
Apa
ini? Sebenarnya berapa amaun mereka nak bayar pembaca sajak? Kenapa tak tulis
terang terang di senarai itu? Atau sebenarnya mereka sengaja bayar ciput, lepas
itu tuntut balik dari para pemberi dana dengan amaun yang lebih besar dan
lebihan itu akan masuk ke poket peribadi mereka?
Saya
pernah berpersatuan dahulu dan selalu nampak bendahari persatuan guna taktik
begini. Itu di persatuan peringkat kampungan dan anggota kerja sukarelanya
terdiri mereka yang hanya lulusan darah enam atau SRP dan tak pandai pun nak
berfalsafah dan berkhutbah mengenai moral di dalam karya dan ucapannya?
Saya
tahu mereka menipu secara licik. Hujahnya mudah. Kalau mereka kata tak tulis
amaun itu awal awal kerana sebok dan nak cepat, dah jelas mereka berbohong. Apa
yang susahnya? Kalau nama, nombor kad pengenalan pembaca sajak boleh ditaip
dalam senarai penerima bayaran, kenapa tiba ruang amaun mereka tinggalkan?
Apa
pun dalih dan alasan yang mereka hendak berikan, bagi saya mereka jelas telah
menipu, bukan sahaja pembaca sajak yang terlibat, tetapi juga pihak yang
memberi dana, semata mata kerana mahu menyonglap dana selebihnya ke dalam saku
peribadi mereka atau bersama konco konco mereka.
Kerana
Itulah kini, semakin lama semakin saya rasa tak tergiur untuk pergi membaca
sajak. Puncanya itulah. Penyair hanya jadi alat orang yang jahat dan
berkepentingan, yang bila menulis dan bercakap, selaku menyebut soal maruah,
moral, kesopanan dan nilai nilai murni di dalam karya. Kadang kala pula,
sudahlah bayarannya hanya RM 100, cara bayarannya pun main pakai kepal dan
salam kaut sahaja!
Saya
tahu mereka yang keparat ini boleh kembali menafikan dan kembali menempelak
saya pula. Apa sahaja boleh mereka katakan. Tetapi saya sudah tidak hairan
dengan tempelak dan apa pun.
Misalnya,
saya tak lagi diajak membaca sajak kerana bacaan sajak saya asyik menjerit dan
melalak sahaja. Atau saya tidak lagi diajak kerana sikap saya sendiri yang
bongkak dan sombong. Atau kalau tidak pun, mereka akan kata, selain saya masih
ramai lagi yang boleh baca sajak lebih bagus dan hebat!
Sebabnya,
tanpa perlu mengharapkan belas manusia seperti mereka, untuk mengajak saya
membaca sajak, saya telah dan pernah dibayar dan disponsor untuk ke Korea,
Manila dan Singapura, hanya untuk membaca sajak dengan bayaran yang mahal!
Sedang
mereka? Hanya sekedar melalak dan bertempik di bawah tempurung negeri sendiri,
atau paling paling hanya ke Indonesia. Dan itu pun pergi kerana mereka sendiri
yang mengeluarkan segala kos tambang, makan dan penginapan ketika di sana.
Januari
5, 2016
Selasa, Januari 05, 2016
RENUNGAN JANUARI 2016 #1
SATU
KERANA sudah bertekad
dan memilih untuk lebih bersendiri dan lebih mandiri begitu memasuki tahun 2016
ini, saya tidak berasa terlalu perlu dan penting untuk menceritakan apa-apa
yang ingin dan akan saya laksanakan sebagai seorang penulis di sepanjang tahun
2016 ini di sini secara terbuka. Sehinggakan kadang, boleh menimbulkan pula
kesan untuk terlalu menunjuk-nunjuk dan mengada-ada.
Sebagai penulis,
sudah pasti saya akan terus menerus menulis. Katalah itu buku, atau apa sahaja karya. Tetapi tidak terlalu perlu juga untuk saya
menceritakan di sini berapakah jumlah atau apakah bentuk dan genrenya. Biarlah
waktu dan hasil akhirnya nanti yang menentukan.
Selamat tinggal
semuanya: dunia galau dan kawan-kawan yang sombong, pengkhianat atau para
penggunjing. Semakin menjadi tua, semakin saya berasa ingin lebih menyendiri
dan semakin saya berasa tidak memerlukan apa-apa keriuhan lagi. Kepada yang
berminat dan menggilainya, saya tidak ingin menyalahkan anda. Silakanlah!
Dan saya sudah
memilih untuk terus berjalan: sendiri dan mandiri. Sendiri dan mandiri!
Januari 2, 2016
DUA
Aku memilih tetap
terus melawan dengan sajak-sajak, betapa pun dipandang hina dan tertindas.
Januari 2, 2016
TIGA
Fikir positif. Jangan
fikir negatif. Jangan asyik marah-marah. Sebelum marahkan orang lain, marahkan
diri sendiri dulu. Banyakkan tulis puisi dan jangan banyak tulis status diri di
FB. Apa lagi yang nak dibebelkan?
Baru hari ketiga
2016. Sudah mula bergentayangan pelbagai bebelan yang bertopengkan nasihat atau
peringatan.
Tidak mengapa. Aku
tak begitu tersentuh walau apa pun. Tetapi mengatakan langsung tidak, tentulah
suatu pembohongan. Macamlah kau tu malaikat. Langsung tiada perasaan marah dan tidak pernah tersentuh perasaan.
Aku berkata kerana
apa yang aku rasa dan alami sendiri. Kerana aku manusia biasa. Terlalu banyak
cacat cela. Juga kerana aku tidak mahu berlagak malaikat. Memberi nasihat dan
menunjuk sopan yang hebat. Tetapi jauh di dalam hakikat aku sembunyikan hasad
dan busuk yang pekat dan likat.
Sejujurnya sahajalah.
Aku hanya ingin menjadi diriku yang seadanya. Manusia yang tidak mahu berpura
dan berlagak. Jadi terserah. Bagaimana kau atau kalian membaca. Aku tidak kuasa
menghalang. Apa lagi mengemis simpati atau mengarah-arah. Begitulah dan
demikianlah aku. Tidak ingin berdusta. Tidak ingin berpura. Tidak ingin menipu.
Walau sesiapa.
Ya. Katakanlah. Kau
ini makhluk ketinggalan zaman. Tidak mengikuti musim dan perubahan. Lurus dan
bendul. Akan selalu ketinggalan. Atau akan lenyap ditimbus perubahan musim dan
keadaan.
Aku sudah menikmati
sepenuhnya zaman dan waktuku. Kalau hari ini itu sudah berlalu. Tiada pun kesal
di hatiku. Kerana demikian pilihan ketika sepenuhnya memilih. Dengan jiwa dan
dengan raga. Hanya ingin menjadi diriku.
Ini memang ruang yang
kupilih. Mencatat dan terus mencatat. Galau jiwa. Gelisah hati. Marah rasa.
Semua dan segala. Ini adalah buku harian jiwaku. Sebuah buku harian yang dengan
rela hati kukongsikan. Dengan beberapa teman terpilih dan terbaik.
Di ruang ini jugalah.
Aku merakam dan kemudian mentafsir kembali segala peristiwa dan kejadian.
Kemudian menjadi sperma. Yang bersenyawa di rahim imaginasiku. Bertukar dan
berevolusi pula lagi. Menjadi janin yang dikandungkan sekian waktu. Dan bila
tiba waktu kemudian dilahirkan. Sebagai bayi. Bernama cerpen atau puisi.
Tetapi kalau kerana
catatanku itu menggelisahkan kalian, aku akan kembali kepada permulaan. Biarlah
lagi aku tidak berkongsi. Dan diriku tetap menjadi penyendiri. Hanya aku
sendirian yang menuliskan dan membaca. Tanpa kalian atau sebarang kawan. Dan
hanya aku akan sendiri di sini. Tanpa kau. Tanpa teman. Tanpa sesiapa di sini. Kecuali
hanya aku. Bersendiri dan bersunyi di sini!
Januari 4, 2016
EMPAT
Tidak mengapa. Saya
tak akan mengemis lagi pengertian. Biarkan saja saya begini. Luluh dan hanyut
dengan kesendiriannya. Saya tahu inilah harga yang perlu saya bayar. Menjadi
penulis yang tak ingin berbohong dan bersandiwara. Memang mudah disalah
tafsirkan dan dituding prasangka. Tidak mengapalah. Kini saya pasrah dan redho.
Kerana hari ini, saya benar-benar menangis, ketika menulis catatan ini. Selamat
tinggal. Hari ini, saya memilih untuk menjadi penyendiri yang penuh.
Januari 5, 2016
Jumaat, Disember 11, 2015
TERIMA KASIH, MERDEKA
HARI ini, saya menerima 10 naskhah buku
kumpulan puisi terbaru saya TERIMA KASIH, MERDEKA dari penerbitnya
ITBM.
Kumpulan memuatkan 40 puisi hasil cipta saya ini memang sepenuhnya
bertemakan "patriotisme" yang saya beri dan tafsirkan secara lebih luas
dan terbuka, dengan merangkumi pelbagai persoalan yang melibatkan
maruah, harga diri, survival dan masa depan negara tercinta saya,
Malaysia, dan bangsa saya, Melayu.
Semua ucapan dan rasa penghargaan ini juga ingin saya berikan secara
khusus kepada insan yang bersusah payah menangani naskhah saya ini sejak
dari awal dan sehingga telah berjaya diterbitkan dalam bentuk sebuah
buku yang cantik, indah dan menawan.
Insan yang saya dimaksudkan itu adalah tuan Enche Abdullah.
-MARSLI N.O
Disember 7, 2015
Insan yang saya dimaksudkan itu adalah tuan Enche Abdullah.
-MARSLI N.O
Disember 7, 2015
Jumaat, November 13, 2015
1981, SEJAK MALAM ITU
SATU malam di tahun 1981, masih saya ingat, saya merayu dan mengharapkan
ihsan seorang kawan, yang saya kenal baik dan dia pun memang tahu bahawa saya
sudah pun menyiarkan beberapa sajak di media, yang mengacarakan majlis baca
sajak agar nanti sudi memanggil nama saya untuk naik ke pentas dan membacakan
sebuah sajak. Dan saya menunggu.
Hingga majlis berakhir, ramai yang tampil membacakan sajak, dan mereka itu
saya tahu tidak pernah pun menyiarkan sajaknya di mana-mana, tetapi saya, yang
sudah menyiarkan beberapa sajak di majalah Dewan Sastera, tetap tak dipanggil.
Hati saya memang berasa tersenuth dan ketika saya bersendirian pulang
mengayuh basikal lumba meredah gelap malam larut yang dingin, hujan merenyai
turun. Saya kebasahan dan tanpa sedar meneteskan air mata. Sambil perlahan
meneruskan kayuhan basikal dan menyapu air mata, saya berfikir.
Demikianlah cara mereka menerima dan memandang saya di sini. Saya mungkin
tak ingin mereka perhitungkan kerana walau sudah hidup di sini sejak usia
belasan, namun tetap dianggap orang luar dan asing!
Sejak malam Itulah, di tahun 1981 itu, saya bertekad untuk terus berkarya
dan tak ingin menoleh lagi kepada mereka. Saya tahu siapa saya di mata
kebanyakan mereka. Saya tak akan berharap dan meminta apa-apa lagi dari mereka.
Apakah itu sedikit ruang dan peluang untuk bergerak dan berseni, atau
kesempatan dan jemputan untuk tampil mempersembahkan karya saya, atau juga
anugerah, hadiah atau pun penghormatan daripada pihak mereka.
Begitulah. Sehingga kini dan sesudah berusia hampir 60 tahun. Tanpa menoleh
saya berusaha untuk terus menerus berkarya dan hasilnya, sejumlah buku saya
telah pun diterbitkan.
Demikian juga kekecewaan saya pada suatu malam di tahun 1981 itu. Saya
sudah lama menawarkan dukanya bila sudah beberapa kali diundang keluar negara,
disponsor sepenuhnya oleh pihak yang mengundang, untuk membacakan beberapa
sajak. Hanya membacakan sajak!
Kini, saya tetap berada di sini. Dengan kesedaran dan pendirian yang
demikian. Saya tak pernah ingin mengharapkan apa-apa daripada mereka di sini,
atau kini, daripada sesiapa pun. Saya tidak ingin dan tidak akan meminta
apa-apa kepada sesama manusia!
Kerana, rezeki, hidup dan mati saya, saya sedar dan tahu, bukan ditentukan
oleh mereka yang bernama sesama manusia, apa lagi oleh manusia yang tamak dan
serakah, seperti sebagian besar mereka yang bercokol di singgahsana itu!
Kini malah, dengan kesedaran serta keyakinan sedemikian itu, saya tidak pun
berasa kecut dan takut, andai ada yang berkata dan berniat mahu menggusur,
menolak dan menyisihkan saya. Kerana, di usia yang semakin menghampiri 60 ini,
yang saya buru dan kejar bukan lagi hal-hal yang sifatnya keduniaan.
November 6, 2015
@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana
secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya.
Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
Kategori:
Autobiografi Marsli N.O (1980-an)
Sabtu, November 07, 2015
CERITA DAN KHABAR
1
MALAM itu, di kamar 322 Coral Bay Resort, Pangkor, bersaksikan dua teman sekamar, Ridzuan Harun dan Ijamala MN, sekali lagi saya mendengar khabar yang sama. Kata tamu yang bertandang ke kamar itu: Saya hendak jemput awak untuk suatu acara sastera di sini, tetapi ramai orang kata awak begitu awak begini. Kerana kata-kata itulah, saya tak jadi hendak menjemput awak.
Saya hanya ketawa sinis mendengar kata-kata itu dan memberitahunya bahawa ini mungkin sudah kali yang ke seratus saya diberitahu hal yang hampir sama. Namun jauh di dalam hati saya tercenung sendiri memikirkan, apalah untung yang didapat oleh mereka yang sangat prihatin, yang saya kira kata-katanya tentulah banyaknya yang negatif sahaja mengenai saya itu.
Namun itu tidaklah sampai membuatkan saya berasa terlalu gundah dan sedih. Kerana sudah sejak lama saya mengambil dan memilih sikap tidak perduli dengan segala gunjing dan umpat, saya seperti selalu tidak ingin membiarkan itu lama berada di dalam fikiran, sehingga sampai membuatkan diri berasa sedih atau terkilan keterlaluan.
Saya sudah alama sedar dan tahu, hidup dan mati saya tidak ditentukan oleh umpatan dan gunjingan orang. Kerana yang mendatangkan rezeki kepada saya hanyalah Dia dan bukannya manusia.
Malah saya sangat tahu dan sedar. Inilah dunia seni dan sastera di mana saya hidup dan bernafas di dalamnya. Dengan segala tipu muslihat dan kerenahnya. Dengan perasaan hasad dan dengki yang tidak berkesudahan, berkroni dan segala macam serta pelbagai lagi.
2
SAYA tahu dan mengaku, sebagai seorang pekerja seni, tentulah pencapaian saya masih tidak setinggi mana dan kerana itulah sampai kini saya masih lagi sanggup ke mana-mana untuk menambahkan ilmu serta pengetahuan.
Saya juga tahu tidak semua yang saya kerjakan itu betul dan saya bersedia untuk ditegor serta diperbetulkan, demi kebaikan dan mutu seni itu sendiri. Namun dalam keadaan dihujat dan sentiasa dihenyak dengan pelbagai tohmah sebagai tidak betul itu, saya masih juga tetap mampu meraih anugerah dan perhatian di luar daerah.
Tetapi mereka yang konon sangat disayang dan dipelihara para aparatus itu bagaimana pula? Kalaulah benar mereka yang lebih hebat, bagus, benar dan betul, kenapa pula tiada suatu pencapaian pun yang telah mereka raih dan capai sehingga kini? Kenapa?
Akhirnya, si bodoh hanya ingin berkawan sesamanya. Saling puji dan memuji dengan pujian yang palsu dan nihil. Meneruskan kesenangan bersama kroni dengan keuntungan seringit dua.
3
SEMUA itu tidak menghairankan hati kecil saya. Kalau mereka yang dilihat dan malah mengaku dirinya lebih bijak, tahu dan berlandaskan ilmu sedemikian perangai dan laku seninya, apalah hendak dihairankan para pencacai seperti mereka yang lain, yang pada hakikatnya tidak punya apa-apa begitu.
Itulah realiti dunia seni dan sastera yang saya tahu dan kenal. Kerana itu juga, saya tidak ingin mengambil peduli bila ada lagi yang masih tetap merungut-rungut dan meminta banyak dari dunia ini.
Buat saya, saya bahagia dengan diri saya sendiri dan kerana itu persetankanlah dengan segala umpat dan keji mereka yang iri dan berhati busuk itu.
Saya tetap ingin terus begini. Sendiri. Sendiri. Dan bersendiri.
November 6, 2013
@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com
Kategori:
2014: Memoar Marsli N.O
Langgan:
Catatan (Atom)


