Seperti juga perbuatan memperkosa rumah ibadat milik orang lain, walau oleh siapa pun mereka, saya tidak pernah mahu bersekongkol mengatakan bahawa itu perbuatan yang terpuji dan boleh mencapai ke tahap gelaran jihad.
Perbuatan yang salah, tidak bertamadun serta mengenepikan sama sekali hakikat kemanusiaannya, bagi saya bukanlah perbuatan yang terpuji, walau diperbuat atas nama sentimen maruah dan agama, tetaplah sesuatu perbuatan yang salah dan tidak wajar sama sekali didokong.
Setelah lebih 50 tahun merdeka dan saling hidup membahu di sebuah negara bernama Malaysia ini, saya sungguh tidak dapat menerima dan percaya kalau masih ada manusia di kalangan kita, walau apa pun agama, bangsa dan keturunannya yang berasa betapa untuk menjadi hero kaumnya maka dia perlu berbuat sesuatu yang sama sekali di luar hakikat kemanusiaan terhadap pihak yang lain.
Saya tidak fikir dengan membakar gereja, melempar najis atau kepala babi ke masjid atau surau maka mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu sudah benar-benar menjadi hero.
Tetapi betapa pun begitu, rasa marah dan sebal saya terhadap siapa pun mereka yang telah dan sudah melakukan perbuatan terkutuk ini, tidaklah pula sampai mendorong untuk saya sama membalas kembali dengan tindakan lain juga tidak kurang bodohnya.
Katakanlah sebagai penyair atau sebagai pengarang, saya berasa tidak ada gunanya saya menulis sebuah sajak atau sebuah cerpen yang akan mengutuk dan kembali mengeji mengenainya.
Bagi saya, dengan berbuat begitu, saya sebenarnya secara tidak langsung menganggap mereka dan perbuatan mereka sebagai penting dan ini juga secara tidak langsung telah menobatkan mereka sebagai wira.
Saya sebenarnya lebih melihat persoalan "babi" ini puncanya bukanlah kerana sifat-sifat kebabian itu sendiri. Sebaliknya, punca bagi masalah ini sebenarnya sudah bermula jauh di peringkat akar umbinya lagi.
Ketika ini jugalah saya lebih menjurus untuk mengatakan betapa yang menjadi biang keladi bagi permasalahan ini, bukan di kalangan manusia setaraf saya yang bergelar jelata ini. Sebaliknya, mereka yang bergelar politikuslah sebenarnya yang patut memikul beban kesalahan ini.
Saya mungkin salah dengan premis ini. Tetapi walau apa pun, saya peribadi tetap mengatakan betapa kerana kepentingan politik kepartian dan perkauman yang sempit dari kalangan jaguh politikus yang juga berfikiran sempit, maka kita sesama jelata telah menanggung akibah serta kesannya.
Kerana para politikus inilah maka kita sesama jelata jadi saling meragui, renggang dan semakin menuju ke arah chauvanisme yang sangat berbahaya.
Malah kadang-kala, ketika di bibir mereka terucap kata manis dan mesra atas nama persatuan dan perpaduan, pada waktu sama, semangat perkauman disemarak terus dengan pelbagai cara dan helah licik untuk mengaburi mata jelata.
Saya peribadi tetap percaya betapa punca dan akar umbi permasalahan sesama kita ini tidak lain kerana tindak dan tanduk para politikus sebeginilah.
Kita sesama jelata, sebenarnya, tidak digalak agak terus bersama dan seiring, tetapi sebaliknya dihasut secara tidak langsung agar terus membiakkan rasa ingin saling mengatasi yang tidak sihat.
Bayangkan misalnya, sesudah lebih 50 tahun merdeka, kita masih lagi bertengkar mengenai sebuah sekolah yang boleh dikongsi bersama, kita masih lagi bertelagah mengenai bahasa pengantar sebagai alat penyatu bangsa dan negara, atau kalau tidak pun, ada pula yang tidak semena-mena meminta sesuatu yang memang pun bukan haknya.
Saya tidak ingin dan malah tidak setuju jika saya dituduh sebagai racist atau terlalu perkauman, semata-mata bila saya berkata bahawa saya punya hak dan akan terus mempertahankannya sampai bila-bila.
Tetapi pengalaman masa lalu sudah cukup mengajar. Mereka yang mengapi-api dan tanpa segan silu menjadikan isu bukanlah mereka yang bergelar jelata seperti saya dan kawan-kawan saya yang lain, yang memang sejak kecil saya kenal dan menjadi kawan.
Saya tidak tahu sampai bila sebagai jelata, saya akan terus dimomokkan dengan pelbagai isu, yang sebahagiannya disalut dengan jargon maruah dan kelangsungan bangsa.
Saya tidak tahu dan pasti apakah mereka yang bergelar politikus itu tidak pandai befikir atau memang tidak sedarkan ini.
Kerana jika benar mereka yang bergelar politikus itu tidak tahu dan sekaligus juga tidak pandai berfikir, tentulah yang wajar menanggung dosa dan kekhilafan itu mestilah kita.
Kerana kitalah yang telah memilih dan menobatkan mereka sebagai pemimpin!
Februari 5, 2010
2 ulasan:
Sdr. Marsli,
Saya menyusur dalam diam; membaca cuma.
Sdr RH: Saya juga demikian. Mengenang diri yang semakin menghampiri.
Catat Ulasan