Sabtu, Mei 29, 2010
MARUAH
UNTUK apa dipertahankan sesuatu yang hanya sedap disebut tetapi tidak menjamin diri menjadi selesa, kaya dan makmur? Malah, kerana mempertahankan itu, yang jelas diri bertambah menjadi miskin dan papa.
Hidup bukan hanya menelan angin dan buih. Hidup perlukan lebih dari itu. Membina mahligai indah nun jauh di angkasa, bercuti dan berbelanja ke luar negara atau paling tidak menyarung pakaian berjenama dan mahal ke batang tubuh.
Pemikiran jembel dan kelas kambing mesti dikikis segera dari akal fikiran. Pemimpin adalah yang memimpin dan bukan pengikut yang membuta tuli mengangguk. Garis pemisahnya mesti jelas.
Apa yang dapat ditawarkan oleh hanya kata indah bernama maruah? Kekayaan? Kesenangan hidup? Atau kepapakedanaan?
Tidak mengapa kalau tanah sudah digenggaman dilepaskan ke tangan lain. Asal habuannya melabakan tembolok sendiri.
Itulah tugas yang bernama pemimpin. Membuat pilihan memang sesuatu yang sulit dan sukar.
Tidak mengapa melepaskan sebuah pulau. Apa lagi kalau hanya selonggok batu yang tidak bererti apa-apa.
Maruah? Memang mudah untuk menyebut. Tetapi siapa akan mencucui najis yang sudah terpalit ke muka sendiri?
Mei 29, 2010
Selasa, Mei 25, 2010
KECELAKAAN BERJUDI
SEMALAM, tanggal 24 Mei 2010 hari "meriah" bagi mereka yang bertugas secara rasmi dengan majikan yang dipilih oleh rakyat. Bank dikerumuni dan helaian kertas kecil penyata pengeluaran wang yang tidak ingin disimpan, membeludak memenuhi tong sampah kecil di sudut bilik berkaca mesin pengeluaran wang.
Sesudah Subuh saya menghitung-hitung jumlah baki pendapatan dengan segala macam bil yang perlu dilunasi. Segala simbol dalam kira mengira digunakan: campur, tolak, dharab dan bahagi. Ternyata hasilnya tetap sama. Ada lebihan tunggakan bil berbanding baki pendapatan.
Saya tercenung. Di mana hendak dicari lagi tambahan sebanyak beberapa ratus untuk melangsaikan tunggakan? Kalau lambat dijelaskan, rumah bakal bergelap, telefon bakal disekat dari membuat sebarang panggilan dan sekaligus juga menyekat akses saya ke dunia siber.
Saya mengeluh berat. Di mata imaginasi saya terbayang deretan iklan syarikat "pembantu" penyelesai masalah kewangan. Tetapi kerana banyak sudah kisah dan berita mereka yang akhirnya telah terjerat hanya bermula dengan jumlah pinjaman yang pada mulanya kecil, saya lekas-lekas menghapuskan bayang imaginasi itu dari fikiran.
Kemudian muncul pula bayangan kedai penjual nombor taruhan. Dengan membeli satu tiket mencatatkan empat digit nombor, kalau meraih tempat pertama, saya boleh meraih wang kemenangan ribuan ringgit.
Tetapi sekali lagi saya lekas-lekas melupuskan bayang imaginasi itu dari fikiran. Saya tidak mahu bersikap dan berlagak sebagai wali dengan mengatakan bahawa sesiapa yang membeli nombor taruhan itu sebenarnya manusia yang buruk akhlaknya. Memang sudah jelas hukumnya. Tetapi saya tidak mahu menghukum sesiapa yang telah, sedang atau pernah membelinya sebagai manusia yang bermoral rendah.
Saya katakan begitu kerana pada suatu waktu, didorong oleh perasaan mahu mencuba dan merasai sendiri pengalaman membeli nombor taruhan atas nama seorang seniman, saya pernah beberapa kali membeli nombor taruhan, tanpa terlalu menyimpan harapan untuk menang hadiah pertama atau saguhati.
Saya tidak berasa terkilan atau rugi kerana tidak menang apa-apa hadiah. Niat saya hanya untuk menempuh satu pengalaman yang real, dalam batas yang tidak sampai memudaratkan diri saya atau keluarga, yang saya harap satu waktu boleh saya fiksikan pula.
Saya secara peribadi sangat faham dan mengerti bila diberitahu betapa berjudi itu sebenarnya sesuatu yang boleh mendatangkan bencana serta kecelakaan.
Secara peribadi, kurang lebih tiga puluh tahun dahulu saya pernah melalui sendiri apa yang dikatakan kecelakaan akibat berjudi itu. Kerananya, saya beraya di dalam hutan bersama tiga orang teman senasib di sebuah kongsi pekerja ladang. Tuhan sahaja yang tahu betapa sedih dan terharunya hati bila mendengar laungan takbir Idulfitri di radio. Saya menutup telinga untuk mengelak air mata terus berderai dan mengalir.
Secara peribadi, kurang lebih tiga puluh tahun dahulu saya pernah melalui sendiri apa yang dikatakan kecelakaan akibat berjudi itu. Kerananya, saya beraya di dalam hutan bersama tiga orang teman senasib di sebuah kongsi pekerja ladang. Tuhan sahaja yang tahu betapa sedih dan terharunya hati bila mendengar laungan takbir Idulfitri di radio. Saya menutup telinga untuk mengelak air mata terus berderai dan mengalir.
Puncanya, dua malam sebelum Idulfitri, saya turut sama berjudi dengan kaki judi secara kecil-kecilan di rumah kongsi. Semua wang yang saya simpan untuk pulang beraya hangus di tikar judi. Saya ternganga dan tidak mampu berkata mengenangkan diri yang akan beraya di dalam hutan.
Pengalaman yang ditempuh sendiri sememangnya pengajaran yang mudah menginsafkan. Sejak peristiwa itu saya tidak pernah lagi bermain judi. Berdasarkan pengalaman sendiri, saya dengan tegas berani menempelak sesiapa yang mendakwa betapa dengan berjudi sesorang boleh menjadi kaya. Berdasarkan pengalaman sendiri, dakwaan itu adalah karut dan dusta!
Kerana itulah, walau sedang terkial-kial berfikir cara dan bagaimana hendak mendapatkan tambahan beberapa ratus ringgit untuk memperjelaskan tunggakan bil, saya tidak tergerak untuk berjudi.
Malah, begitu saya membayangkan di dalam fikiran, kalau saya ditakdirkan menjadi seorang ketua negara, betapa pun negara saya sedang dihimpit masalah kewangan, saya tidak fikir dengan meluluskan lesen judi maka negara yang saya pimpin serta tadbir akan terlepas dari beban kepapaan.
Tetapi itu hanya igauan di dalam imaginasi. Saya bukan pun seorang pemimpin negara. Saya hanya seorang ketua sebuah keluarga yang sederhana, yang selalu berusaha menghidupkan keluarganya dengan sumber yang seboleh mungkin mesti jelas sumbernya dan halalnya.
Dalam keadaan saya tercenung memikirkan, anak perempuan saya yang sudah pun bekerja menghulur sebuah sampul. Ketika saya buka, di dalamnya terselit wang beberapa ratus.
"Untuk membayar bil telefon dan membeli beras," begitu katanya tanpa sempat saya bertanya.
Alhamdulillah. Tuhan telah membantu saya.
Dan saya tetap yakin, judi tetap membawa kecelakaan walau bagaimana pun bentuk serta caranya.
Kalau demikian, kenapa masih juga ada mereka yang sanggup menambahkan satu lagi lesen judi?
Mei 25, 2010
Ahad, Mei 23, 2010
MELIHAT KESUNYATAAN DARI PERSPEKTIF SHAPIAI
Oleh MARSLI N.O
BANCUHAN pendidikan sekular dan keagamaan serta pengalaman hidup yang ditempuh tidak boleh tidak menjadi titik tolak atau pembentukan sikap dan falsafah kehidupan seorang manusia.
Demikian juga seorang sasterawan. Dalam proses pematangan karyanya, pendidikan, ilmu dan kesedaran sosial serta keagamaannya turut berperanan sebagai pembentuk yang menjadi hala tuju pengkaryaannya. Bertolak dari asas-asas pemikiran dan keperibadian yang kukuh ini jugalah seorang sasterawan membentuk falsafah dan keyakinan seninya.
Falsafah dan keyakinan seni inilah yang secara jelas dinyatakan dengan yakin oleh penyair Shapiai Muhammad Ramly dalam pengantar kumpulan sajak beliau “Melihat Kesunyataan” yang diterbitkan Biro Penerbitan, Persatuan Penulis Johor (PPJ) tahun 2000.
Dalam pengantar yang dijudulkannya sebagai “Puisi adalah nasi yang kusuap setiap hari” ini Shapiai Muhammad Ramly menegaskan: “Sastera seharusnya mendidik. Puisi juga seharusnya dapat menjadi alat untuk tujuan murni. Begitulah dengan sajak.”
Sementara sebuah puisi, tegas Shapiai, perbezaan di antara sebuah puisi yang baik dengan yang tidak adalah di segi peranan atau tujuannya. Tegas Shapiai: “Puisi yang baik itu seharusnya juga bukan setakat menjadi alat untuk tujuan pendidikan, malah juga berupaya menyembuhkan.”
Menghayati maksud dan makna yang dilontarkan di dalam pengantar ringkas kumpulan sajaknya ini jelas memperlihatkan sosok dan pendirian Shapiai Muhammad Ramly sebagai seorang penyair.
Tanpa berselindung, Shapiai memperlihatkan sikap sebagai seorang penyair yang ingin menjadikan sajaknya sebagai wadah menyampaikan pesan dan dakwah.
Untuk dan lantaran itu jugalah melalui kumpulan yang memuatkan 40 sajak ini, Shapiai mengaku “Melihat Kesunyataan” sebagai suatu introspeksi diri dalam menterjemah matlamat dan pencarian hidup.
Ditinjau dari aspek makna, judul “kesunyataan” bagi kumpulan sajak ini memang padanan bagi “kenyataan”. Hanya yang berbeza, makna kenyataan bagi kesunyataan lebih kepada menjurus kepada aspek agama atau ilmu tasawuf (Kamus Dewan: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1970, halaman 1142).
Sebagai sifatnya sesuatu yang berhubung kait dengan aspek agama dan tasawuf, memang terkesan sebahagian besar sajak di dalam kumpulan ini bernada bening, tidak membentak dan lebih cenderung menghening.
Malah tidak berlebihan juga kiranya dikatakan betapa Shapiai melalui sajak-sajak di dalam kumpulan ini, sentiasa meletakkan posisi dirinya sebagai seorang pemerhati yang peka dan selalu berusaha memberikan tafsirnya sendiri terhadap segala sesuatu yang ditemuinya di dalam hidup.
Membuktikan kesungguhan maksud serta niatnya untuk melakukan suatu introspeksi diri melalui kumpulan sajak “Melihat Kesunyataan” ini, sajak “Langkah” di halaman satu bermula sebagai peringatan yang mengirimkan isyarat sebuah perjalanan menghampiri suatu destinasi.
Sebagai seorang manusia matang, cara pentafsiran Shapiai terhadap sesuatu persoalan yang hadir ke benak pemikirannya tidak dirungkaikannya kembali dengan jawapan yang polos. Sebaliknya, pertanyaan dilontarkannya kembali sebagai refleksi dirinya melalui metafora yang kadang-kala agak mengejutkan.
Refleksi melalui metafora inilah yang dipaparkan Shapiai ketika misalnya mentafsirkan makna kebahagian. Memang agak mengejutkan bila kebahagian dinyatakan Shapiai dengan metafora: “ia hanya kulit/ dengan tulisan emas/ tiada tanda harga.”
Kehadiran hujan yang datang bersama musim dan menghadirkan cemas dimetaforakan sebagai “Pedih Musim Hujan” (halaman 39) dilukiskan sebagai: “...menghela nafas resah/ erangan angin, menyeberangi musim-musim yang lalu/ sepanjang hari asyik merenung tembok diri/ suara hati tak pernah menjelmakan emas/ kita hanya segumpal cemas....”
Dengan metafora yang kadang-kala agak mengejutkan dalam kebanyakan sajaknya, semakin memperjelaskan bagaimana Shapiai mempunyai tanggapannya sendiri mengenai manusia.
Misalnya, ketika di dalam sajak berjudul “Rumah” (halaman 30) Shapiai menyebutkan “Manusia membina rumah daripada batubata prasangka/ menjadi gua-gua peribadi asing sekali”.
Atau di dalam “Survival” (31) tanpa selindung Shapiai menyatakan: “Tiap manusia memandu arahnya / keluar masuk gua yang dibina dari rasa curiga/ kota kini menjadikan aku siap/ awas, kita akan terperangkap/ mau hidup atau mati!”
Seorang ibu pula di mata Shapiai hatinya adalah sungai berliku yang tidak pernah bersua muara (Ibu, 32) dan seorang ayah (Ayahku, 40), setelah ketiadannya disedari Shapiai betapa dia telah: “..kehilangan seseorang/ yang begitu ramah mengatur kehdupanku.”
Perlumbaan sesama manusia untuk mendapatkan segala sesuatu yang dinginkannya diumpamakan Shapiai seperti melepaskan singa yang berkeliaran di dalam diri (Melepaskan Singa, halaman 35) dan tatkala terlepas: “..ke dunia lapar benda/ mengaumkan kesombongan ke seluruh kota/ di sekelilingnya manusia rakus/ menebang hutan amanahnya.”
Di dalam kumpulan “Melihat Kesunyataan” ini Shapiai tetap tidak melupakan untuk turut menyatakan hasrat atau keinginan peribadinya seperti di dalam sajak “Ingin Aku” (34) atau dalam sajak “Puisi dan Nasi” (3) Shapiai menyatakan betapa puisi baginya: “adalah nasi/ yang kusuap setiap hari/ dari padi fikiran yang ditampi/ mengupas kemanusiaan ini.”
Menjengah peristiwa sejarah seperti pertikaman Tuah dan Jebat atau percintaan Tuah dan Teja, Shapiai melihat dan mentafsirkannya dengan pertimbangan kritikal. Jika dalam sajak “Pertikaman Tuah dan Jebat” (9) dihadirkan seorang dalang, sajak “Tuah dan Teja” (22) pula, lewat suara Teja disindir perilaku Tuah konon: “tidak mengerti erti cinta/ kerana engkau terlalu setia/ aku telah berkorban/ hanya untuk raja kemenanganmu/ hanya untuk gelar laksamanamu/ hanya untuk anak sungai kemewahanmu!”
Perenungan Shapiai terhadap kesunyataan dalam erti kata yang lebih menepati maknanya banyak dituangkan dalam sajak-sajaknya yang bersifat perenungan seperti “Perhentian 1” (4), “Perhentian II” (5), “Hotel” (7), “Menjelang Malam” (11), “Lagu Larut Malam” (15) atau “Perjalanan di Waktu Subuh” (17).
Malah lewat sajak-sajak kategori ini, terserlah kepasrahan Shapiai yang diungkap lewat metafora dan juga personafikasi yang memukau seperti “aku pengembara memburu restu”, “menghapus kenangan yang tercalar”, “memulangkan kunci amanah”, “dunia jaga yang keras dan meminta”, “Kugulung segala hasrat” atau “kabut khuatir menyentuh kulit keraguanku.”
Dari aspek biografi pengkaryaannya, Shapiai yang juga menggunakan nama samaran Syafiq SH dan Abdul Arif SH ini berasal dari Gunung Semanggol, Perak dan lahir pada 26 Ogos 1950. Selain menulis sajak, beliau juga menulis cerpen, rencana dan novel. Kerana itu jugalah, keberadaan Shapiai sebagai pengarang dan penyair sering disebut secara seiringan.
Ini bukanlah hal yang menghairankan kerana sebagai pengarang, Shapiai pernah memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Mengarang Cerpen ESSO-GAPENA 1983, tahun 1984 memenangi Hadiah Kedua Peraduan Mengarang Cerpen ESSO-GAPENA VI dan hadiah saguhati dengan cerpen “Suamiku” pada tahun 1991 dan cerpen “Menunggu Kemajuan” pada tahun 1986.
Pendikan awal beliau ialah di Sekolah Kebangsaan Gunung Semanggol, Perak dan Sekolah Menengah King Edward VII, Taiping. Kemudian mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim (1969-1970), kursus perguruan khas dalam bidang Pendidikan Seni di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras pada tahun 1976. Tahun 1988 melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) hingga selesai.
Sebagai guru beliau pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Sayong dan Sekolah Menengah Sultan Ibrahim di Kulai. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Mohd Khalid, Johor Bharu (1984-1998) dan kemudian di Maktab Perguruan Batu Pahat, Johor.
Shapiai mula menulis pada tahun 1971 dengan penyiaran cerpen pertamanya berjudul “Akrylazam” di Mingguan Malaysia. Karyanya, selain berupa puisi, juga cerpen dan rencana termuat dalam pelbagai media seperti Berita Minggu, Utusan Zaman, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Berita Harian dan lain-lain.
Kumpulan cerpen perseorangan beliau yang telah diterbitkan ialah “Perjalanan Ke Z” (DBP:) dan sebuah novel berjudul “Gerimis Perkahwinan” (Marwilis Publisher:). Pada 1993 memenangi salah satu Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena dengan puisinya “Membina Taman” dan sebelumnya untuk anugerah yang sama pada tahun 1989. Anugerah untuk Sayembara Cerpen Esso-Gapena pula diraih pada tahun 1983 dengan cerpen berjudul “Pak Su”, tahun 1984 hadiah kedua, 1986 dengan cerpen “Menunggu Kemajuan” dan hadiah saguhati pada tahun 1991 dengan cerpen “Suamiku”.
Di genre puisi, karyanya termuat dalam beberapa antologi bersama. Shapiai memenangi hadiah khas Berita Harian 1985 dengan puisi berjudul “Pertikaman Tuah dan Jebat”, tahun 1989 antara pemenang hadiah puisi Hari Kemerdekaan dengan puisi berjudul “Di Atas Mimbar Merdeka”, antara pemenang hadiah puisi Hari Kebangsaan 1991 dengan puisi “Membina Taman”. Tahun 1991 beliau juga meraih anugerah Hadiah Puisi Alam Sekitar. Tahun 1997 memenangi hadiah Utusan_Public Bank bagi kategori puisi dengan puisinya “Hujan Melebat Dalam Dirimu”. Tahun 1995 dan 1999 memenangi Anugerah Sastera Negeri Johor Darul Ta’zim kategori puisi.
Sejak 1971 hingga kini menetap di Johor dan bergiat cergas dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) sejak tahun 1974, sebagai Setiausaha Dua (1977-1998) dan kini sebagai Setiausaha Satu. Pada tahun 1991 beliau menyertai Program Penataran Sastera di Indonesian tajaan DBP. Tahun 1997 mengikuti Perkampungan Penulis GAPENA selama dua belas hari di Riau dan menyertai Seminar Persuratan Nusantara ke-IX di Padang, Sumatera.
Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 23 Mei 2010
Sabtu, Mei 22, 2010
Sajak SESAMA SENDIRI
Oleh MARSLI N.O
Di dalam tubuh sendiri
Kita jelmakan pemetik api
Membakar jerami-jerami peribadi
Kerana Bulan tidak lagi bersinar
Dan cinta kehilangan matahari
Dengan lidah terbelah
Segala diucap
Tidak pernah berakar
Di tanah ikhlas
Sesama sendiri
Kita saling mengacung cakar
Ketika riuh di dalam tengkar
Menyulap peribadi
Menjadi bangsa yang mabok
Dan lupa
Mei 13, 2010
Sumber siaran: Berita Harian, 22 Mei 2010
Isnin, Mei 17, 2010
SAJAK Marsli N.O
INILAH SEBUAH NEGERI
Inilah sebuah negeri
Kucinta dengan seluruh hayat
Dan membara tekad
Ketika doa selalu diucap
Memohon sejahtera menghindar laknat
Moga ini negeri menjadi azimat
Tersemat selalu di dalam ingat.
Agar tidak dihuni para pesulap
Yang bersahabat dengan ulat
Rakus meratah segala nikmat
Demi laba sendiri kehendak
Bersahabat dengan pemikir bejat
Menjadikan negeri tempat berpijak
Pelobi yang tamak.
Tanpa peduli
Meski merobek suci jasad.
Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 16 Mei 2010
Ahad, Mei 16, 2010
AH, SAYA TIDAK APA-APA
SAYA tidak ingin merebutnya dari sesiapa. Dia hanyalah seorang manusia biasa yang saya percayai sepenuh hati. Dengan dia, banyak rahsia kami kongsi. Dan saya tahu, dari reaksi dan jawapan ketika sesekali saya mendatangi dia di rumahnya, ada orang yang berasa kurang senang kerananya. Seolah-olah, kehadiran saya, mahu merampas sesuatu di antara mereka.
Tetapi selalu saya katakan kepada diri. Biarlah apa reaksi orang lain. Saya hanya ingin berkawan dengan dia dan saling berkongsi cerita suka dan duka mengenai dunia yang kami gulati ini. Tidak lebih dari itu.
Mungkin cara kami berkawan agak melampau. Berbual hingga santak ke pagi. Dari cerita ke cerita yang lain. Meninggalkan di rumah ada orang yang menanti.
Tetapi kami hanya duduk berbual. Kadang di bangku taman, kadang di trotoar jalan. Dunia kami bukan di disko atau kelab dangdut, tetapi hanya kata, idea dan kisah. Kami mungkin pembual dan pengangan. Tetapi bual kami ada tujuan.
Dari bualan sedemikian rupa banyak saya menjalin kisah menjadi cerita dan puisi. Malah memang sejak mula memang kami sepakat saling berbagi cerita dan berita secara demikian, untuk nanti kami masing-masing kembangkan menjadi sebuah karya.
Kerana itu jugalah, bila dia semakin lama semakin saya lihat perlahan dan malas berkarya , maka dengan niat mahu melihat dia kembali bangkit dan kembali gencar berkarya, seperti janji-janji yang sama kami tekadkan dahulu dan bukan kerana mahu menunjukkan sombong, saya mencabar dia dengan banyak cara: kadang nasihat, kadang rungutan dan bila itu pun tidak mampu membangkitkan dia, saya membentak dan mengherdik.
Saya tahu cara saya itu boleh melukakan hati orang. Tetapi saya sanggup melakukan itu kerana saya yakin dia sudah cukup mengenal saya. Bukan sehari kami berkawan. Mustahil dia tidak tahu dan faham kenapa saya melakukan itu. Tidak lain sekadar untuk menggerakkan dia.
Tetapi saya tahu hidup bukanlah seperti apa yang kita selalu idam-idamkan. Dan kalau sesuatu yang terjadi, saya sudah cukup bersedia untuk merelakan. Menerima tanpa perasaan terlalu luka.
Saya kira, saya sudah menunaikan peranan saya sebagai seorang kawan. Menasihat dan menegor jika perlu. Tidak terlalu memuji dan mendewakan dia. Kerana saya tahu pujian itu boleh memusnahkan dia. Cuma itu.
Tidak mengapa. Saya tetap begini juga.
Siapa sahaja boleh menghalang dengan pelbagai cara untuk merenggangkan keakraban kami. Saya tidak mengharapkan apa-apa.
Kerana, saya fikir dia juga boleh berterus terang dengan saya seperti saya selalu berterus terang dengan dia sejak dahulu.
Saya kira, tidak perlu orang kedua dan ketiga memberitahu betapa dia terluka dan tersinggung dengan cara saya menegor dan menasihati dia. Saya tahu dia memang agak perahsia ketika di luar. Tetapi saya tahu dia masih belum bisu dan boleh mengucapkan itu sendiri dari bibir dia. Saya berani mengatakan itu kerana selama ini kami saling berbagi dan berkongsi mengenai banyak rahsia.
Saya memang keras dan tegas dalam banyak hal. Tetapi tiada siapa tahu, mungkin juga orang yang paling rapat dengannya sendiri, bahawa kami pernah berjanji untuk mengharungi ini semua dengan cara begini. Berlaku keras dengan diri sendiri untuk mendapatkan sesuatu di dunia ini.
Tidak apa-apa. Seorang perempuan memang selalu mencemburui keakraban suaminya dengan seorang yang lain ketika di luar. Hanya, saya tidak pernah berkonflik mengenai itu kerana sejak mula perkahwinan kami sudah menyelesaikan masalah itu.
Saya tidak berniat mengutuk mana-mana perempuan. Saya menyebutkan ini berdasarkan apa yang sudah menjadi pengalaman. Perempuan adalah penawar dan pendorong, tetapi sekaligus juga boleh jadi penghadang.
Bayangkan andai di tengah malam buta saya masih menekan papan kekunci di bilik komputer, tiba-tiba datang seorang perempuan menjengah dan menyergah. Atau waktu lain terjadi perkelahian kerana di dalam sebuah cerpen saya memuji dan memuja seorang wanita lain. Angkara cemburu terjadi perang besar. Rumah tangga berantakan.
Tetapi Alhamdulillah. Saya tidak pernah mengalami itu. Kami sudah berjanji untuk saling memahami sejak mula perkahwinan. Saya dianugerahi Allah seorang isteri yang sangat baik dan mengerti dunia tulis menulis saya. Saya tidak pernah diganggu ketika menulis atau berkarya. Apa lagi untuk bertanya dan menyoal anu dan ini.
Kerana itulah saya bersikap biasa-biasa sahaja. Saya faham rasa cemburu adalah normal di hati siapa pun dia, lelaki mahupun perempuan. Apa lagi bila melihat orang yang paling rapat dengan kita begitu akrab juga dengan orang yang lain, walau sesama jenis dan minat. Bukan sahaja cemburu, pasti jugalah boleh mungkin andaian dan prasangka juga.
Tetapi seperti saya katakan di awalnya. Saya tidak ingin merebutnya dari sesiapa. Seorang boleh datang dan boleh pergi. Boleh menjadi kawan dan boleh menjadi tidak. Saya tidak apa-apa.
Kawan tetap kawan. Walau prinsip dan falsafah saya mengenainya mungkin agak ganjil atau keterlaluan, tetapi saya selalu meletakkan kejujuran dan keikhlasan sebagai teraju. Saya tidak akan mengeji seorang yang saya nobatkan sebagai kawan ketika di belakangnya tetapi akan mengatakan apa yang ingin saya katakan langsung di depannya.
Memang dia mungkin tersinggung dan ketika itulah kejujuran dia akan teruji. Kalau benar dia jujur katakanlah berterus terang apa yang dia tidak bersetuju.
Apakah sangat erti sebuah persahabatan, terutama di zaman benda dan kepentingan diri menjadi kiblat ini, bukankah?
Kisah orang sanggup mati dan mengorbankan harta benda untuk seorang kawan kini hanyalah omong kosong.
Saya tidak ingin mengharapkan apa-apa dari siapa pun yang bernama manusia. Andai satu waktu saya tidak disenangi atau diterima, saya pun tidak ingin bersediah dan berduka keranannya.
Hidup hanyalah angin dan air. Berlalu dan mengalir. Bukan saya tidak mempercayai sesama manusia. Tetapi saya lebih percaya biarlah segalanya ditentukan Allah. Hidup dan mati. Kawan dan kahwin.
Saya tidak akan bersedih atau terkilan. Kalau misalnya satu waktu saya pernah menderma, bukan kerana dia saya anggap sudah begitu miskin dan terdesak, tetapi hanya sebagai tanda ingatan dari saya sebagai seorang kawan yang jauh dan tidak mampu selalu datang melawat (ikhlas atau tidak biarlah Allah menentukan) dan derma saya itu dikembalikan, saya masih tidak mahu mengandaikan apa-apa.
Mungkin ada rahsia dan hikmahnya kenapa Allah menurunkan ujian ini ke atas diri saya.
Mei 16, 2010
Selasa, Mei 11, 2010
MEMBACA DARI PERSPEKTIF LAIN
SAYA sebenarnya tidak terlalu meniatkan sesuatu yang terlalu muluk ketika sedang menulis sesebuah karya. Katalah itu untuk mendidik, berdakwah atau yang semaksud dengannya.
Saya sebenarnya takut untuk menyimpan niat yang sedemikian muluk kerana menyedari sendiri betapa sebagai manusia biasa yang sepatutnya dididik serta didakwah adalah diri saya sendiri dan bukannya orang lain.
Saya tidak malu mengaku ini kerana saya tahu betapa urusan mendidik dan mendakwah ini kalau pun benar wajib menjadi niat setiap penulis, dan saya memang pun tidak mengatakan itu suatu yang salah, biarlah lahir secara tidak langsung, penuh hemah dan bukan dalam sifatnya yang sangat arogan, seolah-olah memaksa pembaca menerima sesuatu secara membuta tuli. Atau dengan cara berlagak-lagak seolah-olah pembaca terlalu bodoh untuk mengerti serta memahami.
Terus terang saya katakan. Ketika sedang menulis sesebuah karya, jauh di sudut hati saya hanya terselit suatu harapan agar karya tersebut, begitu tersiar dan dibaca khalayak, dapat sekejap menjadi cermin. Dari cermin itu, harap saya, pembaca dapat sekejap melihat dirinya sendiri sebagai manusia, dengan segala kebaikan dan keburukan dirinya.
Apakah selepas itu mereka mahu berubah, atau telah terdidik dan terdakwah, saya fikir biarlah itu menjadi urusan milik masing-masing peribadi dan bukan hak saya untuk pandai-pandai menentukannya.
Seingat saya dengan niat dan harapan yang serupa inilah saya selalu menulis karya demi karya saya. Baik itu sajak mahupun cerpen.
Pada sisi yang lain, sebagai seorang yang menuliskan karya, pastilah suatu dusta andai saya katakan saya berasa tidak perlu membaca apa pula tanggapan dan reaksi orang lain selaku pembaca karya saya yang sudah disiarkan di mana-mana.
Saya juga ingin dan mahu bercermin dari pendapat orang lain. Tidak peduli apakah pendapat dan reaksi itu berupa kritik pedas atau pujian melulu. Walau tidak semestinya semua pendapat akan saya akuri dan terima, tetapi dari pendapat dan reaksi begitulah selalunya saya menemukan pencerahan dan jalan berikutnya sebagai petunjuk memperbaiki karya yang akan ditulis berikutnya.
Memang setiap pendapat dan reaksi berbeza menurut acuan pendidikan dan pemahaman seseorang. Walau ada sebahagiannya yang tidak saya persetujui, namun saya sentiasa mengajar diri agar menghormati perbezaan dan kelainan tersebut.
Tetapi membaca sebuah pandangan dari seorang yang tidak berkepentingan atau yang tidak bermula dengan suatu acuan di dalam fikirannya sejak mula, bagi saya peribadi akan terasa lebih menarik dan berbeza persepsinya.
Jika seorang yang berkepentingan melihat sebuah karya berdasarkan hukum dan penetap acuan pula mencari apakah ada atau tidak hasrat serta keinginan di dalam karyanya, pembaca kategori yang satu lagi pula hanya menyatakan apa yang dilihatnya tanpa sebarang prejudis.
Huraiannya walau tidak sedemikian tuntas seperti seorang pemilik teori yang berkepentingan, namun terasa jujur dan mengertinya.
Apa yang dinyatakan oleh pembicara begini tidak lain merupakan bancuhan pengamatan dan pengalaman peribadinya sebagai pembaca yang melihat teks secara per se dan bukan sebongkah peribadi yang perlu dicaing serta dirobek-robekkan dengan sengaja.
Lalu, membaca huraian seorang pembicara kategori ini terasa mulus dan jujur. Kerana yang diliaht adalah teks sepenuhnya dan tidak sama sekali dihubungkan kaitkan dengan perkara di luarnya.
Saya hanya menyatakan apa yang saya rasa. Mungkin di sana sini saya seperti memuji dan mungkin juga tidak. Tetapi itulah tanggapan saya selaku seorang yang menulis yang karyanya diberikan reaksi oleh seorang pembaca yang lain.
Reaksi Najibah A. Bakar terhadap kumpulan cerpen saya "Menanti Buraq" di BukuRia bagi saya adalah sebuah reaksi dari seorang yang menyatakan apa yang dilihat serta ditemui di dalam karya tersebut secara per se.
Tulisan itu bagi saya berdiri di batas yang wajar. Tidak memuji dan tidak juga mengeji . Dan saya bercermin sesuatu dari tulisan reaksi itu.
Mei 11, 2010
Mei 11, 2010
Sabtu, Mei 08, 2010
P –S WADAH INTERAKSI GENERASI BARU SASTERA (1)
SEGALANYA bermula dengan pengumuman Datuk Prof Ismail Hussein selaku Ketua 1 Gapena ketika itu pada Hari Puisi Nasional 1988 di Kolej Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Pengumuman itu menyebutkan bahawa pihak Gapena akan memastikan setiap tahun sebanyak 10 karya penulis muda akan diterbitkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.
Malangnya, sehingga ke tahun 1990, pengumuman yang dianggap sebagai janji Gapena itu tidak tertunai. Ekoran itu, beberapa oknum yang prihatin mengenainya , antaranya termasuk Mohamad Daud Mohamad, Ladin Nuawi, Imlan Adabi dan Awang Abdullah telah menghebohkan isu ini ke akhbar, khususnya Watan dan Berita Harian.
Kemuncaknya, satu pertemuan telah dilangsungkan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Walau saya tidak hadir dan langsung terlibat dengan Bengkel Penilaian Penyair Muda 91 di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 12 - 13 Januari 1991 itu, yang digerakkan oleh sekelompok oknum yang menamakan mereka sebagai Jawatankuasa Bengkel Penilaian Penulis Muda, namun saya sempat mengikuti apa yang digegerkan mereka melalui laporan di akhbar dan cerita kawan-kawan yang menghadirinya.
Malangnya, sehingga ke tahun 1990, pengumuman yang dianggap sebagai janji Gapena itu tidak tertunai. Ekoran itu, beberapa oknum yang prihatin mengenainya , antaranya termasuk Mohamad Daud Mohamad, Ladin Nuawi, Imlan Adabi dan Awang Abdullah telah menghebohkan isu ini ke akhbar, khususnya Watan dan Berita Harian.
Kemuncaknya, satu pertemuan telah dilangsungkan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Walau saya tidak hadir dan langsung terlibat dengan Bengkel Penilaian Penyair Muda 91 di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 12 - 13 Januari 1991 itu, yang digerakkan oleh sekelompok oknum yang menamakan mereka sebagai Jawatankuasa Bengkel Penilaian Penulis Muda, namun saya sempat mengikuti apa yang digegerkan mereka melalui laporan di akhbar dan cerita kawan-kawan yang menghadirinya.
Terus terang saya secara peribadi tidak bersetuju dengan apa yang diputus dan dilaungkan dari bengkel ini. Apa saya hendak peduli soal hendak hantar siapa pun ke acara sastera di luar negara atau karya siapa yang hendak mereka terbitkan. Kerana kuasa ada di tangan mereka, lantaklah siapa yang hendak mereka pilih atau terbitkan karyanya.
Saya memang sejak mula memang memilih untuk menyendiri.
Ekoran bengkel itu memang lama juga berlarut dan antara mereka yang menjadi orang kuat bengkel dan juga nama-nama yang disyorkan sudah pun diterbitkan karyanya.
Timbul pula persoalan lain. Media yang ada sekitar tahun 1991 hanya Dewan Sastera, akhbar Berita Minggu, Watan, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia sebagai wadah penampungan penyiaran karya gerombolan penulis yang sedang membeludak jumlah dan sekaligus juga sedang menggelegak darah mudanya.
Ekorannya, majalah Dewan Sastera dituduh mengamalkan kroni yang hanya banyak menerbitkan karya, khususnya sajak dari kalangan penyair senegeri dengan editornya ketika itu.
Di tengah kegalauan sedemikian, saya memutuskan untuk berikhtiar sendiri mencari wadah lain sebagai alternatif untuk menerbitkan karya saya sendiri dan juga kalau ada, kawan-kawan lain yang sanggup menyumbangkan karya.
Berbekal sebuah komputer usang bercpukan cyric dan pencetak dot matrik Panasonic saya bertatih menyiapkan dami sebuah majalah berukuran kertas A4. Satu halaman demi satu halaman saya ketik dan cetak dan kemudian ditampalkan di kertas dami yang sudah disediakan.
Kepandaian menyediakan dami majalah secara uji dan cuba secara manual itu saya perolehi dari pengalaman beberapa kali sebelum ini menyediakan dami untuk penerbitan kumpulan sajak saya yang diterbitkan secara stensilan seperti "Siapa di Balik Sana?" dan "Ninabobok".
Kepandaian menyediakan dami majalah secara uji dan cuba secara manual itu saya perolehi dari pengalaman beberapa kali sebelum ini menyediakan dami untuk penerbitan kumpulan sajak saya yang diterbitkan secara stensilan seperti "Siapa di Balik Sana?" dan "Ninabobok".
Itu kisah permulaannya di awal tahun 1994. Saya tidak ingin hanya mengeluh dan berteriak. Atau memarahi siapa-siapa yang tidak sudi untuk menyiarkan karya saya sendiri, yang saya sedar dan tahu memang sulit diterima lantaran sikap saya yang selalu melaungkan sifat-sifat memberontak di dalam setiap karya saya sendiri.
Dengan peralatan yang sangat sederhana saya bertekad memulakan sebuah “majalah” baru dengan keringat dan modal saya sendiri.
Dengan peralatan yang sangat sederhana saya bertekad memulakan sebuah “majalah” baru dengan keringat dan modal saya sendiri.
Majalah ini pada mulanya ingin saya namakan POS. Tetapi kerana khuatir akan timbul kesulitan kerana berkaitan pula dengan nama Pos Malaysia, saya memilih menggugurkan O dan diganti dengan tanda ( - ) .
Jadi majalah itu saya judulkan sebagai P – S. Sebuah peringatan yang selalu dinyatakan di surat tatkala ada sesuatu yang perlu diperhatikan walhal surat telah diselesai tandatangan.
Jadi majalah itu saya judulkan sebagai P – S. Sebuah peringatan yang selalu dinyatakan di surat tatkala ada sesuatu yang perlu diperhatikan walhal surat telah diselesai tandatangan.
Ya. Tahun 1994, sekitar Februari, saya memulakan secara bersendirian sebuah majalah bernama P - S. Dan kerana ketika itu Rahimidin Zahari dan Mohd Jusoh Majid bertugas di Kuantan, saya meminta keizinan mereka untuk menyiarkan karya mereka di majalah keluaran sulung itu dengan makluman tanpa sebarang pembayaran royalti.
Juga, selain Rahimidin Zahari, kerana ketika itu Talib YK juga berkerja di Kuantan dan selalu menjadi teman berbual, berdebat dan minum, saya meminta izin untuk meletakkan nama mereka sebagai pengelola.
Dan terbitlah P - S keluaran pertama itu Bilangan 1, Januari – Mac Tahun 1994. Sebuah majalah bawah tanah yang diterbitkan hasil fotostat, setebal 8 halaman termasuk kulit.
Saya gembira kerana mampu menjadikannya satu kenyataan. Dan lebih gembira serta bersemangat mengenangnya, kerana majalah itu saya mulakan dengan semangat dan idealisme sendiri secara bersendirian.
Tetapi seperti selalu, saya tidak ingin menjadi pejuang. Kerana saya hanya ingin menulis dan terus menulis.
Mei 8, 2010
Khamis, Mei 06, 2010
GEROMBOLAN
GEROMBOLAN datang. Berhala pun didirikan warga. Mereka menyembahnya. Kerana tergoda oleh janji: kuning padi di bendang akan menjadi emas. Dan mereka kesurupan.
Tanpa mereka sedar di sebalik topeng yang dipamerkan, wajah pemilik sebenarnya adalah Boragas.
Mei 6, 2010
Selasa, Mei 04, 2010
NEGERI YANG ROBEK DAN BULAN MELELEHKAN DARAH
NEGERI YANG ROBEK
SEBUAH negeri semakin robek. Beberapa huruf yang membentuk namanya di sebuah peta telah hilang.
Di angkasa, beberapa ekor boragas bersileweran. Air ludah betetesan dari lidahnya yang sering terjulur.
Di lembah kelihatan ribuan warga sedang menyembah sebuah berhala.
Negeri itu kini semakin tersunglap menjadi bangkai.
Mei 4, 2010
BULAN MELELEHKAN DARAH
GEROMBOLAN datang. Setiap mereka membawa palu dan panah. Warga bertempiaran. Sambil berteriakan.
Bulan melelehkan darah dari lukanya yang teramat berdukacita. Di tengah pekik dan teriak bersipongang sekalian warga.
"Jangan lukakan Bulan kami!"
Panah bertalu-talu dilepaskan. Palu berjuta kali dihayun ke kanan dan kiri.
Darah yang mengalir bagaikan sungai menuju ke muara. Membawa bersamanya segala hiba warga.
Di bawah bulan yang berdarah.
Mei 4, 2010
BULAN MELELEHKAN DARAH
GEROMBOLAN datang. Setiap mereka membawa palu dan panah. Warga bertempiaran. Sambil berteriakan.
Bulan melelehkan darah dari lukanya yang teramat berdukacita. Di tengah pekik dan teriak bersipongang sekalian warga.
"Jangan lukakan Bulan kami!"
Panah bertalu-talu dilepaskan. Palu berjuta kali dihayun ke kanan dan kiri.
Darah yang mengalir bagaikan sungai menuju ke muara. Membawa bersamanya segala hiba warga.
Di bawah bulan yang berdarah.
Mei 4, 2010
Langgan:
Catatan (Atom)