Khamis, September 24, 2020

MOHON MAAF, TUAN PEGAWAI

 PULUHAN tahun bertugas dan berkhidmat di sebuah jabatan, demi menyara kehidupan diri dan keluarga, saya mengajar diri untuk bersabar dan menjadi seorang pekerja bawahan yang patuh serta akur dengan semua arahan pegawai atasan.

 

Kadang waktu, betapa pun hati serta perasaan berasa sakit dan terluka ketika berdepan dengan segelintir pegawai atasan yang berlagak dewa, segalanya saya diam serta sabarkan, semata-mata agar tidak dituduh sebagai ingkar perintah sehingga membolehkan pihak pengurusan atasan mengambil tindakan tatatertib terhadap diri saya.

 

Beban perasaan sedemikian berpuluh tahun saya tahankan dengan kesabaran. Semata-mata kerana kenangkan hanya inilah kerja hakiki yang menjadi sumber rezeki saya yang halal untuk menafkahi diri serta keluarga.

 

Kerana itu jugalah sebaik sahaja saya genap umur bersara wajib daripada bertugas di sebuah jabatan dan mulai melangsungkan kehidupan sebagai “orang pencen”, saya berasa amat gembira,  aman, bebas dan merdeka sepenuh jiwa.

 

Apa lagi beberapa tahun sebelum bersara dan kemudian selepas bersara, satu demi satu anak saya sudah tamat pengajian tinggi masing-masing dan mulai bekerja serta dapat menafkahi diri mereka sendiri. Kedudukan kewangan keluarga kami seramai 7 orang pun semakin jadi membaik.  

 

Kerana semakin lama meninggalkan alam pekerjaan sebagai petugas di sebuah jabatan saya pun pada waktu sama semakin melupakan kisah luka dan pedih berhadapan dengan pegawai atasan di masa yang lalu. Malah selalu seboleh yang mungkin, jika terpaksa dan demi urusan rasmi, saya cuba menghindar daripada berurusan dengan sesiapa sahaja petugas yang ingin berlagak atau terlalu mempamerkan kepegawaiannya.

 

Namun demikian, dalam keadaan berhati-hati serta berwaspada itu, kelmarin saya menghadapi lagi satu insiden yang melibatkan sedikit pertembungan saya dengan seseorang yang melagakkan kepegawaiannya.

 

Kisahnya, seseorang dari satu badan penerbitan menelefon. Menyatakan suatu acara di sebuah pusat pengajian tinggi di kota saya dan saya diajak untuk mengisi satu slot kecil sesi bicara karya.

 

Tanpa banyak berfikir mengenai bayaran atau hal yang sejenis dengannya, walau diberitahu bahawa urusan bayaran akan diuruskan oleh pihak pusat pengajian tinggi tersebut, saya segera menyanggupi ajakan tersebut.

 

Apa yang berlegar di fikiran saya ketika itu hanyalah ingin membalas jasa dan kebaikan seseorang dan badan penerbitan tersebut yang telah berbaik hati menerbitkan beberapa buku saya sebelum ini.

 

Kerana itu, ketika diberitahu bahawa urusan bayaran kepada saya akan diuruskan oleh pihak pusat pengajian tersebut, namun soal bayaran itu bukanlah menjadi sesuatu yang sangat saya fikirkan. 

 

Sebagai manusia Melayu yang tahu dan mengenang jasa serta budi orang, budi dan kebaikan orang itu tetap menjadi sesuatu yang sentiasa saya ingat serta kenang hingga ke mati.

 

Selang beberapa jam kemudian, seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai dari pusat pengajian tinggi tersebut telah menghubungi saya.

 

“Encik Ramli, saya ABC pegawai dari Unit XYZ dari universiti KLM.”

 

Pegawai ini menyapa saya dengan nama lahir seperti mana tertera di dalam sijil kelahiran saya.

 

Kerana mengenangkan ini acara berkaitan dengan sastera dan bahasa dan saya tidak ingin dikenali atau disapa dengan nama seperti tertera di dalam sijil kelahiran saya, dengan nada tegas tetapi sopan, saya telah mengesyorkan kepada pegawai ini, “Kerana ini acara yang berkaitan dengan sastera, bolehkah tuan menyapa dengan nama samaran penulisan saya dan bukan nama seperti di dalam kad pengenalan saya?”

 

Tetapi jawapan balas pegawai ini benar-benar memeranjatkan saya. Begitu mendengar jawapannya, sabar saya menjadi lerai dan dengan hati bergetar sambil menahan sabar, kurang lebih 10 detik saya mendiamkan diri tidak bersuara.

 

“Saya tahu. Tetapi ini untuk urusan membuat bayaran. Jadi kita perlu menggunakan nama yang betul,” demikianlah bunyinya jawaban tuan pegawai ini.

 

Walau pun sekali lagi saya memaklumkan saya memahami itu dan hanya minta disapa sebagai “Marsli” dalam percakapan, namun tuan pegawai ini entah kerana pekak atau tulinya tetap mengulangi jawaban yang sama, “Kita perlu gunakan nama yang betul untuk urusan pembayaran.”

 

Kerana tidak mahu dituduh pongah dan kurang ajar, saya menahan sabar seboleh yang mungkin dan cuba bercakap dengan nada suara yang rendah. 

 

Lalu berikutnya, berlangsunglah serentetan dialog yang semakin membuyarkan sabar saya.

 

Saya diminta mengirimkan salinan buku bank yang ada mencatatkan nama dan nombor akaun bank saya.  Berkali-kali saya jelaskan kepada tuan pegawai ini bahawa pada masa kini buku bank sudah tidak dipergunakan orang lagi dan, namun tetap juga berkali-kali dia mengarahkan saya mengirimkan salinan dokumen tersebut sebagai dokumen sokongan untuk urusan bayaran.

 

Kemudiannya, tibalah ke kemuncaknya.

 

Sebagai dokumen sokongan lain, saya diminta oleh tuan pegawai ini mengirim biodata ringkas saya.

 

Ketika inilah sabar saya buyar dan dengan suara bergetar menahan amarah, saya bertanya, “Apa hubung kait urusan bayaran dengan biodata?”

 

Namun seperti sebelumnya, tuan pegawai ini tetap berkeras dan mengarahkan saya mengirimkan dokumen seperti yang telah dia sebutkan itu.

Untuk mengelakkan saya meletupkan segala lahar, saya fikir sudah waktunya saya tamatkan sahaja percakapan dengan tuan pegawai ini.

 

Kata saya, “Tidak mengapalah jika terlalu banyak dokumen yang diperlukan. Pihak tuan tidak perlu membayar saya apa-apa. Saya akan datang dan menjayakan acara ini secara percuma kerana yang menjemput saya adalah Tuan JKLM. Pihak tuan tidak perlu membayar saya apa-apa.”

 

Di hujung talian, saya mendengar tuan pegawai ini merungut bertanya, “Kenapa yang tuan hendak marah-marah ini? Kenapa hendak marah-marah?”

 

Namun saya tidak ingin lagi meneruskan percakapan. Cukuplah saya berhenti dan mendiamkan diri.

 

Terus terang, saya sebenarnya bosan menyampah bila dilayan oleh seseorang yang beranggapan siapa sahaja yang berurusan dengannya mestilah memahami dan menghormati taraf kepegawaiannya itu.

 

Saya kini bukan bawahan sesiapa atau manusia yang mesti mengakuri segala titah dan perintah mana-mana pegawai atau orang atasan.

 

Saya kini manusia yang bebas dan merdeka.

 

Kerana itulah.

 

Sesudah kurang lebih 8 tahun saya tidak lagi menjadi petugas di sebuah jabatan dan saban hari ketika masih bertugas dahulu, menerima arahan seorang pegawai yang kadang-kala lagaknya bagaikan seorang dewa,  pagi ini saya bertembung lagi dengan seorang tuan pegawai yang lain, yang nada tutur katanya mengingatkan saya kembali kepada sejumlah peristiwa lalu yang amat melukakan.

 

Derita dan sakitnya ketika masa bertugas dahulu, di bawah arahan para pegawai yang selalu berlagak dewa, kembali terhimbau bila pagi ini bertemu dengan seorang lagi tuan pegawai yang melayan saya bagaikan bawahannya.

 

Kerana itu juga, saya bermonolog sendirian.

 

“Aku peduli apa kau siapa. Aku tidak bekerja makan gaji di bawah arahan kau. Tidak perlu hendak mengarahkan aku itu dan ini dengan aku. Aku bukan ada kena mengena apa pun dengan kau. Aku peduli apa kau pegawai apa pun di sana!”

 

Sebagai bekas petugas di sebuah jabatan suatu masa dahulu, saya tahu betapa rate atau kadar bayaran seseorang yang dijemput untuk sesuatu acara dibayar  mengikut ijazah, diploma atau sijil yang dimilikinya. Kerana itu, biodata atau c.v diperlukan.

 

Jadi kalau kau tidak punya ijazah, diploma atau sijil, hanya berdasarkan pengalaman dan pengetahuan peribadi, nilai bayaran kau pada mata mereka, hanyalah sampah!

 

Dan arahan meminta saya menyediakan biodata ringkas itu, sebenarnya adalah eufimisme kepada soalan, “Apa ijazah tuan?”

 Jika tidak kerana lagak kepegawaiannya yang berlebihan itu, saya tidak masalah sebenarnya untuk berusaha mendapatkan penyata bank dan menuliskan sedikit biodata ringkas saya.

 

Tetapi kerana lagaknya itu, maka saya kembali membalasnya dengan lagak milik saya pula.

 

Saya tidak takut dan tidak berasa rugi apa pun andai kata masa masa mendatang, dengan rekomendasi tuan pegawai ini, saya diboikot daripada sebarang acara di pusat pengajian ini.

 

Kredibiliti? Bagi saya, ianya hanya layak kepada seorang manusia munafik dan hipokrasi yang sampai ke suatu tahap menjadi penjilat dan pencacai sahaja.

 

Dan saya, bukanlah jenis manusia yang akan menikuskan diri, demi kredibiliti dan secuil peluang sebegini. 

 

Mohon maaf, tuan pegawai.

 

-- Marsli N.O

24.9.2020

 

 

 

 

Tiada ulasan: