Jumaat, November 20, 2020

HANYA PENCACAI

SUDAH  lama sebenarnya saya tidak jumpa dan dengar khabar berita. Tambah selepas saya memilih diam dan lebih menyendiri. Dahulu pun, saya sahajalah yang menelefon dan menziarah. 

 

Tidak mengapa. Walau kadang seperti penyebok dan pengganggu.   Demi persahabatan saya sanggup buang ego dan tidak mahu putuskan perhubungan. Selagi dapat bersabar saya tetap bertahan dan berlagak seolah tiada apa yang berlaku dan terus menghubungi siapa yang saya anggap dirinya adalah kawan. 

 

Hinggalah kelmaren kami bertemu. Kerana bertahun saya tidak meletakkan dia di dalam ingatan, saya hampir lupa siapa dia.

 

Sikap dan perangai dia tetap seperti dulu. Sombong tetapi bodoh dan berasa cerdik bila dapat kembali menghujat pendapat orang, walau hujahnya senipis bawang.

 

Malah kerana ingin menumpang atau menunjuk hebat diri, tanpa silu dan dengan bangga dia membuat pengakuan  di depan orang banyak yang hadir di majlis itu bahawa saya adalah guru seninya. 

 

Saya sebenarnya tidak ingin siapa pun mengaku saya ini gurunya dan dia adalah pernah jadi murid saya secara terbuka di depan publik. Saya mahu biarlah ini menjadi rahsia yang tidak perlu hendak dihebohkan. 

 

Tetapi kerana mahu menjaga air muka dan "kemaluan" dia, saya menyabarkan diri agar diam dan tidak menampik dia di tengah ramai.  Saya tidak ingin memiliki walau sedikit pun rasa bangga walau siapa pun mengaku dirinya pernah berguru dan menjadi anak murid saya.

 

Kalau pun pernah ada, bagi saya itu adalah satu proses normal yang perlu saya depani,  sebagai satu tanggungjawab saya kepada masyarakat: membantu dan menyebarkan sesuatu yang baik dan berguna.

 

Cuma itu.

 

Terus terang saya hanya ingin terus hidup menyendiri dan bersunyi. Tanpa rasa terbeban oleh rasa berhutang dan memberi hutang kepada sesiapa pun.  Tidak perlu ada murid, pengekor dan pengikut.

 

Kerana itulah oknum yang kelmaren  mengaku dirinya dahulu pernah berguru dengan saya dan saya adalah gurunya itu patut berasa malu.  Malu kerana sudah sejak puluhan tahun, pencapaian seni dan sasteranya tiada membuktikan sebarang kemajuan.

 

Kecuali dia hanyalah seorang pencacai atau pesuruh, di luar sastera dan seni!

 

-- Marsli N.O,  5 Oktober 2020

 

Tiada ulasan: