Ahad, April 24, 2011

PBAKL 2011


KALAU setakat hendak membeli buku lama dan baru yang memang pun boleh dibeli di kedai tanpa perlu menunggu adanya pesta, saya tidak akan membazirkan tenaga dan meletihkan badan sehingga ratusan kilometer jaraknya.  

Begitu kata saya kepada diri sendiri sebelum bertolak meninggalkan rumah pagi Jumaat 22 April kelmarin.

Tiba di Kuala Lumpur, saya segera berkejar mencari hotel murah yang mampu ditampung dengan belanja sekadarnya  seorang pengembara kampungan di sekitar Pudu.

Selepas meninggalkan beg pakaian dan keluar dengan kamera, buku nota dan sebuah beg bimbit kecil, naiki LRT ke setesen PWTC. Di simpang masuk jalan selepas jambatan berhampiran PWTC, saya nyaris ditabrak sebuah kereta yang dipandu seorang India yang tergesa memasuki selekoh dan simpang.

Peliknya, dia yang sepatutnya perlahan dan memberi laluan untuk saya yang berjalan lurus, sebaliknya menjadi mangsa hamun dan tudingan jarinya yang saya lihat tergawang-gawang ke udara dari balik cermin kabur keretanya.

Manusia di Kuala Lumpur semakin jadi kurang ajar dan hilang sifat manusia.  Di mana letak dan perginya kempen yang dilaung saban hari agar diutama dan hormati pejalan kaki? Patutlah penunggang motor dan pejalan kaki selalu jadi mangsa tabrakan. Begitu saya mencemoh sendiri dan membalas tanda protes  serta  melawan  dengan tudingan tangan  kepada pemandu kenderaan yang saya agak dapat melihatnya dari cermin kecil di depan kemudi mobilnya.

Peduli apa kalau sesiapa hendak mengata saya rasis. Kalau  saya terbongkang di tepi jalan tadi, siapa hendak ambil peduli?  Ini bukan soal pemandu India atau Melayu. Ini soal nyawa dan  mengutamakan orang yang berjalan kaki. Walau awak pakai kereta menjalar, bukan bermakna awak boleh sesuka hati emak bapak awak  melipatkan kemudi kereta  awak  semasa hendak masuk selekoh dan simpang. 

Saya menyeret tubuh yang berasa agak loyo dan  hati  yang sudah diselimuti  sebal menghala ke bangunan PWTC. Begitu berada di dalam bangunan tersergam itu, hawa dinginnya  sedikit demi sedikit meredakan resah dan hati saya yang sebal.

Tahun ini,  dewan demi dewan dijadikan ruang gerai dan pameran.  Gerai Dawama yang pertama dikunjungi kerana letaknya amat strategik di muka dewan dan laluan pertama yang akan dilewati pengunjung, sebelum berikutnya gerai singgah ke gerai Bahagian Majalah DBP dan di sebelahnya Karangkraf yang menempati suatu ruang dewan besar.

Berputar menyusur gerai demi gerai, dari tingkat 2 ketingkat tiga dan empat, mencari buku apa yang pertama hendak dibeli, yang dirasakan mencabar dan memberikan setidaknya kelainan perspektif idea dan pendapat  dari penulisnya, saya akhirnya kembali turun ke tingkat dua dan membeli "Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa"   buah tangan Raja Ahmad Aminullah.

Apa lagi kebetulan melihat Raja Ahmad di Restoren Riverside, saya bergegas membawa buku yang baru dibeli digerai Pustaka Alamraya untuk mendapatkan tandatangan pengarangnya.

Sambil mengorek juga latar kisah begaimana lahir dan dorongan pengarangnya melahirkan buku ini, yang diakui Raja Ahmad deraf awalnya dikerjakan dalam tempoh tiga minggu.

Fantastik.

Membelek dan meninjau baca buku ini secara pantas mengingatkan  saya buku tulisan peguam dan kini politikus Zaid Ibrahim "Saya Pun Melayu".  Ingatan ini antara lainnya kerana saya beranggapan kedua buku ini berada dalam kategori yang sama iaitu semacam pengakuan dari pengarangnya untuk memperjelas atau mempertahankan sesuatu.

Namun saya berasa sedikit kelainan dengan buku Raja Ahmad yang sedang di tangan saya ini. Cara Raja Ahmad menulis memang mendekati cara bertutur keseharian dalam mengaku dan memperjelaskan sesuatu. Namun bezanya dengan kandungan buku Zaid yang saya rujuk sebelum ini, pengakuan Raja Ahmad agal berlapik dan tidak bernada menghukum siapa benar dan siapa salah.

Raja Ahmad bercerita seadanya dan saya akan membaca buku ini lebih lanjut dan teliti  setelah pulang ke Kuantan nanti.  Mungkin  saya akan menulis sesuatu yang lain mengenainya.

SILAP
SILAP saya barangkali. Patutnya saya tidak datang terlalu awal. Itulah sebabnya, agaknya, maka banyak buku yang saya duga ada dan tiba di gerai tertentu, dikatakan belum lagi tiba oleh penjaga yang bertugas dan saya perlu menunggu sehari dua lagi.

Dan buat saya yang datang dengan ongkos yang sangat terhad ini, untuk menambah hari menunggu saat buku itu dikatakan akan tiba memang tidak mungkin.

Begitu juga dugaan saya betapa satu dua penerbit akan menawarkan buku tertentu untuk penghabisan stoknya dengan harga yang murah juga tidak saya temui. Malah memang ini pun niat dan harap saya ketika turun meninggalkan rumah tempoh hari.  Buku-buku yang dijual sebagai penghabisan stok ini memang saya kumpul dan berharap kalau masih ada, akan  memperlengkapkan koleksi saya yang sedia ada.

TERGANGGU
Rasanya bukan hanya saya. Ditengah asyik meninjau dan memperhatikan buku, ada sapaan bertanyakan usia anak dan sekolahnya. Malah ajakan agar singgah dan melihat produk mereka yang dijamin boleh lebih memandaikan anak juga tidak kurang galaknya.

Saya tersentak tiba-tiba disapa begitu. Salah seorang mereka pantas mengelak bila saya tanpa sengaja memberikan reaksi dengan gerak tubuh yang agak terlebih sedikit akibat terkejut dari keasyikan.

Produk bantuan pendidikan, penguasaan bahasa dan longgokan buku teks serta panduan peperiksaan masih mengisi ruang pesta buku tahun ini.

Namun apakan daya. Mereka juga hendak sama mencari rezeki

SELEBRITI
MEMANG  bukan pun menjadi suatu dosa. Kerana itulah pilihan dan kehendak, maka itu jugalah yang mereka usahakan dan mereka dapat sebagai hasilnya.

Tidak salah jika penulis mahu meletakkan dirinya sebagai selebriti. Tiada menjadi dosa pun.

Nama pun strategi perniagaan. Berkali saya bertanya dan meminta apakah tidak boleh sebuah buku nota yang cantik hiasan luarannya dijual secara terpisah, tanpa perlu membeli  beberapa buku lain dengan harga pakej.  Tentu sahaja permintaan saya itu hanya sia-sia  dan  terus terang, saya memang tidak mahu membeli bukunya, saya hanya hanya mahu membeli buku nota yang cantik itu sebagai kenangan terhadap penulisnya yang selebriti itu.  Itu sahaja.

Tidak mengapa. Saya banyak belajar dan memerhati.

Saya tidak salahkah kalau mereka mahu menjadi selebriti dan menulis apa yang pembaca mahu baca dan dengar.

Tetapi saya tetap berpendirian, penulis mengajak pembaca berfikir dan bukan mengekor pembaca. Tidak mengapa kalau saya tidak menjadi kaya kerana prinsip itu.  Sebabnya, kekayaan dunia bukanlah segala-galanya bagi saya.

BODOH
DI RUANG pamer dan jualan buku-buku terbitan institusi pengajian tinggi saya agak lama berlegar, merenung dan mencari buku yang dirasakan perlu sebagai bahan rujukan.

Memang ada yang ditemui dan saya secara pantas membelek halamannya  untuk mendapatkan sedikit gambaran mengenai kepentingan kandungan dan sesuai tidak dengan maklumat serta rujukan yang saya cari.

Dari beberapa buku, saya sendirian menyimpulkan betapakah bodohnya penulis yang menulis buku atau kajian ini.  Antaranya, bila seorang pengkaji berasa saya sulit untuk berkembang sebagai penyair kerana pada waktu sama juga menulis cerpen.

Memang bodoh dia ini. Patutnya dia melihat kandungan, garapan dan pemikiran di dalam karya. Ini tidak. Soal genre dan pilihan yang diperbesar serta dipersoalkan.  Dan inilah penyakitnya, kita semakin ramai mereka yang bergelar, tetapi keaslian pemikiran, dapatan kajian,  membuat kita yang membaca dengan teliti dan kritis tertanya-tanya mengenai mutunya.  Ini belum lagi ambil kira kes menjiplak tesis dan kajian orang lain, khususnya dari negara jiran.

SAYA
SAYA tahu dan sedar sendiri akan silapnya. Saya memang suka melawan dan payah untuk menurut segala suruhan. Kerana itu, saya tidak tersinggung  dan marah kalau manuskrip saya itu tidak mungkin diterbitkan dengan syarikat saudara.  Saya minta maaf, saya hanya ingin menjadi diri saya sendiri.

Begitu saya mengaku di depan seorang kawan, di tengah hiruk pikuk manusia di sebelah pentas utama acara.
Kawan yang kini sudah menjadi penerbit terkenal itu tidak memberikan komen apa-apa. Dan saya kembali ke dalam diri sendiri. Di tengah manusia yang riuh itu.
April 24, 2011 - April 26, 2011

Khamis, April 21, 2011

WIKUNILA MS: ANTARA TEATER, SENI LUKIS DAN SASTERA


Wikunila MS  atau nama sebenarnya  Mohd Saberi bin Muda dilahirkan pada 15 Februari 1966 di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu. 

Pendidikan rendahnya di Sekolah Kebangsaan Paloh Kuala Terengganu 1973 – 1979.  Pendidikan menengahnya pula di Sekolah Menengah  Sultan Ahmad dari  1980 –1983 sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM.

Dari tahun 1984 hingga 1987 beliau melanjutkan pengajian ke Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam sehinga beroleh   Diploma Perancang Bandar dan Wilayah.

Mulai menulis sejak tahun 1990an dengan genre puisi. Juga bergiat dengan Grup Teater Asyik Terengganu di bawah pimpinan Marzuki Ali. Tahun 1995, Wikunila  menggondol anugerah Pengarah Terbaik Pekan Teater Kebangsaan 1995 melalui drama “Mayat”  karya Hatta Azad Khan.

Beliau menulis novel, drama dan cerpen yang tersiar di pelbagai media seperti akhbar tabloid peringkat awalnya, Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Jelita, Dewan Sastera.

Antologi puisi bersama beliau dengan Hilmi Rindu “Menuai Mimpi” diterbitkan oleh Pelita pada tahun 2005. Kumpulan puisi persendiriannya “Rahim Hayat” diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008.  Karya beliau berupa novel  berjudul  “Su Lijah” juga diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2007.

Tahun 2005 tiga puisinya “Keberangkatan ii”, “Lahad ii”, “Perkebunan Munajat”  antara yang menggondol anugerah Hadiah Saguhati  Sastera Puisi  Islam DBP ke 10.

Anak seorang pekerja sendiri dan ibunya pula seorang peniaga kecil-kecilan ini memilih menjadi penulis pada mulanya kerana mahu mencuba kebolehan dan semakin lama di bidang ini, lebih  didorong oleh hasrat mahu berkongsi pengalamannya dengan pembaca secara kreatif.

Latarbelakang keluarga Wikunila adalah petani di tengah masyarakat tipikal kampong tradisi. Moyangnya, dipercayai salah seorang penyalin manuskrip istana terutama karya-karya syair lama.  Sebahagian syair dihafal oleh ibu dan diperdengarkan diwaktu senggang.  Wikunila menggemari syair Siti Zubaidah yang dilagukan ibunya,  serta mengingati  bait puisi yang dihafali abang-abangnya sewaktu mereka menekuni antologi di Penjuru Mata Mu. Ini diakui Wikunila  juga turut menggerakkan hasrat beliau untuk menulis.

Wikunila mengaku diperingkat awal penulisannya, kawan-kawan di dalam Teater Asyik yang menjadi pendorong atau idola, terutamanya Marzuki Ali.

Di samping itu, peristiwa melihat seorang kawannya  menulis satu rangkap puisi empat baris dari malam hingga ke pagi dan kemudian melihatnya  tidur dengan senyum puas, turut menggoda beliau untuk mengetahui rahsia di sebalik dunia penulisan.

Di peringkat awal penulisannya, Wikunila memilih menulis sajak. Bagi beliau, keistimewaan sajak adalah kerana ringkas dan kecil tetapi mampu menampung pelbagai persoalan, idea dan cetusan yang lebih besar.

Secara garis besar, dalam kebanyakan karya sajaknya, Wikunila  sering mengemukakan persoalan yang berkaitan dengan perjalanan kehidupan manusia dari rahim hingga ke liang lahad.

Ini misalnya terkesan jelas dalam kumpulan sajaknya “Rahim Hayat”. Kumpulan yang memuatkan lebih 100 sajak ini merupakan himpunan karya beliau yang tersiar di media awal sekitar 1990an hingga  2007.

Melalui novelnya “Su Lijah”  pula, Wikunila menyampaikan kisah tipikal kehidupan masyarakat maritim awal 50an dan mengutarakan persoalan kasih sayang  serta perjuangan dalam hidup.

Wikunila mengaku melalui “Su Lijah” beliau menjadi novelis secara accidental. Kisahnya, beliau menjadi peserta bengkel menulis novel anjuran Grup Teater Asyik di bawah bimbingan Ali Jusoh yang kurang peserta  hanya di saat-saat akhir.

Dalam tempoh waktu tiga bulan, beliau menyiapkan novel “Su Lijah”  secara tergesa-gesa demi utnuk mengejar dateline. Kerana itu, beliau tidak menafikan bila ada pengkaji serta penghayat novel tersebut yang juga menyedari kesan  tergesa-gesa di dalam novel tersebut.

Secara berterus terang Wikunila mengaku sebagai penulis beliau berasa bahagia kerana bidang ini tidak diminati ramai dan memerlukan memiliki kepakaran tersendiri untuk melaksanakannya.  Di samping itu,  pengalaman kerja di sebuah muzium diakui beliau turut mempengaruhi beliau  ketika berkarya.

Sebagai penyair, walau pun  telah menulis dan berjaya menyiarkan  kurang lebih 200 sajak namun beliau tetap melihat dirinya sebagai masih kecil dan hijau  dan beliau melihat antara punca yang boleh menyebabkan kemunduran  seorang penyair adalah masalah lingkungan persekitaran. Bagi mengatasi masalah ini, seorang penyair mestilah  lari dari lingkungan persekitaran yang membelenggu dan mencari  lingkungan yang boleh merangsang untuk  berkarya.

Selain berteater Wikunila juga melukis. Melaluinya Wikunila mengaku memberikan beliau kepuasan  visual secara langsung. Berbanding dengan menulis yang tidak memberikan kepuasan secara langsung, sebaliknya  perlu melalui proses masa yakni penilaian kemudiannya.

Melalui teater pula Wikunila mengaku beliau diasuh untuk mengenal ruang dan persekitarannya. Dalam hubungannya dengan sastera pula, Wikunila berpendapat walau pun teater dan sastera adalah dua genre kesenian yang berbeza, namun secara praktisnya ianya melibatkan pengalaman, olahan intelektual dan garapan tersendiri yang bersamaan dan mampu merangsang daya kreatif melalui media yang berbeza.

Ketika bersama Teater Asyik dan Marzuki Ali, Wikunila mengaku beliau memperolehi  pengalaman yang amat berharga dan antara yang menjadi pencetus pada kerjaya berkesenian beliau.

Latihan teater baik formal atau tidak dan semangat kebersamaan yang diwujudkan dalam keluarga besar Grup Teater Asyik bagi Wikunila seperti sebuah sekolah atau musolla pembelajaran yang  membentuk keperibadian di kalangan ahli-ahlinya.

Wikunila yang  mengaku kehadirannya di dunia sastera ini sekadar untuk menghadiri dan mencatat nama secara sekadarnya ini berpandangan tidak ada penyair munafik dalam ertikata sebenarnya.

Bagi Wikunila, andai mereka tidak berbuat apa yang dikatakan itu bukan bererti mereka munafik, tetapi lantaran  penyair tersebut belum matang dalam pengkaryaannya. Tegas Wikunila, kemungkinannnya, hasrat untuk berbuat itu ada, tetapi baru hanya dalam bentuk keazaman atau harapan.

- MARSLI N.O

Sumber siaran: Siasah Bil 0260 15 – 21 April 2011

Rabu, April 20, 2011

SOMBONG


SAYA tidak tahu dan pasti apakah motifnya. Benci? Sakit hati? Dengki dan khianat?  Tetapi kerana apa? Apakah dosa dan salah yang sudah saya perbuat terhadap mereka?

Memang pun selama ini saya tidak ingin ambil peduli. Saya tidak kenal dan tidak tahu siapa pun mereka. Lantak merekalah hendak beranggapan apa pun terhadap saya. Itu hak mereka. Saya terlalu sibuk untuk ambil tahu sesuatu yang memang pun bukan urusan yang berkaitan serta berkenaan dengan kerja-kerja seni dan sastera saya.

Tidak mengapa kalau mereka memang tidak mahu membantu. Itu hak mereka.

Tetapi bila dua kawan saya yang datang jauh dari  Kuala Lumpur bertanyakan mengenai saya telah dimaklumkan  bahawa saya tidak bercampur dengan mereka dan kerana itu mereka tidak tahu menahu mengenai saya,  bagi saya ini sungguh perbuatan yang kurang dewasa.

Kalau tidak tahu kenapa tidak sahaja dijawab tidak tahu. Habis perkara. Ini tidak. Dengan gaya dan nada mencemoh disebut bahawa saya tidak mencampuri mereka. Seolah-olah saya ini terlalu pongah dan berlagak hebat dan mulia.

Siapa sebenarnya mereka? Saya memang tidak kenal dan tahu siapa mereka yang dimaksudkan oleh kawan saya itu .

 Apa yang berlaku ini kembali mengingatkan  saya dengan peristiwa yang kurang lebih serupa 10 tahun yang lalu.

Ketika itu, Pak Abdullah Husain datang kemari atas urusan rakaman sebuah dokumentari sastera. Selesai menemuramah kelompok mereka, Pak Abdullah Hussain bertanya salah seorang dari mereka bagaimana caranya untuk bertemu dan mewawancara Marsli N.O. Malangnya, Pak Abdullah diberikan jawapan: Marsli terlalu sebok dan susah untuk dihubungi. Walhal, pada tarikh yang sama saya berada di Kuantan dan memang pun tidak ke mana-mana. Kuantan bukanlah bandar yang besar  dan di buku daftar persatuan mereka, tercatat alamat saya di dalamnya. Malah, salah seorang yang turut mendengar perbualan mereka tahu benar bagaimana untuk menghubungi saya pada bila-bila waktu.

Tetapi yang saya kesalkan 10 tahun yang lalu itu bukan kerana saya  tidak berjaya diwawancara oleh Pak Abdullah Hussain atau kelmarin pula,  kerana saya  tidak  dapat bersama dengan kelompok mereka yang kononnya menjadi penganjur suatu majlis seni dan budaya  di sini.

Seperti yang sudah saya dikatakan di awal tadi, saya memang tidak mahu ambil peduli  segala sesuatu urusan yang bukan berkaitan dengan diri saya, apa lagi kalau sesuatu majlis itu memang tidak mengundang dan mengajak saya untuk menghadirinya, maka saya memang tidak akan hadir atau menjengukkan diri.

Bukan kerana saya ingin menunjukkan sombong. Tetapi pengalaman masa lalu sudah cukup mengajar saya. Saya sudah pernah terkena dan saya tidak mahu itu berulang lagi. Betapa, kerana datang ke majlis seni orang lain, walaupun majlis seni itu turut sama dianjurkan oleh sebuah jabatan kerajaan yang berkaitan dengan seni dan budaya,   tetapi kerana saya tidak diajak dan dijemput oleh orang kuat persatuan yang menganjurkannya, saya ditempelak dan dituduh tidak tahu malu kerana terhegeh-hegeh datang menghabiskan nasi dan minuman di majlis orang.

Saya pun tidak berniat hendak mengatakan bahawa saya lebih cerdik dan berhemah berbanding kelompok mereka yang mengatakan saya tidak bercampur dengan mereka itu.

Lantak merekalah hendak cakap apa pun mengenai diri saya.

Cuma, jauh di sudut hati yang saya kesalkan adalah ini.

Nampaknya, mereka yang mengaku dirinya  seniman, budayawan dan sasterawan di negeri ini, sebahagiannya, masih tidak sudah-sudah dengan perangai lama mereka: pendengki, pencemoh dan tidak suka melihat orang lain mengatasi mereka.

Kerana sifat dan perangai itulah agaknya mereka masih tidak ke mana-mana.

Dan saya, memang pun saya tidak berasa  rugi apa-apa walaupun tidak bercampur dengan mereka.

Peduli apa kalau pun benar saya sombong. Saya tidak hidup dan membesar kerana mereka.
 
April 20, 2011

Selasa, April 19, 2011

PERASAN


PERASAN. Begitu kata saya kepada diri sendiri. Apa pun  yang hendak kau fikir, cakap dan tulis, memang tiada siapa yang boleh melarang.  Tulislah apa yang kau hendak tulis. Pedulikan orang lain. Pokoknya asal kau berasa senang dan bahagia. 

Ini negeri bebas dan merdeka. Selagi tidak sampai  melanggar undang-undang, peraturan agama dan moral, atau selagi tidak sampai menjatuhkan maruah dan mengacau hak peribadi orang lain, kau  berhak  bercakap dan tulis apa sahaja.  Lantaklah sama ada orang suka atau tidak. Yang penting hatimu berasa senang dan bahagia.

Malah sebagai penulis, jika kau sudah berasa bosan  hidup dan berdiri sebagai dirimu sendiri,  pada suatu waktu, kau juga boleh  memilih untuk menjadi sesiapa yang lain yang kau kagumi dan sanjungi.  

Pilihlah untuk menjadi siapa sahaja. Tiada siapa boleh melarang. Anggaplah untuk barang seketika dirimu kini sudah menjadi mereka. Katakanlah mereka itu:  Sarte, Camus, Mishima. Kafka, Haruki, Marquez.  

Tidak mengapa. Tiada siapa yang boleh melarang.  Yang penting  asalkan kau berasa senang dan bahagia.

Walau sebenarnya, kau hanya perasan!

April 19, 2011

Rabu, April 13, 2011

MASIHKAH AKU BERMIMPI


INI judul dari salah sebuah cerpen saya yang dimuatkan di dalam kumpulan cerpen saya yang bakal diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.  Saya bersetuju dengan saranan agar cerpen ini dipilih sebagai judul kumpulan cerpen ini kerana secara keseluruhannya sebagai pengarangnya, saya menyedari betapa kebanyakan cerpen di dalam kumpulan ini memang  melontarkan nada pertanyaan yang tidak kunjung usai.

Semalam, begitu membuka email yang dikirimkan oleh  pereka cover kumpulan cerpen ini, saya begitu terkesima dengan kecantikan dan makna yang disampaikan melalui foto yang diterakan sebagai  penghias kulit depan buku ini.

Kehadiran cover yang cantik dan memukau ini  (walau pun masih dalam bentuk cadangan),   membuatkan saya sebagai penulis,  berasa  sangat dihargai dan dimengerti oleh banyak pihak: editor yang menangani naskhah, pereka grafik dan pihak yang menguruskan penerbitan kumpulan cerpen saya ini sehingga ke peringkat akhir.

Untuk dan kerana itu, saya ingin berterima kasih kepada banyak pihak. Sama ada yang saya sebutkan nama dan peranannya secara langsung mahupun tidak.

Juga, saya tidak ingin melupakan Dia yang menentukan segala-gala. Yang selalu membantu dan menolong tatkala saya dilanda resah dan gelisah, melorongkan saya kembali ke jalan yang lurus dan benar, juga membantu memperingatkan saya agar tidak mudah melupakan hakikat diri saya sebagai seorang manusia, tatkala dihenyak dan diperlakukan sewenangnya oleh sesama manusia yang lain.

Terima kasih, Tuhan.

April 13, 2011

Selasa, April 12, 2011

PEMBACA


TANPA pembaca apalah makna dan kedudukan sebuah karya atau buku. Begitu selalu saya katakan kepada diri setiap kali selesai menulis, apa lagi setelah karya yang ditulis disiar di media atau diterbitkan sebagai  sebuah buku.

Kerana itulah saya selalu ingin menghormati  pembaca karya saya dan  selalu mahu menjaga  agar dalam setiap  karya yang saya tulis, tidak sampai timbul atau kelihatan  perbuatan  hendak berlagak dan melagak-lagakkan sesuatu kepada  pembaca karya saya.

Di Ansan, Korea Selatan
Sebagai contohnya, kalau saya memberitahu pembaca karya saya bahawa tidak berapa lama lagi sebuah novel saya akan diterbitkan,  itu bukan bermaksud saya hendak melagakkan diri kepada pembaca karya saya bahawa betapa rajin dan gigihnya saya sehingga dapat menerbitkan sebuah novel baru.

Bukan itu niat  dan maksud saya. Sebaliknya, pemberitahuan itu sebenarnya hanyalah iklan, yang begitu karya itu terbit, harap saya, pembaca karya saya sudah  pun mengetahuinya lebih awal dan jika sudi, bersedia pula untuk membeli dan membacanya nanti.

Bagi saya,  pembaca karya saya adalah segala-galanya. Kepada mereka saya berterima kasih kerana masih tetap sanggup dan sudi membaca karya yang saya tulis  selalunya dengan semangat untuk melawan bentuk,   genre dan pelbagai kekangan kreatif .

Moga dijauhkan walau secuil perasaan angkuh dan bongkak di dalam diri saya. Saya tidak ingin mengatakan bahawa apa yang sudah saya tulis selama ini telah mencapai suatu tahap ketinggian mutu yang sangat membanggakan.

Terus terang, saya masih terus berusaha untuk menghasilkan karya demi karya yang lain, dengan harapan pada waktu sama akan semakin meningkat mutu dan seni garapannya.

Untuk dan kerana itu jugalah maka saya akan tetap terus menulis.

April 12, 2011

Rabu, April 06, 2011

MEMBUANG MALU

Sajak MARSLI N.O

inilah bangsa
yang mulai membuang
sopan dan malu
dengan akal serakah menderu
menjaja dakwa
tulen atau palsu
membujuk si bodoh dan keliru
mengangguk dan bersetuju
seperti lembu

April 6, 2011


Ahad, April 03, 2011

KERANA NAFSU

Sajak MARSLI N.O

.... di antara hakikat
dan makrifat
cinta yang satu
aku tak ingin lemas
kerana nafsu

April 2, 2011