Selasa, Julai 17, 2012
MENULIS DAN PEMBACA
Saya hidup dan menulis bukan kerana arahan
dan suruhan sesiapa. Walau mungkin ada syarat dan penetapan, namun bukan
penetapan itu benar yang menjadi matlamat dan rujukan. Tetapi saya lebih
memilih kerana jiwa dan perasaan sendiri. Kerana itu, andai mana yang saya
rasa benar dan sesuai dengan jiwa, saya tetap juga mengakurinya. Namun, rujukan
dan matlamat saya bukanlah kepada sesama manusia atau siapa yang menentu.
Begitulah sejak dahulu saya meyakini. Saya tidak
menulis semata-mata kerana ingin mengambil hati dan menyenangkan perasaan
mereka yang kononnya membayar dan mempunyai kuasa. Saya sesungguhnya menolak
dengan cara saya sendiri segala bentuk halangan dan paksaan. Berhelah, berkelit
dan kadang-kadang memilih lambang, atau
melontarkan nada dan suara yang lebih merendah, seakan bergumam,
merungut sendirian di sudut yang gelap dan pengap.
Memanglah itu pilihan. Saya tidak peduli jika
tidak mudah dipandang atau dipuji. Sebab itu juga bukan matlamat ketika menulis. Selain
menyatakan maksud dan hasrat dengan
cara sendiri.
Memang benarlah apa yang sudah saya yakini sejak
dahulu. Menulis bukan kerana surahan dan pinta sesiapa. Menulis adalah urusan
diri saya sendiri. Sebagai memenuhi hasrat dan tuntutan panggilan dari dalam
jiwa saya sendiri.
Untuk dan demi itu, saya ingin berlaku jujur
dengan jiwa dan diri sendiri. Andai sebuah tulisan saya adalah paparan kebodohan dan ketololan diri
sendiri pada satu waktu, untuk apa saya malu dan berpura menutupinya.
Saya tidak berasa perlu untuk melagakkan segala
kecerdikan saya, kononnya, di dalam karya saya sendiri, semata-mata agar
dilihat dan dinilai orang lain sebagai pengarang hebat dan berilmu tinggi,
kononnya.
Apa lagi semata-mata demi ideologi yang jelas
sangat memihak atas nama lambang, kepartaian atau mazhab tertentu. Menyata dan memaparkan sesuatu seolah-olah orang lain
buta, bodoh dan tongong tidak dapat berfikir dan menilai segala sesuatu secara
wajar.
Menulis bagi saya adalah urusan memenuhi tuntutan
dan panggilan dari dalam jiwa, yang perlu saya tunaikan dengan jujur terhadap
siapa yang akan membaca karya saya. Saya tidak ingin mengajar dan menganggap
yang membaca karya saya sebagai manusia bodoh yang tidak dapat befikir dan
menilai sendiri.
Segala yang saya tulis dan hebahkan kepada
khalayak pembaca hanyalah cermin. Tidak lebih dari itu. Biarlah mereka selaku
pembaca yang menilainya sendiri baik atau buruknya.
Untuk dan kerana itu jugalah, saya tidak pernah
berasa perlu menyelidik dan bertanya fahamkah atau tidak mereka ketika atau
selepas membaca sebuah karya yang sudah saya tulis dan sebarkan.
Sebab, urusan berfikir dan memahami adalah urusan
pembaca. Mereka selaku pembaca bukanlah lembu atau kerbau. Mereka kadang-kala,
malah lebih cerdik dan bijaksana dari apa yang selama ini disangkakan.
Jadi, kenapa saya mesti merendah-rendahkan
martabat mereka dengan soalan dan kerisauan: Apakah mereka faham atau tidak
ketika membaca sesebuah karya?
Berfikir dan mencerna adalah urusan mereka. Tugas
saya selaku penulis hanyalah mengirimkan cermin. Hanya itu.
Saya tidak ngin merampas sesuatu yang bukan hak
saya.
Juali 17, 2012
Kategori:
Autobiografi 2012: Saya dan Penulisan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan