Khamis, September 12, 2013

HEBAT

SAYALAH rasa saya orang yang paling bertuah dan beruntung yang hidup di dunia hari ini. Saya katakan begitu kerana saya diberikan Allah SWT keuntungan dan kesempatan untuk mengenal dan berbaik dengan ramai manusia yang hebat-hebat.

Dan kerana itu jugalah, agaknya, tempias kehebatan mereka yang saya kenal itu tertempias juga ke saya. Kerana tempias itulah maka saya selalu berasa dan terperasan, berbanding dengan mereka yang tidak berkawan atau mengenal orang-orang yang hebat itu,  betapa hebatnya juga diri saya ini.

Misalnya, jika saya menulis sebuah puisi, walau pun pendek dan kontot, saya berasa puisi sayalah yang paling baik dan hebat. Begitu juga kalau saya sudah selesai menulis sebuah cerpen, novel atau baru sebentar turun dari pentas selepas membacakan sebuah sajak. Saya berasakan alangkah hebatnya juga karya dan bacaan saya itu, mengalahkan semua karya dan bacaan orang lain yang tentu sahaja pada anggapan saya tidaklah sangat hebatnya itu berbanding dengan karya dan bacaan sajak saya.

Memang seronok dapat mengenal dan berbaik dengan ramai manusia yang hebat-hebat. Walau pun kadang-kadang kehebatan itu tidak apa-apa atau setara mana pun dengan kehebatan dalam erti dan maksud yang sebenarnya.

Seperti juga diri saya yang selalu dan suka perasan ini. Konon-konon sayalah yang paling hebat. Walau pun hakikatnya tiadalah apa sangat yang hebatnya.

September 12, 2013
 

Rabu, September 11, 2013

WATAK KECIL

PULUHAN tahun dahulu saya sudah melihat dan menemuinya di setiap acara yang saya juga hadir atau datang. Di mata saya waktu itu, dia sekadar satu watak, sama seperti sekian jumlah watak-watak lain yang saya lihat dan temui di mana-mana.

September 11, 2013


Selasa, September 03, 2013

HARAPAN

KALAU dengan manusia yang aku harap dan cuba bergantung sepenuhnya selama ini, aku rasa sudah lama aku mampos. Kata saya kepada teman saya malam itu.

Memang dalam banyak waktu, lantaran terlalu lama memendam kata-kata, kegeraman dan jengkel di dalam perasaan saya akan bercakap seolah-olah tanpa berfikir terlebih dahulu. Namun soal sama ada saya ini berfikir atau tidak, rasanya, bukanlah dapat diduga atau ditentukan oleh orang lain. Hakikatnya, otak dan perasaan saya, saya sendirilah yang tahu apa dan bagaimana sebenarnya.

Walau di permukaannya saya bercakap seperti tidak bermula dengan fikiran yang jernih, saya selalunya  bercakap berdasarkan pengalaman apa yang telah dan sudah saya lalui selama bertahun-tahun di dalam hidup. 

Pengalaman itu bagi saya amat berharga dan bermakna. Malah kerana  saya tahu antara saya dengan orang yang lain pengalaman itu tidak serupa dan berbeza, saya juga tidak ingin sama sekali menyamakan apa-apa yang sudah saya lalui itu dengan pengalaman orang yang lain, yang tentunya juga akan mendatangkan kesimpulan yang tidak akan sama atau serupa dengan saya.

Misalkan menempuh pengalaman hidup di masa kanak sebagai seorang anak miskin dan tidak berharta yang lengkap punya ayah dan ibu, tentulah berbeza pengalaman pedih masa kanaknya berbanding dengan saya, yang sudah ketiadaan bapa di usia tujuh tahun dan pada waktu sama mendepani konflik perebutan harta pusaka yang secuil ditinggalkan arwah ayah di antara sang kakak (emak saudara saya) dengan emak yang terkial-kial mahu membesarkan saya dan adik secara sendirian.

Di bidang kehidupan yang lain pun saya fikir demikian juga keadaannya. Misalnya, memasuki dunia sastera di Malaysia sebagai seorang yang pernah menjadi anak angkat program didikan sebuah institusi atau kerana mempunyai seorang bapa bertaraf profesor tentulah berbeza keadaannya dengan seorang yang hanya beribukan seorang penjual pisang goreng. 

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, untuk berjaya saya tidak boleh terlalu berharap dan bergantung dengan atau kepada orang lain. Susah atau senang saya kena usahakan sendiri. Sebabnya, saya bukan anak orang terkenal, malah saya juga pun bukan orang yang perlu untuk dikenal oleh sesiapa kerana ada kedudukan atau kepentingan yang boleh memberikan keuntungan lain dan semula kepada orang lain.

Kerana itu jugalah saya tidak pernah berani untuk menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk segala sesuatu. Apa yang saya percayai hanyalah apa yang sudah terbukti di depan mata dan bukan apa yang diidam-idam dan belum pun lagi menjadi kenyataan.

Yang ada kepada saya hanyalah tekad. Bila saya berasa dan menginginkan sesuatu, dengan tekadlah saya berusaha mendapatkannya. Tentulah tekad itu dikukuhkan dengan kepercayaan serta keyakinan betapa segala sesuatu di dunia ini, bukanlah sesama manusia yang menjadi penentu atau pemberinya.

Kerana kepercayaan kepada ketentuan Allah S.W.T itulah maka saya tidak pernah berasa takut kepada sesama manusia, apa lagi sampai ke tahap untuk mengemiskan simpati daripada atau kepada mereka. 

Dengan kepercayaan yang tidak berbelah bagi terhadap ketentuan serta kekuasaan Allah S.W.T inilah saya hidup dan membina keyakinan diri. Saya menjadi tidak terlalu bersedih sekiranya gagal atau tidak mendapat sesuatu. Apa lagi untuk berasa terlalu kecewa bila seperti tidak disukai orang tertentu, seperti disisih atau diminggirkan di tempat sendiri, atau seperti dinafikan bakat serta kebolehannya, misalnya, kerana saya sedar dan yakin apalah sangat segala perbuatan manusia berbanding dengan segala ketetapan Allah S.W.T!

Saya fikir dan yakin, sifat dan perangai tidak terlalu ingin bergantung serta terlalu berharap kepada sesama manusia itulah yang telah menyelamat saya dan mampu mendorong saya berada sehingga sejauh ini.

Kerana itulah, kepada Allah S.W.T saya sangat berterima kasih kerana walau saya bukanlah hambaNya yang patuh namun tetap tidak mengurangkan belas serta ihsanNya terhadap diri yang kerdil ini.

September 3, 2013