Jumaat, Julai 27, 2012

BIARLAH


BIAR apa pun saya hanya ingin tetap menjadi diri saya begini. Hidup, berfikir dan menulis, seadanya. Saya tidak peduli kalau tidak dianggap yang hebat-hebat atau dianggap tidak mampu melahirkan sesuatu yang sampai  mampu mendorong para pemuji dan pemuja mengacungkan tinggi  jempolnya.

Anda boleh sahaja menjatuhkan apa sahaja  hukum dan penilaian anda sendiri terhadap saya. Itu tidak apa-apa dan tidak sangat mengganggu hidup saya. Sebabnya? Saya yakin dan percaya, segala rezeki, apa lagi hidup dan mati saya, bukan ditentukan oleh anda atau siapa sahaja yang bernama manusia. Hukumlah, nilailah. Hidup saya akan tetap begini-begini juga. Saya tidak takutkan sesama manusia, tetapi Dia, yang maha menentukan segala soal hidup mati serta rezeki saya.

Katakan apa sahaja. Itu hak anda. Saya tidak akan berlamaan memikirkannya. Apa lagi untuk terlalu bersedih  hati sehinggakan menjadikan diri saya senewen sendiri.

Biarlah. Gunakanlah segala kuasa yang anda ada itu: menilai, menentu, mengesah atau meluluskan. Itu hak anda. Gunakanlah semahu dan sekehendak anda.

Tetapi ingat ini.

Kalau saya meminta, bukan bermakna saya mengemis. Saya meminta hanya sesuatu yang memang hak saya sama ada atas nama sebagai rakyat, warga atau seniman.

Terserah anda. Anda punya segala kuasa. Gunakanlah sekehendak mahu dan hati anda.

Jangan lupa.

Keangkuhan anda itu, akhirnya, walau dilindungkan dengan pelbagai nama dan gelar yang muluk dan indah, pasti nanti akhirnya, akan memakan diri anda sendiri kembali.

Dan saya memang tidak meminta anda percaya.

Sebabnya? Saya sudah terlalu lama benci melihat segala lakon dan sandiwara kewalian anda.  Berlakonlah, bersandiwaralah terus. Teruskanlah.

Julai 27, 2012
 

Rabu, Julai 25, 2012

MAMPUSLAH


SAYA sudah lama menolak dengan tegas. Tidak berasa rugi dan tidak berasa perlu membuang waktu kerananya.  Mampuslah dengan segala  lakon serta sandiwara kewalianmu. Mampuslah. 

Julai 25, 2012

Jumaat, Julai 20, 2012

SAJAK PENDOSA KEPADA RAMADHAN

(Fragmen)

Aku ingin ke rumahmu

membawa jasadku yang kumal dan letih

kerana terlalu disesatkan leka

oleh kesibukan dunia 

Ke rumahmu
Aku mengusung jiwa berdosa
untuk kubasuh dengan

…………….

Julai 20, 2012

Khamis, Julai 19, 2012

ANDA PEMBACA, ANDA MENENTUKAN


ADAKAH sesiapa yang memaksa anda untuk membaca dan memilih bahan bacaan? Tentu tidak, bukan? Jadi kenapa berasa rusuh dan gelisah bila disentuh soal membaca. 

Saya tidak fikir anda terlalu bodoh dan ingn digurui-gurui apa yang patut dan perlu anda baca. Saya tidak fikir begitu, dan andai saya dipinta berbuat begitu terhadap anda, menggurui anda mengenai apa yang patut dan perlu anda baca, maaf, saya tidak akan berbuat demikian.

Pendirian saya jelas. Tugas penulis adalah menulis dan tugas pembaca adalah membaca. Tiada paksaan. Jadi, pilihlah apa yang dirasakan sesuai dengan selera serta keinginan sendiri. Tanpa perlu mencekcokkan apa yang anda akan faham atau apa yang tidak. Itu urusan anda selaku pembaca secara peribadi.

Jadilah manusia yang tahu menghormati dirinya sendiri. Tetapi kalau anda memang memilih untuk menjadi pembaca yang bodoh, jangan salahkan saya.

Apa lagi meminta saya menggururi. 

Julai 19, 2012

Selasa, Julai 17, 2012

MENULIS DAN PEMBACA


BENARLAH sudah apa yang sejak dahulu saya yakini.

Saya hidup dan menulis bukan kerana arahan dan suruhan sesiapa. Walau mungkin ada syarat dan penetapan, namun bukan penetapan itu benar yang menjadi matlamat dan rujukan. Tetapi saya lebih memilih kerana jiwa dan perasaan sendiri. Kerana itu, andai  mana yang saya rasa benar dan sesuai dengan jiwa, saya tetap juga mengakurinya. Namun, rujukan dan matlamat saya bukanlah kepada sesama manusia atau siapa yang menentu.

Begitulah sejak dahulu saya meyakini. Saya tidak menulis semata-mata kerana ingin mengambil hati dan menyenangkan perasaan mereka yang kononnya membayar dan mempunyai kuasa. Saya sesungguhnya menolak dengan cara saya sendiri segala bentuk halangan dan paksaan. Berhelah, berkelit dan kadang-kadang memilih lambang, atau  melontarkan nada dan suara yang lebih merendah, seakan bergumam, merungut sendirian di sudut yang gelap dan pengap.

Memanglah itu pilihan. Saya tidak peduli jika tidak mudah dipandang atau dipuji. Sebab itu juga bukan matlamat ketika menulis. Selain menyatakan maksud dan  hasrat dengan cara sendiri.

Memang benarlah apa yang sudah saya yakini sejak dahulu. Menulis bukan kerana surahan dan pinta sesiapa. Menulis adalah urusan diri saya sendiri. Sebagai memenuhi hasrat dan tuntutan panggilan dari dalam jiwa saya sendiri.

Untuk dan demi itu, saya ingin berlaku jujur dengan jiwa dan diri sendiri. Andai sebuah tulisan saya  adalah paparan kebodohan dan ketololan diri sendiri pada satu waktu, untuk apa saya malu dan berpura menutupinya.

Saya tidak berasa perlu untuk melagakkan segala kecerdikan saya, kononnya, di dalam karya saya sendiri, semata-mata agar dilihat dan dinilai orang lain sebagai pengarang hebat dan berilmu tinggi, kononnya.

Apa lagi semata-mata demi ideologi yang jelas sangat memihak atas nama lambang, kepartaian atau  mazhab tertentu. Menyata dan memaparkan sesuatu seolah-olah orang lain buta, bodoh dan tongong tidak dapat berfikir dan menilai segala sesuatu secara wajar.

Menulis bagi saya adalah urusan memenuhi tuntutan dan panggilan dari dalam jiwa, yang perlu saya tunaikan dengan jujur terhadap siapa yang akan membaca karya saya. Saya tidak ingin mengajar dan menganggap yang membaca karya saya  sebagai  manusia bodoh yang tidak dapat befikir dan menilai sendiri.

Segala yang saya tulis dan hebahkan kepada khalayak pembaca hanyalah cermin. Tidak lebih dari itu. Biarlah mereka selaku pembaca yang menilainya sendiri baik atau buruknya.

Untuk dan kerana itu jugalah, saya tidak pernah berasa perlu menyelidik dan bertanya fahamkah atau tidak mereka ketika atau selepas membaca sebuah karya yang sudah saya tulis dan sebarkan.

Sebab, urusan berfikir dan memahami adalah urusan pembaca. Mereka selaku pembaca bukanlah lembu atau kerbau. Mereka kadang-kala, malah lebih cerdik dan bijaksana dari apa yang selama ini disangkakan.

Jadi, kenapa saya mesti merendah-rendahkan martabat mereka dengan soalan dan kerisauan: Apakah mereka faham atau tidak ketika membaca sesebuah karya?

Berfikir dan mencerna adalah urusan mereka. Tugas saya selaku penulis hanyalah mengirimkan cermin. Hanya itu.

Saya tidak ngin merampas sesuatu yang bukan hak saya.

Juali 17, 2012

Khamis, Julai 05, 2012

ANTARA CERITA, CERMIN DAN KEBENARAN*


INILAH dunia dan hidup yang saya kenal: Kebejatan manusia di mana-mana tetapi  kebaikan juga berbaur.  Ketika boragas atau  haiwan bertopengkan manusia mengacungkan serakah dan berbuat sewenang,  pada saat sama para pahlawan dan penegak kebenaran yang berani juga bersedia untuk kembali membersihkan  dunia dan meluruskan susila hidup ini agar tidak hanya diperintah serta dirajai penyangak.

Kerana itulah saya tidak terlalu ingin bersedih ketika berhadapan dengan kekejaman dan kebejatan hidup, sama ada kerana peraturan adil yang telah diselewengkan atau kerana perbuatan segelintir manusia.

Saya tahu, setiap kebejatan tidak akan selamanya menjadi raja. Setiap kesombongan akan ada balasan yang didatangkan dan pemerintah yang sebenarnya bukan makhluk yang bernama manusia, tetapi Allah yang maha Esa.

Percaya dan meyakini inilah maka saya  tetap ingin meneruskan hidup saya sebagai manusia dan di dunia yang saya hidup serta kenal ini, saya ingin berkongsi sesuatu yang saya fikirkan wajar dan sesuai untuk saya kongsikan dengan manusia yang lain .

Sebagai penulis  yang hidup dan bernafas di tengah-tengah kebejatan dan kebaikan ini, saya cuba merakamkan segala cerita, menurut tafsiran dan persepsi saya sendiri, tanpa rasa berpihak dan menghukum.

Kisah dan cerita di mata imaginasi dan daya kreatif saya hanyalah alat untuk saya bercermin melihat kembali diri saya sendiri: kejujuran, keikhlasan dan kemunafikannya sendiri.

Ketika bercermin inilah saya selalu menyoal diri sendiri: Kenapa manusia tidak pernah ingin bersyukur dengan segala anugerah yang diberikan Yang Maha Esa?

Saban hari, tanya ini sentiasa mendatangi diri dan kerananya saya menjadi gelisah dan resah. Kadangkala, gelisah dan resah ini menjadi igau dan mimpi ngeri yang mengganggu tidur di malam hari. Tanpa sedar saya meraungkan pekik dan jerit yang gelisah memecahkan hening di malam sunyi.

Saya tahu, segala gelisah dan rasa kecewa ini tidak akan kunjung usai, akan terus berdengung dan bergema menjadi tanya yang tidak berkesudahan.

Kerana itulah, agar tidak dibunuh oleh rasa gelisah dan kecewa, saya kembali menulis dan terus menulis. Walau saya tahu, segala yang saya harap dan impikan akan tetap kekal menjadi tanya yang berdengung dan meninggalkan gemanya di dalam fikiran.

Saya rindukan kebenaran itu. Betapa pun relatif dan subjektif.

Kuantan,
Mei 27, 2012   

*Prakata kumpulan cerpen GUNTING yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2012 dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional (PENA)