Memaparkan catatan dengan label 2020: Nota Kecil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 2020: Nota Kecil. Papar semua catatan

Sabtu, Julai 17, 2021

YANG ABADI

SEABADI apa pun kehendak siapa yang menulis atau mengkaryakannya, namun sebuah karya sastera yang aku hasilkan tidak ingin aku samakan darjat, kesucian, kemuliaan sifat dan keabadiannya seperti  Qalam-Nya.

Kerana aku sedar siapa diriku sebagai manusia.

Aku hanya berusaha menulis dan mengkaryakannya sebatas yang tidak bersalahan dengan moral serta agama yang aku yakini.

Soal disukai orang atau tidak, bukan urusan diriku.

Aku hanya mahu menulis dan berkarya sejujur hatiku, menurut apa yang telah aku yakin dan percayai.


-- Marsli N.O

17.7.2021

Isnin, Mei 25, 2020

TENTANG MENULIS SAJAK

Sdr, memang sungguhankah mahu menulis sajak?

Ingin aku bertanya dia demikian setelah membaca sejumlah tulisan yang dia sodorkan dan katakan kepadaku sebagai sajak.  Tetapi kerana aku hanya mahu dikenal sebagai pembaca,  pembeli dan penjual buku, soalan itu tidak pernah aku tanyakan kepada dia.

Dan kini, setelah beberapa tahun aku mendiamkan tanya itu, aku masih tidak melihat dia menyiarkan sajaknya di mana-mana. Aku tidak pasti apakah dia masih bercita-cita atau punya niat untuk menulis sajak.

Bagiku, menulis sajak itu proses. Tidak kira berapa lama waktunya dan berlangsung seiring dengan gerak dan nafas hidup yang ingin menuliskannya.

Mungkin lantaran itulah ramai yang menjadi bosan dan tidak meneruskannya.

Walau yang ingin ditulis, hanya sebuah sajak pendek ala "MALAM LEBARAN/ bulan di atas kuburan"!

15.5.2020

Jumaat, Mei 01, 2020

DUA NOTA KECIL

BILA SALAH
Bila kita menulis dan tulisan itu disiarkan, kemudian ternyata ada fakta di dalamnya yang salah, sepatutnya kita mengaku silap itu serta minta maaf kepada yang berkenaan.

Tetapi bila kita hanya buat bodoh dan biarkan orang lain tanggung akibatnya, penulis jenis apa kita ini?

Jika demikian, kita sepatutnya malu mengaku diri kita penulis atau sarjana.

-Marsli N.O
24.4.2019


BIARLAH
Walau banyak tulisan dan pendapat orang lain yang kita tidak setuju dan tidak suka, tetapi kerana sedar itu hak masing-masing untuk bersuara dan tidak pun menyentuh diri kita, kita memilih untuk tidak berikan apa-apa kritik atau komen balas. 

Kita pun tidak tergiur hendak tunjuk kebodohan orang lain dan nak tonjolkan betapa hebatnya pemikiran dan karya kita berbanding dengan orang lain.

Kita berpendapat, tidak guna ijazah berjela, gelaran melangit, membaca beribu buku, namun perangai suka mencemoh, menghina dan mengkritik diri serta karya orang lain sentiasa dijadikan amalan.

Biarlah. Andai kerana pilihan untuk mendiamkan diri, mengelak daripada mengkritik serta membahas pendapat serta karya milik orang lain itu, kita akan dianggap kurang cerdik serta tidak berpendidikan.

Biarlah.

-Marsli N.O
24.4.2020