Sabtu, Mac 31, 2007

BERSAMA KAWAN-KAWAN, MEMBACA SAJAK DI TV (1)

...Tentulah seronok menonton rakaman disiarkan di tv. Menonton diri sendiri beraksi dan membacakan sajak, menonton hasil latihan berminggu-minggu bersama teman-teman di dalam bengkel akhirnya membuahkan hasil juga.
Tetapi selepas itu, selepas bulan demi bulan menanti, ada sesuatu yang tidak juga kunjung tiba. Hendak ditanya terasa malu kerana "pegawai" yang menguruskan di sana mengatakan soal bayaran sudah diuruskan dan tunggulah saja kiriman ceknya.
Seingat diri, selepas rakaman tiada pun sebarang kontrak ditandatangani. Hendak ditanya ketika di studio, malu pula rasanya. Nanti dikatakan pula tidak tahu berterima kasih dan berbahasa. Sudahlah diberi peluang muncul di tv, sebok pula bertanya soal bayaran dan itu ini. Maka diamlah diri.
Tetapi begitulah. Sampai kini, selepas hampir empat atau lima tahun, pegawai berkenaan pun khabarnya sudah pun tidak lagi bertugas di sana, cek bayaran yang dinanti masih juga belum diterima sehingga. Dan diam-diam, saya mengajar diri agar merelakan apa yang sudah terjadi.
Rasa tidak selesa ini tentu juga turut menggoda perasaan teman lain yang terlibat bersama di dalam rakaman tersebut. Mereka juga tentu tertanya-tanya di dalam hati mengenai bayaran. Dan kerana saya yang menyanggupi dengan pegawai berkenaan, tentulah mereka beranggapan soal bayaran juga saya yang menguruskan.
Secara peribadi, saya sudah lama belajar untuk memaaf dan merelakan segala yang terjadi. Semua ini dugaan belaka. Tanpa merusuhkan soal bayaran yang sampai kini masih belum saya terima, waktu saya curahkan untuk terus menulis dan berkarya. Saya kira ini lebih penting dan memang ini pun niat mula saya memasuki dunia ini. Glamour atau menjadi popular bagaikan selebriti pop tidaklah perlu. Yang perlu adalah karya dan puisi saya.
Tetapi, jika ada kalangan kawan-kawan yang berasa semua itu silap saya. Atau semua wang yang diterima sudah disunglap oleh saya, saya pun sudah lama belajar untuk memaafkan segala tohmah atau sangkaan buruk mereka.
Secara logik akalnya, memang mereka berhak untuk memiliki tohmah dan sangka yang demikian. Kalau dinafi atau diberi alasan pun, tentulah sulit untuk mereka terima.
Bagi saya, inilah namanya duga. Adalah mustahil untuk saya hidup dan menjadi penyair, jika tanpa bersedia menerima segala nilai-nilai kepenyairan, juga menerima dan menghadapi risiko serta bahayanya yang lain.

Khamis, Mac 15, 2007

PENGALAMAN BERTEATER 1

MENJADI PELAKON DAN PENOLONG SUTRADARA GELANGGANG TOK WALI

……. Hari ini, kalau ada yang bertanya pengalaman apa yang saya dapat selepas berlakon dan sekaligus menjadi penolong sutradara drama ini, tentu sekali jawab saya adalah ini: mengenal muslihat dan hasad manusia di mana saja adalah penting.

Dan yang paling tidak mudah saya lupakan, meski sampai kini, adalah ini.

Pada suatu hari, sewaktu mahu mengisi borang tuntutan saguhati sebagai jurulatih sambilan di sebuah jabatan yang pada suatu waktu pernah menguruskan pementasan drama ini, saya disuruh oleh seorang kerani yang bertugas agar meniru dan mencontohi cara pengisian borang tuntutan saya itu berdasarkan borang-borang tuntutan yang sedia ada, yang difailkan di dalam sebuah fail berlulit keras.

Sewaktu membelek-belek mencari borang tuntutan yang boleh saya contohi, saya telah menemui sekeping baucer bayaran yang mencatatkan: Bayaran Penyediaan Setting Drama Gelanggang Tok Wali. Nilai bayarannya RM 5000.00. Nama penerimanya: seorang yang memang selalu saya nampak mundar-mandir di pejabat itu, yang saya tidak tahu apa tugas sebenar beliau di situ.

Sekejap saya terkesima. Setahu saya saya, setting untuk pementasan drama Gelanggang Tok Wali dikerjakan secara gotong-royong di antara sesama pelakon dan seluruh tenaga produksi drama ini. Termasuk juga saya. Sementara nama yang tercatat di dalam baucer bayaran sebanyak RM 5000.00 itu seingat saya memang tidak terlibat.

Jadi bagaimana ini? Setahu saya kos produksi drama itu sudah pun dibayar oleh pejabat berkenaan dan saya sudah pun menerima bahagian saya. Begitu juga dengan mereka yang lain yang juga terlibat di dalam produksi ini, baik sebagai pelakon, pemuzik dan tenaga produksi lain.

Tetapi apa pula kisahnya baucer bayaran untuk penyediaan setting ini?

Begitu saya bertanya diam-diam di dalam hati. Dan sampai sekarang saya berasa terkilan. Terkilan memikirkan betapa masih ada manusia yang sanggup mencari jalan untuk mendapatkan sesuatu secara tidak halal untuk sesuatu yang tidak dia lakukan kerjanya. Sedangkan yang dimakannya secara tidak halal itu adalah duit rakyat.

Kerana itu juga, semakin lama semakin saya berasa jauh hati untuk terlibat dengan teater di sini.

Ya, untuk apa saya berjerih kononnya atas nama seni, kalau ada pula pihak lain yang mencari untung di atas angin? Saya sudah muak, jemu dan bosan menjadi alat. Alat untuk pihak lain mendapatkan sesuatu secara tidak halal dan mudah.
Walau siapa pun dia yang melakukan kerja haram itu, secuil pun tidak saya halalkan apa yang dia ambil dan makan atas nama pementasan itu.

Rabu, Mac 14, 2007

AUTOKRASI DAN SENI

AUTOKRASI DALAM KEGIATAN SENI KITA

HIDUP seharian manusia, sama ada secara individu mahupun kelompok yang bermasyarakat sentiasa dilingkungi sistem. Sistem ini, betapa pun sebahagiannya tidak dipersetujui oleh segelintir kecil individu, namun kerana telah disepakati sebagai sesuatu yang mesti diterima oleh kelompok besar di dalam masyarakat, menjadi pengatur atau penetap perilaku serta tata nilai, yang sentiasa menjadi patukan dalam menentukan tindak tanduk setiap anggota yang berada di dalamnya.

Ini juga bererti, kehendak segelintir individu yang kurang menyetujuinya terpaksa tunduk terhadap apa yang telah "membudaya" di dalam masyarakat. Kerana itu jugalah, pelanggaran terhadapnya, selain mengakibatkan tergencatnya kelancaran pelaksanaan sistem yang sedia ada sekaligus juga akan menimbulkan rasa kurang selesa terhadap anggota lain di dalam masyarakat tersebut. Justeru itulah, demi memastikan kepatuhan terhadap sistem yang sedia ada, perarturan lain pula ditetapkan iaitu setiap anggota yang melanggarnya akan "dihukum".

Namun demikian, kerana sistem itu adalah ciptaan manusia maka pasti sajalah tidak terlepas dari cacat dan kecelaannya. Apa lagi jika sistem yang diciptakan itu bersandarkan kepentingan indidvidu-individu yang kebetulan memegang tampuk kekuasaan dan "mencipta" sistem tersebut, walau dipamurkan dengan label apa pun, tidak lain kerana ingin memastikan "kuasa" sentiasa berada digenggamannya dan sekaligus mengekang hak-hak manusiawi lain sebagaimana yang ditetapkan oleh agama dan moral. Hingga akhirnya, memercupkan rasa kurang puas di kalangan anggota masyarakat dan membuahkan protes serta menuntut berlakunya perubahan.

Inilah hakikat sejarah. Tumbangnya era pemerintahan autokrasi dan kuku besi komunis seperti di Rusia dan mendorongnya ke arah perbaikan sistem yang lebih terbuka seperti di China tidak lain adalah sebagai kemuncak dari manifestasi rasa tidak sudi sentiasa hidup terkekang oleh sistem yang sebenarnya bobrok dan hanya berpaksi kepada kepentingan sekelompok individu yang memegang tampuk kuasa semata-mata.

Namun demikian, di banyak negara yang masih belum sepenuhnya dapat lepas dari sistem hidup tradisional yang memberikan tempat terhormat kepada "yang di atas" dan menetapkan "yang di bawah" adalah penerima dan penurut setia, sistem autokrasi ini masih tetap juga berlangsung. Hanya bezanya, kelangsungan ini, kerana masyarakatnya semakin mengenal erti hidup moden serta demokrasi, autokrasi itu menjadi kurang begitu terasa lantaran pengaruhnya lebih bersifat dalaman budaya. Kerana sifatnya dalaman budaya, yang hidup subur secara di bawah sedar, sistem "atas-bawah" ini tetap menyubur, juga secara tanpa sedar.

Dalam erti kata lain, walaupun kita telah mengenal dan memilih jalan hidup yang lebih ke demokrasi, namun secara bawah sedar, ciri autokrasi yang memberhalakan praktis kekuasaan yang bersifat absolut dan tanpa kompromi untuk tanya jawab yang berlebihan masih dianggap sah atau sesuatu yang normal di dalam kehidupan. Praktis ini, walaupun tidak sepenuhnya berlangsung di pihak pusat atau atasan tertinggi, namun di pihak akar umbi yang masih dilingkungi ciri-ciri dan semangat tradisonal yang kental masih berlangsung dan dianggap sah praktis pemikiran "atas-bawah" ini. Sehinggakan dengan demikian, kerana dianggap sah, persoalan "atas dan bawah" ini dianggap sesuatu yang tidak perlu lagi dipersoalkan.

Tentu saja secara garis besar, ini memberikan kesan terhadap cara berfikir dan dalam sikap hidup seharian atau dalam praktisnya. Pertanyaan dengan semangat menggebu yang lebih kritis dan terbuka dari segelintir individu, di pihak yang di atas dianggap sesuatu yang cuba mendabrak "kekuasaan". Sementara bagi pihak yang di bawah pula, kerana menganggap segala yang berlangsung adalah sesuatu yang normal, sikap untuk bertanya serta berfikir kritis dianggap sesuatu yang sia-sia dan membuang waktu. Sehinggakan dengan demikian juga, maka membiaklah sikap penurut yang buta dan menumpulkan daya kecerdasan untuk berfikir secara matang.

Dalam kegiatan kesenian kita, baik seni sastera mahupun teater, ciri-ciri keautokrasian ini masih tetap terasa dan sekaligus juga memberikan impaknya terhadap para penggiat serta perkembangannya. Betapa, dalam banyak segi, kerana kesan autokratiknya yang tebal dari pihak birokrasi yang merasakan dirinya "yang di atas" maka seringkali sebarang kiritik daripada para seniman dianggap sesuatu yang tidak wajar.

Di pihak birokrasi, seringkali merasakan bahawa sebagai "yang di atas" setiap peraturan atau ketetapan yang dibuat atau telah diputuskan, meskipun peraturan atau ketetapan tersebut memberikan kesan sampingan yang menyakitkan kepada pihak seniman yang dianggap sebagai "orang di bawah" tidak boleh tidak mestilah diterima tanpa soal. Dengan sikap autokrasi yang tebal, para birokrasi ini menganggap sebarang ketetapan atau keputusan yang telah dbuat adalah sesuatu yang absolut dan sangat sempurna.

Dalam situasi begini, lantaran di pihak seniman sikap untuk bertanya secara kritis itu memang menjadi suatu kemestian sementara di pihak birokrasi pula lantaran kentalnya semangat autokrasi di dalam dirinya dan menganggap sikap para seniman yang sedemikian itu adalah sesuatu yang kurang wajar, sebanyak sedikit terjadilah konflik di antara ke dua-dua belah pihak.

Suara para seniman yang mempertanyakan hak atau ingin melihat para birokrasi kita kembali meletakkan seni pada tempatnya yang wajar dianggap pertanyaan dari kelompok manusia yang kurang tahu diri dan bersyukur. Keluhan para seniman kita agar nasibnya lebih diperhatikan sejajar dengan gelar negara di hujung namanya serta diberikan lebih kesempatan untuk muncul dengan karyanya di ruang yang lebih terhormat, juga dianggap sebagai iseng dan dengan begitu dirasakan perlu diredamkan dengan cara yang kadang-kadang semakin memperjelaskan sikap autokrasi para birokrasi seni kita.

Sementara di pihak lain, bagi sekelompok seniman yang dianggap sebulu atau sejalan fikirnya dengan para birokrasi seni kita yang bersikap autokratik ini, tidak saja sekadar peluang diberikan malah berlebih-lebihan pula rasanya.

Dilihat hanya pada permukaan dan dalam tempoh waktu yang relatif pendek, memanglah kegiatan seni kita masih ada penerusnya, iaitu para seniman yang sebulu atau dapat berkompromi dengan sikap birokrasi kita yang tebal dengan semangat autokrasinya.

Namun begitu, memberikan ruang yang lebih hanya kepada seniman yang dianggap sebulu dengan birokrasi sehinggakan dalam waktu yang sama memarginalkan pula para seniman yang tidak sepihak, bukanlah suatu iklim kegiatan kesenian kita yang wajar. Malah sejarah sudah banyak membuktikan, tingginya martabat kegiatan kesenian sesuatu bangsa tidak lain kerana adanya kerencaman. Di samping ada dan hidupnya para seniman yang penurut, pada waktu yang sama bertapak kukuh juga para seniman yang sentiasa kritis berfikir secara positif, baik dengan seninya mahupun terhadap para birokrasi.

Dalam kata lain, kegiatan kesenian kita memerlukan sikap yang lebih terbuka. Sikap autokrasi yang terlalu tebal, khususnya di pihak birokrasi seni kita, kalau pun tidak memendekkan hayat para seniman yang sentiasa bersikap kritis secara positif, jelas sekali tidak memberikan manfaat apa-apa terhadap hayat kesenian itu sendiri di segi jangka panjangnya. Bagi mencapai matlamat tersebut, ruang untuk berdialog dan menerima fikiran-fikiran yang kritis, juga secara terbuka di pihak para birokrasi seni kita mestilah kembali dihidupkan. Perasaan lebih super kerana kebetulan berada "di atas" dan menganggap para seniman hanyalah yang "di bawah" sudah waktunya ditukar menjadi sikap dan perasaan yang lebih toleran. Walau pun berada "di atas", namun keberadaan seorang birokrasi itu tidak lain kerana amanah yang telah diserahkan oleh yang "di bawah"

Menghidupkan atau "memelihara" sejumlah seniman yang penurut dan sebulu dengan para birokrasi yang kental dengan semangat autokrasi, semata-mata kerana mahu memudahkan kerja atau pelaksanaan sesuatu dasar dan keputusan yang belum tentu tepat dan sepenuhnya benar hanyalah memberikan keuntungan dalam tempoh waktu pendek. Walhal, di segi sejarah dan jangka panjangnya sikap atau pilihan yang sedemikian rupa hanya akan menampilkan wajah bopeng para birokrasi dan kegiatan kesenian bangsa kita.

Selasa, Mac 13, 2007

KOLEKSI 1

Di kamar sunyi inilah selalu aku bersembunyi dari riuh kota
bergulat sendiri mencari akar makna
Ketegasan percaya dan yakin pada prinsip sasterawinya
membuat aku selalu berasa malu berhadapan dengannya

Bersama Penyair AGI di Rumah Pena, 9 Mac 2007.
AGI antara guru penyair yang mengajar erti kecekalan






KITSCH DAN SASTERA

ANTARA KITSCH DAN SASTERA

SIKAP sebahagian kalangan dalam menanggapi persoalan atau dakwaan betapa semakin menyusutnya minat khalayak terhadap karya sastera kita dengan cara meletakkan kesalahan seratus peratus ke bahu para sasterawan kerana kononnya terlalu ghairah menghasilkan karya-karya yang sulit difahami serta berbentuk eksperimen jelas merupakan suatu tindakan yang sangat terburu nafsu.

Dari pihak atau kalangan sasterawan yang menganggap kerja sasteranya sebagai suatu wadah menyuburkan intelek peribadi serta khalayak pembacanya pasti sajalah dakwaan terhadap karya-karya mereka yang dilabelkan sebagai "karya eksperimen" serta "sulit difahami" sebegini dalam waktu yang sama akan menimbulkan pula persoalan yang lain sebagai lanjutannya.

Persoalan tersebut ialah betapa tidakkah dengan dakwaan serta batasan yang sedemikian rupa itu merupakan satu petanda bahawa sudah mulai kembali menyubur iklim kurang sihat yang cuba menafikan fungsi karya sastera sebagai wadah atau gelanggang tempat mencanai intelek dan sebaliknya, apa yang dituntut dari sebuah karya sastera tidak lain hanyalah sebagai tempat menyuguhkan hiburan dan amanat secara polos semata-mata.

Tanggapan atau persoalan ini lebih diperkukuhkan lagi bila dihubungkan dengan hujah oleh pihak di sebelah sana yang menyebutkan betapa sebuah karya sastera tidak perlu terlalu disaratkan dengan pelbagai keserabutan di dalamnya sehingga memeningkan minda pembaca.

Tentu sajalah tuntutan serta batasan yang sedemikian sempit ini, walaupun didalihkan dengan hujah untuk kembali menarik khalayak terhadap karya sastera serta sebagai suatu titik kembali untuk meletakkan karya sastera kita pada tahap yang sewajarnya, kononnya, tidak akan dapat diterima oleh para sasterawan yang benar-benar memahami hakikat serta kediriannya

Betapa pun benar kenyataan bahawa hubungan timbal balik di antara khalayak dengan karya sastera baru menjadi lengkap bila mana terjadinya interaksi serta komunikasi di antara kedua-dua belah pihak, namun dalam upaya ingin mencapai matlamat tersebut, seorang sasterawan yang sejati tidak pernah merasa perlu untuk mengacuhkan publik yang mendatangi karya sastera bagaikan mendatangi sebuah "rumah hiburan" semata-mata.

Dalam kata lain, bagi seorang sasterawan yang sejati dan benar-benar memahami peranan kesasterawanannya, apa yang menjadi mauduk utama pengkaryaannya bukanlah untuk menyuguhkan "karya-karya hiburan" yang sangat mudah difahami dan bersifat murahan kepada khalayak. Sebaliknya, sebagai seorang sasterawan yang meletakkan karya sasteranya setingkat lebih tinggi dari taraf "hiburan" tidak lain dan tidak bukan "niatnya adalah mahu mengajak publik sama merenung dan berfikir -- lebih jauh lagi mendalam mengenai diri, persekitaran, masyarakat dan kehidupannya sendiri.

Sehubungan itu, andai kata dunia serta persekitaran yang melingkungi diri sasterawan serta khalayak pembacanya ternyata memang sulit serta berserabut, dengan segala macam peristiwa kekejaman dan pencerobohan yang sulit dapat diterima oleh akal sihat kemanusiaan, maka kesulitan serta keserabutan itulah yang akan dituangkan di dalam karya. Mendepani dunia serta persekitaran yang sedemikian rupa itulah sebenarnya karya-karya sastera yang didakwakan sebagai "sulit" dan "berserabut" serta kononnya bereksperimen itu menempatkan dirinya. Dalam kata lain, sulit dan berserabut karyanya itu bukanlah semata-mata kerana niat sasterawan mahu bereksperimen atau sengaja hendak mempersulitkannya. Malah itu semua tidak lain merupakan refleksi dari penghayatan sasterawan yang dituangkan ke dalam karya dengan cara menggambarkan pelbagai tindak manusia dan sekaligus juga memberikan isyarat awal betapa manusia segelintir darinya telah semakin hilang sifat-sifat kemaknusiawiannya.

Lebih jelas lagi, sasterawan cuba memberikan alternatif baru untuk mengggambar segala sifat buruk manusia dan sekaligus juga memaparkan keserabutannya lewat simbol, tanda serta penanda tertentu, yang mana sangat terasa sulit untuk dipaparkan secara realiti atau tiruan yang polos. Justeru itu, lantaran sedemikian banyaknya simbol, tanda serta penanda yang telah dipergunakan oleh pengarang di dalam karya sebegini serta makna yang dihidangkannya bersifat ganda, tentu sajalah proses pembacaannya perlulah mengalami proses ulang serta penghayatan penuh.

Sebagai contohnya, Budi Darma, salah seorang pengarang yang dianggap terkuat di Indonesia, telah mengungkap suatu sosok keperibadian seorang manusia yang tidak masuk akal di dalam novelnya Rafilus (Balai Pustaka: 1988), sebagai suatu sindiran terhadap manusia yang tega berbuat apa sahaja untuk mencapai kehendak peribadinya dengan cara melukiskannya sebagai manusia yang terbuat dari besi.

Sementara dari kalangan pengarang mapan di tanahair, pemanfaatan serta penggunaan simbol dan tanda dapat ditemui dari karya-karya seperti antaranya Anwar Ridhwan (Di Negeri Belalang), Othman Puteh (Matra, Tasik dan Laut), Shahnon Ahmad (Tok Guru), S. Othman Kelantan (Ruang Perjalanan) dan dari kalangan lebih terkini pula ialah karya-karya Zaen Kasturi (Yuda), Daeng Ramliakil (Korporat), Muhd Nasruddin Dasuki (Purbawisesa) dan S. M Zakir (Merengkuh Langit).

Tentu sajalah dalam mendepani karya-karya sebegini akan terasa sulit dan berserabut jika didatangi bagaikan mendatangi sebuah rumah hiburan. Dan dalam hubungan ini juga, ternyata dakwaan oleh segelintir kalangan yang dijadikan titik tolak tulisan ini secara jelas membuktikan betapa mereka telah salah meletakkan posisi dirinya dalam menanggapi karya-karya sebegini. Bagi kalangan ini, sebuah karya agar dapat diterima oleh khalayak atau benar-benar bermartabat sastera mestilah dapat menyenangkan sebanyak mungkin publik dan dengan cara yang sangat mudah difahami. Dengan begitu, karya-karya sebegini akan dialu datang dengan tepok tangan bergemuruh kerana "tidak terasing dari masyarakatnya". Sehinggakan, dengan demikian juga, segala persoalan kehidupan dan dunia, dapat segera dimengerti tanpa kepedihan dalam merenungi dan bertanya secara kritis.

Atau dalam kata lain, sebuah karya, agar tidak memening dan menyerabutkan minda khalayak mestilah bermartabatkan kitsch. Kitsch dalam erti kata seni yang murah dan picisan atau pernah disebut Umberto Eco sebagai "sebuah dusta struktural".
Sementara bagi Milan Kundera pula dianggapnya sebagai "penerjemahan kebodohan idea-idea yang tinggal diterima ke dalam bahasa keindahan dan perasaan."

Mungkin kerana didorong oleh rasa kurang senang terhadap godaan untuk lebih menghargai kitsch inilah, maka Goenawan Mohamad, dalam tulisannya di majalah Tempo keluaran 14 September 1985, memberikan pandangan yang agak sinis.

Beliau, antara lain, dengan memetik pandangan Milan Kundera, menyebutkan betapa dengan memberikan tempat terhormat terhadap karya yang bermartabatkan kitsch kita hanya akan mengulang-ulang ide yang sudah dimamah biak, kesimpulan yang tinggal diterima dan disuapkan. Maka itu, disimpulkan oleh Goenawan Mohamad, lantaran godaan hebat ini, orang-orang yang seharusnya mempergunakan sepenuhnya daya kreatifnya pun terjun menghambur ke khalayak ramai. Mereka ini kemudiannya digelar tokoh publik, jurubicara, penyambung lidah masyarakat dan lain-lain sebutan, yang sebenarnya menunjukkan bahawa yang terjadi hanyalah sejumlah fotokopi belaka.

Tentu saja, dalam membicarakan persoalan di antara kitsch dengan sastera ini tidak bererti apa saja karya yang mudah difahami akan ditanggapi sebagai kitsch. Tangapan ini lebih berupa suatu pertanyaan kembali terhadap gesaan sebahagian pihak yang terlalu ghairah memberikan batasan agar para sasterawan kita tidak menghasilkan karya-karya yang sulit untuk difahami dengan alasan akan menyulit dan sekaligus menghalau khalayak daripada karya sastera.

Seorang sasterawan yang sejati, lebih-lebih lagi yang hidup dan berkembang di abad 21 ini tentu sajalah tidak akan mudah menerima gesaan sedemikian rupa.Hanya yang menjadi soalnya, sesanggup manakah mereka memilih untuk berjerih di dalam berkarya dan sekaligus juga lantaran karyanya semakin sukar mendapat tempat, sanggupkah mencari wadah yang lain sebagai alternatif, agar tidak berterusan tunduk terhadap tuntutan segelintir pihak yang lebih mementingkan kitsch ketimbang karya yang benar-benar sastera.

Tepok dada tanyalah selera.

Khamis, Mac 08, 2007

BEZA CERPEN DENGAN CERITA

ANTARA CERPEN DAN CERITA DI MANAKAH TERLETAKNYA TITIK UKUR YANG MENJADI BATU SEMPADAN?

Titik ukur yang menjadi batu sempadan di antara cerpen dan cerita adalah sebatas kulit bawang atau seperti menarik rambut di dalam tepong. Namun sebagai garis pandu secara umum, masih terdapat sedikit garis yang kasat mata sebagai "pemisah".

Pemisahnya, walaupun cerpen itu tidak lain adalah sebuah cerita atau bertolak dari sebuah "cerita", tetapi cerita yang dijadikan "cerpen" (tentu saja cerita + pendek) adalah cerita yang telah pun diberikan bumbu atau solekan. Tanpa bumbu atau solekan tersebut, cerita baru dalam bentuk bahan mentah.

Jadinya, untuk mengelak sifat "bahan mentahnya" itu, sebagai sifat tambah yang baru, cerita yang dijadikan cerpen telah dipakaikan baju imaginasi, penyamaran, pelupusan, malah kadang-kala diperlebih-lebihkan pula. Kerana itu jugalah, kalau mahu dicari sesuatu yang benar-benar sreg, fit, kena serta aktual dengan sesuatu yang faktual, dari sebuah cerpen yang lahir dari tangan seorang pengarang yang benar-benar menginsafi keterbatasan sifat maknusiawinya, tentu saja itu sudah jauh berputar atau tergelincir 180 atau 360 darjah.

Maksudnya dari kalangan pengarang yang ini, mereka tidak mahu membawa peranan meniru atau menyalin realiti, itu bukan tugas mereka, tetapi peranan yang lebih berkuasa dari segala-galanya. Pengarang kalangan ini, hanya mengemukakan sedikit biasan atau kesan dari sesuatu, hanya sedikit. Seperti menggambarkan api, apa yang dipaparkan hanyalah kesannya, yang hangus, yang terbakar, tetapi bukan (kononnya) mahu menyalin api itu sendiri.

Tentu saja sebahagian orang merasa kecewa dengan sikap pengarang yang begini. Mereka berkoar dan bertanya: Mana realitas sosial dalam cerpen-cerpen kita? Wah, hebatnya. Walhal, realitas itu sendiri merupakan kata yang sangat abstrak dan tak sepenuhnya mereka mengertikan luar dalamnya.

Apapun, pokoknya terserah masing-masing pengaranglah. Apakah mahu mengarang cerpen atau mengarang cerita. Kitakan hidup di negara demokrasi. Jadi bebas memilih. Kita tidak perlu saling mengacung tinju dan mengatakan mereka lebih suci, mulia dan terhormat ketimbang diri orang lain.

Semoga menjawab kemusykilan anda.

BAGAIMANAKAH MAHU MENGHASILKAN SUATU KARYA YANG SEGAR

BAGAIMANAKAH MAHU MENGHASILKAN SUATU KARYA YANG BERSIFAT SEGAR DAN TIDAK STREOTAIP?

Kesegaran karya dapat dicapai bila dalam menciptakannya pengarang berusaha untuk menjauhi serta mengelak mengulang-ulang klise di segi pengucapan, pemilihan kata-kata dan mungkin juga di segi bentuk. Katakanlah sebuah puisi, mengulang lagi ungkapan “sekali bererti sesudah itu mati”, “aku ini binatang jalang dari kumpulan yang terbuang”, yang digunakan penyair Chairil Anwar di dalam sajaknya tentulah terasa sangat klise dan membosankan. Jadi pengarang mahupun penyair harus berusaha bermatian-matian mencari dan mencipta ungkapan-ungkapan baru. Ini memang kerja yang sukar dan menuntut ketahanan mental dan diri yang tidak calang-calang. Harus rajin melakukan penerokaan dalam berbahasa.

Di segi bentuk pula, mungkin tidaklah perlu dilakukan secara ekstrim. Yang membedakan sebuah karya seorang pengarang dengan yang lain adalah adanya unsur-unsur kelainan sama ada di segi pemilihan kata-kata dan cara mengungkapkan sesuatu idea. Alat utamanya ialah bahasa. Bagaimana kata dan bahasa dimanfaatkan serta dipergunakan pengarang atau penyair dalam sesebuah karyanya, selain menampilkan cirri keperibadian pengarang mahu pun penyairnya, juga dapat memberikan rasa kesegaran dan mengelak streotaip.

Semoga menjawab kemusykilan anda.

BAGAIMANA ELAK KEBEKUAN IDEA

BAGAIMANAKAH CARANYA UNTUK MEROBOH TEMBOK YANG MENJADI PEMBEKU IDEA TATKALA KEPUTUSAN IDEA?

Pelbagai sebab terjadinya kebekuan idea. Banyak yang bergolak di sekitar tetapi diri tidak terangsang untuk berikan reaksi. Dalam kata lain, hati dan perasaan telah menjadi keras,kaku. Sedangkan, seorang sasterawan mahu tidak mahu mesti sentiasa mengaktifkan hati serta perasaan dalamannya. Juga imaginasinya. Tanpa mengaktifkan hati, perasaan dan imaginasi, seorang sasterawan (yang seniman) akan menjadi beku, tidak sensitif, tidak peka.

Idea sebenarnya tidak pernah beku. Idea sentiasa ada. Hanya lagi sang tubuh yang memiliki hati, perasaan dan imaginasi itu yang tidak peka, sengaja menjadikannya kaku lagi beku. Jadinya, peroboh tembok bagi kebekuan idea itu (tetapi idea sentiasa ada di mana-mana) tidak lain dan tidak bukan dengan cara sentiasa mengaktifkan instrumen-instrumen (hati, perasaan dan imaginasi) tersebut.

Jadinya diri memerlukan juga waktu untuk berhening. Bersunyi barang sejenak untuk kembali menelusur ke daerah dalaman dirinya sendiri. Bertanya apa yang telah dan sudah diperbuat untuk hidup seharian, juga hidup kesenimanannya. Kegaduhan, keriuhan tidak memungkinkan waktu untuk benar-benar berhening. Jadinya carilah waktu yang sesuai. Saya seringkali mencari waktu itu seusai solat dan kerap juga saat melalui pengalaman perit dan di tengah rasa marah.

Dengan kepekaan, berhening, menukar peristiwa pahit atau rasa marah sebagai motivasi, memungkin tembok kebekuan idea dirobohkan. Mahu tidak mahu, upaya meroboh rasa malas, terlalu ingin bersantai atau berenak-enak di dalam diri itu perlu dirobohkan dulu!

Semoga menjawab kemusykilan anda.

Rabu, Mac 07, 2007

CATATAN BUAT MATAHARI

Oleh MARSLI N.O

Berabad kuseret rawan hatiku
melintasi kolong dan ruang
yang terlalu pengap diasaki sunyi
sehingga bibirku yang menggeletar ini
pun tidak lagi mampu mengucapkan
nyanyi

tak kutahu ke mana lagi kaki akan melangkah
mencarimu, aduhai kekasih
yang selalu kuimpikan agar hadir di dalam lelap
untuk berkali kucumbu dan kalau nanti jasadku hangus
terbakar
segalanya telah kuserahkan
kepada tangan takdir yang sangat berahsia
di antara kita

ke mana lagi akan kucari dikau
ketika setiap ruang dan kolong yang kusinggah
semakin memesongkan petunjuk dan tanya yang kulontar
kembali menggaungkan soal sehingga aku menjadi lemas
dan terbata-bata

seperti segala nama yang pernah diucap tetapi tidak lama
di dalam ingatan
atau bukit, hutan dan sungai yang semakin menjadi temaram
ketika kabut semakin menebal dan kita
kembali termangu sendirian.

Kampung Genting, Tioman
6 Mei, 2001

Disiarkan di Dewan Sastera, September, 2001
dengan judul "Catatan Bunga Matahari"

MENTERNAK HANTU*

Oleh MARSLI N.O

AKU lama tercenung di hadapan pintu pagar yang kejap dibelit rantai dan bermangga kunci itu. Pandanganku tercanak ke arah papan tanda berukuran 3 kali lapan kaki di bahagian atasnya. “Ladang menternak hantu,” begitu tanpa suara kubaca huruf yang tertera jelas di papan tanda.

Sudah jelas sekarang. Kini bukan gurauan atau momokan lagi. Apa yang kudengar selama ini sudah sah terpampang di depan mataku. Aku sekarang memang sedang berdiri di depan pintu pagar sebuah ladang menternak hantu. Dan pemiliknya? Juga sudah kuketahui siapa.

Jika dulu aku hanya mendengar cerita dari mulut beberapa kawan dan cerita itu kuanggap hanya gurauan atau momokan, kini tidak lagi. Sudah sahlah kini bahawa kawan yang satu ini memang sudah menjadi pemilik ladang menternak hantu. Suatu perusahaan atau bisnes yang setahuku, hanya dialah satu-satunya manusia di daerah ini yang sanggup menghadapi segala risikonya.

Kenapa tidak? Orang lain, kukira seperti juga diriku, usahkan hendak menternak, mendengar nama hantu pun sudah berasa kecut. Berkawan dengannya? Setahuku hanya bomoh dan dukun handal saja yang boleh atau berani berkawan dengan hantu. Dan menyebut bab hantu ini, kukira semua orang pun tahu betapa laku dan peri perangainya. Bukan boleh dipercayai atau boleh hendak dibuat kawan. Tidak kena gaya, atau menurut kata orang tua-tua, kalau kurang diberi makan, kita pula yang akan dikerkahnya balik.

Tetapi kawan yang satu ini? Bukan setakat berkawan, tetapi dia sudah menjadi penternaknya. Ketika kali pertama mendengarnya dulu, aku berasa hairan juga. Apa faedahnya membuat kerja gila dan bodoh ini? Kau tak tahu? Begitu tanya kawan yang membawa cerita itu kepadaku. Tentu saja aku yang memang tidak tahu apa-apa mengenainya menjawab tanya itu dengan gelengan kepala. Dan kawan yang bertanya itu pun mula bercerita.

Menurutnya, tujuan hantu-hantu itu diternak oleh kawan yang satu ini tidak lain untuk dijual atau disewakan kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan khidmat dari hantu-hantu belaannya itu. Menurut kawan itu lagi, sudah banyak orang yang membeli dan menyewa khidmat hantu-hantu ternakan kawan yang satu ini. Dan kata kawan itu lagi, menurut cerita beberapa orang yang sudah membeli hantu dari ladang ternakan kawan yang satu ini, hantu-hantu tersebut memang boleh diharap untuk menunaikan apa saja suruhan tuan baru yang membelinya.

Begitu juga jika disewa perkhidmatannya, menurut cerita kawan itu, hantu-hantu dari ladang ternakan kawan yang satu ini memang setia dan penurut apa saja perintah atau arahan penyewanya.

Tetapi aku masih tidak faham dan mengerti. Apa perlunya hantu kepada manusia di zaman moden dan serba canggih ini? Dan mereka yang menyewa khidmat hantu-hantu itu pula, khidmat apa sesungguhnya yang mereka perlukan? Tanpa suara, bertalu-talu kuajukan tanya kepada diriku sendiri.

Memang, sewaktu kecil aku pernah mendengar nenek atau datuk bercerita mengenai orang yang memelihara hantu seperti polong, pelesit atau hantu raya. Tetapi itu dulu. Sewaktu bangsaku yang bernama Melayu ini masih belum mengenal makna kemajuan serta kemodenan. Tetapi kini? Apa perlunya lagi? Bukankah segalanya dapat diselesaikan dengan sains serta teknologi?

Sungguh aku tidak mengerti. Dan dalam keadaan aku masih tercenung-cenung begitu, tiba-tiba aku mendengar namaku diseru beberapa kali. Ketika kutolehkan pandangan ke arah datangnya suara itu, kelihatan kawan yang satu ini sedang tersengih-sengih mempamerkan jajaran giginya yang agak kuning dan jarang-jarang itu.

“Dah lama kau sampai?” tanya dia. Aku menjawab tanyanya dengan anggukan. Dan kulihat kawan yang satu ini mengeluarkan seberkas kunci dari sakunya.

Melihat seberkas kunci di tangannya, aku secara automatis teringatkan judul kumpulan puisi penyair T. Alias Taib yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Marilah masuk. Nanti kubukakan pintu,” kata dia lagi. Aku segera memegang pintu pagar dan menghalang dia membukakan kuncinya. Dia bertanya kenapa. Kukatakan kepada dia bahawa aku tidak mahu masuk dan hanya mahu berdiri di luar pagar sahaja.

Dia yang barangkali memahami apa yang sedang aku fikirkan kulihat kembali tersengih-sengih mempamerkan jajaran giginya yang agak kuning dan jarang-jarang itu.

“Cukuplah aku berdiri di sini saja,” tegasku.

“Terserah kaulah. Jangan nanti kau katakan aku sombong pula. Tidak sudi mengajak kau masuk melawat ladang ternakanku ini,” balas dia.

“Kau jangan berasa hati. Terus terang aku katakan. Aku berasa seram hendak masuk,” akhirnya aku mengaku terus terang.

“Aku tahu. Bukan kau saja. Kalau tiada sesuatu yang benar-benar perlu atau mendesak, tiada siapa yang sudi hendak masuk atau menjengok ladang aku ini,” kawan yang satu ini membalas kata-kataku. “Malah sejak aku memulakan perusahaan ini, semua kawan-kawan nampaknya sudah menjauhkan diri dari aku. Tetapi aku tidak kisahkan itu semua. Aku rasa, berkawan dengan hantu-hantu belaanku lebih baik daripada berkawan dengan manusia,” dia menambah lagi.

“Kenapa kau cakap macam tu?” aku bertanya lagi. Sengaja hendak mencungkil rahsia.

“Dengan hantu, aku sudah jelas tahu identiti dirinya. Tetapi dengan manusia, belum tentu mereka itu benar-benar manusia atau hantu,” jawab kawan yang satu ini.

Ah, hendak berfalsafah pula dia ini. Begitu aku merungut di dalam hati. Aku tersenyum.

Jadi kau berasa seronoklah berkawan dengan hantu, aku bertanya lagi. Kata dia bukan soal seronok atau tidak, tetapi, dia mengaku berterus terang, bahawa dia sudah bosan berkawan dengan manusia yang kebanyakannya di depan bercakap lain dan bila di belakang lain pula bunyi dan maksudnya.

Dengan hantu, kata dia lagi, tidak demikian. Kalau putih, putihlah kata dia, dan selalunya hantu tidak banyak bercakap tetapi hanya tahu menurut apa saja yang kita sebagai tuannya telah perintahkan. Begitu dia menambah.

“Aku dengar ramai orang yang datang membeli atau menyewa perkhidmatan hantu-hantu ternakan kau?” secara tidak langsung aku menyambung tanya.

Dia mengakuinya. “Malah, kalau orang tahu usaha menternak hantu-hantu ini mendatangkan hasil yang lumayan, tentu mereka pun akan berebut-berebut hendak membuka ladang ternakan macam aku ini,” dia membuka sedikit rahsia. Tetapi kalau macam itu susah juga aku, aku tidak suka kalau ini yang terjadi, kalau tidak kena gaya, bila terlalu banyak saingan, bisnes aku ini boleh lingkup juga. Begitu dia terus membuka rahsia dan mengaku.

Aku tanyakan untuk apa sebenarnya mereka datang membeli atau menyewa perkhidmatan hantu-hantu di ladang ternakannya itu.

Kau tak tahu? Dia mengajukan tanya kepadaku dan kembali mempamerkan jajaran giginya yang agak kuning dan jarang-jarang itu.

Aku menggeleng-geleng.

Dia memberitahuku bahawa mereka yang datang membeli atau menyewa perkhidmatan hantu-hantu di ladang ternakannya itu kebanyakannya orang-orang yang kaya dan ahli-ahli politik. Tetapi ada juga dari kalangan yang bukan orang kaya atau ahli politik, tetapi jumlahnya tidaklah seramai golongan yang pertama itu. Kalangan yang bukan orang kaya atau ahli politik ini biasanya tidak membeli tetapi hanya menyewa saja. Kata mereka kerana tidak mahu terlalu lama berhubungan atau berurusan dengan hantu. Atau kata lainnya, mereka tidak mahu ada komitmen dengan hantu. Takut nanti, bila diketahui oleh orang, mereka khuatir imej mereka (kononnyalah) sebagai manusia baik akan tercemar.

Siapa kalangan yang kau maksudkan ini? Tanyaku. Mulanya kulihat dia agak keberatan juga hendak memberitahu. Tetapi setelah aku terus mendesak dia berkali-kali dan berjanji tidak akan ceritakan kepada sesiapa mengenainya, barulah dia bersedia untuk memberitahu.

Menurut dia, kalangan yang bukan orang kaya atau ahli politik ini yang paling ramainya ialah penulis atau orang-orang yang terlibat dengan persatuan penulis.

Pelik juga aku. Kenapa? Tanyaku tidak sabar.

Aku pun tidak tahu, itu kau kena tanya merekalah, jawab dia.

Setahu aku kebanyakan penulis ini atau orang yang terlibat dengan persatuan penulis adalah manusia yang tebal dengan idealisme kemanusiaan serta moralnya, tetapi kenapa pula mereka sanggup menyewa perkhidmatan hantu dari ladang ternakan kau ini? tanyaku lagi.

Itu kata kau, tapi dalam hati mereka mana kau tahu tebal atau tidak idealisme kemanusian serta moralnya? Dia kembali menyanggah dengan tanyanya. Malah dari cerita hantu-hantu ternakanku yang khidmatnya disewa oleh mereka, perintah yang selalu diberikan kepada hantu-hantu itu oleh mereka ialah supaya mengganggu atau pergi mengkerkah musuh sesama penulisnya. Sudah beberapa orang penulis jatuh sakit kerana itu. Tetapi aku tidak boleh dipersalahkan dalam soal ini. Aku cuma menyediakan perkhidmatan dan sebagai adatnya orang berniaga, aku mesti tunaikan kehendak pelangganku. Soal dosa biarlah ditanggung oleh mereka yang menyewa perkhidmatan hantu-hantu dari ladang ternakanku ini. Dia berkata lagi, seolah-olah sudah dapat menduga betapa soal berdosa itu akan aku timbulkan.

Bagi golongan orang-orang kaya pula, kata dia, tujuan mereka membeli dan hendak memelihara hantu itu ialah untuk menjaga keselamatan keluarga serta harta benda mereka. Kalau ada sesiapa yang cuba mengusik harta atau keluarga mereka, hantu belaan mereka itu akan segera mengusik sebagai tanda amaran pertama dan kalau ada yang masih berdegil juga, hantu itu akan segera mengkerkah mereka. Sementara bagi golongan ahli-ahli politik pula ialah supaya kedudukan mereka sebagai ahli politik tidak berani diganggu serta digugat oleh mana-mana musuhnya dan jika ada musuh-musuhnya yang cuba berbuat demikian, hantu-hantu itu akan diperintahkan supaya menakut-nakutkan musuh-musuh mereka. Dari apa yang diberitahu kepadaku, bila telah ditakut-takutkan oleh hantu-hantu itu, musuh-musuh mereka tidak akan berani lagi hendak mencari fasal dengan mereka. Begitu dia berkata lagi.

Tetapi tidakkah perbuatan mereka itu suatu kesalahan di segi undang-undang?

Engkau ini memang ketinggalan sungguh, dia segera mencelah bila mendengar kata-kataku itu. Namanya kerja hantu, hantu mana boleh dilihat dan kesan? Kata dia.

Betul juga, tanpa suara aku berkata kepada diriku sendiri. Mulanya aku hendak juga bertanya mengenai harga setiap ekor hantu yang telah dia jual atau berapa sewa untuk khidmat seekor hantu itu bagi sehari, tetapi soalan itu tidak jadi kuajukan bila aku fikirkan buat apa hendak kutanya dan aku pun memang tidak berminat hendak membela atau menyewa perkhidmatan hantu dari ladang ternakannya itu.

Sebenarnya hantu-hantu di ladang ternakan kau itu kau berikan makanan apa? Langsung kini aku mengajukan soalan itu.

Kudengar dia ketawa terbahak-bahak.

Walau pun di dalam hati aku berasa agak bengang juga bila mendengar ketawanya itu, namun agar tidak terlalu menampakkan rasa kurang senangku itu, aku mempamerkan senyum.

Sebenarnya banyak orang tidak tahu, membela hantu ini sebenarnya sungguh mudah. Begitu kata dia. Kau tentu tidak percaya kalau aku katakan makanan mereka cuma kertas surat khabar dan majalah, khususnya surat khabar dan majalah dalam bahasa kita. Kata dia lagi.

Pelik sungguh, tanpa sedar terkeluar kata itu dari mulutku.

Tiada yang peliknya. Dulu aku pernah berikan mereka daging tetapi aku lihat mereka tidak berminat. Kemudian aku berikan najis lembu, itu lagi mereka tidak suka dan hantu-hantu itu kulihat semakin kurus. Sehinggalah pada suatu hari, entah macam mana, aku datang melawat ladang ternakan aku itu sambil mengepit senaskhah surat khabar, niat aku hendak kubaca bila ada masa lapang sedikit. Tidak aku sangka, hantu-hantu yang sedang bercokol di dalam kandang masing-masing itu aku lihat datang menerkam dan menjelir-jelirkan lidahnya. Salah seekor daripada hantu itu berjaya merampas surat khabar dari kepitanku. Mulanya aku berasa hendak marah dan mendera hantu yang kurang ajar itu. Tetapi bila aku lihat dia begitu asyik menatap surat khabar itu dan dalam sekelip mata kulihat tubuhnya jadi segar dan bugar semula, aku pun mendapat idea baru. Aku fikir daripada menghabiskan duit untuk membeli daging sebagai makanan mereka atau menyusahkan diri menjadi kuli untuk mengangkut najis lembu, kenapa tidak aku berikan saja surat khabar. Bukan saja kerjaku menjadi lebih mudah, malah harganya pun murah, kalau surat khabar lama aku boleh beli kira timbang kilo.

Begitu panjang lebar dia berkata dan aku, sebagai tanda sangat berminat atau memberikan perhatian penuh terhadap ceritanya itu, berkali-kali menangguk-anggukkan kepala.

Tanpa aku pinta, dia bercerita lagi. Mula-mula dulu, aku borong dan beli apa saja surat khabar tidak kira surat khabar dalam bahasa China, Tamil, Siam atau orang puteh, semuanya aku bedal. Tetapi aku lihat selain dari surat khabar dalam bahasa Melayu, semua surat khabar itu tidak diminati oleh hantu-hantu belaanku itu. Aku pun tidak tahu kenapa. Aku agak mereka hanya berminat dengan surat khabar dalam bahasa Melayu saja, jadi mulai saat itu aku hanya cari dan beli secara borong surat khabar dalam bahasa Melayu saja.

“Heh, cerita kau ini memang pelik,” tanpa sedar terkeluar lagi kata itu dari mulutku.

“Dalam keadaan dunia seperti sekarang ini, mana ada yang peliknya? Bukan setakat hantu, kuman dan virus pun orang boleh ternak. Kau ini memang tak ikut perkembangan dunia langsung. Benda macam ini pun kau boleh rasa pelik. Heh, kawan. Untuk pengetahuan kau. Lagi banyak benda pelik dalam dunia pun ada. Apa hendak dihairankan?”

Kata-kata kawanku yang satu ini masih terngiang-ngiang menerjahi pendengaranku. Dan aku tidak pasti, apakah kawanku yang satu ini memang benar-benar menternak hantu atau pun dia sendiri sebenarnya juga sudah turut sama menjadi hantu. Sungguh. Aku tidak pasti. Dan dalam ketidakpastianku, aku terseok-seok mengaturkan langkah meninggalkan kawan yang satu ini semakin jauh di belakangku.

S E L E S A I

* Hadiah Utama (Kategori Cerpen) Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – ExxonMobil 2003

KENAPA SAYA MENULIS BIDUAN

"BIDUAN": DI ANTARA ADA ATAU TIADANYA DIRI DI DUNIA TANDA DAN LAMBANG *

1
APAKAH SAYA SEORANG PENGARANG?

Pada suatu waktu dulu, sewaktu sedang terkial-kial mencari jejak sendiri di peta kesusasteraan tanah air ini, lantaran digerunkan oleh sejumlah petuah yang didengungkan oleh para empu dan priyayi sastera tertentu mengenai siapa yang sepatutnya layak dipanggil pengarang dan sekaligus juga kerana rasa rendah diri sendiri, pertanyaan sedemikian itu memang selalu mengganggu diri.

Tetapi kemudian, setelah semakin lama hidup dan lebih mengenal siapa dirinya, saya pun memutuskan untuk tidak merasa malu ataupun kekok untuk menjawab "ya" bagi pertanyaan ini.

Bagi saya kini, meski atau biar apa pun tanggapan para empu dan priyayi sastera tertentu terhadap diri saya ini, apakah layak atau tidak dipanggil seorang pengarang dan sekaligus juga apa yang saya hasilkan itu layak atau tidak dipanggil cerpen, saya tidak mahu peduli.

Yang penting, begitu saya telah memilih untuk memasuki dunia ini secara penuh dan melakukan kerja mengarang itu dengan segala keyakinan serta kepercayaan saya, saya merasakan diri saya ini memang seorang pengarang, (atau juga penyair), dan apa yang telah atau sudah saya hasilkan itu memang cerpen, (atau juga puisi).

Soal apakah benar atau tidak saya ini memang seorang pengarang, (atau penyair), biarlah tinggal menjadi urusan para empu dan priyayi sastera tertentu yang mungkin kerjanya hanya memberikan label-label. Tugas saya ialah jalan terus dengan keyakinan saya.

Sebenarnya, ada sebabnya kenapa tulisan atau percakapan ini saya mulai dengan pertanyaan yang demikian. Bagi saya mengarang, (atau juga berpuisi) itu tidak lain adalah sebuah tanggungjawab yang mesti saya pikul dengan sepenuh kedirian yang saya miliki.

Dengan begitu juga, bererti saya tidak boleh bersikap acak-acakan. Saya mesti dan perlu menerima segala risiko kerana pilihan saya itu, malah sekaligus juga meyakininya secara penuh dan tanpa dolak-dalik lagi. Dan untuk membuktikan itu, saya memang sudah pun berbuat. Saya memang mengarang dan (juga berpuisi).

2
MENGAPA SAYA MENGARANG?

Godaan untuk mengarang, bagi saya secara peribadi, tidak lain adalah sebuah usaha untuk meredakan rasa sakit dan terbuang di dalam diri. Sebuah rasa sakit dan rasa terbuang yang selalu membuatkan diri menjadi resah, gelisah tidak menentu dan dengan atau setelah selesai mengarang itu sajalah baru diri saya merasa sedikit beroleh pencerahan. Tetapi itu rupa-rupanya hanyalah untuk sementara saja.

Besok atau lusa, atau mungkin juga pada waktu kini, rasa sakit dan terbuang itu kembali mendatangi saya dan dengan begitu saya mahu tidak mahu terpaksa mengarang lagi.

Maka dengan begitu juga, proses atau kerja mengarang itu bagi saya secara peribadi menjadi sebuah proses atau kerja yang tidak pernah kenal makna hentinya. Meski dengan demikian, saya akan sentiasa menjadi manusia yang resah dan gelisah, namun ternyata saya tidak akan mungkin dapat menghindarinya lagi.

Atau dalam kata lain, selagi masih bernafas saya terpaksa menerimanya sebagai suatu kenyataan hidup diri saya dan dengan begitu perlu mengarang terus menerus. Menerima hakikat ini sebagai suatu proses, bagi diri saya secara peribadi sekaligus juga bererti kerja mengarang itu bukanlah sewaktu menghadapi huruf, mesin dan kertas semata-mata.

Malah jauh dan lebih awal sebelum itu, proses itu bermula sejak atau kerana saya sendiri sudah berada di dalam kehidupan itu sendiri. Hidup di antara ada dan tiada atau pun sebaliknya. Sama ada sewaktu jaga mahupun sewaktu tidur.

Hanya kemudiannya, setelah proses yang berlanjut terus dan menerus itu tiba pada saat yang benar-benar jelas dan memerlukan bentuknya secara nyata, barulah segalanya dituangkan ke kertas sebagai bentuknya sebuah karya.

Ada dasarnya kenapa saya menjadi pengarang atau didorong oleh hal yang demikian. Pengalaman masa lalu, masa kecil dan juga masakini, sangat banyak membentuk keperibadian hidup saya sebagai seorang pengarang.

Tanpa niat mahu berlebih-lebihan, terus terang saya katakan betapa hidup yang saya kenal dan alami sewaktu kecil dan di masa lalu, bagi saya secara peribadi merupakan sebuah kehidupan yang sulit lagi perit. Sebuah hidup yang selalu berhadapan dengan cemoh, kecaman dan henyakan-henyakan.

Namun saya tidak pernah mahu menyalahkan segala yang telah dan pernah terjadi. Kerana hidup yang sulit lagi perit itu jugalah saya belajar untuk bertahan dan membina benteng-benteng serta sekaligus menangkis segala henyakan. Sehingga akhirnya saya menjadi lali atau imun (imune) terhadap semuanya.

Tetapi sekaligus saya juga sedar, untuk menjadi seorang pengarang saya tidak hanya berpada dengan kekuatan fizikal. Malah sebaliknya, di samping yang fizikal, saya juga perlu segera memperkaya dan memperkuatkan batin dan sekaligus mindanya.

Untuk memperolehi itu, kerana ketidaksempatan di masa lalu, saya perlu cepat dan lebih gigih berusaha. Lalu saya menjadi rakus terhadap buku, sama ada yang bersifat harfiah mahupun yang tidak (kehidupan itu sendiri) atau sama ada yang diperolehi secara asal atau hanya salinannya. Lewat buku-buku inilah saya mengutip dan belajar mengenali dunia dalaman kehidupan manusia yang diungkapkan lewat kesusasteraan, sama ada yang sedia ada atau yang jauh tersorok di sebalik khazanah lama.

Dan kemudian, setelah semakin berusia, saya menjadi sedikit lebih pemilih - memilih hanya yang saya fikirkan benar-benar penting dan inti sahaja. Di antara yang penting itu, ada beberapa di antaranya menjadi sumber rujukan saya yang tidak pernah sudah, iaitu beberapa kitab dan hikayat. Barangkali sumber-sumber yang saya anggap terpenting ini sudah tidak dianggap perlu lagi bagi sebahagian orang, atau saya mungkin dianggap terlalu nostalgik.

Tetapi saya tidak peduli. Saya tetap menyayanginya seperti saya menyayangi diri saya sendiri. Di mana pada saban waktu saya kerap mendatanginya. Terutamanya bila di luar dari sumber rujukan itu, saya kerap bertembung dengan sesuatu yang kelihatannya agak lain. Dan ternyata sikap yang demikian itu membantu saya untuk tidak terlalu mudah mahu menjadi penurut buta atau tergoda mahu menyunglap diri sepenuhnya menjadi tokoh-tokoh pengarang tersohor tertentu.

Dengan sumber dan rujukan ini, juga dengan sedikit pengalaman menggulati dunia teater kemudiannya, cara dan pilihan kepengarangan saya terbentuk.

Sebagai seorang pengarang cerpen, saya melihat sebuah cerpen tidak lain adalah sebuah pentas yang memaparkan kejadian demi kejadian, menampilkan watak demi watak dan sebagai pengarang saya sekadar bertindak sebagai sutradara yang diizinkan untuk sementara waktu mengendalikan pentasnya.

Hanya bezanya, di antara saya sebagai pengarang dengan seorang sutradara pentas, pentas saya sebagai pengarang adalah kertas dan bukan pentas yang sebenarnya.

Kerana melihat cerpen sebagai sebuah pentas jugalah maka saya sekadar mahu menjadi pengarang yang sekadar berdongeng lewat tanda dan lambang dan sekaligus juga meyakini bahawa kesamaran yang menyarankan kepada makna-makna yang lebih luas dan jitu atau yang dianggap oleh sebahagian orang sebagai absurd itu sebenarnya sudah lama menjadi milik khazanah kesusasteraan bangsa saya.

Mempercayai atau meyakini ini jugalah, maka sebagai seorang pengarang saya tidak pernah tergiur untuk menjadi peniru realiti, sebaliknya saya sekadar berusaha menggambarkan kembali sebuah atau suatu realiti menurut tanggapan atau persepsi saya sendiri. Barangkali memang, usaha saya itu tidak sepenuhnya sempurna.

Tetapi sebagai pengarang, sejak dari mula memang pada posisi yang demikianlah saya meletakkan diri saya. Saya sedar, sebagai seorang pengarang yang sekedar berdongeng dan sekaligus seorang manusia yang dengan segala kelemahan serta keterbatasan dirinya, saya tidak akan mungkin dapat menjadi peniru yang sepenuhnya berjaya meniru segala realiti di maya pada ini.

Sebaliknya, upaya yang saya miliki, yang dianugerahi oleh Ilahi kepada saya, tidak lain hanyalah secuil upaya untuk menanggapi - hidup, permasalahan dan persekitarannya. Dan ini pula saya kesani lewat objek-objek, tanda-tanda dan lambang-lambang belaka.

Seperti misalnya kalau saya mahu menggambarkan api. Saya tidak mungkin apa lagi berniat mahu meniru api. Sebaliknya, yang mampu atau ingin saya lakukan hanyalah berusaha menggambarkan kesan dari api itu - yang terbakar, yang rentong atau yang merasa sakit kerananya. Dan ini pun hanya mampu saya ungkapkan kembali menurut upaya saya yang kecil ini lewat objek-objek, tanda-tanda dan lambang-lambang tertentu sahaja.

Namun pada sisi yang lain, dengan memilih beberapa kitab dan hikayat sebagai sumber dan rujukannya tidaklah pula bererti saya berniat untuk sepenuhnya kembali memanggil-manggil sejarah. Sebaliknya, saya sekadar mahu memanfaatkan apa yang dimilik oleh bangsa saya dan telah menjadi khazanah atau perbendaharaan kesusasteraannya yang tidak ternilaikan harganya.

Hanya barangkali, kesombongan atau mungkin ketidaktahuan lah yang menyebabkan kita sulit untuk mengakuinya.

3
SEBUAH cerpen bagi saya adalah sebuah dunia yang saya namakan sebagai "dunia cerpen" yang mana di dalamnya memuatkan pula sebuah dunia lain yang saya anggap sebagai pendahulu sebelum lahirnya "dunia cerpen" itu.

Dunia lain sebagai pendahulu yang saya maksudkan itu ialah "dunia kehidupan" yang mana di dalamnya hidup dan bernafas anak manusia dengan segala tingkah, perilaku, resah dan gelisahnya. Di antara kedua dunia ini iaitu "dunia cerpen" dan "dunia kehidupan" itu, ada pula pembahagiannya.

Pembahagian itu saya namakan sebagai yang sebelum, yang sedang dan yang selepas. Ada sebabnya saya memberikan pembahagian yang demikian. Bagi saya, sebelum lahirnya sebuah cerpen mesti ada yang terlebih dahulu mendorong sebuah cerpen dilahirkan dan setelah dilahirkan pula, sebuah cerpen perlulah mempunyai isi dan isinya itu tidak lain adalah kehidupan dan kehidupan itu pula menurut hemat saya pastilah ada awal, tengah dan akhirnya. Dan ini juga bererti setiap sesuatu itu tidak berdiri sendiri.

Bertolak dari pembahagian yang demikian ini jugalah bagaimana sebuah cerpen saya mulai diramu, dicerna dan terbentuk akhirnya sebagai sebuah karya.

Sebagai pendahulu atau sebelumnya, selain dorongan untuk mengarang itu sendiri, saya selalu digugah oleh sesuatu hal, peristiwa atau kesan-kesan tertentu.

Di bahagian pertengahannya atau sedang itu pula, gugahan itu semakin mengkristal dan bersatu dalam urat serta nadi diri, yang sentiasa menjadi bahagian dari kehidupan saya sama ada di antara ada ataupun tiada, sama ada sewaktu sedang tidur atau sewaktu sedang jaga. Dan kemudian, pada bahagian selepasnya, sebagai suatu kesatuan, lahirlah cerpen dalam bentuk sebuah karya.

Tetapi, begitu lahirnya sebuah karya, ketiga-tiga "yang" itu tetap juga berlanjut terus dan menerus tanpa hentinya.

Lalu dengan begitu, proses mengarang cerpen bagi saya, selagi hidup dan bernafas, menjadi suatu proses yang sentiasa mengalir dan sekaligus, di luar dari proses itu, tidak dapat dengan sengaja atau terlalu saya rancang-rancangkan terlebih dahulu. Malah, jika berada di luar dari proses itu, saya juga tidak pernah tahu secara jelas bagaimana cerpen saya akan berakhir dan kalau pun saya cuba menetapkan pengakhirannya, pengakhiran itu pun sama sekali menjadi lain dari apa yang telah dirancangkan pada mulanya.

Atau, jika di penghujung dari proses itu, cerpen saya diakhiri juga, itu tidak lain kerana rasa resah di dalam diri saya telah sedikit menjadi reda. Dilingkari oleh resah yang berulang-ulang yang menjadi dorongan untuk saya terus menerus berada di dalam proses mengarang dan kerana terikat oleh "yang" yang sama dan itu-itu pula menjadikan saya seolah-olah selalu mengulang-ulang hal yang hampir sama di dalam setiap cerpen.

Secara demikianlah cerpen-cerpen saya sedikit demi sedikit terbentuk dan menjadi jelas akhirnya sebagai sebuah karya. Dan kalau pun tema atau pokok persoalannya, watak, latar dan waktunya berlainan, kelainan itu masih tetap diikat oleh benang merah "yang" yang sama iaitu yang sebelum, yang sedang dan yang selepas atau awal, tengah dan akhir itu juga.

4
BAGAIMANAKAH saya mengarang?
Seperti telah disebutkan di atas, proses mengarang saya adalah tidak lain sebuah proses pengulangan belaka.

Pengulangan yang dikat oleh benang merah bernama yang sebelum, yang sedang dan yang selepas atau awal, tengah dan akhir itu.

Sementara dorongannya pula, tidak lain kerana mahu meleraikan rasa resah dan gelisah di dalam diri. Dan kerana rasa yang demikian itu jugalah maka saya selalu melihat objek-objek yang menyeringai kesakitan bergentayangan di dalam imaginasi dan pada saat yang sama pula pendengaran saya turut mendengar rintih sayu, raung ngilu dan pekik sakit yang entahkan datang dari mana. Dan pada saat yang bersamaan juga, bagaikan suatu kontradik pula, saya turut mendengar hilai sinis, tawa ejek dan nyanyi ria yang juga entahkan datang dari mana.

Kesemua ini kemudiannya berbaur di dalam imaginasi saya, sama ada sewaktu sedang ada atau tiada, sewaktu sedang jaga atau lena. Kerana itu juga, saya selalu merasa tidak berada di tempatnya meski memang sedang berada di tempatnya.

Atau ketika sedang tidur pula, tanpa mampu dan dapat saya kawal saya sering meracau, bercakap-cakap dan malah seolah sedang berkelahi dengan seseorang, sehingga sering kali melahirkan pekik dan jeritan yang menggangu nyenyak orang lain.

Mengingati ini semua, saya kadang-kadang merasakan takut untuk terus mendepaninya. Apalagi setelah segalanya itu semakin mengkristal dan memperjelaskan bentuknya dan saya pula sedang berada pada proses terakhir penciptaan yang memaksa saya menzahirkannya secara lebih jelas sebagai sebuah karya.

Pada saat-saat yang demikian, meski pun di dalam imaginasi pada mulanya, seakan terasa segala yang bergentayangan di depan pandangan dan segala yang terngiang dipendengaran saya itu memang benar-benar ada. Ini semakin atau lebih menjadi jelas lagi kerana sewaktu menyiapkan karya pada proses terakhir itu saya selalunya melakukannya di waktu malam yang sangat larut atau di pangkal pagi, sewaktu orang lain nyenyak tidur.

Lalu, agar tidak terus diancam oleh rasa takut itu, saya pun memaksa agar segalanya itu dapat saya penjarakan sesegera mungkin dan penjaranya itu tidak lain adalah di atas kertas.

Jadi dalam kata lain, cerpen-cerpen saya adalah refleksi atau biasan dari segala rasa takut dan cemas saya. Dan segala biasan itu pula merupakan biasan lain dari segala objek-objek yang demikian itu yang kemudiannya saya zahirkan secara tersurat lewat tanda-tanda dan lambang-lambang dan secara tersirat pula maknanya saya selitkan lewat tanda-tanda dan lambang-lambang juga.

Tetapi, biar bagaimana pun, dengan mempergunakan tanda dan lambang-lambang itu dan sekaligus meletakkan posisi karangan saya sebagai sebuah dongeng, sama ada untuk diri saya sendiri atau barangkali juga kepada orang lain (atau pembaca) yang sudi mendengarkannya, saya sama sekali tidak berniat mahu mengada-adakan sesuatu yang tiada atau mahu meletakkan diri saya ini kononnya satu takah lebih tinggi berbanding dengan teman pengarang yang lain.

Sebagai pengarang, dengan cara atau pilihan yang demikian, saya sekadar mahu melaksanakan tanggungjawab kepengarangan saya, juga dengan kepercayaan penuh terhadap kemerdekaan kreatif saya dan orang lain, untuk mengucapkan sesuatu. Tidak lain dari itu. 5 SEHINGGA sejauh ini, sebagai seorang pengarang, sudah di manakah sebenarnya saya berada?

Sungguh, bagi saya biarlah pertanyaan ini menjadi urusan para empu dan priyayi sastera tertentu belaka. Tugas saya hanyalah mengarang dan terus mengarang menurut apa yang telah dan sudah saya jadikan pilihan atau jalan hidup saya.

Saya tidak pernah menganggap soal di mana itu sebagai suatu soal yang terlalu penting. Sebaliknya bagi saya, soal apa itulah yang lebih penting. Maksudnya apa yang saya kerjakan, apa yang saya yakini, apa yang akan terus dikerjakan, itulah persoalan-persoalan yang selalu menjadi perhatian penuh saya. Yang selain dari itu tidak.

Jadinya, kalau saya mengarang, yang selalu saya fikirkan pun demikianlah juga. Apa yang saya karang, itulah yang penting. Sementara soal bagaimana boleh apa saja. Kalau ada yang mahu atau yakin sebagai peniru, silakan. Yang penting adalah keterbukaan. Dan kerana itu saya tidak pernah menganggap di antara satu pihak atau satu generasi dengan yang lain ada perlu ada kasta dan pemeragaan keegoan.

Malah secara peribadi, saya selalu memandang dengan hormat dan kagum terhadap karya, pengarang dan generasi apa pun. Dan saya harap sikap seperti ini menjadi milik semua kita yang bernama pengarang.

Sebagai pengarang, saya beranggapan sebuah karya sastera itu tidak lain adalah sebuah dunia karya yang menawarkan apa saja kemungkinan. Di mana di dalamnya boleh saja menawarkan kebodohan mahupun kecerdikan. Dan kedua-dua ini punya hak untuk hidup dan bernafas.

Lalu dengan begitu juga, bagi saya secara peribadi, pada dasarnya tidak ada pengarang yang cerdik dan pengarang yang bodoh. Yang jadi perbezaan hanyalah soal apakah mampu atau tidak dia memberikan bobot seni - seni yang mampu mengusap takaran batin khalayak (pembaca) karyanya.

Berhubung dengan diri saya sendiri, secara peribadi, untuk menentukan apakah benar atau tidaknya apa yang telah saya cuba gambar dan utarakan di dalam karya-karya saya, saya serahkan kepada khalayak (pembaca) untuk menentukannya.

Apakah saya hanya berbohong, apakah saya munafik, khalayak (pembaca)lah yang berhak menentukan dan saya dengan hati terbuka siap untuk dinilai sebagai apa pun.

Buat diri sendiri, sebagai pengarang saya meyakini betapa sebuah karya, yang sastera maksud saya, tidak selalunya berniat menawarkan hiburan melulu kerana yang cuba diusapinya adalah minda dan bukan emosi semata-mata.

6
SEBAGAI seorang pengarang saya tentu saja tidak lahir sebagai anak buluh betong. Terus-terang saya saya akui, selain persekitaran dan usaha diri, banyak sekali tokoh yang telah membantu saya.

Kepada sekelian tokoh-tokoh ini tentu saja, atas segala budi dan jasa mereka, saya sangat berterima kasih!

Kuantan 17 - 26 Ogos 1997

* Disampaikan di Kuliah MM2794 Kursus Cerpen Melayu Mutakhir di Bilik Sumber, Jabatan Persuratan Melayu UKM pada 29 Ogos, 1997

BUKU MARSLI N.O YANG TELAH DITERBITKAN

BIDUAN (Memuatkan 19 cerpen).Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.Tahun Terbit: 1994. Jumlah Halaman: 203. Harga: RM 7.00


DEMI (Memuatkan 14 cerpen).Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.Tahun Terbit: 1998. Jumlah Halaman: 162. Harga: RM 12.00


PENIPU (Memuatkan 8 cerita pendek). Penerbit: Marsli N.O. Tahun Terbit: 1997. Jumlah Halaman: 78. Harga RM 10.00


HANYA KATA (Memuatkan 80 puisi) Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.Tahun Terbit: 1995. Jumlah Halaman: 88. Harga: RM 6.00

NEGERI INI, ANAK (Memuatkan 58 puisi) Penerbit: Dewan Bahasa danPustaka, Kuala Lumpur.Tahun Terbit: 1993. Jumlah Halaman: 59. Harga: RM 4.00.


PETA MISTERI (Novel Remaja) Penerbit: Sasbadi Sdn Bhd, Selangor. Tahun Terbit: 2007. Jumlah Halaman: 84. Harga: Tidak Dicatat


MENCARI MISTERI (Novel Kanak-Kanak) Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.Tahun Terbit: 1997. Jumlah Halaman: 100. Harga: RM 5.00

UTUSAN DI DAERAH ASING (Novel Remaja) Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.Tahun Terbit: 1993. Jumlah Halaman: 120. Harga: RM 5.50

Selain mendapatkannya di kedai, terbitan ini boleh dipesan langsung dengan cara mengirimkan wangpos (tidak dipalang) atas nama RAMLI SELAMAT ke alamat: NO 246 LORONG 9, BALOK MAJU 26100, KUANTAN PAHANG.

BIODATA MARSLI N.O

NAMA pena bagi Ramli Selamat. Dilahirkan di Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu pada 7 Oktober 1957 dengan galur keturunan di sebelah ayah sebagai orang Jawa dan di sebelah ibu pula negeri Terengganu, sehingga ini sering kali membuatkan beliau dianggap sebagai “anak orang luar”.

Mula melibatkan diri dalam bidang penulisan secara sungguh-sungguh pada tahun 1975 tetapi karyanya baru mendapat tempat pada tahun 1979. Karya-karyanya berupa cerpen, novel, puisi, naskhah drama pentas, resensi buku dan rencana tersiar di pelbagai akhbar dan majalah.

Tahun 1985 puisinya "Di Hadapan Buku-Buku" antara yang meraih sagu hati Hadiah Sastera Utusan Public-Bank, tahun 1989 puisinya "Negeri Ini, Anak" antara yang memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena. Pada tahun 1993 cerpennya "Belon" antara yang meraih Hadiah Cerpen Maybank-DBP dan tahun 1994 cerpennya "Pembela" turut meraih anugerah yang sama.

Sementara puisinya "Begitu Kata Malam" antara yang meraih Hadiah Sastera Perdana 1996/1997 dan cerpennya “Menanti Buraq” pula antara yang meraih Hadiah Sastera Perdana 200/2001. Pada tahun 2003, cerpen beliau “Menternak Hantu” telah meraih Hadiah Utama (Kategori Cerpen) Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – ExxonMobil 2003.

Sejak 1981 terlibat juga dengan teater selaku penulis naskhah, jurulatih, sutradara dan aktif membacakan naskhah.

Di samping tampil dalam sejumlah pementasan, antaranya ialah pada 26 - 28 Ogos 2000 dalam pementasan "Gelanggang Tok Wali" karya Ismail Kassan arahan Shukor Yon, penglibatan ini turut memberikan kesan dalam cara dan gayanya ketika di pentas dan sikapnya dalam mengarang.

Di samping itu, pada Pekan Teater Pahang 2000, bersama Bengkel Teater Kuantan pimpinannya dan dengan naskhah “Fragmen Tolong” karya dan arahannya, telah meraih juara Pekan Teater Pahang 2000 dan ketika mewakili negeri Pahang ke peringkat zon Timur di Johor Bharu pada tahun yang sama telah berjaya meraih naib juara.

Sebagai deklamator beliau telah diundang dalam banyak acara. Pada 9 April 1988 di Baca Puisi Minggu Sastera DBP, 29 Oktober 1988 di Malam Puisi Riong III, Pembaca Sajak Terjemahan PPDKL 1988 (24 - 27 1988), 7 Mac 1989 di Puisi DBKL 1989, 15 Disember 1991 di acara Temu Puisi (Matic, KL), pada 13 Februari 1992 bersama beberapa teman dari Bengkel Teater Kuantan pimpinannya membacakan cerpen karya beberapa pengarang mapan tanah air di Sudut Penulis DBP, pada 25 Oktober 1993 menjadi hos Baca Puisi DBKL, 24 November 1993 di baca puisi Majlis Pelancaran Perisa (DBP), 29 Julai 1995 di acara Puisi Sepetang anjuran Kelab Sastera DBP, pada 9 September 1998 di acara Deklamasi Puisi Komanwel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Hotel Istana, Kuala Lumpur; pada 24 September 1999 di acara Baca Puisi Bersama-sama Kedutaan Asing sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 1999 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kelab Darul Ehsan, Ampang Jaya, Selangor; pada 29 Ogos 2000 beliau merupakan salah seorang penyair yang tampil membacakan puisinya bersama Perdana Menteri pada malam Baca Puisi Patriotik anjuran Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Putra Jaya; bersempena Festival Puisi Malaysia anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 15 November 2000 beliau mementaskan dekon “Dari Pungguk ke Katarsis bersama warga Bengkel Teater Kuantan pimpinannya; pada 18 Ogos 2001 dijemput sebagai salah seorang pembaca puisi di dalam konsert Phoenix Bangkit M. Nasir tetapi ketika siaran rakamannya pada malam 30 Ogos 2001 di NTV7, segmen baca puisi tersebut kononnya tidak diluluskan untuk tayangan oleh kononnya Lembaga Penapis Filem (LPF) atas sebab dan alasan yang tidak jelas. Sekali lagi, pada 28 Ogos 2002, beliau merupakan salah seorang yang diundang membacakan puisinya di acara Baca Puisi Patriotik Ke 3 anjuran Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Putra Jaya.

Di kaca tv pula, beliau telah tampil membacakan puisinya di rancangan “Anjung Budi” terbitan RTM 1.

Antara bukunya yang telah diterbitkan ialah kumpulan puisi "Negeri Ini, Anak" (DBP, 1994) dan "Hanya Kata" (DBP, 1995). Novel remaja "Utusan Di Daerah Asing" (DBP, 1993) dan novel kanak-kanak "Mencari Misteri" (DBP, 1997). Kumpulan cerpennya yang telah diterbitkan pula ialah "Biduan" (DBP, 1994) dan "Demi" (DBP: 1998).

Secara persendirian pula, beliau telah menerbitkan kumpulan puisi "Siapa di Balik Sana?" (1986), "Bla Bla Bla" (1990), "Ninabobok" (1993), dan kumpulan cerpen "Penipu" (1997).

Dalam kumpulan bersama pula puisinya turut dimuat di dalam “Manifestasi” (Pena, 1982), “Selagi Ombak Mengejar Pantai 5” (Kemudi, 1986), “Masih Adakah Kasih Untukku” (Utusan Melayu, 1986), “Gema Membelah Gema 8” (1987), “Gema Membelah Gema 10” (1991), “Gema Membelah Gema 11” (1994), “Puisirama Merdeka” (PENA, 1986), “Di Luar Kerelaan” (DPMP, 1987), “Jika kau Rindu” (DBP, 1988), “Di Atas Mimbar Merdeka” (DBP, 1989), “Puisi Baharu Melayu 1961-1986” (DBP, 1990), “Salam Samudera” (Universiti Malaya, 1990), “Antologi Temu Puisi” (KKP, 1991), “Takhta dan Rakyat Suatu Manifestasi” (DBP, 1993), “Cetera” (Kelab Sastera DBP, 1994), “Rumah Merdeka” (Gapena, 1998), “Aksara Merdeka” (Gapeniaga Sdn. Bhd, 2000) dan “Jamung Merdeka” (Gapeniaga Sdn. Bhd, 2005).

Di luar negara puisinya turut dimuat di dalam “ASEANO: An Anthology of Poems From Southeast Asia” (Asean Committee on Culture & Information: Manila, 1995).

Dalam kumpulan bersama pula cerpennya dimuatkan dalam “La Q” (DBP, 1991), “Fenomena” (DBP, 1992), “Mercu 2” (DBP, 1993), “Mercu 3” (DBP, 1995).

Sementara tulisannya berupa rencana teater turut dimuat di dalam antologi “Teater Terengganu Suatu Penelitian Pasca Moden” (Tetamu, 1996) dan “Jenama, Tulang Belakang, Akar Umbi Teater Terengganu” (Tetamu, 1997).

Pada April 1993 hingga Oktober 1995 pernah menjadi tamu rancangan Galeri Minda di Radio Tiga Kuantan yang membicarakan isu-isu sastera semasa dan menyampaikan ulasan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada 27 Januari hingga 3 Februari 1995 mewakili negara ke Second ASEAN Writer's Conference Workshop (Poetry) di Manila. Pada 21 hingga 27 Ogos 2003 beliau mewakili negara ke Singapore Writer’s Festival anjuran National Art Council Singapore di Singapura.

Selama lima tahun, dari tahun 1994, dengan sumber kewangan peribadi dan sumbangan beberapa teman serta tokoh mapan, baik berupa benda mahupun karya, secara tribulan pernah menerbitkan antologi karya kreatif/non kreatif yang diberikan judul P-S.

Dalam pembawaan sehari-harinya sebagai sasterawan, sikapnya yang suka berterus-terang dan tegas lagi lantang menyatakan pendirian seputar sastera serta persekitarannya, sering pula disalah anggap oleh banyak teman sasterawan segenerasi mahupun yang veteran sebagai seorang yang suka mencari gaduh atau pencari salah.

Sepanjang penglibatan beliau sebagai sasterawan juga telah beberapa kali diundang sebagai pemakalah, antaranya pada Forum Kemelut Sastera Malaysia anjuran bersama KALAM, DBP dan Gapena pada 30 November 1996, Dialog Sasterawan Generasi Baru 1 (Kelab Sastera dan Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan DBP, 3 Oktober 1998), Perhimpunan Penulis Muda Malaysia (23 - 25 November 1998 anjuran Kelab Sastera DBP), dan Pertemuan Sasterawan Malaysia 1 (anjuran DBP, Gapena dan PPJ di Johor Bahru, 17 - 21 April 1999) dan Perkampungan Penulis Muda Malaysia (anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuching, Sarawak pada 12 - 15 Jun 2003).

Dengan hasrat memartabatkan bahasa dan sastera Melayu serta mengangkatnya ke dunia siber, beliau juga membina laman web sastera yang memuatkan karya-karya peribadi dan sasterawan tamu yang dapat ditelusur melalui alamat http://www.geocities.com/marslino/