Rabu, April 13, 2011
MASIHKAH AKU BERMIMPI
INI judul dari salah sebuah cerpen saya yang dimuatkan di dalam kumpulan cerpen saya yang bakal diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya bersetuju dengan saranan agar cerpen ini dipilih sebagai judul kumpulan cerpen ini kerana secara keseluruhannya sebagai pengarangnya, saya menyedari betapa kebanyakan cerpen di dalam kumpulan ini memang melontarkan nada pertanyaan yang tidak kunjung usai.
Semalam, begitu membuka email yang dikirimkan oleh pereka cover kumpulan cerpen ini, saya begitu terkesima dengan kecantikan dan makna yang disampaikan melalui foto yang diterakan sebagai penghias kulit depan buku ini.
Kehadiran cover yang cantik dan memukau ini (walau pun masih dalam bentuk cadangan), membuatkan saya sebagai penulis, berasa sangat dihargai dan dimengerti oleh banyak pihak: editor yang menangani naskhah, pereka grafik dan pihak yang menguruskan penerbitan kumpulan cerpen saya ini sehingga ke peringkat akhir.
Untuk dan kerana itu, saya ingin berterima kasih kepada banyak pihak. Sama ada yang saya sebutkan nama dan peranannya secara langsung mahupun tidak.
Juga, saya tidak ingin melupakan Dia yang menentukan segala-gala. Yang selalu membantu dan menolong tatkala saya dilanda resah dan gelisah, melorongkan saya kembali ke jalan yang lurus dan benar, juga membantu memperingatkan saya agar tidak mudah melupakan hakikat diri saya sebagai seorang manusia, tatkala dihenyak dan diperlakukan sewenangnya oleh sesama manusia yang lain.
Terima kasih, Tuhan.
April 13, 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Tahniah. Saya nantikan kemunculannya.
Catat Ulasan