Jumaat, September 18, 2020

SESUDAH ITU

SESUDAH 11 buku tulisan saya mereka terbitkan, satu hari pada tahun 2015, salah seorang pegawai mereka menelefon bertanyakan ijazah dan di universiti mana saya dahulunya belajar.

 

Tentu sahaja saya menjawab berterus terang bahawa saya tidak memiliki sebarang ijazah dan diploma, kerana saya hanyalah seorang pemilik sijil SRP yang memperoleh sijilnya pun secara belajar bersendirian.

 

Apakah saya berasa bangga dengan jawapan ini? Betapa seorang yang tidak memiliki ijazah dari universiti namun tetap mampu juga menulis dan sehingga saat itu 11 buku saya telah diterbitkan?

 

Sama sekali tidak di dalam hati dan perasaan saya rasa bangga atau hebat. Tiada. Sebaliknya, yang ada adalah rasa malu dan terhina.

 

Saya katakan begitu kerana dengan tanya itu baru saya sedar. Selepas puluhan tahun menulis dan sejumlah karya saya telah mereka terbitkan, barulah kini mereka terfikir hendak menghina saya dengan cara bertanyakan ijazah dan di universiti saya pernah belajar. 

 

Walhal puluhan tahun dahulu, ketika saya terkial-kial sendirian memulakan langkah berusaha menapak di dunia tulis dan menulis ini, tidak pula mereka bertanya susah dan payah atau ambil tahu mengenai jatuh dan bangun saya.

 

Apakah setelah 11 buku karya saya mereka terbitkan, baru mereka sedar akan kewujudan saya sebagai penulis dan kerana itu baru tergerak hendak mengetahui ijazah dan di universiti mana saya dahulu belajar?

 

Sejak sesudah itulah semakin saya sedar siapa dan di mana tempat saya sebenarnya di sini atau di mata penilaian mereka.

 

Tetapi seperti selalu. Saya sudah lama membuang rasa kecewa dan sedih di dalam perasaan saya. Saya tidak ingin terlalu mengacuhkan apa dan bagaimana tanggapan orang lain terhadap saya.

 

Saya akan tetap dan terus berjalan, berkarya dan terus berkarya. Juga tidak mengharapkan apa-apa daripada mereka.

 

Saya ingin hidup bebas dan merdeka. Walau saya tahu, kerananya, saya tidak akan disukai oleh sekalian mereka yang ingin disrmbah hormat serta diberhalakan itu. 

 

-- Marsli NO

14.9.2020

Tiada ulasan: