Sabtu, Oktober 29, 2011
SEBAHAGIAN (1)
Apa yang sedang kaufikirkan ketika bersendirian?
Begitu tanyaku kepada langit yang hitam.
Walau hanya sebahagian, aku tetap ingin mengenang.
Walau tangismu tidak terhitung
dan malam tidak berbintang.
Dataran Balai Seni Idrus Tintin, Pekanbaru
Oktober 27, 2011
Rabu, Oktober 26, 2011
SEBENTAR
Saya adalah diri yang berdiri di luar dengan kehendak.
Jangan Tuan dan Puan menjadi gelisah.
Sebentar.
Silakan memilih sesuai keinginan.
Ah, Diamlah.
Kamar 737, Hotel Labersa, Pekan Baru
Oktober 26, 2011
Ahad, Oktober 23, 2011
TAWARAN
TERIMA kasih kepada seorang kawan yang mengesyorkan nama saya untuk suatu majlis. Baik sungguh hati kawan itu. Kalau tidak dia yang mengesyorkan, manakan wakil penganjur itu tahu nombor hubungan saya.
Seingat saya, inilah kali pertama saya dihubungi wakil penganjur suatu majlis yang sebegitu besar dan gah. Dan kawan itu sebelum ini, ketika bertembung di dalam suatu majlis yang lain, memang pun pernah maklumkan secara bersindir bahawa dia tidak begitu sedia untuk hadir ke majlis itu dan akan mengesyorkan nama seseorang yang lain.
Cuma yang peliknya, kenapa ketika bertembung dengan jemputan sebegini dia menolak dan mencari dalih dengan mengesyorkan nama orang lain? Apakah kerana acara ini tidak menyediakan bayaran, maka dia memilih untuk menolak hadir dan cuba menebus dosa penolakannya dengan memberikan nama orang lain kepada waklil pihak penganjur yang menghubunginya?
Baik sungguh hati kawan yang mengesyorkan nama saya dan sekaligus memberikan nombor hubungan saya kepada wakil penganjur itu. Baik sungguh hati dia.
Dan kerana kebaikan hatinya itulah, maka saya semakin faham dan mengerti siapakah diri dia yang sebenar.
Oktober 23, 2011
Selasa, Oktober 18, 2011
MUDA, ALAHAI SUKANYA SAYA TUHAN YANG TAHU
BARU pagi ini saya benar-benar sedar. Ketika umur saya sudah mencecah 50 lebih begini, rupa-rupanya masih ada manusia yang rabun mata pertimbangan menamakan saya sebagai muda!
Alahai, sukanya saya Tuhan sahajalah yang tahu. Suka. Suka seamat-amat sukanya. Kalau tidak kenangkan malu kepada anak mahu rasanya saya berguling-guling di lantai simen rumah saya untuk memanifestasikan rasa suka saya yang tidak terkiranya itu.
Suka. Sukanya. Oh, penyair muda. Sukanya saya dengan gelaran penyair muda itu! Sukanya!
Oh, terima kasihlah kepada orang yang sanggup mengaku kemudaan saya itu walaupun kini umur saya sudah pun 50 lebih.
Terima kasihlah banyak-banyak. Sebab awak sangka orang bodoh sangat untuk tahu maksud sindir dan perli awak itu. Mungkin awak sangka semua orang boleh awak perbodohkan macam kawan awak yang mengaku penyair itu!
Oktober 18, 2011
Isnin, Oktober 17, 2011
TANYALAH DIRI KAU SENDIRI
DUA tahun lalu, anak gadis seorang jiran saya yang menuntut di sebuah universiti, yang juga mengetahui saya seorang penulis, dengan wajah ceria dan bangga menyapa dan memberitahu saya pertemuannya dengan seorang pensyarahnya yang di pangkal namanya diletakkan gelar doktor. Ketika ditanya oleh anak gadis itu apakah saya kenal atau tidak pensyarahnya itu, saya hanya tersenyum dan tidak ingin memberikan komen apa-apa.
Bulan lalu, ketika menziarahi seorang teman dari Kuala Lumpur yang memberitahu dia kini berada di sebuah pusat peranginan tidak begitu jauh di luar Kuantan, saya diberitahu oleh teman ini betapa seorang yang di awal namanya bergelar doktor merisik dengannya apakah benar kini ada usaha untuk memburukkan dia di kalangan rakan-rakan penulis.
Kepada teman dari Kuala Lumpur ini saya berkata patutnya orang yang berkenaan bertanya dulu kepada dirinya sendiri. Di pihak saya pula, saya bercerita, sejak beberapa tahun belakangan ini saya pun tidak pasti salah apa kepada dia sehinggakan setiap kali saya menyapa, sapaan saya itu tidak dijawabnya. Tetapi kata saya lagi, saya secara positif berfikir, mungkin sapaan itu tidak dijawabnya kerana saya tidak menyebut gelar doktor atau prof ketika menyapa orang yang berkenaan itu.
Tegas saya kepada rakan dari Kuala Lumpur itu, bagaimana saya mahu memanggil dia doktor atau prof begitu kerana saya berasa amat kekok dan mengada-ada dengan panggilan itu. Puncanya, ketika saya mula mengenali dia belasan tahun yang lalu, saya mengenali serta mengakrabi beliau hanya dengan namanya sahaja dan bukan pun ada gelaran doktor atau prof. Andai lantaran tidak menyebut gelarnya itu maka dia tidak mahu menjawab sapaan saya, tidak mengapa dan saya tidak ingin menyimpan sebarang rasa sakit hati. Bagi saya, upaya untuk tidak berlagak sombong dengan menyapa orang yang berkenaan di pihak saya sudah selesai. Tetapi kalau kerana saya tidak menyebut gelar doktor atau profnya itu maka sapaan saya tidak mahu dijawab, saya kira selesai sudah urusan di pihak diri saya.
Tadi senja, seorang penyair di Kota Bharu yang baru pulang dari Kuala Lumpur menyampaikan cerita lewat seorang temannya. Kata penyair itu, orang yang berkenaan mengadu kepada dia dan bertanya kenapakah saya ini marah dan memburuk-burukkan diri dia.
Saya? Apa pula kena mengena saya dengan dia? Apa pula faedahnya saya hendak buruk-burukkan dia?
Kepada teman yang menyampaikan cerita itu saya katakan supaya tolong sampaikan kepada penyair dari Kota Bharu itu, andai bertemu lagi dengan orang yang berkenaan, patutnya soalan itu ditanya langsung kepada saya dan bukannya dengan cara melalui orang ketiga atau ke empat. Tetapi yang anehnya, kata saya kepada teman yang menyampaikan cerita itu, sudah beberapa kali saya bertemu dengan orang yang berkenaan, bukan sahaja apa yang terbuku dihatinya itu tidak langsung ditanyakan kepada saya, malah sapaan saya pun tidak dia balas atau sahut.
Malah kalau tidak salah ingatan, minggu yang lalu juga saya melihat dan bertemu dengan orang yang berkenaan di dalam suatu majlis. Kalau benar dia tidak bersalah dan berasa menjadi mangsa kejahatan saya, kenapa pula dia tidak berani hendak bersemuka dengan saya dan langsung bertanya, supaya saya boleh menjawab dan biar menjadi saksinya adalah puluhan rakan dan teman lain di majlis yang sama?
Jadi soal sebenarnya apa? Apakah ini satu cara untuk merwar-warkan bahawa yang sedang menjadi mangsa kejahatan kini sebenarnya adalah orang yang berkenaan dan pelaku kejahatan itu mahu dinyatakan secara tidak langsung adalah saya?
Saya tidak peduli apakah andaian ini benar atau tidak. Di pihak saya, saya tidak punya kepentingan apa-apa untuk berbuat sebarang apa pun terhadap yang berkenaan. Malah kalau hendak dihitung-hitung, saya sebenarnya yang sepatutnya gelisah dan berasa marah kerana sudah pun menghadapi tindakan di luar akal sihat, tanpa saya ketahui jelas apakah sebab dan punca, oleh orang yang berkenaan ini sejak tahun 1999 lagi. Kemudiannya, tahun 2009 berulang lagi peristiwa kurang lebih sama, saya disindir lewat tulisan saya sebelumnya, seolah-olah apa yang saya tulis tidak beradasarkan fakta yang tepat dan benar melalui sebuah tulisan orang yang berkenaan dengan mauduk yang hampir sama berikutnya.
Sekali lagi saya tegaskan, seingat saya, saya tidak pernah berbuat apa pun untuk menyusahkan oknum yang satu ini. Saya tidak ingin melayan dan mengambil peduli hidup dan perkara yang berhubungan dengan orang lain, khususnya orang yang berkenaan. Walau semakin lama, semakin saya melihat orang yang berkenaan menunjukkan wajah sombongnya di hadapan saya, saya selalu ingin melihat daripada sudut yang posotif. Agak saya, sayalah satu-satunya orang yang sehingga kini tidak pernah menyebut dan menyapa dia sebagai doktor dan kerana itulah dia amat terkilan dan berasa benci!
Tetapi untuk marah dan berbuat sesuatu yang lain terhadap yang berkenaan, sebagaimana yang diadukan orang yang berkenaan kepada penyair dari Kota Bharu itu, saya tidak fikir itu penting dan perlu saya lakukan. Siapakah dia jika hendak dibandingkan dengan saya dan saya pun sedar antara saya dengan orang yang berkenaan pun tidak punya apa-apa kaitan.
Andai selama ini tanpa saya ketahui sebab dan punca saya disindir oleh yang berkenaan dan sapaan saya agar tidak sampai dikatakan sombong tidak pun mahu dijawabnya, bagi saya itu pun bukanlah menjadi soal besar buat diri saya.
Namun khabar terbaru yang disampaikan oleh penyair dari Kota Bharu itu kini memperjelaskan persoalan. Telah disebutkan secara jelas oleh yang berkenaan bahawa yang berbuat kejahatan itu adalah saya.
Maka sudah jelaslah duduk persoalan buat saya kini. Lantaran itu juga, satu demi satu peristiwa kembali berdatangan menjengahi ruang ingatan saya. Apa yang dialami penyair dari Kota Bharu itu sebenarnya sudah pun saya lalui lama dahulu.
Masih saya ingat, dalam keadaan tidak mahu menyambut sapaan saya, yang mungkin kerana tidak mahu memanggil namanya dengan gelar doktor atau prof itu, tiba-tiba suatu hari orang yang berkenaan boleh menjadi terlalu ramah dan baik dengan saya. Baru saya sedar keramahan dan kebaikannya itu ada sebabnya. Rupa-rupanya dia berbuat muka manis dengan saya tidak lain kerana mahu bercerita mengenai keburukan seorang penyair dan deklamator dari Kuala Terengganu. Dengan muka manisnya, orang yang berkenaan bercerita bagaimana dalam satu majlis baca sajak yang dia hadiri, khalayak semuanya menutup telinga kerana tidak tahan mendengar pekikan deklamator dari Kuala Terengganu itu.
Justeru itu saya tidak hairan dengan apa yang diceritakan oleh penyair dari Kota Bharu itu. Saya fikir memang itu cara dan gaya orang yang berkenaan menggunakan mulut manisnya. Di sebalik kisah dan cerita, ada umpatan mahu disampai secara tidak langsung mengenai keburukan orang lain. Dengan mulut manisnya juga, cerita disampaikan seolah-olah dialah yang menjadi mangsa kejahatan, sedangkan perbuatan yang diselindungkannya dengan pelbagai cara seperti sengaja dia lupa-lupakan sendiri.
Dan kemudian, entah bagaimana atau puncanya, satu demi satu maklumat sampai kepada saya mengenai tindak-tanduk oknum yang satu ini. Kebanyakannya menyatakan rasa kurang senangnya kerana diperpayahkan oleh oknum yang satu ini. Ada pelajar yang mahu menyiapkan studi sarjananya menjadi demikian payah, atau sejumlah teman di intitusi yang mengadu dia menjadi mangsa kecam ketuanya gara-gara laporan dan mulut manis oknum yang satu ini. Ini termasuk juga sejumlah teman lain yang mengaku jeran dan serik sudah dengan oknum ini lantaran terpedaya dengan mulutnya yang manis tetapi penuh berbisa.
Namun saya bukanlah manusia yang mudah percaya dengan segala sesuatu. Saya tidak mahu ambil peduli dan tidak ingin terlibat dengan segala perkara sia-sia begitu. Buat saya, biarlah masa dan keadaan jadi penentu benar atau tidaknya segala sesuatu. Saya fikir, siapa sahaja boleh berlakon dan berlagak sebagai apa pun. Tetapi hakikatnya nanti yang sebenarnya akan tetap terbukti juga.
Misalnya siapa sahaja boleh berlagak dia maha tahu dan pakar segala sesuatu dan tanpa sedikit pun terasa malu memberikan ajar dan segala macam petuah. Tetapi hakikatnya, kalau itu bukan bidang kajian atau penguasaaanya, apakah ajar dan petua itu memadai dengan hanya membaca kembali laporan panel penilai atau naskhah yang telah memenangi anugerah berkenaan.
Saya bukan sarjana daripada mana-mana institusi pengajian tinggi. Saya tidak tahu dan tidak pandai untuk menilai sesiapa. Namun begitu, ini tidak bererti saya boleh diperbodohkan oleh sesiapa yang berasa dirinya lebih cerdik. Atau digula-gulakan dengan segala lakon dan sandiwara.
Bukan sehari ini saya mendengar gunjing tohmah mengenai diri saya. Saya tahu dan sedar hidup dan bangun saya bukanlah kerana tohmah atau sesiapa yang lain. Makan saya tidak mereka memberi, apa lagi hidup dan mati saya ini.
Saya tidak fikir seseorang yang punya gelar doktor sedemikian baghalnya akan berfikir dirinya boleh musnah hanya kerana seorang manusia bodoh yang tidak punya gelar akademik apa-apa seperti saya. Tetapi kalau memang itu pilihannya, silakanlah dan saya sentiasa bersedia untuk mengatur langkah seterusnya.
Sepatutnya, tanyalah dirinya sendiri akan segala maksud perbuatannya. Tetapi kalau itu dia tidak sudi, maka selamatlah memperbodohkan diri sendiri.
Saya tidak punya waktu untuk bodohkan diri saya melakukan kerja sia-sia seperti gunjingan orang yang berkenaan. Fokus saya kini, saya hendak berkempen dengan apa sahaja cara dan medium supaya diri saya dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pertama daripada kalangan lulusan sekolah rendah!
Saya harap, kawan-kawan yang memiliki blog dan FB tolonglah warwarkan kempen saya ini. Tolonglah. Sudah lama sangat saya mengidamkan gelaran ini. Tolonglah!
Oktober 16, 2011
Ahad, Oktober 16, 2011
PUNYA
JAWAB pun sudah diduga. Jangan dibanyak tanya. Buat apa kau mengada-ada. Itu suka hatilah mereka.
Kata orang kau dipanggil pun mujur ada. Kalau tidak, duduk dan tidurlah selama di dalam dunia sempit milikmu sendiri yang tiada pun siapa peduli tidak atau adanya. Siapa mahu ambil peduli dan hendak ambil kisahkan dia.
Jadi belajarlah syukur dan berpada. Apa kisah siapa ada siapa tiada. Jangan hendak dibuat menujuk pandai dan bertanya-tanya. Itu bukan kau punya kerja.
Ingat itu. Semua adalah emak bapak mereka yang punya. Syarikatkah, sekolahkah, jabatankah, atau apa-apalah juga adanya. Memang semualah begitu laku dan lagaknya. Memang emak bapak mereka yang punya gayanya.
Jadi jangan sekali-kali kau hendak gatal-gatal mulut keluarkan tanya. Cakap senang, ada mata cukuplah dengan memandang sahaja dan mulut yang ada kuncikan menjadi bisu dan kelu segala.
Ingat itu kalau kau tidak mahu dipenangan. Ini sekarang dunia suka hati dan dunia emak bapak dia yang punya. Kalau siapa berani menaikkan muka atau tinggikan suara, tunggulah akibat serta balasannya. Jika tidak hari ini, tunggulah juga esok dan lusa akan akibatnya.
Kerana itu kau kenalah belajar ingat dan waspada sentiasa. Janganlah berlagak galak dan berani kononnya. Untuk sejahtera kau sentiasalah duduk di dalam diam dan teruslah dengan bodohmu selama adanya. Dengan begitu sukalah kepadamu akan mereka. Dipuji baik dan sentiasa dibawa dan diajak dalam segala hal atau perkara.
Kecuali kalau kau memang memilih hendak dilampuskan kerana pandai dan berani sangat menunjukkan soal dan tentang. Konon atas nama sebagai pejuang.
Maka jadilah kau setongkol kayu hitam. Hangus terbakar oleh segala penangan.
Oktober 15, 2011
Jumaat, Oktober 14, 2011
MELOMPAT
SEMUA orang berhak merayakan kegembiraannya dengan caranya sendiri yang dia hendak serta suka. Hendak melompatkah atau hendak berguling di tanah sehinggakan terpalit tahi kucing, tidak siapa hendak melarang.
Apa lagi kalau hendak bersorak dan bertempik melaung sesuatu nama kelompok atau kumpulan. Pun tiada siapa hendak melarang. Sorak dan tempikkanlah, walau sampai pecah anak tekak sendiri, itu kau punya hati sukalah.
Pernah saya lihat dahulu pada suatu malam peristiwa yang semacam itu. Ada seorang budak perempuan itu. Entah kena sawan atau memang dek terlampau seronok, saya tidak pastilah. Bersungguh benar saya lihat dia malam itu bersorak dan menyebutkan nama suatu kumpulan. Kalau sekali atau dua tidak mengapalah. Tetapi yang menimbulkan sedikit rasa hairan itulah bila dia sekejap-kejap menyorakkannya, sekejap kemudian diulangi lagi sorakan itu. Berulang-ulang. Berulang-ulang.
Terus terang saya yang kebetulan berada di situ dan melihatnya memang berasa menyampah melihat kelakunya yang agak berlebih-lebihan itu. Gayanya seperti budak terencat akal.
Mungkin budak perempuan itu kini sudah semakin membesar dan menjadi wanita yang dewasa. Saya sejak malam itu sudah lama tidak melihat dan bertemu dia.
Saya harap budak perempuan yang kini saya rasa sudah menjadi wanita dewasa itu tidak akan bersorak-sorak lagi seperti malam itu. Harap-harap saya, sesuai dengan usia yang kian mendewasakan dia, biarlah begitu.
Tetapi semalam. Seorang kawan yang saya hubungi memberitahu. Kalau ada sesuatu yang menggembirakan, budak perempuan yang kini sudah membesar menjadi seorang wanita yang dewasa itu, dia lihat tidak sekadar bersorak-sorak, tetapi menambahnya dengan melompat-lompat pula.
Saya tersenyum sumbing. Sendiri.
Oktober 14, 2011
Khamis, Oktober 13, 2011
PREJUDIS?
TIDAK mengapa. Itu cuma di pihak anda. Suka hatilah. Sebagai golongan yang berlagak wali dan maha mengetahui segala serbi tentulah anda berasa diri lebih mulia dan berhak menilai apa, siapa dan bagaimana seorang yang lain, lebih-lebih lagi seorang yang memang tidak pernah sama mahu bersekongkol serta bersetuju dengan segala kegiatan, sebutan dan perbuatan anda seperti saya.
Suka hati andalah. Kalau anda katakan saya prejudis, siapa yang boleh menghalang segala kehendak serta kemahuan anda, bukankah?
Tidak mengapa. Saya memang terguris juga membaca apa yang anda tulis, sebut dan tohmahkan mengenai diri saya. Tetapi itu tidak mengapa.
Biarlah. Itu hak anda untuk menulis, menyebut dan menohmahkan saya apa pun. Sebagai golongan yang berlagak wali dan berasa dirinya selalu bersih dan suci bukankah demikian?
Tulislah apa sahaja. Sebutlah apa sahaja. Tohmahlah apa sahaja. Saya pembenci, saya pendendam, saya pendengki. Tidak mengapa. Tulislah. Sebutlah.
Sebabnya, saya tidak hidup dan bergerak, apa lagi tumbuh dan terus berkembang kerana apa dan segala yang anda sebut serta tuliskan mengenai saya.
Kalau anda bukan si bodoh yang berlagak lebih tahu dan cerdik ketimbang orang lain atau diri saya, tentulah tidak demikian anda menulis atau tega menohmahkan saya. Tetapi suka hati andalah. Tulislah. Tohmahlah. Apa kisahnya saya. Sukanya hati saya membacanya tidaklah terkiranya.
Prejudis? Eh, suka hati sayalah hendak berkata apa pun. Kenapa anda sebok sangat ini?
Oktober 13, 2011
Rabu, Oktober 12, 2011
SAYA MENUNGGU? TIDAK!
TELAH berlalu semua itu. Untuk apa menunggu.
Setelah sejak dahulu menetapkan arah dan tuju, tiada lagi yang menggoyahkan yakin serta percaya.
Apa lagi dengan segala lakon dan sandiwara yang saban hari diperankan oleh pelbagai watak dan nama. Konon atas nama bangsa dan negara tercinta. Tetapi hakikatnya apa?
Kejujuran dan keikhlasan yang dilaungkan hanyalah angin semboyan untuk membujuk dan menipu siapa yang disangkakan demikian bodoh dan mudahnya dapat ditipu.
Bertempik bagaikan hendak memecahkan anak tekak tetapi apa sudahnya.
Kemurnian, kehebatan, keaslian. Apa semua itu kalau bukan topeng untuk melindungkan sang boragas haloba yang bersembunyi di dalam diri. Menanti untuk merebut dan membaham segala peluang. Tidak peduli siapa yang dipijak atau siapa yang perlu dituduh tohmah. Asalkan hasrat dan maksud sendiri tergapai.
Sarungkan jubah kewalian kerana itu mudah memukau mata yang memandang. Bicara dan berbahasalah dengan kata sopan kerana itu menjadi bukti orang budiman.
Ah, siapa akan tahu diri sebenar di sebalik segala lakon dan topeng.
Saya tidak menunggu. Saya tidak menunggu.
Tidak!
Oktober 12, 2011
Selasa, Oktober 04, 2011
TANPA MENAMAKAN DIA, ALANGKAH BODOHNYA SAYA
TANPA menamakan siapakah dia, begitulah saya menyebutkannya.
Saya tahu saya mungkin agak kasar dan kata-kata yang saya ucapkan kepada dia itu boleh membuat dia yang tidak akan saya namakan itu berasa tersinggung. Tetapi memang itu pun pilihan saya. Saya ingin berkata kepada dia tanpa berselindung, menyatakan apa yang saya fikir dan rasakan mengenainya, dengan harapan moga dia sudi untuk sedikit berubah dan menjadi lebih bererti.
Tetapi tatkala mendengar demikian jawapan dia, saya jadi kembali teringat percakapan saya yang kurang lebih sama dengan dia kira-kira 10 tahun yang lalu. Memang waktu itu, kurang lebih demikian jugalah jawapan dia dan saya berasa kecewa.
Namun mengenangkan dia adalah kawan dan sahabat, saya ingin berlaku jujur dengan dia. Saya tidak ingin berpura menyukai dan menyanjung karya dia semata-mata agar dia terus menyukai saya sebagai sahabatnya yang baik.
Saya tidak mahu begitu. Andai saya rasakan karya dia kurang menukik dan mendalam kontemplasinya, saya akan menegor dia secara berterus terang.
Memang pun dia tidak perlu berubah menjadi diri orang lain atau mengikut sesuatu secara membuta tuli. Apa lagi untuk dia mengiyakan segala kata-kata "nasihat" saya. Saya tidak mengharapkan dia begitu. Sebaliknya, yang ingin saya lihat adalah perubahan di dalam sikap pengkaryaannya, agar kelihatan lebih berhening, mendalam dan menukik lebih jauh dan murni ke dasar makna.
Tetapi begitulah. Saban tahun dia yang tidak akan saya namakan itu menerbitkan buku dan bila saya katakan kenapa tidak dia meneruskan sesuatu yang sudah dia mulai secara bererti di peringkat awal kehadirannya dahulu, dia menyamakan pula dirinya dengan Chairil Anwar, yang katanya kalau masih hidup juga tentu akan berubah dan menulis sesuatu yang seperti dia.
Saya tahu dia tersinggung dan seperti 10 tahun yang lalu, dia juga memang tidak bersedia menerima walau sedikit pun pendapat dan "nasihat" saya. Saya tidak kecewa tetapi berasa kesal dan sia-sia menasihati seorang kawan yang walau sedikit pun tidak ingin mendengar atau sekejap merenung "nasihat" saya.
Mungkin dia sudah berasa seronok kerana pernah mendapat pujian mengenai cara menulisnya itu daripada seorang ahli akademik, yang menulis sajaknya sendiri pun entahkan apa. Saya agak mungkin kerana itulah maka dia nampaknya walau sedikit pun tidak mahu berubah dan meninggalkan cara menulisnya yang saya rasakan, catatan kata di papan iklan lebih memikat dan memukau perhatian.
Suka hati dialah hendak menulis dan berbuat apa pun. Begitulah akhirnya saya memutuskan. Hidup dan mati dia, suka hati dialah. Untuk apalah saya bodoh dan mengada-ada sangat hendak berlagak lebih cerdik daripada dia.
Begitulah akhirnya saya memutuskan. Begitulah. Dan andai dia yang tidak akan saya namakan itu terbaca catatan saya ini, anggaplah catatan ini pun bukan membawa makna apa-apa kepada diri dia, kerana dia sudah berasa besar dan hebat di dalam dunia ciptaannya sendiri.
Jauh di sudut hati saya berasa terlalu bodoh dan sia-sia kerana bersungguh sangat mahu "menasihati" dia. Walhal, yang patut saya nasihati adalah diri saya sendiri agar tidak terus memperbodohkan dirinya sendiri dengan segala kerja yang sia-sia dan membazirkan waktu serta usianya sendiri.
Ya, sepatutnya itulah.
Oktober 4, 2011
Ahad, Oktober 02, 2011
PEJUANG DAN SENIMAN RAKYAT, PUNDEKLAH
AKU cakap dengan kau. Pundeklah.
Pejuang konon. Pejuang apa? Seniman rakyat. Pergh. Apa yang rakyat? Sebab nama kau bercokol dengan partai yang mengaku berjuang atas nama rakyat, maka kau pun jadilah seniman rakyat?
Woi. Sedar dirilah sikit. Orang lain yang tidak bercokol dengan partai macam kau itu kucing atau kaldaikah mereka itu?
Sudahlah. Sedarlah diri. Sudah tua-tua begini buat apa hendak mengarut dan buang waktu labelkan orang lain berkarya atas nama rakyat atau tidak. Itu semua tidak penting. Tulis dan berkaryalah. Soal kepada atau atas nama rakyat atau tidak bukan kerja kita hendak berkokok dan berkoar.
Janganlah hendak terus menjadi si pundek.
Oktober 2, 2011
Sabtu, Oktober 01, 2011
NADIR BUMI DAN SAYA
SAYA mungkin menurut anda seorang manusia yang sangat bodoh kerana menolak sesuatu projek yang kononnya datang atas nama pembangunan, apa lagi seperti dikatakan anda dan kelompok anda, projek itu bakal memberikan pekerjaan kepada ribuan penduduk dan jiran-jiran sekitar kampung saya.
Tidak mengapalah. Saya sedikit pun tidak berasa tersinggung dengan gelar yang seperti itu. Kata tuduh dan cemuh memang pun selalu menjadi mainan ucap di bibir sesiapa yang apa bila kehendak dan hasratnya tidak mahu diturut serta diikut. Walau yang dianggap atau dituduh bodoh itu pada hakikatnya lebih cerdik daripada manusia cerdik yang berasa dirinya sendiri lebih cerdik itu.
Memanglah anda dan konco-konco anda mencanangkan ke mana-mana tiada apa yang bahaya dengan Kilang itu. Memanglah, anda dan konco-konco anda memang bijak bermain kata-kata.
Memang pun, siapa kata Kilang itu bahaya? Siapa kata? Siapa kata produk atau bahan akhir untuk menghasilkan pelbagai peralatan daripada kilang itu bahaya? Siapa kata? Siapa kata?
Dengan orang yang disangkakan bodoh, begitulah anda dan konco-konco anda mencanang serta mendakwa.
Memang pun Kilang itu tidak bahaya kerana ia hanyalah sebongkah besi dan campuran batu serta simen. Apa yang yang bahayanya kerana ia hanyalah sebuah bangunan kilang yang bercokol gagah yang cara dibangunkan bagai sengaja hendak disembunyi serta disorok?
Begitu juga produk yang dihasilkan daripada apa yang diproses di kilang ini. Katakanlah itu mentol lampu, disk brake atau apa sahajalah alat dan peralatan yang boleh dihasilkan nanti. Memang pun tidak ada apa bahayanya.
Tetapi tidakkah anda dan konco-konco anda tahu dan berfikir ke mana pula sisa daripada kerja-kerja penghasilan bahan dan produk itu hendak dihumbankan? Ke mana? Ke dalam sungai Balok dan langsung mengalir masuk ke dalam laut Balok? Atau ke mana?
Nampaknya, anda ghairah bercerita mengenai duit yang masuk dan bukan berfikir dalam-dalam mengenai kesan jangka panjangnya kepada rakyat dan penduduk sekitar.
Anda mengatakan Kilang itu tidak bahaya memang betullah. Sebabnya, Kilang itu hanyalah nama sebuah syarikat atau kilang. Yang bahaya adalah sisa buangan daripada kilang itu. Sebab itulah banyak penduduk risau dan gelisah. Bagi mereka, kilang itu adalah seekor raksasa rakus yang menunggu masa hendak membaham penduduk sekitarnya.
Sisanya. Itulah yang dirisaukan. Ke mana hendak dihumbankan? Di bawa dan dibuang keluar negeri? Negeri mana yang bangang dan bodoh sanggup menerimanya?
Anda dan konco-konco anda berkata sisa kilang itu tidak berbahaya.
Tetapi kalau tidak berbahaya, kenapa selepas bertahun-tahun kilang yang kurang lebih sama di Bukit Merah, Perak demikian pula halnya. Selepas bertahun-tahun berjuang akhirnya para penduduk sekitarnya berjaya mendapatkan perintah mahkamah agar kilang tersebut ditutup. Tetapi apakah anda tidak tahu atau memang sengaja buat-buat tidak tahu betapa selepas bertahun-tahun kilang itu ditutup, kenapa kerja membersihkan sisanya sampai hari ini masih juga belum selesai? Kenapa sampai begitu sekali halnya kalau tidak bahaya? Kenapa?
Memanglah bagi anda dan konco-konco anda kilang itu tidak bahaya. Sebabnya mudah sahaja. Kilang itu bukan pun berada di sebelah rumah anda. Kalau tidak tentulah anda pun berkeriau dan menjerit juga.
Tidak mengapalah kalau anda mengatakan saya bodoh. Tidak mengapa.
Cuma yang mungkin anda lupa, tidak semua orang boleh begitu mudah diperbodohkan oleh sesiapa pun. Nampaknya memang itulah yang anda lupa atau sengaja buat-buat lupa.
Ah, anda bercakap mengenai ketelusan maklumat. Sudahlah. Janganlah asyik hendak borak dan cuba bodohkan mereka yang anda agak serta fikir boleh terus diperbodohkan.
Sudahlah.
Oktober 1, 2011
Sudahlah.
Oktober 1, 2011
Rabu, September 28, 2011
GUGUR, GUGURKANLAH
KALAU hendak gugurkan, gugurlah. Bukan siapa pun boleh dan berani melarang. Sementelahan kuasa digengaman, buat dan bertindaklah apa suka.
Seperti buah nangka yang diperumpamakan di dalam pantun dan dilagu: Kalau hendak gugur, gugurlah nangka / Jangan menimpa si dahan pauh / Kalau hendak tidur, tidurlah mata / Jangan mengenang si dia yang jauh.
Memang pun sampai masa nanti kau juga boleh gugur bagaikan sebiji nangka buruk. Antara lambat dengan cepat sahaja. Masa itu akan tetap sampai dan tiba. Sebab kita manusia tiada yang hidupnya menongkat ke langit sampai bila-bila.
Gugurlah. Gugurkanlah. Kalau ada siapa hendak nasihat pun bukan hendak kau dengar dan ambil peduli. Yang penting asalkan hati kau rasa puas dan kau yakin boleh memenangi hati yang hendak kau pancing sokong serta undi.
Kau memang lupa atau sengaja buat lupa. Kalau tiada yang meminta bukanlah bermakna mereka bodoh dan dungu.
Kau sedar atau tidak itu?
September 28, 2011
Isnin, September 19, 2011
SEBUAH SAJAK UNTUK BOSS, APARAT YANG MENIPU
BARU setengah jam menduduki kerusi di pejabat dan ketika telefon yang berdering diangkat, terdengar suara seorang kawan. Dia menyebut nama sebuah sajak karya seorang teman penyair. Boleh tolong carikan tak? Boss aku minta carikan.
Menerima permintaan dan pesanan begini bagi saya memang sudah selalu. Ada anak hendak periksa, ada yang minta tolong carikan sajak tertentu kerana anak hendak masuk pertandingan deklamasi sajak.
Kalau memang apa yang diminta itu ada di dalam simpanan, saya sedia membantu. Kalau tiada, cuba pula diusahakan dengan cara-cara lain yang memungkinkan. Hanya, kalau memang sudah tidak berhasil juga, barulah terus terang diberitahu hasilnya.
Memang tidak salah hendak menolong dan saya selalu berusaha untuk menolong kerana tidak mahu dikatakan orang sebagai orang yang berlagak. Lebih-lebih lagi saya hendak mengelak sangat jangan sampai disebut orang sebagai orang sastera yang sombong.
Itu dengan masyarakat awam. Tetapi dengan kawan ini lain. Dia dahulu pernah bersama saya sepuluh atau sebelas tahun yang lalu berteater dengan saya. Jasa dan bantuannya perlu saya kenang juga.
Tetapi yang membuatkan saya sedikit berasa luka, walau pun tinggal satu daerah dan bandar, saya jarang dia hubungi kalau tidak ada yang benar-benar dia perlukan atas urusan pejabatnya. Untuk mengucapkan selamat hari raya setahun sekalipun, seingat saya tidak pernah.
Tetapi sekali lagi kerana tidak mahu dikatakan tidak mahu menolong dan sombong saya berusaha juga. Untuk diapakan sajak itu, tanya saya. Boss aku hendak bacakan di majlis jabatan. Dia yang sebut pasal sajak itu. Kawan itu panjang lebar memberikan jawapan.
Kerana saya tahu kawan itu dahulunya juga pernah menulis dan malah pernah menang salah satu hadiah sastera, saya syorkan dia mencari buku itu langsung di perpustakaan atau di pengedar buku yang memang dia tahu. Memang saya sengaja "menyesyorkan" cara mendapatkan yang agak menyulitkan dan saya tahu bukan itu yang dia harapkan, tetapi saya fikir demi jabatannya dia sepatutnya berusaha secara wajar dan bukan mencari jalan mudah atas nama orang lain untuk kepentingan dirinya.
Saya katakan begitu kerana saya tahu kawan ini adalah seorang pegawai, sedangkan saya hanyalah seorang pekerja biasa yang selalu berusaha untuk menurut perintah, dalam batasan yang wajar.
Tetapi apa yang menjadikan saya memberikan jawap dan saran yang agak tegas begitu kepada kawan ini sebenarnya kerana bila mendengar dia menyebutkan mengenai sajak itu, jauh di dalam hati saya berasa tidak begitu sedap dan seperti ada yang tidak kena. Mungkin itu hanya ramalan atau andaian hati saya. Tetapi saya selalunya memang berhati-hati bila didatangi isyarat sebegitu lebih awal.
Saya fikir urusan mendapatkan sajak untuk seorang boss itu sudah selesai pagi itu.
Rupanya tidak. Kawan itu menelefon lagi di sebelah petangnya. Katanya sajak itu gagal dia dapatkan. Saya suruh dia telusur di internet. Itu pun tidak berhasil katanya. Yang ada cuma judul dan nama penyair tetapi teksnya tiada. Begitu tambah dia lagi.
Saya akhirnya mengalah. Ketegasan saya kendurkan. Saya berasa kasihan dan memujuk diri dengan berkata apa salahnya sekali ini saya membantu kawan yang mahu meraikan bossnya yang mahu membacakan sajak di majlis perhimpunan jabatan.
Saya menelefon seorang sahabat di Kuala Lumpur. Tidak sampai lima minit, sajak itu saya terima lewat email. Sajak itu lengkap dan sempurna dikirimkan oleh sahabat saya itu: judul, kandungan dan nama penyairnya.
Setelah dicetak, sajak itu saya fakskan kepada kawan yang mahu meraikan bossnya yang mahu membacakan sajak di majlis perhimpunan jabatan.
Saya harap, dengan bantuan itu, saya tidak akan sampai dianggap penyair atau orang sastera yang sombong. Saya harap, kawan itu bahagia kerana sudah berjaya menyampaikan niat bossnya yang mahu membacakan sajak di majlis perhimpunan jabatan. Saya harap begitulah dan tugas saya selesailah sudah.
Namun kebenaran itu memang tidak boleh dilindungi. Suatu pagi kurang lebih dua hari selepas peristiwa meminta sajak itu, walau pun tidak dijemput serta diundang, saya tergerak hati untuk datang menjengah dan mendengar apa yang diperkatakan dalam suatu majlis pameran serta forum mengenai pahlawan dan kemerdekaan.
Ketika memsuki dewan, saya terperanggah dan benar-benar rasa ditipu serta dipermainkan.
Sajak seorang kawan yang dipinta oleh dia yang mengatakan untuk dibacakan oleh bossnya dalam satu majlis jabatannya itu saya lihat tertera jelas dengan huruf yang boleh dibaca daripada jauh. Terang dan jelas.
Tetapi, yang membuatkan saya berasa benar-benar dipermain serta diperbodohkan oleh kawan itu, sajak yang dipampangkan jelas di dinding belakang dewan yang berwarna putih itu tanpa nama penulis atau penyairnya. Maksud saya, tajuk dan kandungan sajaknya sahaja yang dipaparkan, tetapi tanpa nama penyairnya. Dengan begitu, di peringkat pemikiran "orang-orang besar" boleh mereka andaikan, seolah yang menulis dan menyediakan sajak itu adalah boss kawan itulah!
Keluar daripada dewan, dengan hati membara saya menelefon kawan itu. Kata saya, saya tidak sangka akan diperbodoh serta dipermainkan sebegitu rupa. Kenapa tidak berterus terang sajak itu untuk acara sedemikian. Atau, kalau sajak itu hendak hendak dipergunakan, kenapa tidak siarkanlah sama nama penyair yang menulisnya!
Dengan selamba dan seolah tanpa sedikit pun rasa bersalah kata maaf dia ucapkan. Semudah itu. Macam meminum segelas air layaknya.
Nampaknya begitulah selalu. Selagi boleh diperguna serta diperbodohkan, gunakanlah peluang itu untuk terus memperbodoh dan mempergunakan penyair atau sasterawan.
Besar atau kecil, begitulah gayanya para pegawai atau aparat. Dalam otak dan hati mereka mungkin penyair dan sasterawan tidak lebih hanyalah seekor kambing!
Saya tidak akan izinkan diri diperbodohkan lagi selepas ini.
September 19, 2011
Sabtu, September 10, 2011
KEPADA PROFESOR DATUK
KALI pertama mendengar Profesor Datuk menyebutnya dahulu di dalam sebuah dewan, saya rasa sangat bangga dan berbesar hati sungguh.
Kenapa tidak? Mengetahui betapa selama ini tanah air yang amat saya cintai ini sebenarnya tidak pernah dijajah dan terjajah, siapa yang tidak senang rasanya di dalam hati?
Waktu itu, barulah saya kali pertama tahu betapa apa yang disebok dan dihebohkan orang-orang keparat selama ini adalah tidak benar.
Rupanya, tanah air yang amat saya cintai ini cuma dinaungi dan dilindungi dan bukan dijajah oleh si penjajah keparat itu.
Tetapi kini, bila Profesor Datuk bercakap dan bersuara lagi mengenai isu tidak pernah dijajah dan terjajah ini, saya sudah tidak lagi memiliki rasa bangga dan menyimpan senang di dalam hati.
Tahukah Profesor Datuk kenapa saya mengatakan begitu?
Jawabnya begini wahai, Profesor Datuk.
Memang benarlah negeri kita ini tidak dijajah serta terjajah dan kita pun bukan rakyat yang dijajah serta terjajah.
Tetapi dalam keadaan yang kononnya benar begitu, kenapa pula kita ini tetap miskin dan selalu berada dalam keadaan bodoh serta takut sehinga sudah ratusan tahun lamanya?
Kenapa boleh jadi begitu wahai, Profesor Datuk? Saya tidak fikir soal ini tidak pernah terfikir di benak akal Profesor Datuk. Kenapakah demikian, wahai Profesor Datuk?
Sebabnya mudah sahaja menurut akal saya yang mungkin tidak berapa cerdik ini wahai, Profesor Datuk.
Walau mungkin benar seperti apa yang dikatakan oleh Profesor Datuk bahawa kita tidak pernah dijajah dan terjajah, tetapi lupakah Profesor Datuk betapa kita sebenarnya hidup dalam keadaan tertipu dan ditipu beratus tahun lamanya?
Kerana itulah kita menjadi bangsa yang takut, miskin dan sentiasa dalam keadaan berjiwa hamba dan secara paksa, rela menjadi hamba terus menerus, di negeri yang kononnya bebas dan merdeka ini.
Malangnya lagi wahai, Profesor Datuk. Siapa yang menipu dan memperbodohkan bangsa kita ini tidak lain adalah bangsa kita sendiri dan kalau ada sesiapa di antara kita yang cuba menunjukkan cerdiknya demi kebaikan serta kemaslahatan bangsanya, orang itu akan kita bunuh, kucil atau humbankan ke dalam laut.
Ah, masakan Profesor Datuk sudah lupa bagaimana nasib Hang Nadim dan Jebat.
Jadi begitulah wahai, Profesor Datuk. Hidup bangsa kita, walau seperti yang didakwa Profesor Datuk tidak pernah dijajah serta terjajah, malah dinaungi dan dilindungi pula, tetapi kita sebenarnya sentiasa ditipu serta diperbodohkan oleh bangsanya sendiri agar menjadi bangsa yang takut serta berjiwa hamba.
Malah ironinya, dalam keadaan dinaungi dan dilindung itulah wahai, Profesor Datuk, segala khazanah kekayaan negeri kita dipunggah dan diranah mereka, dan lebih ironi lagi, anak bangsa kitalah yang bekerja sebagai pengawal segala harta benda dan demi keselamatan kekayaan mereka ketika itu.
Begitulah, Profesor Datuk. Saya tidak peduli kalau Profesor Datuk tidak mahu bersetuju dengan pendapat saya ini.
Hanya, jauh di dalam hati, saya berasa terkilan dan sedih. Segala cerdik pandai dan mereka yang mengaku pemimpin di negeri yang kononnya tidak pernah terjajah serta dijajah ini, kelihatannya, bukannya hendak membantu rakyat marhaen seperti saya bangkit menjadi bangsa yang percaya diri, berani dan merdeka.
Sebaliknya, merekalah yang turut sama bersekongkol untuk terus memperbodoh dan menipu dengan pelbagai cara, demi pangkat, kedudukan dan gelaran serta keuntungan mereka peribadi. Mereka bukannya menjadi pembela tetapi sebaliknya menjadi penjilat serta pengampu golongan di atas sana.
Kerana itulah juga, andai muncul lagi beberapa orang yang cuba menunjukkan cerdik demi kepentingan anak bangsanya, agar tidak terus ditipu serta diperbodohkan, mereka yang sedikit itu kini, menjadi mangsa kecaman serta hujatan, dan tidak mustahil akan menerima nasib yang sama seperti Hang Nadim.
Jadi begitulah wahai, Profesor Datuk. Tragedi Nadim sentiasa berulang dalam sejarah dan budaya kehidupan bangsa Melayu kita. Sebab itulah bangsa kita tidak pernah menjadi bangsa yang maju dan berani, kecuali meneruskan gembong kekayaan serta kuasa hanya untuk segelintir manusia yang berada di atas sana.
Dan manusia itu, tentulah Profesor Datuk tahu dan kenal sipakah mereka. Manusia inilah yang selalu berkoar mengenai keadilan dan kemajuan. Tetapi keadilan dan kemajuan untuk dan demi siapa wahai, Profesor Datuk?
Ah. Ketika para intelektual atau cerdik pandai di sebuah negara sudah mulai atau semakin menjadi penjilat serta pengampu, ke manakah lagi rakyat marhaen seperti saya ini akan mahu dan pergi mengadukan untung nasibnya lagi?
Wahai, Profesor Datuk. Saya semakin menjadi keliru dan tidak tahu. Sungguh. Saya tidak berbohong mengenai itu.
September 9, 2011
Khamis, September 08, 2011
SENYUM DAN SENDIRI: INTRO SEBUAH CERPEN
TIADA siapa selain diri sendiri di kamar ini. Malam sudah semakin larut dan kian dibungkus sunyi. Tiada suara haiwan atau manusia lagi. Masing-masing pada berehat atau beradu. Hanya detik dan detak jam di dinding kudengar tetap setia mencuit sunyi dan sepi di kamar ini.
Aku sendiri di kamar ini. Melayan diri dan mata yang masih belum digayuti kantuk. Di depanku, terpasang monitor yang memancarkan cahaya dan warna. Aku merayau dan membaca sejumlah tulisan daripada pelbagai nama blog di internet.
Sendiri aku tersenyum. Kebodohan selalu meraja dalam pelbagai bentuk dan cara. Ketika menuding orang lain sebagai tidak tahu dan kurang mengerti, kubaca bagaimana si penuding terlalu ingin berlebih dengan lagak dan tahunya.
Diselindung kata sombongnya dengan dalih hujah ilmu dan akal. Tetapi sayang, hujatan dan henyakannya jelas membuktikan lagak yang cuba dia sembunyikan. Betapa, dialah yang maha mengetahui segala dan sesiapa yang tidak bersetuju serta tidak bersedia dan ingin untuk sealiran dengannya, tetaplah bodoh dan tidak berilmu di mata penilaian dia.
Aku tidak pernah ingin berasa sesal dan sebal tatkala membaca dan memahaminya. Memang begitulah resam manusia. Tidak ada gunanya untuk dijadikan sebab untuk bersedih dan sesal.
Memang. Kepongahan dan kebongkakan akan selalu mudah membutakan mata pertimbangan saksama setiap manusia.
Kerana itulah. Selalu aku berharap serta berdoa agar dihindarkan diri menanggung musibah yang sama dan serupa.
Pujian dan penobatan? Ah, itu juga sama musibahnya andai diri kurang waspada serta berhati-hati.
Biarkanlah siapa pun pilihannya, aku tidak fikir terlalu perlu mengejar dan mendambakan. Malah, kurasakan lebih baik hidup seperti apa adanya dan andainya ada juga, biarlah tidak sangat kuocehkan pujian dan penobatan yang terlalu berlebih-lebihan.
Kerana kutahu, yang kukejar dan buru di dalam hidup bukanlah itu.
Apa lagi, ketika usai kubaca bagaimana seorang yang memuji, memuja dan menobatkan seorang yang lain di dalam tulisannya. Sungguh aku berasa simpati seusai membacanya.
Tentulah kerana tidak tahu dan kurang membanyakkan rujukan maka demikianlah ucap puji dan pujanya.
Tetapi itu hak dia yang menulis untuk menyatakan apa pun. Sebagai pembaca, aku kembali merenung melihat ke dalam diri.
Perlukah kusandang segala gelar ketika kutahu sendiri siapa dan di mana diriku? Apa lagi ketika memang kusedar betapa hadirku hanya kerana ingin menyatakan sesuatu dan bukan kerana yang selain itu.
Ah, puji dan puja tidak menjanjikan apa selain seronok yang akan melambungkan bangga yang sangat sementara sifatnya. Demikian juga keji dan hina yang telah, sudah, pernah dan akan kuterima. Tidak akan aku luntur dan mundur semata-mata kerananya.
Aku tahu dan sedar. Aku tidak hidup dan membesar kerana puji dan puja semata-mata. Tetapi kerana gigih berusaha untuk melawan segala dugaan dan cabaran.
Demikian juga segala henyak dan hinaan. Tidak pernah aku ingin mengambil peduli.
Ah, dunia dan manusia. Teruslah kau dengan segala pura dan sandiwaramu. Aku akan tetap begini juga meneruskan jalan hidup serta yakin dan percayaku sendiri.
2
Di kamar ini aku sendiri. Seperti malam-malam sebelumnya. Merenung dan kembali melihat di dalam diri.
Di kamar ini aku sendiri. Seperti malam-malam sebelumnya. Merenung dan kembali melihat di dalam diri.
Di tengah sunyi ini, aku tersenyum sendiri. Membaca kebongkakan dan kebebalan orang lain dan sekaligus juga merenung kebodohan dan kebebalan diriku sendiri.
Aku tahu aku tidak manusia sempurna dan selalu berharap serta berdoa agar tetap di jalan pilih hidupku sejak dulu.
Walau di luar, aku tahu sebahagian besar mereka selalu berkoar dan memperagakan kebongkakan mereka tanpa sebarang rasa malu dan silu.
Aku akan tetap dan terus begini.
bersambung.....
September 7, 2011
Ahad, September 04, 2011
SYAITAN BERTOPENG MANUSIA DI JALAN RAYA
SEMAKIN saya faham dan mengerti kini dakwaan yang pernah saya baca entah di akhbar atau majalah mana yang menyebutkan betapa jalan raya di negara kita sangat mengundang bahaya, yang jika kita walau sedetik terlalai, boleh mengundang padah dan kehilangan nyawa.
Inilah yang saya rasa dan alami ketika memandu pulang selepas menghantar anak saya ke sebuah sekolah berasrama di Kuala Terengganu pada Syawal ke lima semalam.
Keadaan di jalan raya selepas hari perayaan atau cuti am yang panjang sebegitu memang sudah adatlah dengan kerenah kesesakannya. Itu memang sudah saya maklum dan faham. Terlekat dalam jalan sesak memang tidak boleh dielak.
Tetapi saya rasa dan alami, kesesakan bukanlah pun menjadi punca masalah yang sebenarnya. Apa yang menjadi punca masalah adalah sikap sebahagian manusia yang bergelar pemandu di belakang stering kereta masing-masing.
Saya fikir mereka inilah yang tidak sepatutnya dibenarkan duduk di tempat pemandu dan mengemudikan kenderaan. Sikap mereka yang ditunjukkan ketika memandu bukanlah sikap seorang manusia, tetapi laku dan perangai syaitan yang bertopengkan manusia. Golongan yang bertopengkan ini tidak hanya manusia yang tidak meletakkan apa-apa prop di kepalanya, tetapi termasuklah mereka yang bersongkok atau berkopiah juga.
Saya katakan kesesakan dan barisan kereta yang panjangnya berbatu-batu di jalan raya bukanlah masalah kerana memang pun itu kenyataannya. Selagi pemandu mengenderai kenderaannya dengan hati-hati, teratur, mematuhi arahan had laju dan sopan, masalah tidak akan timbul.
Tetapi, tatkala para syaitan bertopengkan manusia bergelar pemandu, yang tanpa sebarang secuil pun rasa malu dan bersalah, mula memotong melalui laluan kecemasan atau lorong tepi untuk motorsikal, menukar lorong sesuka hati dan tiba-tiba tanpa memberikan lampu isyarat terlebih awal, inilah sebenarnya yang mendatang serta menimbulkan masalah dan menyusahkan pemandu lain.
Malah kalau tidak berhati-hati dan bersedia sepanjang masa, kita yang memandu dengan teratur pula yang akan menjadi mangsa dan akibah daripada perbuatan kurang ajar mereka.
Saya katakan betapa para syaitan ini mendatangkan masalah kepada pemandu lain kerana semata-mata untuk memuaskan perangai syaitan mereka, tidak mereka peduli apakah lorong kecemasan atau tepi itu boleh dilolosi atau tidak, tanpa rasa malu dan bersalah, tetap mereka redah juga.
Malah lebih menyakitkan hati dan mencabar sabar, dengan bongkak dan sombongnya kenderaan pemandu lain mereka himpit agar memberi mereka ruang untuk masuk ke dalam laluan, setelah ruang tepi yang mereka redah itu sudah tamat. Sedangkan di belakang, ratusan kereta lain sedang beratur di lorong masing-masing dengan sopan dan sabar!
Kalau kurang sabar dan kurang banyak dibawa mengucap, rasanya, pemandu lain yang bersabar dan bersopan sebelumnya pun boleh juga terikut sama menjadi syaitan seperti mereka. Bila syaitan bertemu syaitan, jadilah bencana yang tidak mustahil boleh sampai ke tahap kehilangan nyawa.
Tetapi sejak mula turun di awal pagi dari rumah, saya memang sudah bertekad dan berniat untuk tidak menukarkan sifat dan wajah manusia saya kepada sifat dan wajah syaitan. Biarlah saya lambat dan perlahan sedikit, saya memilih berada dan bergerak sepanjang masa andai di jalan dua lorong di lorong kiri. Sesiapa yang hendak memecut dan berlumba, silakanlah di lorong kanan.
Tetapi yang peliknya, bergerak di lorong kiri pun masih juga ada syaitan yang bertopengkan manusia. Bayangkan dengan kelajuan 80 atau di tempat tertentu di kawasan kampung 70 atau 60 kmj, masih ada pemandu yang memicit hon kenderaannya bertalu-talu.
Mungkin para syaitan ini menyangka jalan raya di kawasan kampung Jambu Bongkok atau Pulau Kerengga adalah lebuhraya yang had pecutannya adalah 110 kmj.
Jika demikian, memang syaitan mereka ini!
September 4, 2011
Langgan:
Catatan (Atom)

