Sumber siaran: Berita Harian, Ahad 20 Mac 2011
Isnin, Mac 21, 2011
BAK AYAM
Sajak MARSLI N.O
Inilah bangsa
lakunya bak ayam
galak dan lantang
dengan kokok
mempamerkan jantan
tetapi kerana alpa
sesama sendiri
saling berebut dan berkelahi
negeri berulang diludahi
oleh petualang
lidahnya nan bercabang
di muka senyumnya terpampang
tetapi di dalam
hatinya berjelaga hitam
Kuantan, 9 Januari 2011
Sumber siaran: Berita Harian, Ahad 20 Mac 2011
Sumber siaran: Berita Harian, Ahad 20 Mac 2011
Rabu, Mac 16, 2011
SENDIRI
SAYA tidak langsung berasa pelik dan terkejut kalau dunia saya semakin menjadi terasing dan sunyi. Malah secara diam-diam memang itu pun yang selalu ingin saya hadapi secara peribadi. Kerana, hanya dengan terasing dan sunyi, saya akan punya lebih banyak waktu untuk merenung dan belajar mengisi segala kekurangan diri.
Apa lagi ketika mengenang pertambahan usia diri dan sekaligus menghitung segala amal dan bakti sendiri yang masih amat sedikit. Semakin saya berasa keterasingan dan sunyi bukan pun sebuah dunia yang menakutkan saya, tetapi sebenarnya adalah ruang yang akan memberi saya waktu untuk mengisinya dengan sesuatu yang lebih bererti.
Di usia semakin meningkat begini, bukan bererti saya semakin menjadi pendendam dan pembenci. Walau pernah saya terima segala caci dan maki, tetapi selalu saya cuba untuk memaafkan dengan cara menyebut kembali sesuatu yang pernah melukakan hati serta perasaan sendiri dalam bentuk yang lain.
Jadi saya tidak pernah berasa terkilan dan ingin bersedih jika semakin lama semakin menjadi pemilih kawan atau kian dipilih sebelum diterima menjadi kawan. Kerana saya sendiri sedar, saya bukanlah manusia sempurna yang dapat memuaskan hati serta perasaan semua orang.
Terus terang, saya tidak boleh dan memang tidak mudah menjadi penurut siapa pun. Kerana menyedari itu, saya sudah lama bersedia untuk menjadi seorang yang kurang disenangi dan lebih rela menyendiri.
Saya tidak meminta setiap kata-kata mesti diterima dengan angguk dan saya juga memang tidak ingin hanya menjadi pengangguk tanpa mengetahui dengan jelas duduk dan pasti sesuatu perkara.
Biarkan mereka atau siapa pun dia memilih kawan kerana kepentingan dan keuntungan. Tetapi saya memilih hanya dengan ikhlas dan kejujuran untuk mengatakan apa yang benar dan apa yang tidak secara berhadapan.
Biar dituduh si celupar kerana pilihan untuk mengatakan tidak tanpa mengira siapa kerana saya tidak ingin menjadi penjilat walau betapa sekali nilai ganjarannya.
Saya akan tetap pergi dan sendiri. Sama ada terasing atau tidak, itu bukan soal. Walau hari ini dikhianati, dibenci dan jalan rezekinya cuba dipersulit dengan pelbagai hasad dan dengki, saya memilih untuk tidak pedului.
Kerana, hidup dan mati saya, penentuannya bukan pun oleh sesiapa yang bernama manusia.
Saya sudah terlalu bosan mendepani lakon dan segala sandiwara manusia dan dunia. Jangan lagi memaksa dan mengajak saya menjadi sebahagiannya.
Kebodohan dan kecerdikan yang saya terima sebagai anugerahNya, membuat saya selalu ingin mencari redha dalam menulis dan berkarya.
Tidak mengapa kalau saya dibenci dan tidak diterima oleh sebahagian manusia. Saya tidak memaksa dan tidak akan meminta-minta.
Allah Maha Besar.
Mac 16, 2010
Selasa, Mac 15, 2011
WATAK (1)*
SAYA mula mengenal watak ini ketika saya baharu belajar hendak menjadi penyair dan masih agak muda belia. Ketika itu, watak ini sudah pun disebut-sebut namanya dan mulai menjadi perhatian banyak pihak. Tetapi puncanya mendapat perhatian itu, bukanlah kerana sesuatu yang terlalu istimewa tetapi lebih kepada rasa silau dan kagum terhadap sesuatu yang kononnya, pada waktu itu, dianggap terlalu istimewa.
Perkenalan saya dengan watak ini hanyalah sebagai sifatnya seorang manusia yang suka memerhati dan melihat pelbagai watak serta kerenah di dalam kehidupan sehari-hari. Kerana menyedari saya ketika itu baharu hanya berjaya menyiarkan dua buah sajak yang di sebuah majalah sastera, kalau kebetulan bertemu dan bersua dengan watak ini, saya lebih sedar diri dan ruang. Pilihan saya hanyalah membisu dan melihat sahaja.
Perkenalan saya dengan watak ini hanyalah sebagai sifatnya seorang manusia yang suka memerhati dan melihat pelbagai watak serta kerenah di dalam kehidupan sehari-hari. Kerana menyedari saya ketika itu baharu hanya berjaya menyiarkan dua buah sajak yang di sebuah majalah sastera, kalau kebetulan bertemu dan bersua dengan watak ini, saya lebih sedar diri dan ruang. Pilihan saya hanyalah membisu dan melihat sahaja.
Memang pun seingat saya, rasanya, tidak pernah saya berurusan lama dan berbual panjang dengan watak ini untuk sesuatu urusan mengenai sastera dan seni yang dapat dianggap penting. Apa lagi untuk sesuatu urusan lain yang berkaitan dengan kehidupan sosial serta masa depan saya. Di antara saya dengan watak ini, bagi saya, saya tidak ada sebarang rasa keperluan untuk terlalu berbaik dan berdekat-dekat dengannya terlalu lama.
Namun sebagai pemerhati yang melihat dan memilih untuk berasa seronok serta bahagia dengan menjadi pendengar yang juga menulis dan membaca, saya tahu pemeran watak ini dikenali sebagai pemilik diri yang lincah dan sangat pandai bermanis-manis mulutnya.
Entah bagaimana, pada suatu waktu, watak ini tiba-tiba menjadi sangat ramah dan berlaku baik dengan saya. Pantang bersua muka maka saya terlebih dahulu disapa dan diajak berbual. Itu memang kelemahan saya. Saya mudah tewas dengan sesiapa yang baik dan berbudi. Apa lagi bila berhadapan dengan watak yang pandai bermanis mulut dan pada zahirnya kelihatan sangat ingin membantu dengan jujur dan ikhlasnya.
Mungkin juga kerana saya ini waktu itu memang agak lambat memahami sesuatu tipu muslihat. Maka begitulah kesudahannya. Mengenangkan sikap baik dan ramahnya, saya cepat mengangguk dan percaya bila diberitahu oleh watak ini bahawa seorang yang lain cuba menggusur dia dari satu kedudukan.
Mungkin juga kerana saya ini waktu itu memang agak lambat memahami sesuatu tipu muslihat. Maka begitulah kesudahannya. Mengenangkan sikap baik dan ramahnya, saya cepat mengangguk dan percaya bila diberitahu oleh watak ini bahawa seorang yang lain cuba menggusur dia dari satu kedudukan.
Alangkah bebalnya saya ketika itu kerana begitu cepat percaya dengan segala kata-kata manisnya. Malah kerana cerita yang disampaikan dengan kata-kata yang sangat manis dari mulutnya itu juga saya memandang agak serong terhadap watak yang diceritakannya itu.
Hanya lama kemudian baru saya ketahuan betapa mereka sebenarnya berebutkan sesuatu gelaran dan apa yang dilakukan oleh watak yang bermulut manis itu sebenarnya tidak lain merupakan suatu usaha melobi yang kotor, iaitu dengan cara memburuk-burukkan imej watak-watak lain yang dianggapnya sebagai saingan. Ah, sungguh licik watak ini.
Entah atau mungkin dengan kelicikan serta berbekalkan kata-kata manisnya, watak ini saya lihat dan perhati semakin lama semakin menjadi perhatian, dipercayai dan semakin diahulukan orang di mana sahaja dia pergi dan datang. Malah pada suatu waktu, kepopularan dan kepercayaan yang diberikan orang terhadapnya, mengalahkan segala kepercayaan yang diberikan kepada sahabat dan kerabat yang sama satu warna dan bahasa sendiri.
Tetapi apa saya peduli. Biarlah kalau watak ini semakin menjadi popular dan menjadi orang kepercayaan banyak pihak. Biarlah dia dengan urusan dan perwatakan dia sendiri dan kerja saya sebagai yang menulis, menulislah sebanyak yang mungkin dan boleh. Begitu selalu kata saya kepada diri.
Dengan prinsip yang sedemikian juga, saya tidak pernah berasa atau menganggap watak ini adalah kawan saya yang sejati, yang perlu saya dekati dan percayai sepenuh hati. Malah kalau bertemu, saya menyapa sekadar perlu agar tidak sampai dianggap sombong dan bongkak. Walau dalam banyak kali pertemuan, sapaan hormat saya, saya tahu dan sedar dijawab hanya dengan sikap tidak kisah, namun kerana dan atas nama Melayu, sopan dan hormat saya kepada orang lain tidak saya lunturkan.
Tidak sedikit pun terdetik di hati saya hendak berasa curiga dan sangsi atau bertanyakan kenapa semakin lama saya hidup di tanah sastera ini, setiap kali bertemu dengan watak ini, sikapnya lebih banyak memaling dan memasam muka. Sebabnya, saya tidak pernah berasa punya urusan penting apa-apa dengannya dan kalau dia hendak bermasam atau memalingkan mukanya, itu bukan urusan saya untuk ambil tahu kenapa dan mengapa.
Dengan prinsip yang sedemikian juga, saya tidak pernah berasa atau menganggap watak ini adalah kawan saya yang sejati, yang perlu saya dekati dan percayai sepenuh hati. Malah kalau bertemu, saya menyapa sekadar perlu agar tidak sampai dianggap sombong dan bongkak. Walau dalam banyak kali pertemuan, sapaan hormat saya, saya tahu dan sedar dijawab hanya dengan sikap tidak kisah, namun kerana dan atas nama Melayu, sopan dan hormat saya kepada orang lain tidak saya lunturkan.
Tidak sedikit pun terdetik di hati saya hendak berasa curiga dan sangsi atau bertanyakan kenapa semakin lama saya hidup di tanah sastera ini, setiap kali bertemu dengan watak ini, sikapnya lebih banyak memaling dan memasam muka. Sebabnya, saya tidak pernah berasa punya urusan penting apa-apa dengannya dan kalau dia hendak bermasam atau memalingkan mukanya, itu bukan urusan saya untuk ambil tahu kenapa dan mengapa.
Saya tetap dengan prinsip dan kepercayaan ini. Tetapi sebagai orang yang hanya memerhati saya rupanya banyak memiliki tetapi yang lain. Kejadian demi kejadian, peristiwa demi peristiwa juga semakin lama semakin memberikan saya jawaban dan kesimpulan.
Pada suatu acara forum kecil saya jadi terperanggah dan terkejut. Watak ini saya perhatikan mula membuka belang dirinya bila tanpa silu menempelak dua orang penanya. Antara yang saya masih ingat, watak ini berceramah mengenai kreativiti dan kecerdikan dan pada waktu sama, saya melihat ekor matanya beberapa kali melirik ke arah seorang pegawai besar yang sama menjadi ahli panel di dalam forum itu, yang duduk di sebelahnya. Barangkali, kerana menduga tiada siapa yang sedar dan perasan, lirikan itu dibalas pula oleh pegawai besar dengan senyum sekilas.
Apa sebenarnya maksud dan matlamat watak ini sehingga sanggup menempelak dua mereka yang bertanya secara terbuka dan di hadapan seorang pegawai besar begitu? Nada dan cara menjawabnya jelas menempelak dan langsung tidak berdiplomasi serta boleh menjatuhkan air muka orang. Begitu saya bertanya sendiri di dalam hati. Kalau pun hendak mengambil hati dan menunjuk cerdik di depan pegawai besar itu, tidak perlulah hendak berceramah dengan nada meremehkan kawan yang bertanya itu.
Tetapi, sekali lagi tetapi, kerana itu tiada hubungkait apa-apa dengan diri saya, maka persoalan itu saya biarkan berlalu dibawa angin sahaja dari ruang fikir saya. Prinsip saya mudah sahaja, selagi tidak mengganggu dan mengacau diri saya, lantak dialah hendak berbuat apa pun.
Hinggalah dalam satu seminar, saya tidak sahaja terkejut, tetapi tidak habisnya bertanya di dalam hati saya: apa sebenarnya yang membuatkan watak ini sangat tidak senang hati dengan saya? Apa salah yang saya sudah lakukan terhadap diri dia? Sedangkan seingat saya segala yang saya tulis dan kerjakan tidak pernah sekali pun menyebut dan menyentuh diri dia.
Kenapa saya mengajukan tanya itu? Puncanya, dia yang kebetulan diberi peluang bercakap lebih awal di sesi seminar itu tidak bercakap mengenai persoalan di seputar kertas yang akan dibentangkannya tetapi sebaliknya semacam memberi syarahan pembetulan terhadap persoalan yang akan saya bicarakan sebentar nanti.
Apa masalah dia ini? Apa yang dia sakit hati sangat dengan saya hinggakan tidak sabar-sabar hendak menunjukkan pandai dia kepada saya di hadapan khalayak ramai? Begitu bertalu tanya menerjah ruang fikir saya di dalam diam dan saya memberikan reaksi hanya dengan senyum sumbing yang dibuat-buat.
Sebagai penulis yang tidak berkemampuan, pada waktu itu, untuk belajar di universiti seperti dia, saya mengaku saya bukanlah pandai dan cerdik sangat. Saya mengaku itu. Tetapi memberikan ceramah mengenai sesuatu yang dipetik dari tulisan-tulisan saya secara perli dan menyindir-nyindir di depan khalayak pendengar di dalam dewan seminar itu, bagi saya bukanlah perbuatan dari seorang manusia yang berniat jujur dan baik. Kalau benar watak ini jujur dan ikhlas, kenapa tidak memberitahu secara peribadi kepada saya, sebelum atau selepas acara, di mana kecacatan dalam cara saya menghujah, atau di mana datanya yang dirasakan tidak tepat dan benar, agar saya boleh belajar sesuatu darinya dan memperbetulkannya di lain kali.
Bagi saya, yang ketika itu rasanya tidak terlalu bebal sehingga tidak boleh memahami maksud sindir dan perli orang, cara dia bukanlah cara seorang yang "bersahabat", tetapi lebih kepada hendak menunjukkan egonya secara berlebih-lebihan, bahawa dia lebih pandai dan tahu dari orang lain, sama ada secara langsung mahupun tidak di depan publik.
Ketika itu juga, ketika saya melirik ke depan pentas, di ruang dewan yang luas, saya melihat dua sasterawan ternama di kerusi barisan depan menyambut senyum sumbing saya dengan senyum mereka yang meleret panjang. Saya faham maksud yang cuba mereka sampaikan: sabar dan jangan cepat melatah.
Sejak saat itu, watak yang satu ini semakin saya lebihkan fokus dan perhatian. Semakin saya belajar untuk memahami tingkah dan laku dia dengan segala agenda dan kepolitikannya. Ternyata semakin lama, semakin banyak maklumat yang saya kumpul mengenai watak yang satu ini. Semakin banyak kisah dan kejadian yang semakin membenarkan gambaran saya mengenai watak dan perwatakannya.
Misalnya, ketika pada suatu pagi saya kunjungi suatu pihak, seusai menghadiri satu acara anjuran mereka pada malam sebelumnya, saya mendengar seorang petugas di sana berkata kepada ketuanya: Kak, dia tadi ada telefon dan tanya sampai hati kita tidak jemput dia sama.
Kerana peristiwa di pagi itu, maka faham dan mengertilah sebab dan punca apa yang saya dengar selama ini betapa banyak yang menyebut watak ini suka menawar-nawarkan kebolehan dan kepandaian dirinya kepada pihak lain, walau tidak dipelawa dan dijemput terlebih dahulu. Atau dalam kata pepatahnya: sebelum atau tanpa dipinta, suka menyorong-nyorongkan pipi sendiri.
Semakin memahami dan mengerti mengenai watak ini, semakin saya melihat watak ini semakin tidak lagi bermuka manis bila sesekali kebetulan berhadapan dengan saya. Tetapi seperti selalu, saya hanya mengambil sikap seolah-olah bodoh dan memang tidak mahu ambil peduli. Apa lagi bila melihat keadaan diri sendiri yang kini sudah semakin banyak memiliki karya yang diterbitkan, saya berasa tidak juga mustahil kalau watak ini berasakan saya adalah sesuatu yang patut untuk dia letakkan rasa menjadi saingan.
Kerana peristiwa di pagi itu, maka faham dan mengertilah sebab dan punca apa yang saya dengar selama ini betapa banyak yang menyebut watak ini suka menawar-nawarkan kebolehan dan kepandaian dirinya kepada pihak lain, walau tidak dipelawa dan dijemput terlebih dahulu. Atau dalam kata pepatahnya: sebelum atau tanpa dipinta, suka menyorong-nyorongkan pipi sendiri.
Semakin memahami dan mengerti mengenai watak ini, semakin saya melihat watak ini semakin tidak lagi bermuka manis bila sesekali kebetulan berhadapan dengan saya. Tetapi seperti selalu, saya hanya mengambil sikap seolah-olah bodoh dan memang tidak mahu ambil peduli. Apa lagi bila melihat keadaan diri sendiri yang kini sudah semakin banyak memiliki karya yang diterbitkan, saya berasa tidak juga mustahil kalau watak ini berasakan saya adalah sesuatu yang patut untuk dia letakkan rasa menjadi saingan.
Tetapi sekali lagi ada tetapinya. Beberapa tahun yang lalu, ketika bertemu di suatu tempat, tidak semena-mena watak ini yang saya perhatikan semakin popular dan terkenal ini, yang semakin tidak begitu mahu menjawab sapaan saya, entah mimpi apa tiba-tiba menjadi watak yang amat peramah dan rancak bercerita kepada saya, bagaimana ketika dia hadir di suatu acara, penonton merungut tidak selesa dengan cara persembahan seseorang. Tetapi kerana sudah semakin banyak maklumat dan kisah yang saya ketahui, saya hanya membisukan diri dan memang pun sudah mendapat tahu dari yang dimaksudkan bagaimana bencinya watak ini kepada seorang yang lain itu.
Dan kelmarin, seorang sahabat bercerita bagaimana dia dipermalukan dalam mesyuarat jabatannya lantaran laporan dan komen watak ini yang menyebutkan bahawa acara yang diselenggara dia tiada khalayak, walau pun pada hakikatnya laporan watak ini palsu dan dusta. Dengan nada sebal, sahabat ini merungut bagaimana watak ini tiba-tiba boleh muncul dan menjadi pelapor untuk jabatannya.
Terus terang saya katakan. Dengan prinsip dan keyakinan yang sejak dahulu saya yakini dan pegang, saya tidak punya sebab untuk berasa dengki dan mencemburui dia atau sesiapa. Segala kejayaan dan kebolehan sesiapa pun, selagi diperoleh dengan usaha dan kesungguhan masing-masing peribadi, tanpa memijak dan mengencingi orang lain, itu memang menjadi hak dan milik mereka.
Tetapi, bila mana saya berasa dan memahami, dengan sejumlah bukti dan data yang sulit untuk ditolak atau dianggap sebagai prasangka buta, yang melibat dan membabitkan diri saya sebagai mangsanya, tentulah saya tidak akan sama sekali berdiam diri.
Sehinggalah kepada peristiwa terkini. Watak ini semakin menunjukkan belang dan entah apa sebabnya sangat tidak senang hatinya terhadap saya. Perbuatannya berceramah secara terbuka seperti peristiwa beberapa tahun yang lampau itu berulang lagi. Cuma kali ini dalam bentuk tulisan dan bukan dalam bentuk ceramah lisan.
Memang. Kalau dia berasa tidak senang dan tidak ingin beramah dengan saya, itu bukan pun menjadi persoalan kepada saya. Kalau misalnya dia berasa tersinggung dan marah kerana saya tidak menyapa dia sebelum namanya dengan gelaran doktor atau profesor, itu pun saya tidak peduli. Bagi saya, doktor atau profesor dalam erti kata yang sebenarnya tidak sedemikian keji laku dan perangainya. Kalau kamu mahu berjaya dan terkenal tidak perlulah hendak mengumpat dan mencemoh orang lain.
Tetapi, sekali lagi tetapi. Dengan kemanisan mulut dan kepandaiannya berlakon dan memainkan wataknya, siapa percaya kalau di sebalik topeng yang dipakai tersembunyi wajah sebenar yang buruk?
Apalagi ketika kita terlalu mudah ditipu dengan puji-pujian dan kostium.
Bagi saya yang sudah banyak kali terkena, saya tahu bagaimana strategi, permainan dan politiking watak ini. Saya tidak takut menghadapinya kerana saya tahu bagaimana gendang ditingkah, tidak sedemikian saya melayannya dengan tari.
Saya tidak sanggup melihat mereka yang tidak tahu terus menjadi mangsa permainan dan lakonannya. Kerana itu, saya tidak akan biarkan dia terus berlakon dan mempermainkan orang lain dengan strategi liciknya.
Mac 15, 2011.
*Pak Hashim: Mohon maaf kerana mendelete posting saya dengan judul yang sama sebelum ini dan secara tidak langsung telah sama terdelete komen Pak Hashim di dalamnya. Saya terlupa memaklumkan bahawa posting itu sebenarnya baru dalam bentuk deraf. Mohon berbanyak maaf.
*Pak Hashim: Mohon maaf kerana mendelete posting saya dengan judul yang sama sebelum ini dan secara tidak langsung telah sama terdelete komen Pak Hashim di dalamnya. Saya terlupa memaklumkan bahawa posting itu sebenarnya baru dalam bentuk deraf. Mohon berbanyak maaf.
Sabtu, Mac 12, 2011
PENGKHIANAT
DITINGGALKAN sendiri meneruskan apa yang diyakini, dengan sastera dan seninya, tidak pernah menggentar serta membuat hati saya menjadi rusuh. Apa yang sudah saya pilih dengan yakin atas nama sastera dan seni, tidak akan pernah membuat saya mundur ke belakang. Segala risiko, sakit dan henyak, memang telah pun saya perhitung sebelum memilihnya lama dahulu.
Kerana itulah beberapa tahun yang lalu, ketika diberitahu oleh seseorang bahawa teman-teman memilih untuk menjauh dan memilih jalan sendiri lantaran mulai berasa apa yang saya ajak mereka perjuangkan itu tidak akan membawa ke mana, kerana kononnya didasarkan hanya dengan rasa nostalgia dan utopia semata-mata, saya hanya tersenyum sendiri dan tidak ingin menyimpan rasa sakit hati terhadap siapa pun mereka.
Perjuangan sastera dan seni bagi saya memerlukan lebih dari hanya keyakinan dan kepercayaan. Persoalan pokoknya juga bukan hanya soal siapa akan mendapat apa dan bagaimana mendapatkannya. Apa lagi jika sampai membabitkan soal siapa yang akan menguasai siapa.
Perjuangan sastera dan seni yang tulen menuntut pemahaman dan kerelaan lebih dari sekadar itu. Tanpa perasaan ikhlas dan setiakawan, perjuangan akan hanya menjadi tempat sekejap untuk singgah dan mencari keuntungan peribadi semata-mata. Kerana itu jugalah banyak gerakan dan persatuan yang mulanya digerakkan atas nama sastera akhirnya berantakan dan berubah menjadi sebuah gudang menghimpun laba peribadi dengan pelbagai bentuk dan rupa, dan jika itu tidak perolehi oleh mereka yang memegang tampuk dan kuasa di dalamnya, persatuan kian dilupa dan dibiarkan terbarai sedikit demi sedikit menjadi sebuah tongkang buruk dan rosak.
Perjuangan sastera dan seni yang tulen menuntut pemahaman dan kerelaan lebih dari sekadar itu. Tanpa perasaan ikhlas dan setiakawan, perjuangan akan hanya menjadi tempat sekejap untuk singgah dan mencari keuntungan peribadi semata-mata. Kerana itu jugalah banyak gerakan dan persatuan yang mulanya digerakkan atas nama sastera akhirnya berantakan dan berubah menjadi sebuah gudang menghimpun laba peribadi dengan pelbagai bentuk dan rupa, dan jika itu tidak perolehi oleh mereka yang memegang tampuk dan kuasa di dalamnya, persatuan kian dilupa dan dibiarkan terbarai sedikit demi sedikit menjadi sebuah tongkang buruk dan rosak.
Saya tidak bermaksud mengajak orang lain agar menjauhi persatuan atau meremehkan semangat hendak berpersatuan. Juga pendapat-pendapat saya mengenai perjuangan seni dan sastera, tidak saya maksudkan mesti diterima oleh semua orang. Tetapi, pengalaman dan pemerhatian saya memang membenarkan hipotesis: sebuah persatuan seni dan sastera perlu digerakkan dengan perasaan ikhlas dan setiakawan. Tanpa itu, sebuah persatuan akhirnya akan menuju kemusnahan dan kian melencong dari objektif pertama diwujudkannya.
Berpersatuan atau tidak, secara kelompok atau sendirian, bagi saya tidak pernah menjadi soal. Sejak mula memilih untuk menjadi warga seni dan sastera berpuluh tahun yang lalu, saya sudah memilih untuk bangkit dan bergerak sendirian. Kepada diri selalu saya katakan, sikap terlalu mengharapkan dokongan dan bantuan orang lain sepenuhnya tidak akan membawa saya ke mana-mana. Kalau mahu maju dan berkembang, usaha dan kerja keras saya sendirilah yang akan mendorong atau melonjakkan saya lebih ke hadapan.
Namun, demi kepentingan hidup bermasyarakat, saya sekali dan malah beberapa kali melanggar juga pantangan dan prinsip diri itu. Atas nama seni dan sastera, saya menjadi ahli beberapa persatuan dan berkawan dengan sejumlah orang. Saya tidak begitu terkejut ketika menemukan betapa dalam banyak segi, sebuah persatuan tidak diwujudkan semata-mata demi seni atau sasteranya, tetapi lebih kepada siapa yang akan menduduki senarai ahli jawatankuasa yang sama sekepala dan sebulu. Malah bukan sesuatu yang memalukan bagi sebahagian mereka andai suatu mesyuarat digemparkan agar dihentikan di pertengahannya, semata-mata kerana calon pilihan tidak terpilih dan tersenarai.
Sebab itu jugalah saya tidak pernah berasa perlu untuk marah dan sedih bila diberitahu oleh beberapa pemuda yang menjadi ahli dan menghadiri pelbagai acara serta mesyuarat sebuah persatuan penulis, pada suatu waktu, bahawa nama saya disebut-sebut sebagai kacang yang melupakan kulit. Puncanya, saya kononnya tidak pernah berterima kasih dan mahu membalas budi terhadap persatuan yang pernah melahirkan saya sebagai penulis.
Sendirian saya tersenyum sumbing memikirkan kebodohan orang yang menyebutkan itu dan lebih-lebih lagi bila menilai sendiri apa yang sudah dicapainya sebagai sasterawan. Kepada diri saya membujuk, dia sebenarnya tidak tahu bahawa saya memasuki persatuan itu setelah melahirkan sejumlah karya dan bukan pun belajar dan mula berkarya dari persatuan itu.
Dengan keyakinan bahawa seni perlu digerakkan dengan perasaan ikhlas dan setiakawan jugalah, sekitar tahun 1980-an hingga akir tahun 2000, saya bergerak di teater bersama sejumlah manusia.
Tanpa memiliki secuil pun perasaan ingin berbangga memiliki murid dan pengikut, kerja teater digerakkan dalam keadaan serba kekurangan dan miskin, dengan mereka yang saya anggap sebagai sahabat dan kawan.
Hanya dengan bekal semangat dan keyakinan seni, hasrat dan impian tidak lain hanya ingin bekerja dan memartabatkan teater agar dikembali kepada hakikatnya: manusia dan keinsanan. Dengan hasrat itulah sahabat diajak melalui teater, kembali menelusuri dan memahami kembali hakikat dirinya sendiri sebagai manusia, menolak sifat hiburan yang tanpa hala tuju didalamnya dan membawa kembali teater sebagai alat, walau pun secuil, untuk menyedarkan manusia akan hakikat dirinya sendiri.
Tetapi manusia tetap manusia. Bila cara sedemikian menyulitkan kemasyhuran tetapi lebih memfokuskan karya yang bermutu, yang hanya boleh dicapai melalui latihan secara berterusan, penolakan pun berlaku dan alternatifnya adalah memilih arah yang lain, atau lebih jelasnya menghampiri kelompok yang lebih dirasakan sehala dan sebulu.
Pada akhirnya, teater pun menjadi sebahagian dari "barangan" yang boleh diperjualbelikan di pasar loak. Kemanusian dan keluhuran dikesampingankan. Yang perlu dipertontonkan adalah hu dan ha yang boleh menggembira dan mendatangkan rasa seoronok kepada manusia semata-mata. Walaupun selepas keluar dari panggung dan usai menonton sebuah prsembahan teater, jiwa mereka selaku penonton, kembali menjadi kosong dan hanya berisi mimpi dan angan yang penuh dengan pura-pura.
Apa lagi mereka yang terlibat sebagai pelakonnya sendiri, tanpa rasa malu dan berdosa, dengan megahnya berdiri di panggung di hadapan penonton, melemparkan dialog, gerak dan lakon yang kosong dan palsu. Jiwa dan fikiran mereka kosong sekosongnya lantaran apa yang diucap serta dilakonkan bertolak dari sebuah naskah yang sebenarnya sekadar menyediakan mimpi dan angan.
Apakah saya bersedih kerana akhirnya ditinggalkan bersendirian juga di dunia teater? Tentulah saya menjawab tidak. Malah dalam banyak waktu, saya lebih berasa kasihan terhadap mereka yang pergi. Betapa, di dunia asyik mereka sendiri, mereka menjadi leka dan hanyut dengan kemasyhuran yang sementara, terus bergulat dengan igau dan angan yang kosong, tanpa melahirkan sebarang karya yang mampu mengajak orang lain sama berfikir.
Sebagai sahabat dan kawan seni, bagi saya, mereka adalah pengkhianat yang tidak lagi ingin saya kenang. Saya tidak kesal kerana tidak lagi mempunyai sebarang urusan mengenai seni dengan mereka. Di hati saya, sulit untuk memaafkan seorang pengkhianat, yang berbuat khianat atas nama seni dan sasteranya sendiri.
Pilihannya sudah jelas. Duniamu adalah duniamu dan duniaku adalah duniaku!
Selamat tinggal para pengkhianat.
Mac, 12, 2010
Kategori:
Autobiografi 2010: Teater
Ahad, Mac 06, 2011
Cover Novel PENDERHAKA
SAYA bersetuju dan suka. Begitu jawab saya di dalam email kepada pengirimnya. Harap saya, semoga proses penerbitannya mulus dan lancar.
Sebagai pengarangnya, yang sekian lama memendam dan ke mana-mana menjaja naskah ini dari penerbit ke penerbit, sejak selesai menulisnya pada tahun 1991, saya menanti dengan penuh debar kehadirannya sebagai sebuah buku ke tengah khalayak pembaca.
Semoga, apa yang ingin saya katakan lewat novel yang bukan pun merupakan naskhah yang kali pertama saya tulis ini, tetap relevan dan masih mampu menggemakan dengung isyaratnya kepada khalayak pembaca.
Saya tahu dan saya sedar, menulis sesuatu di luar jalur kebiasaan pada pertengahan tahun 1990 dan menyelesaikannya di awal tahun 1991, di tengah suasana pop dan minat yang terlalu berlebih-lebihan terhadap realis, baik pendekatan dan cara gayanya, memang menjadikan karya saya sulit dan payah diterima banyak pihak. Malah di tangan seorang penulis karya pop yang menjadi editor penilai naskhah novel ini di sebuah penerbitan yang popular ketika itu, di pertengahan tahun 1991, saya menerima komentar penolakan yang agak pedih dan sebahagiannya agak melucukan. Malah, naskhah novel saya itu diconteng dan diedit semahunya, walau tidak pun hendak diterbitkan oleh penerbit berkenaan.
Namun bagi saya itu semua hanyalah dugaan. Rasa sebal menghadapi penolakan demi penolakan atau kecewa tetap saya tahankan. Semata-mata, kerana kepercayaan serta keyakinan sastera dan seni, saya berusaha untuk bertahan dan terus melawan dengan cara saya sendiri: diam dan terus berkarya.
Saya percaya dan yakin, satu waktu akan ada juga pihak yang sudi menerima dan menrbitkannya. Walau hanya selepas kurang lebih 20 tahun, ketika usia saya menjangkau 50 tahun, baru ada pihak yang sanggup mendengar, melihat dan mempertimbangkannya lebih teliti.
Untuk itu, saya secara terbuka mengucapkan terima kasih kepada Pengarah DBP Wilayah Timur ketika itu, Tuan Haji Yusoff Ishak, bersama anggotanya Puan Ariza yang telah menganjurkan Bengkel Perolehan Judul, yang memungkin manuskrip Penderhaka saya, yang sekian tahun terperap di kamar tulis saya, menemukan lahan subur untuk lahir sebagai sebuah buku yang diterbitkan.
Juga, saya tidak melupakan oknum yang sudi membaca dan menilai naskhah ini ketika masih di peringkat permulaan bengkel tersebut, yang untuk sesuatu hal yang lain, ingin saya rahsiakan namanya di sini.
Cadangan cover yang saya terima lewat email kelmarin sangat membuat saya berasa seronok dan gembira. Kepada pelukis dan yang mendesainnya, saya mengucapkan terima kasih kepada Anda. Sebagai penulis yang menulisnya secara penuh dengan keyakinan sastera dan seninya untuk melawan segala konvensional dengan caranya sendiri, saya harap novel saya itu bisa terbit dalam bentuknya yang sebenar tahun ini.
Terima kasih kepada semua yang terlibat. Tanpa bantuan semua, naskhah novel saya ini pasti akan selamanya hanya menjadi simpanan milik peribadi di kamar tulis saya yang sesak namun tidak pernah sunyi dengan gelisah dan gejolak jiwa penulisnya sendiri.
Dengan debar, saya menanti terbitnya.
Mac 6, 2011.
Langgan:
Catatan (Atom)