Isnin, Jun 29, 2009

SEPATUTNYA KAU BERASA MALU

INGIN sahaja saya berkata kepada seorang ini betapa dia patut berasa malu kerana menyanggupi suatu tugas yang dia sendiri tahu tidak mampu dia laksanakan.

Itulah yang pertama kali muncul di benak saya ketika pagi itu saya menerima panggilan dari seseorang yang mengatakan dia ingin belajar ilmu deklamasi dari saya atas keperluan dirinya yang kini menjadi salah seorang tenaga pengajar di sebuah institusi belia.

Tetapi saya kenangkan seorang ini walau tidak saya kenal terlalu rapat tetapi saya kenal dia sebagai seorang yang berlemah lembut dan berhati baik, tidak sampai hati pula hendak saya menyebutkan kata-kata itu.

Saya tahu dia menerima tugas itu kerana ada pihak yang menawarkan.

Tetapi kalau bukan dia yang meminta mana mungkin akan ada yang menawarkannya? Begitu pula saya berlogik sendirian.

Jika demikian, jika sudah tahu tiada kebolehan di bidang itu, kenapa dia memohon dan meminta juga.

Kini logik yang lain meningkah hujah sebelumnya.

Saya tidak ingin berlamaan bermain dengan logik dan hujah begini. Isu sebegini bagi saya sudah terlalu banyak disebut dan disinggung orang lain sebelum saya secara terbuka di media.

Ini seperti kisah ayam dengan telor atau telor dengan ayam yang akan menjadi debat yang tidak berkesudahan dan sepuluh jong yang masuk anjing juga yang tetap menyalak sia-sia.

Bila sesuatu perkara melibat duit orang jarang lagi berfikir sejenak mengenai diri dan harga dirinya. Asalkan mendapat ganjaran berupa wang, orang jarang ambil peduli apakah ganjaran yang dia terima itu kerana sesuau yang dia berikan kerana dia benar-benar tahu dan kuasai atau sesuatu yang diberikannya secara palsu dan penuh dengan tipu daya.

Dan tentulah yang lebih memalukan adalah orang yang memutuskan untuk memilih siapa yang akan terlibat atau tidak terlibat, bila mana pilihannya bukan kerana pengetahuan orang yang dipilih, tetapi lebih kerana apakah yang dipilih itu seorang pengagguk setia atau seorang yang tegar berdiri di atas prinsip seninya sendiri.

Di sinilah sebenarnya puncanya. Manusia sebenar yang menjadi punca kerosakan dan kekeliruan adalah mereka yang kononnya berkuasa memilih, yang lebih mengutamakan emosi dan ego kuasanya ketimbang nilai seni yang luhur dan murni.

Tidak hairanlah jika yang bersekongkol di bawah ketiaknya adalah segerombolan orang yang mengaku dirinya seniman, budayawan, orang teater dan sebagainya, yang tidak pasti di mana umbi dan akarnya, yang tidak jelas di mana sumber rujukannya.

Seperti juga seorang yang saya maksudkan tadi, yang secara tiba-tiba mengaku dirinya seorang seniman di depan saya, walhal tidak pernah saya lihat bukti karyanya, setidak-tidaknya, sebagai pengabsahan pengakuannya sebagai seorang seniman itu.

Memang, kerana wang, orang sanggup membuang rasa malunya melakukan sesuatu kerja yang sebenarnya dia tidak tahu tetapi menerima upah kerananya.

Di dalam hati kecil, saya tidak marah, tetapi sebal dan sedih memikirkan sendiri.

Saya sedar ilmu yang saya sendiri miliki pun tidaklah sehebat dan sebanyak mana. Tetapi saya selalu bersyukur kepada Allah betapa dengan ilmu yang sedikit dan tidak terlalu tinggi ini, seingat saya, saya belum lagi tergamak hendak mengaku sesuatu yang jika saya benar-benar tidak tahu dan tidak mampu saya laksanakan.

Apa lagi untuk dan sampai tergamak memperdayakan orang lain agar mempercayai betapa saya adalah seorang tokoh seni dan seniman yang hebat!

Jun 14, 2009

Khamis, Jun 25, 2009

Sebuah Satira Politik


PEAH DAN KISAH-KISAH LAIN
Oleh MARSLI N.O
1
PEAH, DAHULU AYAH SUDAH LARANG BUKANKAH?

HARI ini, di depan kamera tv, tanpa sedikit pun lagi berbaki rasa segan dan silu, Peah teresak-esak menangis kerana mahu luahkan segala rasa tertekan serta sedih di dalam hatinya.

Sungguh. Sedihnya rasa di hati Peah tidaklah tertanggung dan tertahan lagi. Malah, sudah bertahun-tahun sebelum ini, Peah sebenarnya sudah pun lama menangis dan meraung di dalam hatinya. Namun kerana di luarnya Peah selalu berlagak ceria dan berseri pula dengan senyum manis serta ketawa hilai, tidaklah sesiapa pun yang tahu gundah dan gulana Peah di dalam jiwanya.

Itulah padahnya yang terjadi dan tertimpa ke atas diri Peah. Kalau dahulu nasihat dan larang ayah dia akur serta terima, Peah tahu pasti nasib dia tidak akan berkesudahan begini.

Tetapi itu dan begitulah. Kini Peah kena mengaku walau itu bagaikan membalingkan pentong ke batang hidung Peah sendiri. Semua itu kerana salah dan degil Peah juga. Semua itu kerana Peah sudah jadi mabuk dan maksyuk sangat dengan jejaka yang satu itu.

Sungguhnya kerana itulah Peah jadi yang sehingga demikian. Kerana mabuk dan maksyuknya itulah maka Peah menjadi tidak peduli akan nasihat ayahnya. Kerana bagi Peah, jejaka berhidung mancung, berambut ikal, berkulit putih dan ada iras-iras wajah pelakon Tom Cruise itu sungguh telah amat menawankan hati dia dan kerana itu Peah sanggup dan rela berbuat apa sahaja agar dapat bersama.

Apalah lagi lebih terbuai-buainya hati Peah bila jejaka yang pertama kali dia temui ketika sedang terkial-kial di kaunter borang imigresen dan meminta nombor telefon Peah setelah Peah dengan niat ikhlas telah membantu jejaka itu mengisi maklumat di dalam borangnya, telah berjanji setia dan sanggup sehidup semati dengan Peah semata-mata kerana cinta dan sayangnya yang tidaklah berbelah bahagi terhadap diri Peah.

Sungguhnya kerana itulah. Peah berasa dirinya sangatlah bertuah bertemu kasih dan berteman dengan jejaka yang ada iras-iras wajah pelakon Tom Cruise itu. Kerana itulah. Walau berpuluh kali ayah melarang dan memberi kata nasihat namun niat dan tekad Peah sudahlah nekad. Peah tetaplah akan berjodoh serta berkahwin juga dengan jejaka tambatan kasih di hatinya itu.

Peah sudah tidak mahu dengar dan peduli apa-apa lagi nasihat ayah. Bagi Peah berjodoh dan berkahwin dengan jejaka tambatan kasih dihatinya itu adalah segala-gala. Tiada siapa lagi yang dapat membujuk atau mampu mengendurkan niat serta hasrat Peah yang satu ini.

Bagi Peah jejaka itu adalah segalanya. Jejaka itulah. Dialah langit, bulan, matahari dan bintang. Bagi Peah jejaka itulah tanah, air, api atau angin. Bagi Peah jejaka itu adalah segala-galanya. Segala-galanya.

Manakan tidak. Jejaka itulah yang mampu membuat Peah gembira dan rasa seronok sampai terawang nun jauh ke langit nan tinggi. Hanya mendengar tutur dan lembutnya kata dari bibir jejaka itu hati Peah boleh menjadi luluh. Dan ketika diusap serta dibelai oleh jejaka itu, semakinlah Peah berasa terawang-awang bagaikan berada nun jauh di angkasa. Bagi Peah lembut dan romantisnya jejaka itu tidaklah menyamai jejaka di negeri sendiri.

Akhirnya, di tengah sedih dan sesal ayah yang sedikit pun tidak Peah peduli serta hirau, berkahwinlah sudah Peah dengan jejaka idaman kasih di hatinya itu. Dan tidak pun sampai seminggu, selamatlah juga Peah melahirkan seorang anak lelaki yang tentulah comel dan montel kerana campuran bangsa keturunannya dengan bangsa berkulit putih dan berhidung mancung itu.

Kerana hadirnya seorang cucu, sejuklah juga hati ayah Peah yang berkobar marah bercampur sesal itu kerana anaknya Peah tidak mendengar kata mahu dan tetap juga hendak berkahwinkan dengan jejaka dari negeri luar. Walau ikut rasa dan gerak hatinya, akan anak perempuan kesayangan dia itu tetaplah dia sebagai ayah berasa akan beroleh susah di kemudian hari kerana akan perangai bangsa sedemikian itu sudah sangat dia faham dan maklumi.

Namun begitulah. Apa daya dan apa ikhtiar kerana anak kesayangan sendiri sudahlah tersangat suka akan dia dan hendak atau tidak direstui juga nikah dengan berwalikan dia sebagai ayahnya.

Sehingga tibalah juga kepada saat yang sangat mengguris hati ayah tatkala jejaka yang kini sudah menjadi suami Peah secara sah itu menyatakan hasrat hendak kembali ke negeri asalnya dan mengajak sekali Peah mengikut. Sangatlah gundah hati si ayah hendak melarang atau menegah kerana sekarang Peah sudah menjadi isteri dan kepada suaminyalah Peah sepatutnya patuh. Di dalam hati si ayah berasa sangatlah tidak senang hendak melepas anak jauh dari mata mengikut suami ke negeri asalnya.

Apa yang dibimbang si ayah kini menjadilah sudah. Hanya setahun di negeri asal suami, Peah mengirim surat kepada ayah menyatakan sering menjadi mangsa seksa dan sepak terajang suami yang dulu Peah sangka sangatlah romantis lagi menyayangi diri dia.

Lalu dengan segala susah dan payah pergilah ayah ditemani orang kedutaan mengambil Peah dan anaknya membawa kembali ke negeri sendiri.

Namun itulah susah dan payahnya tidak selesai sudah. Datang lagi si lelaki yang memang bermulut manis tetapi berhati celaka itu mengungkit dan menuntut mahu juga memelihara anak kononnya walau dia kini bermastautin di negeri asalnya sendiri.

Setelah sekian minggu dan bulan berulang naik dan turun mendengar putusan hukum akhirnya hukum memutuskan anak dijaga secara bergilir oleh Peah dengan bekas suami yang kini di mata Peah tidak lain dan tidak bukan adalah bajingan.

Eloklah memang giliran pada mulanya dipatuhi si bekas suami yang kini di mata Peah telah berubah menjadi bajingan itu. Namun itu hanyalah sementara waktu sahaja.

Dan kerana itu jugalah Peah hari ini sedikit pun tidak berasa segan dan malu hendak meratap dan meraung-raung di depan kamera tv. Dia tidak kisah kalau semua orang tahu kisah dan cerita dia yang telah kehilangan anak kerana dilarikan bekas suaminya kembali ke negeri sendiri itu.

Peah tahu dan sedar itu semua memang salah dia kerana sedikit pun dahulu dia tidak tidak mahu mendengar larang dan nasihat ayah dia.

Dahulu ayah dia sudah berkata betapa berkahwin dengan orang dari negeri luar itu amatlah banyak masalah serta duganya. Namun sedikit pun Peah tidak mahu dengar dan ambil peduli kerana hati Peah sudahlah tersangat lekat dan cintanya kepada jejaka berhidung mancung itu.

Dan sekarang inilah sudah bencananya yang menimpa diri Peah. Bak kata orang tua-tua meraung dan meratap sehingga keluar air mata darah sekalipun sudahlah tidak berguna lagi.

Itulah jadinya apabila nasihat dan larang ayah tidak didengar dan dipeduli oleh gadis seperti Peah yang kerana asyik dan ma’syuk bila hati telah ditawankan cinta serta kasih terhadap jejaka dari negeri luar yang berhidung mancung, berambut ikal, berkulit putih dan ada iras-iras wajah pelakon Tom Cruise atau kalau tidak pun seiras Shah Rukh Khan itu.

Itulah, Peah. Dahulu ayah sudah larang bukankah?

Mac 29, 2009

2
JANGAN TINGGALKAN DAKU, DUHAI KEKASIHKU

MENDAYU sungguh. Kalau kurang sabar dan bertahan memang boleh cair secair-cairnya.Tetapi semaunya memang sudah pun terlambat. Ketika hati ini dibuka seluas-luasnya tidak pula dia hendak melayan dan menyinggahkan sayang atau cintanya.

Tetapi sekarang? Untuk apa lagi sendu dan merayu-rayu?

Sudahlah. Jangan bazirkan suara dan air mata. Segalanya sudah tidak berguna.Kautahu kenapa?

Orang tua kata, kalau lelaki masih juga tidak sedar dan insaf walau berkali-kali sudah dipermainkan makhluk bernama wanita, lebih baiklah dia gali sendiri lubang kubur dia.

Tetapi soalnya sekarang bukan soal cinta atau wanita. Ini soal dan perkara yang lebih besar. Soal cinta itu perkara kecil. Sedikit tidak menjadi kudis atau luka.

Tetapi kalau hati menjadi luka dan koyak rabak kerana harapan yang tidak tertunai, selepas kauletakkan harap dan menanti janji-janji yang dikoarkan oleh mereka yang bergelar itu ketika berkehendakna sesuatu, memang itulah yang buat kau akan rasa sangat-sangat kecewa dan tertipu.

Hingga tidak sedar, bila kaudengar mendayu-dayu rayuan-rayuan begitu, tanpa sedar kau boleh akan kata: “Cis!”

Januari 31, 2009

3
HATIKU KECEWA, TIADA TEMPAT BERMANJA

HENDAK termuntah pun ada rasa.

Memang dasar tidak sedar dan kadarkan diri. Sudah tua bangka sebegini konon hendak bermanja-manja lagi.
Kalau orang sudah tidak suka, biarlah dia terus menerus tidak suka. Untuk apa lagi hendak dibujuk dan dirayu-rayu?

Hendak cari tempat bermanja-manja apa lagi?

Meluatlah. Sudahlah. Kenapa hendak salah-salahkan diri sendiri hendak pikul segala silap dan kesalahan. Kononlah.

Woi, siapa berak dialah yang basuh sendiri. Kenapa pula kau yang sebok-sebok hendak tolong pergi basuh.

Malulah. Sudah tua-tua bangka masih lagi begini.

“Hatiku kecewa, tiada tempat bermanja…”

He, hendak termuntah adalah.

Januari 29, 2009

4
KAUDATANG DAN KAUPERGI SEPERTI ANGIN

DEMIKIANLAH. Kaudatang dan kaupergi sesuka hati. Seperti angin. Ketika datang kau hanya berpuput dan ketika pergi tidak sedikit pun kau membekas. Pergi dan datang kau tidak merubah dan mendatangkan apa. Apa lagi kerana pergi kau dahulu konon lantaran membawa lara hati nan rajuk ketika tidak bersua sesuai kehendak.
Memang pun kini kau kembali datang. Dengan segala lagak dan aksi yang memang pun sudah terbukti untuk membangkit rasa mual dan benci di hati yang bersaksi. Ketika kau ulang berkali kata-kata basi dan imej yang dilusuhkan dengan wajah-wajah palsu.

Kau datang dan kau juga akan pergi. Seperti selalu kiranya ada yang terbuku dan tidak memenuh kehendak serta pinta.

Kerana seperti juga angin, kau adalah angin dari segala angin yang tidak mustahil boleh menghadirkan ribut dan taufan kiranya nanti kehendak terhalang oleh mereka yang tidak sudi bersekongkol dengan segala kedurjanaan.

April 7, 2009

Sumber siaran: Berita Harian, Sabtu 20 Jun 2009


Rabu, Jun 24, 2009

NASKHAH SAJAK DI MALAM PUISI UTUSAN 2009



Marsli N.O
SAJAK GELISAH MENJELANG PAGI

Akan kukatakan apa lagi kepadamu, aduhai kenang
yang selalu menderukan ingatan dari silamku yang tidak terhitung
segala ngeri igau dan keperitan
untuk kulepaskan satu persatu seperti membebaskan
tali temali di pelabuhan dan kekasih yang memilih berangkat
kurelakan bersama ke dalam kelam menjadi teman
ketika aku tetap bertatih dan ingin menjauhkan segala cemas
dan debar yang selalu bertalu mendebur
di pantai yang basah di bawah cahaya bulan?

Aku tahu tidak mungkin aku bermusuh dan membunuhmu lenyap
dari hati pendendam
tetapi siapa aku untuk juga berkata tidak
ketika kau kembali bertalu menghantar bayang demi bayang ?
Dan gelisah, dengan cemasnya menderaku bertalu-talu
ketika ingin kusebut lagi berkali-kali namamu, aduhai kekasihku.
Walau kini tidak kutahu sudah di mana engkau bersembunyi
Dan aku tidak sudahnya bertemankan sunyi .

Aku sedang gelisah
menanti pagi segera menjelma dan kuharap suria sudi berkongsi ceria
walau kutahu hari akan kembali menjadi medan pertempuran
dan dengan seru kita bersiap untuk menjadi pembunuh
atau dibunuh
oleh sepi dan gelisah sendiri
yang mendekam di dalam hati gelisah ini.

Disember 18, 2008


Nota:
Kirim kepada Nik Anura (Urusetia Baca Puisi Utusan 2009) via email nikanura@utusan.com.my pada Jun 10, 2009 dan dideklamasikan di Malam Puisi Utusan 2009, 12 Jun 2009 di Laman Beringin Istana Budaya, Kuala Lumpur.


Isnin, Jun 22, 2009

RALAT: MENGENAI PENYIARAN “MEMBACA SEJARAH”



ADALAH dimaklumkan sajak “Membaca Sejarah” yang disiarkan di ruangan sastera Mingguan Malaysia, 21 Jun 2009 telah saya emailkan kepada pegawai penyelenggara Malam Puisi Utusan 2009 dan dicadangkan akan dibacakan di majlis tersebut. Sajak itu telah disiarkan sebelumnya di dalam kumpulan sajak saya “Kepada Angin Juga” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009.

Walau bagaimanapun, pada malam acara saya membacakan sebuah sajak lain berjudul “Sajak Gelisah Menjelang Pagi”. Sajak ini saya emailkan kepada seorang pegawai penyelenggara Malam Puisi Utusan 2009 yang menelefon pengesahan kehadiran saya beberapa hari sebelum malam acara.

Kerana menyangkakan sajak terbaru itu berada di tangan penyelenggara ruangan puisi Mingguan Malaysia, saya mengaku sajak “Sajak Gelisah Menjelang Pagi” ini memang belum tersiar di mana-mana ketika dihubungi dan tidak menyangka sama sekali sajak itu sebenarnya tidak sampai ke meja penyelenggara puisi Mingguan Malaysia.

Oleh kerana sajak “Membaca Sejarah” telah pun dibukukan, saya dengan ini memohon maaf atas kekeliruan penyiarannya di Mingguan Malaysia, 21 Jun 2009 dan memohon agar sajak tersebut juga tidak dimasukkan ke dalam sebarang senarai puisi untuk penilaian HSKU.

Saya mohon maaf atas segala kekeliruan yang tidak disengajakan ini.

MARSLI N.O
Jun 21, 2009

Isnin, Jun 15, 2009

BANTAH TETAP MEMBANTAH

SAYA
dengan ini memaklumkan
BANTAHAN
terhadap apa yang dinyatakan sebagai
cadangan mewajibkan
LULUS
mata pelajaran
Bahasa Inggeris
sebagai syarat lulus peperiksaan
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM).
Isnin, Jun 15, 2009

Jumaat, Jun 12, 2009

BANTAHAN BANTAHAN BANTAHAN

SAYA
dengan ini menyatakan
BANTAHAN
atas apa yang disebutkan sebagai
cadangan mewajibkan
LULUS
mata pelajaran Bahasa Inggeris
sebagai syarat lulus peperiksaan
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM).
Jumaat, 12 Jun 2009

Rabu, Jun 10, 2009

BANTAH

TAN SRI Timbalan Perdana Menteri,
saya dengan ini menyatakan
BANTAHAN
atas apa yang disebutkan Tan Sri sebagai
cadangan mewajibkan LULUS
mata pelajaran Bahasa Inggeris
sebagai syarat lulus peperiksaan
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM).


Walau apa pun hujah dan alasan,
saya fikir
sebagai bangsa yang menyayangi
bahasa ibundanya sendiri,
alasan dan hujah bagi
BANTAHAN
saya ini sudah pun dimaklum
serta difahami.



Untuk itu jugalah,
saya kira
waktu dan tenaga
tidaklah perlu
hendak DIBAZIRKAN lagi
untuk berdebat
dan memperlanjutkan bincang.

Rabu, 10 Jun 2009

Selasa, Jun 09, 2009

SAJAK-SAJAK TERTINDAS

PENYAIR menuliskan sajak tidak semata-mata kerana ingin menzahirkan segala sesuatu yang sedang bergulat di dalam perasaan dan fikirannya, tetapi sekaligus juga pada waktu sama sebagai tanda dan upaya melawan segala kekang dan persyaratan yang meminta sebuah sajak mesti dibegitu atau dibegini, sebelum mendapat restu dan diperakukan sebagai sebuah sajak yang layak mendapat tempat penyiaran di akhbar atau majalah.

Tentu sahaja kekang dan persyaratan sebegini, yang sifat dan nadanya amat pongah, tidak dituturkan secara langsung atau didokumenkan secara bertulis oleh sesiapa atau mana-mana pihak yang berasa dirinya punya hak dan kewajiban untuk berbuat demikian.

Namun secara tidak kelihatan kekang dan persyaratan segala macam ini tetap dan terus juga berlangsung. Semakin lama kekangan ini semakin dalam mengejapkan kuku tajamnya, sehingga akhirnya menjadi suatu bentuk penindasan yang selalu diucapkan atas nama slogan murahan: kesusasteraan.

Dalam keadaan atau situasi yang sedemikian jugalah, sebuah sajak hanya akan benar-benar dapat diakui sebagai sebuah sajak, oleh para pengucap slogan ini, tidak boleh tidak mestilah panjang dengan sukatan sekian jumlah baris. Lalu sajak-sajak bernada senafas dan ringkas menjadi anak haram yang tidak dialukan hadir dan wujudnya.

Dengan angkuh dan pongahnya kemenangan sepihak ini terus menerus dirayakan. Sementara di kutub lain, berhadapan dengan kekang dan penindasan begini, penyair yang menyanjung dan percaya penuh kepada kebebasan untuk berekspresi dengan sastera dan seninya, menjadi gelisah dan marah.

Akhirnya, kekang dan penindasan ini didabrak juga oleh penyair. Alternatif lain dicari dan temukan untuk mengabsahkan kehadiran diri kepenyairan dan sajak-sajaknya.

Penyair memilih untuk tidak lagi mempercayai lembaga atau institusi sebagai penobat karya sajaknya. Panjang atau pendek, sudah tidak menjadi soal. Yang penting adalah hasrat dan keinginan untuk berekspresi.

Sebagai tanda perlawanan yang tidak berkesudahan ini jugalah maka sajak-sajak yang selesai ditulis, dengan sengaja diterbitkan di dalam kumpulan yang terpisah-pisah. Selama bertahun-tahun sajak-sajak di dalam kumpulan ini membawa diri dan kewujudannnya dengan caranya sendiri.

Secara terpecah-pecah dan dalam kumpulan yang berlainan, penyair memanifestasikan sikap perlawanannya terhadap segala kekangan terhadap bentuk yang dengan sengaja dislogan oleh mereka yang berasa dirinya menjadi penobat dan pemberi restu kelahiran sebuah sajak dan seorang penyair.

Tentu sahaja tidak semua perlawanan akan berakhir dengan kemenangan dan pemenangnya akan dinobatkan sebagai hero. Namun begitu, andaipun saya adalah pemenang dalam perlawanan yang tidak berkesudahan menentang penindasan ini, saya sama sekali tidak ingin menjadi pemenang dan berdiri dengan bangga sebagai seorang hero.

Buat saya, cukuplah saya tetap dan terus menjadi diri saya sendiri dan bukan sebagai orang lain. Hanya itulah yang saya ingin manifestasikan dari perlawanan panjang menentang penindasan yang tidak berkesudahan ini.

Jun 9, 2009

Isnin, Jun 08, 2009

BANGSA DI DALAM SAJAK DAN SAYA MELAWAN PENINDASAN

TAHUN 1992, saya menulis sebuah sajak mengenai bangsa saya, yang sangat saya percayai dakwaan yang menyebutkannya sebagai suatu bangsa yang bermaruah, yang hidup di tanah bertuah dan makmur di negara bernama Malaysia.

Sajak yang saya judulkan “Bangsaku” itu dengan sengaja saya tulis hanya beberapa kata, yang saya ulang berkali-kali dan patahkan di sana sini.

Sejak mula, memang pun sajak itu tidak saya niatkan sebagai sajak kata tetapi lebih kepada sajak visual, yang bermain dengan simbol dan bentuk, yang cuma menyampaikan isyarat atau kilas maksud, hanya dengan lambang dan bunyi.

Ketika sajak itu saya tulis, usia saya belum menjengah 40 dan saya menulisnya dengan rasa mual dan sebal yang amat sangat tatkala melihat betapa sesama anak bangsa saya yang sama segama, asyik saling bertelagah dan bercakar. Masing-masing mahu mengatasi yang lain. Mahu menang dan dinobatkan sebagai juara serta pejuang. Walau demi menggapai itu, sesama saudara sanggup saling berkhianat dan pelbagai janji yang diucap jarang tertunai.

Dan hari ini, ketika sajak itu saya renungkan kembali, juga ketika catatan ini saya tulis, usia saya sudah menjangkau 50.

Tentu sahaja kini, cara saya memandang sesuatu perkara dan menanggapi sesuatu soal sedikit dan sebanyak telah berubah. Berbanding dulu, saya kini sudah agak kurang cepat berasa marah dan mual bila berasa ada sesuatu yang dirasakan tidak adil dan kurang wajar.

Namun begitu, satu hal yang bagi saya sangat ketara dan masih tidak banyak berubah ialah betapa bangsa saya yang bernama Melayu dan mengaku beragama Islam ini masih tetap suka bercakar dan bertelagah sesama sendiri.

Di segi berjanji pula, janji demi janji muluk masih diucapkan bagaikan air yang mengalir namun tidak semua yang diucapkan itu segera menjadi nyata.

Mereka yang bergelar pemimpin dan dipercayakan agar menjadi pemuka bangsa sebok dan gelojoh mahu mempertahankan kerusi dan bukannya mendengar rintih dan keluh rakyat yang pernah ditaburi pelbagai janji sebelum ini.

Mereka yang bergelar pemimpin semakin bijak dan pintar bermain kata dan ucap. Semata-mata konon untuk mengubat lara di hati rakyat yang mengharap.

Bahasa sendiri digolek dan dilambung sesuka hati dan bahasa orang lain pula diwajib pelajari serta dikuasai. Konon hanya itulah cara sahaja untuk maju dan menguasai teknologi.

Itulah yang saya perhatikan. Apa yang saya sesalkan di dalam sebuah sajak yang tentunya sangatlah sederhana, yang saya tulis kurang lebih 17 tahun yang lalu itu masih tetap berulang.

Di waktu sama juga, saya sendiri kembali ingin mengenang rasa dan derita menuliskan sajak yang sederhana ini dalam keadaan perasaan yang tertindas oleh kekangan bentuk dan syarat, yang menetapkan betapa sebuah sajak, untuk mendapat restu dan tempat penyairan, mesti dibegitu atau dibegini.

Namun betapa pun demikian, saya waktu itu tetap dan terus juga melawan dengan cara saya sendiri.

Begitu sajak itu selesai saya tuliskan, sajak itu tidak saya kirimkan ke mana-mana penerbitan. Sebaliknya, agar suara saya tetap dapat didengar khalayak, saya kumpulkan sajak itu di dalam sebuah antologi dan sajak itu saya bacakan di mana-mana kesempatan membacakannya.

Dengan cara begitu, saya menunjukkan cara untuk mandiri dan berikhtiar melawan segala penindasan terhadapnya dengan cara saya sendiri.

Dengan keyakinan dan kekuatan yang ada, saya melawan dan tidak mempedulikan segala kekang yang ditetapkan oleh siapa pun mereka yang egois dan tidak mahu mengerti.

Memang secara sedar saya berniat untuk melawan.

Kerana saya tahu, betapa hidup yang hanya sekali ini haruslah diberikan erti dengan cara saya sendiri. Walau untuk dan kerana itu saya menjadi tidak popular atau tidak disenangi oleh mereka yang tidak mengerti juga bersikap autokrasi terhadap karya dan pekerja seni.

Sejak tahun 1992, atau lebih awal dari itu, mungkin di tahun 1979, saya hidup dengan penindasan terhadap seni itu, namun saya tetap melawan. Dan perlawanan itu tentulah dengan cara saya sendiri. (Catatan Jun 8, 2009)

BANGSAKU
blablablablablablablablablablabla
blablablablablablablablablablabla
blablablablablablablablablablabla
blablablablablablablablablablabla
blablablablablablablablablablabla
blablablablablablablablablablabla
blablablablablablabla
blablablablablablabla
blablablablablablabla
blablablablablablabla
blablablabla
blablablabla
blablablabla
blablablabla
blablablabla
blablablabla
bla
bla
bla
bla
bla
bla
bla
b l a
b l a
b l a
b l a
b l a
b l a
b
b
b
b
b
l
l
l
l
a
.
.............................

1992

Sabtu, Jun 06, 2009

SESEORANG DITUDUH PEMBOHONG

DI DEPAN sejumlah khalayak di suatu acara sastera, seseorang telah dituduh sebagai pembohong oleh seorang yang mengaku menjadi kaya dan hidup dengan hasil menulis.

Punca dan kenapa tuduhan itu dilempar ke batang hidungnya tidak lain kerana seseorang itu secara tegas dan berterus terang mengatakan betapa dengan hanya menuliskan karya sastera, di negeri yang makmur dan terlalu pantas memaju ini, penulisnya akan hidup miskin, sengsara dan payah.

Konon kerana itulah maka seorang yang mengaku menjadi kaya dan hidup dengan hasil menulis itu melontarkan tuduhan.

Mungkin benar seseorang itu berbohong ketika mengatakan betapa hidup hanya dengan menulis di negeri ini tidak mungkin menjadi kaya.

Tetapi kalau pun benar seseorang itu berbohong, saya fikir biarlah itu menjadi urusan dia dengan Tuhan dan tiada sebab untuk seorang yang mengaku menjadi kaya dan hidup dengan hasil menulis melenting marah dan menuduh seseorang itu sebagai pembohong di depan khalayak.

Bagi saya ini tuduhan yang sangat tidak adil dan melampau. Kalau saya di sana ketika kata-kata itu diucapkan oleh orang yang itu, saya mungkin akan kembali menempelak bahawa dia yang menuduh itu juga adalah pembohong.

Saya sanggup katakan demikian kepada seorang yang mengaku menjadi kaya dan hidup dengan hasil menulis itu kerana saya tahu kalau dengan hanya benar-benar menulis sesuatu yang sastera dan inti di negeri ini, mana mungkin orang dapat menjadi kaya.

Tidak percaya? Lihat sahajalah nasib yang menimpa beberapa sasterawan yang dinobatkan atas nama negara itu. Hidup mereka seadanya sahaja dan memang tidak terlalu kaya. Malah pihak yang menobatkannya atas nama negara juga seperti kurang memperhatikan mereka. Lebih terhiris dan ironi, walau telah dinobatkan atas nama negara, tetapi karya mereka tiada yang sudi dipilih menjadi teks di sekolah.

Lainlah kalau selain menulis itu, disambil-sambilkan juga mengambil keuntungan dengan cara memeras orang lain secara tidak langsung atau dengan sesuatu cara dan muslihat yang licik. Atau misalnya atas nama penulis tetapi secara diam-diam mendapat projek-projek sampingan yang lain.

Atau katakanlah seorang yang mengaku menjadi kaya dan hidup dengan hasil menulis itu memang menulis dalam erti kata telah melahirkan sejumlah karya dan karyanya itu laku keras sehingga sudah diulang cetak ribuan kali. Hasil dari royalti karya itu memungkinkan dia menjadi kaya sehingga mampu membeli kereta baru dan sebagainya.

Memang kayalah dia. Tetapi sepuluh tahun dari sekarang, atau selepas dia mati, apakah karyanya itu akan terus dikenang orang atau setidaknya, nama dia disebut orang sebagai seorang sasterawan?

Di situlah saya katakan dia berlaku tidak adil terhadap seseorang yang dia tuduh sebagai pembohong itu.

Saya rasa, dia menuduh seseorang itu sebagai pembohong semata-mata kerana tidak senang dengan cara seseorang itu yang melihat dunia penulisan dari perspektif seorang yang hanya sepenuhnya menulis karya sastera, sedangkan seorang yang mengaku menjadi kaya dan hidup dengan hasil menulis yang menuduh seseorang itu sebagai pembohong itu pun memang pun bukan seorang sasterawan, tetapi berasa dirinya juga tetap seorang sastera dan mahukan supaya apa yang dia tulis itu diakui juga sebagai karya sastera.

Saya fikir tidak ada sebab untuk dia berasa marah atau tersinggung terhadap seseorang yang hanya bercakap dari perspektif penulis karya sastera itu sehingga tergamak dia menuduhnya pembohong.

Rasa saya, kalau pun benar dia menjadi kaya kerana memang menulis, walau bukan sesuatu yang sastera, dia tidak punya hak untuk menuduh orang lain sebagai pembohong.

Sebabnya ? Bukan dia seorang yang menjadi kaya kerana menulis. Tetapi yang ramai itu tidak pula tergamak hendak menuduh orang lain sebagai pembohong.

Kecuali dia sahajalah. Kerana saya agak dia marah sangat itu kerana terasa tercilikan sesuatu. Atau kalau tidak pun, dia pun memang ada niat juga hendak berbohong lantaran kerana sebelum ini memang sudah terlalu sering berbuat bohong.

Jun 4 , 2009

Isnin, Jun 01, 2009

GADIS PENULIS ITU, NAMANYA WARDAH

NAMA gadis itu Wardah. Saya melihat dan menemuinya beberapa hari, dan itu pun tidak sepanjang hari, di suatu bengkel deklamasi sajak yang saya secara sebahagian turut menjadi penceramahnya.

Tentu sahaja di waktu-waktu bengkel yang tidak sepanjang hari saya kendalikan itu, saya tidak sepenuhnya memberikan tumpuan hanya kepada Wardah. Bagi saya Wardah sama juga dengan teman pesertanya yang lain di dalam bengkel itu.

Kerana itu, sampai kini, saya tidak begitu jelas bagaimana wajah Wardah dan saya hanya benar-benar mengingatinya kerana dia bagi saya adalah salah seorang peserta yang menurut hemat saya dapat berdeklamasi dengan baik dan sudah mulai menguasai sedikit sebanyak tekniknya.

Selebih itu, Wardah tetaplah Wardah yang sama seperti gadis dan jejaka peserta bengkel deklamasi yang lain itu. Saya tidak menyimpan apa-apa ingatan yang lain kerana Wardah dan saya mengharapkan Wardah serta kawan-kawan peserta bengkelnya yang lain tidak hanya mampu berdeklamasi sewajarnya, tetapi juga mampu menulis dan terus menulis hinga berjaya menerbitkan karya demi karya mereka.

Begitu usai bengkel deklamasi dan selepas berpisah dengan Wardah dan kawan-kawan peserta bengkelnya, nama Wardah tertimbus di bawah kesebokan ingatan saya yang pelbagai. Namun tentu sahaja saya tetap berharap Wardah, dan kawan-kawan bengkelnya yang lain juga, sudah mulai menulis dan berjaya. Apa lagi kerana saya tahu Wardah sebenarnya adalah penuntut sebuah institusi pengajian seni dan budaya di ibu kota.

Tiba-tiba pada suatu hari di penghujung bulan Mei, Wardah menyapa di kotak bicara blog saya. Sopan dan kelihatan agak teragak-agak kata yang diucapkannya. Dan saya tentu sahaja menjawab sapaan itu secara wajar serta mengharapkan segala apa yang baik dimanfaatkan buat dirinya.

Beberapa hari berikutnya, saya menerima pula email dari Wardah. Dari email itu barulah saya tahu betapa Wardah sudah memiliki blognya sendiri dan beberapa kandungan blognya itu dilanjutkan ke kotak email saya.

Wardah rupanya sejak 10 Februari 2009 sudah memulai blognya dan saya rasa agak bersalah juga kerana tidak begitu memperhati, mencari dan memberikan sedikit sambutan terhadap blognya.

Boleh tahan panjang juga kandungan setiap entri yang dipostkan Wardah ke blognya. Bahasanya juga bersih dan bernada lembut dan tenang.

Tetapi entri Wardah yang ini, yang dilanjutkan ke kotak email saya pada penghujung Mei 2009 agak mengejutkan saya. Kata Wardah: “Siapa aku untuk menjadi penulis?”. Judul entri Wardah yang ini, sekali imbas memanglah tidak menjadi apa yang salah. Bagi seorang pemula yang sedang bergelut mencari identiti dan tapak mula di dunia penulisan, pertanyaan ini juga wajar dan normal.

Apa lagi kalau Wardah cuba membandingkan dirinya dengan nama-nama penulis yang kandungan blognya dibaca Wardah seperti diakuinya: “blog sasterawan terkenal seperti Ibnu Ahmad, Azizi Haji Abdullah, Mohamad Kholid”. Tentulah Wardah akan bertambah berasa kecil dan rendah diri.

Namun pada akhirnya, Wardah sudah tidak perlu membandingkan dirinya dengan sesiapa. Apa yang penting Wardah hanya perlu menulis dan terus menulis berdasar serta berpandukan apa-apa ilmu yang telah dipelajari dan dikuasai Wardah. Soal apa yang hendak ditulis dan apa genrenya juga tidak perlu diresahkan Wardah. Yang penting Wardah menulis apa yang tergerak dihatinya untuk menulis dan ketika menulisnya tentu sahajalah Wardah perlu jujur kepada dirinya sendiri dan sama sekali tidak ingin mencontohi atau menjadi orang yang lain.

Saya fikir inilah nasihat terbaik yang dapat saya berikan kepada Wardah. Wardah perlu percaya dan menjadi dirinya sendiri. Selebih itu Wardah tidak perlu fikir dan risaukan apa-apa.

Dan saya tahu, saya mungkin bukanlah seorang yang semua tahu yang terlalu hebat dan bijak untuk memberikan Wardah nasihat serta petua bagaimana untuk menjadi penulis yang berjaya.

Tetapi walaupun demikian, saya berasa saya perlu juga berkata sesuatu untuk Wardah. Dan apa yang saya katakan ini, kalau boleh, tidaklah hanya untuk Wardah semata-mata, tetapi boleh juga kalau hendak dan sudi dipakai serta diterima oleh kawan-kawan penulis yang sebaya Wardah yang lain, sama ada gadis atau jejaka yang sama bercita-cita dan sedang bergulat mencari identiti diri sebagai penulis.

Nasihat saya, jadilah diri sendiri dan tidak perlulah terlalu hendak mencontohi sesiapa. Cukuplah menulis dan terus menulis dengan yakin sebagai diri sendiri. Betapa pun sulit untuk berbuat sesuatu yang pada zahirnya sangat mudah disebut ini, namun permulaannya saya yakin inilah.

Jun 1, 2009