Tentu sahaja di waktu-waktu bengkel yang tidak sepanjang hari saya kendalikan itu, saya tidak sepenuhnya memberikan tumpuan hanya kepada Wardah. Bagi saya Wardah sama juga dengan teman pesertanya yang lain di dalam bengkel itu.
Kerana itu, sampai kini, saya tidak begitu jelas bagaimana wajah Wardah dan saya hanya benar-benar mengingatinya kerana dia bagi saya adalah salah seorang peserta yang menurut hemat saya dapat berdeklamasi dengan baik dan sudah mulai menguasai sedikit sebanyak tekniknya.
Selebih itu, Wardah tetaplah Wardah yang sama seperti gadis dan jejaka peserta bengkel deklamasi yang lain itu. Saya tidak menyimpan apa-apa ingatan yang lain kerana Wardah dan saya mengharapkan Wardah serta kawan-kawan peserta bengkelnya yang lain tidak hanya mampu berdeklamasi sewajarnya, tetapi juga mampu menulis dan terus menulis hinga berjaya menerbitkan karya demi karya mereka.
Begitu usai bengkel deklamasi dan selepas berpisah dengan Wardah dan kawan-kawan peserta bengkelnya, nama Wardah tertimbus di bawah kesebokan ingatan saya yang pelbagai. Namun tentu sahaja saya tetap berharap Wardah, dan kawan-kawan bengkelnya yang lain juga, sudah mulai menulis dan berjaya. Apa lagi kerana saya tahu Wardah sebenarnya adalah penuntut sebuah institusi pengajian seni dan budaya di ibu kota.
Tiba-tiba pada suatu hari di penghujung bulan Mei, Wardah menyapa di kotak bicara blog saya. Sopan dan kelihatan agak teragak-agak kata yang diucapkannya. Dan saya tentu sahaja menjawab sapaan itu secara wajar serta mengharapkan segala apa yang baik dimanfaatkan buat dirinya.
Beberapa hari berikutnya, saya menerima pula email dari Wardah. Dari email itu barulah saya tahu betapa Wardah sudah memiliki blognya sendiri dan beberapa kandungan blognya itu dilanjutkan ke kotak email saya.
Wardah rupanya sejak 10 Februari 2009 sudah memulai blognya dan saya rasa agak bersalah juga kerana tidak begitu memperhati, mencari dan memberikan sedikit sambutan terhadap blognya.
Boleh tahan panjang juga kandungan setiap entri yang dipostkan Wardah ke blognya. Bahasanya juga bersih dan bernada lembut dan tenang.
Tetapi entri Wardah yang ini, yang dilanjutkan ke kotak email saya pada penghujung Mei 2009 agak mengejutkan saya. Kata Wardah: “Siapa aku untuk menjadi penulis?”. Judul entri Wardah yang ini, sekali imbas memanglah tidak menjadi apa yang salah. Bagi seorang pemula yang sedang bergelut mencari identiti dan tapak mula di dunia penulisan, pertanyaan ini juga wajar dan normal.
Apa lagi kalau Wardah cuba membandingkan dirinya dengan nama-nama penulis yang kandungan blognya dibaca Wardah seperti diakuinya: “blog sasterawan terkenal seperti Ibnu Ahmad, Azizi Haji Abdullah, Mohamad Kholid”. Tentulah Wardah akan bertambah berasa kecil dan rendah diri.
Namun pada akhirnya, Wardah sudah tidak perlu membandingkan dirinya dengan sesiapa. Apa yang penting Wardah hanya perlu menulis dan terus menulis berdasar serta berpandukan apa-apa ilmu yang telah dipelajari dan dikuasai Wardah. Soal apa yang hendak ditulis dan apa genrenya juga tidak perlu diresahkan Wardah. Yang penting Wardah menulis apa yang tergerak dihatinya untuk menulis dan ketika menulisnya tentu sahajalah Wardah perlu jujur kepada dirinya sendiri dan sama sekali tidak ingin mencontohi atau menjadi orang yang lain.
Saya fikir inilah nasihat terbaik yang dapat saya berikan kepada Wardah. Wardah perlu percaya dan menjadi dirinya sendiri. Selebih itu Wardah tidak perlu fikir dan risaukan apa-apa.
Dan saya tahu, saya mungkin bukanlah seorang yang semua tahu yang terlalu hebat dan bijak untuk memberikan Wardah nasihat serta petua bagaimana untuk menjadi penulis yang berjaya.
Tetapi walaupun demikian, saya berasa saya perlu juga berkata sesuatu untuk Wardah. Dan apa yang saya katakan ini, kalau boleh, tidaklah hanya untuk Wardah semata-mata, tetapi boleh juga kalau hendak dan sudi dipakai serta diterima oleh kawan-kawan penulis yang sebaya Wardah yang lain, sama ada gadis atau jejaka yang sama bercita-cita dan sedang bergulat mencari identiti diri sebagai penulis.
Nasihat saya, jadilah diri sendiri dan tidak perlulah terlalu hendak mencontohi sesiapa. Cukuplah menulis dan terus menulis dengan yakin sebagai diri sendiri. Betapa pun sulit untuk berbuat sesuatu yang pada zahirnya sangat mudah disebut ini, namun permulaannya saya yakin inilah.
Jun 1, 2009
14 ulasan:
Saudara Marsli,
Saya ada seorang kawan masa sekolah di SMA Al-Khairiah Temerloh dahulu. Namanya juga Wardah. Satu kelas dan sama-sama aktif. Kami sama-sama belajar di IKIP dan sama-sama ke Jordan dan kebetulan sama satu universiti. Kebetulan (?) juga kami tak kahwin sama-sama suka. Saya yakin Wardah dalam entri ini tidak ada kaitan dengan diri saya. Heh heh :)
al-Kurauwi
Buku dah sampai. Harganya sudah dibankkan.
Sdr Ibnu Ahmad: Izinkan saya jadikan Wardah sesuatu yang rahsia dan misteri. Izinkan. dan terima kasih atas segala sokongan.
Marsli N.O
Saya juga punya kisah Wardah. Dia penulis muda yang saya kagumi karyanya. Saya mengingat puisinya dan wajahnya yang tertera di blog. Suatu hari di PPMN 2009, Ayer Keroh, saya bertemu dia, tanpa ragu saya sapa. Dia tetap malu dan merendah diri.
Semoga, Wardah yang saya maksudkan itu terus berjaya. Usah jadi seperti saya yang sehingga kini masih tidak punya kekuatan untuk bermula dengan konsisten.
Tuan Marsli,
Teringat kembali kepada ungkapan Allahyarham Pak Engku (T.Alias):
"Sebagai penulis, kita tak perlu bising. biar karya kita saja yang bising..."
Salam Sdr Bayan: Kenapa Sdr tidak juga "mencontohi" Wardah?
Sdr Edolah: Kukira tidak selalu betul pendapat itu. Kerana kita yang menulis bukanlah robot.
Sdr. Marsli,
itulah yang aku fikirkan...
dengan kebisingan deklamasi di pentas puisilah ternyata kehadiran kita dirasai.jumaat nanti mari kita riuhkan laman pena dengan puisi.
Salam Tuan Marsli,
Betul Tuan Marsli, apa yang Wardah alami, kadang-kadang saya alami - terasa kerdil bila melawat lawat penulis-penulis mapan, termasuk Tuan. Cuma dicekalkan hati, saya menulis bukan kerana ingin bersaing, kerana saya memang ingin menulis. Titik!
Salam perkenalan Tuan Penyair besar!
IlhamHamdani,
Canberra, Australia
Saudara Marsli NO;
Suatu masa dulu saya juga adalah seperti Wardah itu... tidak salah menjadi seperti Wardah asal niat sebenar didorong ke jalan kejayaan.
Salam Sdr Ilham: Selagi Sdr menulis kerana dan dari hati sendiri, tiada apa yang hendak menjadi rasa rendah diri atau segan. Menulislah terus. Walau hanya diam, namun saya tetap cuba melihat dan mengenal yang lain-lain.
Sdr Edolah: Silakan Sdr. Baca Puisi Pena dan kawan-kawan tetap di hati saya. Terima kasih kerana masih dan tetap ingatkan saya. Terima kasih.
Salam Sdr Sri Diah: Kita harap demikianlah. Dan tahniah atas kegigihan dan segala kejayaan Sri.
Terima kasih saudara Marsli atas nasihat yang berguna. Teguri saya jika tersalah arah.
Salam Wardah: Yang penting menulislah terus dengan rasa percaya diri. Yang selain itu mungkin tempelan sahaja.
Catat Ulasan