Sabtu, Oktober 29, 2011

SEBAHAGIAN (1)


Apa yang sedang kaufikirkan ketika bersendirian? 
Begitu tanyaku kepada langit yang hitam.
 
Walau hanya sebahagian, aku tetap ingin mengenang.

Walau tangismu tidak terhitung 
dan malam tidak berbintang.

Dataran Balai Seni Idrus Tintin, Pekanbaru
Oktober 27, 2011
 

Rabu, Oktober 26, 2011

SEBENTAR



Saya adalah diri yang berdiri di luar dengan kehendak.
Jangan Tuan dan Puan menjadi gelisah.

Sebentar.

Silakan memilih sesuai keinginan.

Ah, Diamlah.
 
Kamar 737, Hotel Labersa, Pekan Baru
Oktober 26, 2011

Ahad, Oktober 23, 2011

TAWARAN


TERIMA kasih kepada seorang kawan yang mengesyorkan nama saya untuk suatu majlis. Baik sungguh hati kawan itu. Kalau tidak dia yang mengesyorkan, manakan wakil penganjur itu tahu nombor hubungan saya.

Seingat saya, inilah kali pertama saya dihubungi wakil penganjur suatu majlis yang sebegitu besar dan gah. Dan kawan itu sebelum ini, ketika bertembung di dalam suatu majlis yang lain,  memang pun pernah maklumkan secara bersindir bahawa dia tidak begitu sedia untuk hadir ke majlis itu dan akan mengesyorkan nama seseorang yang lain. 

Cuma yang peliknya, kenapa ketika bertembung dengan jemputan sebegini dia menolak dan mencari dalih dengan mengesyorkan nama orang lain?  Apakah kerana acara ini tidak menyediakan bayaran, maka dia memilih untuk menolak hadir dan cuba menebus dosa penolakannya dengan memberikan nama orang lain kepada waklil pihak penganjur yang menghubunginya?

Baik sungguh hati kawan yang mengesyorkan nama saya dan sekaligus memberikan nombor hubungan saya kepada wakil penganjur itu. Baik sungguh hati dia.

Dan kerana kebaikan hatinya itulah, maka saya semakin faham dan mengerti siapakah diri dia yang sebenar.

Oktober 23, 2011

Selasa, Oktober 18, 2011

MUDA, ALAHAI SUKANYA SAYA TUHAN YANG TAHU


BARU pagi ini saya benar-benar sedar. Ketika umur saya sudah mencecah 50 lebih begini, rupa-rupanya masih ada manusia yang rabun mata pertimbangan menamakan saya sebagai muda!

Alahai, sukanya saya Tuhan sahajalah yang tahu. Suka. Suka seamat-amat sukanya. Kalau tidak kenangkan malu kepada anak mahu rasanya saya berguling-guling di lantai simen rumah saya untuk memanifestasikan rasa suka saya yang tidak terkiranya itu.

Suka. Sukanya. Oh, penyair muda. Sukanya saya dengan gelaran penyair muda itu! Sukanya!

Oh, terima kasihlah kepada orang yang sanggup mengaku kemudaan saya itu walaupun kini umur saya sudah pun 50 lebih.

Terima kasihlah banyak-banyak. Sebab awak sangka orang bodoh sangat untuk tahu maksud sindir dan perli awak itu.  Mungkin awak sangka semua orang boleh awak perbodohkan macam kawan awak yang mengaku penyair itu!

Oktober 18, 2011

Isnin, Oktober 17, 2011

TANYALAH DIRI KAU SENDIRI


DUA tahun lalu, anak gadis seorang jiran saya yang menuntut di sebuah universiti, yang juga mengetahui saya seorang penulis, dengan wajah ceria dan bangga menyapa dan memberitahu saya pertemuannya dengan seorang pensyarahnya yang di pangkal namanya diletakkan gelar doktor. Ketika ditanya oleh anak gadis itu apakah saya kenal atau tidak pensyarahnya itu, saya hanya tersenyum dan tidak ingin memberikan komen apa-apa.

Bulan lalu, ketika menziarahi  seorang teman dari  Kuala Lumpur  yang memberitahu dia kini berada di sebuah pusat peranginan tidak begitu jauh di luar Kuantan, saya diberitahu oleh teman ini betapa  seorang yang di awal namanya bergelar doktor merisik dengannya apakah benar kini ada usaha untuk memburukkan dia di kalangan rakan-rakan penulis.

Kepada teman dari Kuala Lumpur ini saya berkata patutnya orang yang berkenaan bertanya dulu kepada dirinya sendiri. Di pihak saya pula, saya bercerita, sejak beberapa tahun belakangan ini saya pun tidak pasti salah apa kepada dia sehinggakan setiap kali saya menyapa, sapaan saya itu tidak dijawabnya. Tetapi kata saya lagi, saya secara positif berfikir, mungkin sapaan itu tidak dijawabnya kerana saya tidak menyebut gelar doktor atau prof ketika menyapa orang yang berkenaan itu.

Tegas saya kepada rakan dari Kuala Lumpur itu, bagaimana saya mahu memanggil dia doktor atau prof begitu kerana saya berasa amat kekok dan mengada-ada dengan panggilan itu. Puncanya, ketika saya mula mengenali dia belasan tahun  yang lalu, saya mengenali serta mengakrabi beliau hanya dengan namanya sahaja dan bukan pun ada gelaran doktor atau prof. Andai lantaran tidak menyebut gelarnya itu  maka dia tidak mahu menjawab sapaan saya, tidak mengapa dan saya tidak ingin menyimpan sebarang rasa sakit hati.  Bagi saya, upaya untuk tidak berlagak sombong dengan menyapa orang yang berkenaan  di pihak saya sudah selesai. Tetapi kalau kerana saya tidak menyebut gelar doktor atau profnya itu maka sapaan saya tidak mahu dijawab, saya kira selesai sudah urusan di pihak diri saya.

Tadi senja, seorang penyair di Kota Bharu yang baru pulang dari Kuala Lumpur menyampaikan cerita lewat seorang temannya. Kata penyair itu, orang yang berkenaan mengadu kepada dia dan bertanya kenapakah saya ini marah dan memburuk-burukkan diri dia.

Saya? Apa pula kena mengena  saya dengan dia? Apa pula faedahnya saya hendak buruk-burukkan dia?

Kepada teman yang menyampaikan cerita itu saya katakan supaya tolong sampaikan kepada  penyair dari Kota Bharu itu, andai bertemu lagi dengan orang yang berkenaan, patutnya soalan itu ditanya langsung kepada saya dan bukannya dengan cara melalui orang ketiga atau ke empat. Tetapi yang anehnya, kata saya kepada teman yang menyampaikan cerita itu,  sudah beberapa kali saya bertemu dengan orang yang berkenaan, bukan sahaja apa yang terbuku dihatinya itu tidak langsung ditanyakan kepada saya, malah sapaan saya pun tidak dia balas atau sahut.

Malah kalau tidak salah ingatan, minggu yang lalu juga saya melihat dan bertemu dengan orang yang berkenaan di dalam suatu majlis. Kalau benar dia tidak bersalah dan berasa menjadi mangsa kejahatan saya, kenapa pula dia tidak berani hendak bersemuka dengan saya dan langsung bertanya, supaya saya boleh menjawab dan biar menjadi saksinya adalah puluhan rakan dan teman  lain di majlis yang sama?

Jadi soal sebenarnya apa? Apakah ini satu cara untuk merwar-warkan bahawa yang sedang menjadi mangsa kejahatan kini sebenarnya adalah orang yang berkenaan dan pelaku kejahatan itu mahu dinyatakan secara tidak langsung adalah saya?

Saya tidak peduli apakah andaian ini benar atau tidak. Di pihak saya, saya tidak punya kepentingan apa-apa untuk berbuat sebarang apa pun terhadap yang berkenaan. Malah kalau hendak dihitung-hitung, saya sebenarnya yang sepatutnya gelisah dan berasa marah kerana sudah pun menghadapi tindakan di luar akal sihat, tanpa saya ketahui jelas apakah sebab dan punca, oleh orang yang berkenaan ini sejak tahun 1999 lagi. Kemudiannya, tahun 2009 berulang lagi peristiwa kurang lebih sama, saya disindir lewat tulisan saya sebelumnya, seolah-olah apa yang saya tulis tidak beradasarkan fakta yang tepat dan benar melalui sebuah tulisan orang yang berkenaan dengan mauduk yang hampir sama berikutnya.

Sekali lagi saya tegaskan, seingat saya, saya tidak pernah berbuat apa pun untuk menyusahkan oknum yang satu ini. Saya tidak ingin melayan dan mengambil peduli hidup dan perkara yang berhubungan dengan orang lain, khususnya orang yang berkenaan. Walau semakin lama, semakin saya melihat orang yang berkenaan menunjukkan wajah sombongnya di hadapan saya, saya selalu ingin melihat daripada sudut yang posotif. Agak saya, sayalah satu-satunya orang yang sehingga kini tidak pernah menyebut dan menyapa dia  sebagai doktor dan kerana itulah dia amat terkilan dan berasa benci!

Tetapi untuk marah dan berbuat sesuatu yang lain terhadap yang berkenaan, sebagaimana yang diadukan orang yang berkenaan kepada penyair dari Kota Bharu itu, saya  tidak fikir itu penting dan perlu saya lakukan. Siapakah dia jika hendak dibandingkan dengan saya dan saya pun sedar antara saya dengan orang yang berkenaan  pun tidak punya apa-apa kaitan.

Andai selama ini tanpa saya ketahui sebab dan punca saya disindir oleh yang berkenaan dan sapaan saya agar tidak sampai dikatakan sombong tidak pun mahu dijawabnya, bagi saya itu pun bukanlah menjadi soal besar buat diri saya.

Namun khabar terbaru yang disampaikan oleh penyair dari Kota Bharu itu kini memperjelaskan persoalan. Telah disebutkan secara jelas oleh yang berkenaan bahawa yang berbuat kejahatan itu adalah saya.

Maka sudah jelaslah duduk persoalan buat saya kini. Lantaran itu juga, satu demi satu peristiwa kembali berdatangan menjengahi ruang ingatan saya. Apa yang dialami penyair dari Kota Bharu itu sebenarnya sudah pun saya lalui lama dahulu.

Masih saya ingat, dalam keadaan tidak mahu menyambut sapaan saya, yang mungkin kerana tidak mahu memanggil namanya dengan gelar doktor atau prof itu, tiba-tiba suatu hari orang yang berkenaan boleh menjadi terlalu ramah dan baik dengan saya. Baru saya sedar keramahan dan kebaikannya itu ada sebabnya. Rupa-rupanya dia berbuat muka manis dengan saya tidak lain kerana mahu bercerita mengenai keburukan seorang penyair dan deklamator dari Kuala Terengganu. Dengan muka manisnya, orang yang berkenaan bercerita bagaimana dalam satu majlis baca sajak yang dia hadiri, khalayak semuanya menutup telinga kerana tidak tahan mendengar pekikan  deklamator dari Kuala Terengganu itu.

Justeru itu saya tidak hairan dengan apa yang diceritakan oleh penyair dari Kota Bharu itu. Saya fikir memang itu cara dan gaya orang yang berkenaan  menggunakan mulut manisnya. Di sebalik kisah dan cerita, ada umpatan mahu disampai secara tidak langsung mengenai keburukan orang lain. Dengan mulut manisnya juga, cerita disampaikan seolah-olah dialah yang menjadi mangsa kejahatan, sedangkan perbuatan yang diselindungkannya dengan pelbagai cara seperti sengaja dia lupa-lupakan sendiri.

Dan kemudian, entah bagaimana atau puncanya, satu demi satu maklumat sampai kepada saya mengenai tindak-tanduk oknum yang satu ini. Kebanyakannya menyatakan rasa kurang senangnya kerana diperpayahkan oleh oknum yang satu ini. Ada pelajar yang mahu menyiapkan studi sarjananya menjadi demikian payah, atau sejumlah teman di intitusi yang mengadu dia menjadi mangsa kecam ketuanya gara-gara laporan dan mulut manis oknum yang satu ini. Ini termasuk juga sejumlah teman lain yang mengaku jeran dan serik sudah dengan oknum ini lantaran terpedaya dengan mulutnya yang manis tetapi penuh berbisa.

Namun saya bukanlah manusia yang mudah percaya dengan segala sesuatu. Saya tidak mahu ambil peduli dan tidak ingin terlibat dengan segala perkara sia-sia begitu.  Buat saya, biarlah masa dan keadaan jadi penentu benar atau tidaknya segala sesuatu. Saya fikir, siapa sahaja boleh berlakon dan berlagak sebagai  apa pun. Tetapi hakikatnya nanti yang sebenarnya akan tetap terbukti juga.

Misalnya siapa sahaja boleh berlagak dia maha tahu dan pakar segala sesuatu dan tanpa sedikit pun terasa malu memberikan ajar dan segala macam petuah. Tetapi hakikatnya, kalau itu bukan bidang  kajian atau penguasaaanya, apakah ajar dan petua itu memadai dengan hanya membaca kembali laporan panel penilai atau naskhah yang telah memenangi anugerah berkenaan.

Saya bukan sarjana daripada mana-mana institusi pengajian tinggi. Saya tidak tahu dan tidak pandai untuk menilai sesiapa. Namun begitu, ini tidak bererti saya boleh diperbodohkan oleh sesiapa yang berasa dirinya lebih cerdik. Atau digula-gulakan dengan segala lakon dan sandiwara.

Bukan sehari ini saya mendengar gunjing tohmah mengenai diri saya. Saya tahu dan sedar hidup dan bangun saya bukanlah kerana tohmah atau sesiapa yang lain. Makan saya tidak mereka memberi, apa lagi hidup dan mati saya ini.

Saya tidak fikir seseorang yang punya gelar doktor sedemikian baghalnya akan berfikir dirinya boleh musnah hanya kerana seorang manusia bodoh yang tidak punya gelar akademik apa-apa seperti saya. Tetapi kalau memang itu pilihannya, silakanlah dan saya sentiasa bersedia untuk    mengatur langkah seterusnya.

Sepatutnya, tanyalah dirinya sendiri akan segala maksud perbuatannya. Tetapi kalau itu dia tidak sudi, maka selamatlah memperbodohkan diri sendiri.

Saya tidak punya waktu untuk bodohkan diri saya melakukan kerja sia-sia seperti gunjingan orang yang berkenaan. Fokus saya kini, saya hendak berkempen dengan apa sahaja cara dan medium supaya  diri saya dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pertama  daripada kalangan lulusan sekolah rendah!

Saya harap, kawan-kawan yang memiliki blog dan FB tolonglah warwarkan kempen saya ini. Tolonglah. Sudah lama sangat saya mengidamkan gelaran ini. Tolonglah!

Oktober 16, 2011 

Ahad, Oktober 16, 2011

PUNYA


JAWAB pun sudah diduga. Jangan dibanyak tanya. Buat apa kau mengada-ada. Itu suka hatilah mereka. 

Kata orang kau dipanggil pun mujur ada. Kalau tidak, duduk dan tidurlah selama di dalam dunia sempit milikmu sendiri yang tiada pun siapa peduli tidak atau adanya. Siapa mahu ambil peduli dan hendak ambil kisahkan dia. 

Jadi belajarlah syukur dan berpada. Apa kisah siapa ada siapa tiada. Jangan hendak dibuat menujuk pandai dan bertanya-tanya. Itu bukan kau punya kerja.

Ingat itu. Semua adalah emak bapak mereka yang punya. Syarikatkah, sekolahkah, jabatankah, atau apa-apalah juga adanya. Memang semualah begitu laku dan lagaknya. Memang emak bapak mereka yang punya gayanya.

Jadi jangan sekali-kali kau hendak gatal-gatal mulut keluarkan tanya. Cakap senang, ada mata cukuplah dengan memandang sahaja dan mulut yang ada kuncikan menjadi bisu dan kelu segala.

Ingat itu kalau kau tidak mahu dipenangan. Ini sekarang dunia suka hati dan dunia emak bapak dia yang punya. Kalau siapa berani menaikkan muka atau tinggikan suara, tunggulah akibat serta balasannya. Jika tidak hari ini, tunggulah juga esok dan lusa akan akibatnya.

Kerana itu kau kenalah belajar ingat dan waspada sentiasa. Janganlah berlagak galak dan berani kononnya. Untuk sejahtera kau sentiasalah duduk di dalam diam dan teruslah dengan bodohmu selama adanya. Dengan begitu sukalah kepadamu akan mereka. Dipuji baik dan sentiasa dibawa dan diajak dalam segala hal atau perkara.

Kecuali kalau kau memang memilih hendak dilampuskan kerana pandai dan berani sangat menunjukkan soal dan tentang. Konon atas nama sebagai pejuang.

Maka jadilah kau setongkol kayu hitam. Hangus terbakar oleh segala penangan.

Oktober 15, 2011

Jumaat, Oktober 14, 2011

MELOMPAT


SEMUA orang berhak merayakan kegembiraannya dengan caranya sendiri yang dia hendak serta suka. Hendak melompatkah atau hendak berguling di tanah sehinggakan terpalit tahi kucing, tidak siapa hendak melarang. 

Apa lagi kalau hendak bersorak dan bertempik melaung sesuatu nama kelompok atau kumpulan. Pun tiada siapa hendak melarang. Sorak  dan tempikkanlah, walau sampai pecah anak tekak sendiri, itu kau punya hati sukalah.

Pernah saya lihat dahulu pada suatu malam peristiwa yang semacam itu. Ada seorang budak perempuan itu. Entah kena sawan atau memang dek terlampau seronok, saya tidak pastilah.  Bersungguh benar saya lihat dia malam itu bersorak dan menyebutkan nama suatu kumpulan.  Kalau sekali atau dua tidak mengapalah. Tetapi yang menimbulkan sedikit rasa hairan itulah bila dia sekejap-kejap menyorakkannya, sekejap kemudian diulangi lagi sorakan itu. Berulang-ulang. Berulang-ulang.

Terus terang saya yang kebetulan berada di situ dan melihatnya memang  berasa menyampah melihat kelakunya yang agak berlebih-lebihan itu. Gayanya seperti budak terencat akal. 

Mungkin budak perempuan itu kini sudah semakin membesar dan menjadi wanita yang dewasa. Saya sejak malam itu sudah lama tidak melihat dan bertemu dia.  

Saya harap budak perempuan yang kini saya rasa sudah menjadi wanita dewasa itu tidak akan bersorak-sorak lagi seperti malam itu. Harap-harap saya, sesuai dengan usia yang kian mendewasakan dia, biarlah begitu.

Tetapi semalam. Seorang kawan yang saya hubungi memberitahu. Kalau ada sesuatu yang menggembirakan, budak perempuan yang kini sudah membesar menjadi seorang wanita yang dewasa itu, dia lihat tidak sekadar bersorak-sorak, tetapi menambahnya dengan melompat-lompat pula.

Saya tersenyum sumbing. Sendiri.

Oktober 14, 2011

Khamis, Oktober 13, 2011

PREJUDIS?


TIDAK mengapa. Itu cuma di pihak anda. Suka hatilah. Sebagai golongan yang berlagak wali dan maha mengetahui segala serbi tentulah anda berasa diri lebih mulia dan berhak menilai apa, siapa dan bagaimana seorang yang lain, lebih-lebih lagi seorang  yang memang tidak pernah sama mahu bersekongkol serta bersetuju dengan segala kegiatan, sebutan dan perbuatan anda seperti saya.

Suka hati andalah. Kalau anda katakan saya prejudis, siapa yang boleh menghalang segala kehendak serta kemahuan anda, bukankah?

Tidak mengapa. Saya memang terguris juga membaca apa yang anda tulis,  sebut dan tohmahkan mengenai diri saya. Tetapi itu tidak mengapa. 

Biarlah. Itu hak anda untuk menulis, menyebut dan menohmahkan saya apa pun. Sebagai golongan yang berlagak wali dan berasa dirinya selalu bersih dan suci bukankah demikian?

Tulislah apa sahaja. Sebutlah apa sahaja. Tohmahlah apa sahaja. Saya pembenci, saya pendendam, saya pendengki. Tidak mengapa. Tulislah. Sebutlah. 

Sebabnya, saya tidak hidup dan bergerak, apa lagi tumbuh dan terus berkembang kerana apa dan segala yang anda sebut serta tuliskan mengenai saya.

Kalau anda bukan si bodoh yang berlagak lebih tahu dan cerdik ketimbang orang lain atau diri saya, tentulah tidak demikian anda menulis atau tega menohmahkan saya.  Tetapi suka hati andalah. Tulislah. Tohmahlah. Apa kisahnya saya.  Sukanya hati saya membacanya tidaklah terkiranya.

Prejudis? Eh, suka hati sayalah hendak berkata apa pun. Kenapa anda sebok sangat ini?

Oktober 13, 2011


Rabu, Oktober 12, 2011

SAYA MENUNGGU? TIDAK!


TELAH berlalu semua itu. Untuk apa menunggu.

Setelah sejak dahulu menetapkan arah dan tuju, tiada lagi yang menggoyahkan yakin serta percaya. 

Apa lagi dengan segala lakon dan sandiwara yang saban hari diperankan oleh pelbagai watak dan nama.  Konon atas nama bangsa dan negara tercinta. Tetapi hakikatnya apa?

Kejujuran dan keikhlasan yang dilaungkan hanyalah angin semboyan untuk membujuk dan menipu siapa yang disangkakan demikian bodoh dan mudahnya dapat ditipu.

Bertempik bagaikan hendak memecahkan anak tekak tetapi apa sudahnya.

Kemurnian, kehebatan, keaslian. Apa semua itu kalau bukan topeng untuk melindungkan sang boragas haloba yang bersembunyi di dalam diri.  Menanti untuk merebut dan membaham segala peluang. Tidak peduli siapa yang dipijak atau siapa yang perlu dituduh tohmah. Asalkan hasrat dan maksud sendiri tergapai.

Sarungkan jubah kewalian kerana itu mudah memukau mata yang memandang. Bicara dan berbahasalah dengan kata sopan kerana itu menjadi bukti orang budiman. 

Ah, siapa akan tahu diri sebenar di sebalik segala lakon dan topeng.

Saya tidak menunggu. Saya tidak menunggu.

Tidak!

Oktober 12, 2011

Selasa, Oktober 04, 2011

TANPA MENAMAKAN DIA, ALANGKAH BODOHNYA SAYA


TANPA menamakan siapakah dia, begitulah saya menyebutkannya.

Saya tahu saya mungkin agak kasar dan kata-kata yang saya ucapkan kepada dia itu boleh membuat dia yang tidak akan saya namakan itu berasa tersinggung. Tetapi memang itu pun pilihan saya. Saya ingin berkata kepada dia tanpa berselindung, menyatakan apa yang saya fikir dan rasakan mengenainya, dengan harapan moga dia sudi untuk sedikit berubah dan menjadi lebih bererti.

Tetapi tatkala mendengar demikian jawapan dia, saya jadi kembali teringat percakapan saya yang kurang lebih sama dengan dia kira-kira 10 tahun yang lalu. Memang waktu itu, kurang lebih demikian jugalah jawapan dia dan saya berasa kecewa.

Namun mengenangkan dia adalah kawan dan sahabat, saya ingin berlaku jujur dengan dia. Saya tidak ingin berpura menyukai dan menyanjung karya dia semata-mata agar dia terus menyukai saya sebagai sahabatnya yang baik.

Saya tidak mahu begitu.  Andai saya rasakan karya dia kurang menukik dan mendalam kontemplasinya, saya akan menegor dia secara berterus terang. 

Memang pun dia tidak perlu berubah menjadi diri orang lain atau  mengikut sesuatu secara  membuta tuli. Apa lagi untuk dia mengiyakan segala kata-kata "nasihat" saya. Saya tidak mengharapkan dia begitu. Sebaliknya, yang ingin saya lihat adalah perubahan di dalam sikap pengkaryaannya, agar kelihatan lebih berhening, mendalam dan menukik lebih jauh dan murni ke dasar makna.

Tetapi begitulah. Saban tahun dia yang tidak akan saya namakan itu menerbitkan buku dan bila saya katakan kenapa tidak dia meneruskan sesuatu yang sudah dia mulai secara bererti di peringkat awal kehadirannya dahulu, dia menyamakan pula dirinya dengan Chairil Anwar, yang katanya kalau masih hidup juga tentu akan berubah dan menulis sesuatu yang seperti dia.

Saya tahu dia tersinggung dan seperti 10 tahun yang lalu, dia juga memang tidak bersedia menerima walau sedikit pun pendapat dan "nasihat" saya. Saya tidak kecewa tetapi berasa kesal dan sia-sia menasihati seorang kawan yang walau sedikit pun tidak ingin mendengar atau sekejap merenung "nasihat" saya.

Mungkin dia sudah berasa seronok kerana pernah mendapat pujian mengenai cara menulisnya itu daripada seorang ahli akademik, yang menulis sajaknya sendiri pun entahkan apa. Saya agak mungkin kerana itulah maka dia nampaknya walau sedikit pun tidak mahu berubah dan meninggalkan cara menulisnya yang saya  rasakan,  catatan kata di papan iklan lebih memikat dan memukau perhatian.

Suka hati dialah hendak menulis dan berbuat apa pun. Begitulah akhirnya saya memutuskan. Hidup dan mati dia, suka hati dialah. Untuk apalah saya bodoh dan mengada-ada sangat hendak berlagak lebih cerdik daripada dia.

Begitulah akhirnya saya memutuskan. Begitulah. Dan andai dia yang tidak akan saya namakan itu terbaca catatan saya ini, anggaplah catatan ini pun bukan membawa makna apa-apa kepada diri dia, kerana dia sudah berasa besar dan hebat di dalam dunia ciptaannya sendiri.

Jauh di sudut hati saya berasa terlalu bodoh dan sia-sia kerana bersungguh sangat mahu "menasihati" dia. Walhal, yang patut saya nasihati adalah diri saya sendiri agar tidak terus memperbodohkan dirinya sendiri dengan segala kerja yang sia-sia dan membazirkan waktu serta usianya sendiri.

Ya, sepatutnya itulah.

Oktober 4, 2011

Ahad, Oktober 02, 2011

PEJUANG DAN SENIMAN RAKYAT, PUNDEKLAH


AKU cakap dengan kau. Pundeklah. 

Pejuang konon. Pejuang apa? Seniman rakyat. Pergh. Apa yang rakyat? Sebab nama kau bercokol dengan partai yang mengaku berjuang atas nama rakyat, maka kau pun jadilah seniman rakyat?

Woi. Sedar dirilah sikit. Orang lain yang tidak bercokol dengan partai macam kau itu kucing atau kaldaikah mereka itu?

Sudahlah. Sedarlah diri. Sudah tua-tua begini buat apa hendak mengarut dan buang waktu labelkan orang lain berkarya atas nama rakyat atau tidak. Itu semua tidak penting. Tulis dan berkaryalah. Soal kepada atau atas nama rakyat atau tidak bukan kerja kita hendak berkokok dan berkoar.

Janganlah hendak terus menjadi si pundek.

Oktober 2, 2011

Sabtu, Oktober 01, 2011

NADIR BUMI DAN SAYA


SAYA mungkin menurut anda seorang manusia yang sangat bodoh kerana menolak sesuatu projek yang kononnya datang atas nama pembangunan, apa lagi seperti dikatakan anda dan kelompok anda, projek itu bakal memberikan pekerjaan kepada ribuan penduduk dan jiran-jiran sekitar kampung saya.

Tidak mengapalah. Saya sedikit pun tidak berasa tersinggung dengan gelar yang seperti itu.  Kata tuduh dan cemuh  memang pun selalu menjadi mainan ucap di bibir sesiapa yang apa bila kehendak dan hasratnya tidak mahu  diturut serta diikut.  Walau yang dianggap atau dituduh bodoh itu pada hakikatnya lebih cerdik daripada manusia cerdik yang berasa dirinya sendiri lebih cerdik itu.

Memanglah anda dan konco-konco anda mencanangkan ke mana-mana tiada apa yang bahaya dengan Kilang itu. Memanglah, anda dan konco-konco anda memang bijak bermain kata-kata.

Memang pun, siapa kata Kilang itu bahaya? Siapa kata? Siapa kata produk atau bahan akhir untuk menghasilkan pelbagai peralatan daripada kilang itu bahaya?  Siapa kata? Siapa kata? 

Dengan orang yang disangkakan bodoh, begitulah anda dan konco-konco anda mencanang serta mendakwa. 

Memang pun Kilang itu tidak bahaya kerana ia hanyalah sebongkah besi dan campuran batu serta simen. Apa yang yang bahayanya kerana ia hanyalah sebuah bangunan kilang yang bercokol gagah yang cara dibangunkan bagai sengaja hendak disembunyi serta disorok?

Begitu juga produk yang dihasilkan daripada apa yang diproses di kilang ini. Katakanlah itu mentol lampu, disk brake atau apa sahajalah alat dan peralatan yang boleh dihasilkan nanti. Memang pun tidak ada apa bahayanya.

Tetapi tidakkah anda dan konco-konco anda tahu dan berfikir ke mana pula sisa daripada kerja-kerja penghasilan bahan dan produk itu hendak dihumbankan? Ke mana? Ke dalam sungai Balok dan langsung mengalir masuk ke dalam laut Balok?  Atau ke mana?

Nampaknya, anda ghairah bercerita mengenai duit yang masuk dan bukan berfikir dalam-dalam mengenai kesan jangka panjangnya kepada rakyat dan penduduk sekitar.

Anda mengatakan Kilang itu tidak bahaya memang betullah. Sebabnya, Kilang itu hanyalah nama sebuah syarikat atau kilang. Yang bahaya adalah sisa buangan daripada kilang itu. Sebab itulah   banyak penduduk risau dan gelisah. Bagi mereka, kilang itu adalah seekor raksasa rakus yang  menunggu masa hendak membaham penduduk sekitarnya.

Sisanya. Itulah yang dirisaukan. Ke mana hendak dihumbankan? Di bawa dan dibuang keluar negeri? Negeri mana yang bangang dan bodoh sanggup menerimanya?

Anda dan konco-konco anda berkata sisa kilang itu tidak berbahaya.

Tetapi kalau tidak berbahaya, kenapa selepas bertahun-tahun kilang yang kurang lebih sama di Bukit Merah, Perak demikian pula halnya. Selepas bertahun-tahun berjuang akhirnya  para penduduk sekitarnya berjaya mendapatkan perintah mahkamah agar kilang tersebut ditutup. Tetapi apakah anda tidak tahu atau memang sengaja buat-buat tidak tahu  betapa selepas bertahun-tahun kilang itu ditutup, kenapa kerja membersihkan sisanya sampai hari ini  masih juga belum selesai? Kenapa sampai begitu sekali halnya kalau tidak bahaya? Kenapa?

Memanglah bagi anda dan konco-konco anda kilang itu  tidak bahaya. Sebabnya mudah sahaja. Kilang itu bukan pun berada di sebelah rumah anda. Kalau tidak tentulah anda pun berkeriau dan menjerit juga. 

Tidak mengapalah kalau anda mengatakan saya bodoh. Tidak mengapa.

Cuma yang mungkin anda lupa, tidak semua orang boleh begitu mudah diperbodohkan oleh sesiapa pun. Nampaknya memang itulah yang anda lupa atau sengaja buat-buat lupa.

Ah, anda bercakap mengenai ketelusan maklumat.  Sudahlah. Janganlah asyik hendak borak dan cuba  bodohkan mereka yang anda agak serta fikir boleh terus diperbodohkan.

Sudahlah.

Oktober 1, 2011