Ahad, April 24, 2011

PBAKL 2011


KALAU setakat hendak membeli buku lama dan baru yang memang pun boleh dibeli di kedai tanpa perlu menunggu adanya pesta, saya tidak akan membazirkan tenaga dan meletihkan badan sehingga ratusan kilometer jaraknya.  

Begitu kata saya kepada diri sendiri sebelum bertolak meninggalkan rumah pagi Jumaat 22 April kelmarin.

Tiba di Kuala Lumpur, saya segera berkejar mencari hotel murah yang mampu ditampung dengan belanja sekadarnya  seorang pengembara kampungan di sekitar Pudu.

Selepas meninggalkan beg pakaian dan keluar dengan kamera, buku nota dan sebuah beg bimbit kecil, naiki LRT ke setesen PWTC. Di simpang masuk jalan selepas jambatan berhampiran PWTC, saya nyaris ditabrak sebuah kereta yang dipandu seorang India yang tergesa memasuki selekoh dan simpang.

Peliknya, dia yang sepatutnya perlahan dan memberi laluan untuk saya yang berjalan lurus, sebaliknya menjadi mangsa hamun dan tudingan jarinya yang saya lihat tergawang-gawang ke udara dari balik cermin kabur keretanya.

Manusia di Kuala Lumpur semakin jadi kurang ajar dan hilang sifat manusia.  Di mana letak dan perginya kempen yang dilaung saban hari agar diutama dan hormati pejalan kaki? Patutlah penunggang motor dan pejalan kaki selalu jadi mangsa tabrakan. Begitu saya mencemoh sendiri dan membalas tanda protes  serta  melawan  dengan tudingan tangan  kepada pemandu kenderaan yang saya agak dapat melihatnya dari cermin kecil di depan kemudi mobilnya.

Peduli apa kalau sesiapa hendak mengata saya rasis. Kalau  saya terbongkang di tepi jalan tadi, siapa hendak ambil peduli?  Ini bukan soal pemandu India atau Melayu. Ini soal nyawa dan  mengutamakan orang yang berjalan kaki. Walau awak pakai kereta menjalar, bukan bermakna awak boleh sesuka hati emak bapak awak  melipatkan kemudi kereta  awak  semasa hendak masuk selekoh dan simpang. 

Saya menyeret tubuh yang berasa agak loyo dan  hati  yang sudah diselimuti  sebal menghala ke bangunan PWTC. Begitu berada di dalam bangunan tersergam itu, hawa dinginnya  sedikit demi sedikit meredakan resah dan hati saya yang sebal.

Tahun ini,  dewan demi dewan dijadikan ruang gerai dan pameran.  Gerai Dawama yang pertama dikunjungi kerana letaknya amat strategik di muka dewan dan laluan pertama yang akan dilewati pengunjung, sebelum berikutnya gerai singgah ke gerai Bahagian Majalah DBP dan di sebelahnya Karangkraf yang menempati suatu ruang dewan besar.

Berputar menyusur gerai demi gerai, dari tingkat 2 ketingkat tiga dan empat, mencari buku apa yang pertama hendak dibeli, yang dirasakan mencabar dan memberikan setidaknya kelainan perspektif idea dan pendapat  dari penulisnya, saya akhirnya kembali turun ke tingkat dua dan membeli "Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa"   buah tangan Raja Ahmad Aminullah.

Apa lagi kebetulan melihat Raja Ahmad di Restoren Riverside, saya bergegas membawa buku yang baru dibeli digerai Pustaka Alamraya untuk mendapatkan tandatangan pengarangnya.

Sambil mengorek juga latar kisah begaimana lahir dan dorongan pengarangnya melahirkan buku ini, yang diakui Raja Ahmad deraf awalnya dikerjakan dalam tempoh tiga minggu.

Fantastik.

Membelek dan meninjau baca buku ini secara pantas mengingatkan  saya buku tulisan peguam dan kini politikus Zaid Ibrahim "Saya Pun Melayu".  Ingatan ini antara lainnya kerana saya beranggapan kedua buku ini berada dalam kategori yang sama iaitu semacam pengakuan dari pengarangnya untuk memperjelas atau mempertahankan sesuatu.

Namun saya berasa sedikit kelainan dengan buku Raja Ahmad yang sedang di tangan saya ini. Cara Raja Ahmad menulis memang mendekati cara bertutur keseharian dalam mengaku dan memperjelaskan sesuatu. Namun bezanya dengan kandungan buku Zaid yang saya rujuk sebelum ini, pengakuan Raja Ahmad agal berlapik dan tidak bernada menghukum siapa benar dan siapa salah.

Raja Ahmad bercerita seadanya dan saya akan membaca buku ini lebih lanjut dan teliti  setelah pulang ke Kuantan nanti.  Mungkin  saya akan menulis sesuatu yang lain mengenainya.

SILAP
SILAP saya barangkali. Patutnya saya tidak datang terlalu awal. Itulah sebabnya, agaknya, maka banyak buku yang saya duga ada dan tiba di gerai tertentu, dikatakan belum lagi tiba oleh penjaga yang bertugas dan saya perlu menunggu sehari dua lagi.

Dan buat saya yang datang dengan ongkos yang sangat terhad ini, untuk menambah hari menunggu saat buku itu dikatakan akan tiba memang tidak mungkin.

Begitu juga dugaan saya betapa satu dua penerbit akan menawarkan buku tertentu untuk penghabisan stoknya dengan harga yang murah juga tidak saya temui. Malah memang ini pun niat dan harap saya ketika turun meninggalkan rumah tempoh hari.  Buku-buku yang dijual sebagai penghabisan stok ini memang saya kumpul dan berharap kalau masih ada, akan  memperlengkapkan koleksi saya yang sedia ada.

TERGANGGU
Rasanya bukan hanya saya. Ditengah asyik meninjau dan memperhatikan buku, ada sapaan bertanyakan usia anak dan sekolahnya. Malah ajakan agar singgah dan melihat produk mereka yang dijamin boleh lebih memandaikan anak juga tidak kurang galaknya.

Saya tersentak tiba-tiba disapa begitu. Salah seorang mereka pantas mengelak bila saya tanpa sengaja memberikan reaksi dengan gerak tubuh yang agak terlebih sedikit akibat terkejut dari keasyikan.

Produk bantuan pendidikan, penguasaan bahasa dan longgokan buku teks serta panduan peperiksaan masih mengisi ruang pesta buku tahun ini.

Namun apakan daya. Mereka juga hendak sama mencari rezeki

SELEBRITI
MEMANG  bukan pun menjadi suatu dosa. Kerana itulah pilihan dan kehendak, maka itu jugalah yang mereka usahakan dan mereka dapat sebagai hasilnya.

Tidak salah jika penulis mahu meletakkan dirinya sebagai selebriti. Tiada menjadi dosa pun.

Nama pun strategi perniagaan. Berkali saya bertanya dan meminta apakah tidak boleh sebuah buku nota yang cantik hiasan luarannya dijual secara terpisah, tanpa perlu membeli  beberapa buku lain dengan harga pakej.  Tentu sahaja permintaan saya itu hanya sia-sia  dan  terus terang, saya memang tidak mahu membeli bukunya, saya hanya hanya mahu membeli buku nota yang cantik itu sebagai kenangan terhadap penulisnya yang selebriti itu.  Itu sahaja.

Tidak mengapa. Saya banyak belajar dan memerhati.

Saya tidak salahkah kalau mereka mahu menjadi selebriti dan menulis apa yang pembaca mahu baca dan dengar.

Tetapi saya tetap berpendirian, penulis mengajak pembaca berfikir dan bukan mengekor pembaca. Tidak mengapa kalau saya tidak menjadi kaya kerana prinsip itu.  Sebabnya, kekayaan dunia bukanlah segala-galanya bagi saya.

BODOH
DI RUANG pamer dan jualan buku-buku terbitan institusi pengajian tinggi saya agak lama berlegar, merenung dan mencari buku yang dirasakan perlu sebagai bahan rujukan.

Memang ada yang ditemui dan saya secara pantas membelek halamannya  untuk mendapatkan sedikit gambaran mengenai kepentingan kandungan dan sesuai tidak dengan maklumat serta rujukan yang saya cari.

Dari beberapa buku, saya sendirian menyimpulkan betapakah bodohnya penulis yang menulis buku atau kajian ini.  Antaranya, bila seorang pengkaji berasa saya sulit untuk berkembang sebagai penyair kerana pada waktu sama juga menulis cerpen.

Memang bodoh dia ini. Patutnya dia melihat kandungan, garapan dan pemikiran di dalam karya. Ini tidak. Soal genre dan pilihan yang diperbesar serta dipersoalkan.  Dan inilah penyakitnya, kita semakin ramai mereka yang bergelar, tetapi keaslian pemikiran, dapatan kajian,  membuat kita yang membaca dengan teliti dan kritis tertanya-tanya mengenai mutunya.  Ini belum lagi ambil kira kes menjiplak tesis dan kajian orang lain, khususnya dari negara jiran.

SAYA
SAYA tahu dan sedar sendiri akan silapnya. Saya memang suka melawan dan payah untuk menurut segala suruhan. Kerana itu, saya tidak tersinggung  dan marah kalau manuskrip saya itu tidak mungkin diterbitkan dengan syarikat saudara.  Saya minta maaf, saya hanya ingin menjadi diri saya sendiri.

Begitu saya mengaku di depan seorang kawan, di tengah hiruk pikuk manusia di sebelah pentas utama acara.
Kawan yang kini sudah menjadi penerbit terkenal itu tidak memberikan komen apa-apa. Dan saya kembali ke dalam diri sendiri. Di tengah manusia yang riuh itu.
April 24, 2011 - April 26, 2011