Rabu, Oktober 31, 2012

KEBONGKAKAN


MEMANG pun ketika menulis yang difikirkan adalah diriku sendiri. Jadi kerana itu saya tidak berasa sangat terkejut kalau ada orang lain yang mungkin berasa dirinya maksum, betul semua,  tahu semua, menghenyak dan mengkritik karya atau pendapat orang lain.

Manusia yang tidak sadar diri memang selalu berasa dirinya baik, hebat dan betul. Berselindung atas nama gelar dan topeng akademik.

Peduli apa itu semua. Asalkan mendatangkan untung kepada diri, tidak mengapa bersahabat dan berbaik-baik dengan monyet yang datangnya bukan hendak menambah baikkan tetapi hendak menambahkan rosak serta binasa seni dan sasteranya.

Memang pun perlukan pendokong dan penampung. Menulis berbagai rupa karya kalau tiada yang membaca, mendokong, memuji dan mementaskannya menjadi lakon, apalah maknanya.

Kerana itu diperlukan penyokong dan pendokong, yang perlu dipelihara serta sentiasa dibuat baik. Walau yang mendokong itu, buku sebiji jarang dibaca dalam setahun, atau karyanya entah di mana dan bagaimana.

Kecuali hanyalah kelebihan dia menjilat-jilat serta membodek-bodek  siapa dan pihak mana yang dirasakan boleh kembali memberikan dia untung dan laba.

Dan manusia beginilah yang sangat disukai dan digemari bagi sesiapa yang memerlukan penyokong serta pendokong.

Oktober 31, 2012 


Selasa, Oktober 30, 2012

SADAR


KERANA datang dari keluarga merempat dan berbapakan orang Jawa yang keturunannya dianggap keturunan  bangsat, semasa kecil saya selalu mawas diri dan belajar untuk tidak terlalu mudah terasa kalau menyedari diri saya sedang  tidak disenangi ketika berziarah ke rumah jiran-jiran sekampung, mahupun ke rumah saudara mara.

Sehinggalah semakin mendewasa dan kian menjadi tua, kerana sudah sejak kecil mengasuh diri agar sentiasa peka dan cepat mengesani, saya  memang cepat dapat merasakan bagaimana dan di manakah kedudukan saya di mata mereka pada sesuatu ketika: kawan-kawan mahupun kenalan.

Bohonglah kalau berkata sedikit pun tidak tersentuh atau terasa. Tetapi perasaan itu biasanya tidak saya biarkan terlalu lama merongrong perasaan sendiri. Saya selalunya akan memujuk diri, berkata atau berbisik sendiri di dalam hati: aku tidak hidup atau mati kerana sesama manusia.

Kerana punya rasa sadar itulah saya lebih senang menyendiri dan bersunyi. Biarlah sensitiviti itu saya salurkan melalui karya. Walau betapa pun tidak begitu baik dan hebat di mata penilaian orang lain, tidak mengapa.

Yang penting, saya tetap ingin terus menulis secara diam-diam dan tidak ingin menyimpan perasaan bahawa saya lebih hebat ketimbang orang lain.

Akhirnya, lahir atau tidak karya saya, bukan kerana sindir perli, umpat fitnah yang dilontar orang lain kepada diri saya.

Yang menentukan apakah saya akan menulis terus atau tidak adalah diri sendiri. Saya tidak akan benarkan sesiapa mengambil atau merampasnya daripada saya.

Betapapun saya hanyalah seorang penulis yang hanya apa adanya. Tanpa gelar sarjana mahupun Dr.

Oktober 30, 2012

Jumaat, Oktober 19, 2012

POPULAR


TAHUN 1986, ketika saya hadir ke sebuah dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur untuk mengambil dan menerima hadiah saguhati Hadiah Sastera Utusan - Public Bank bagi karya puisi saya yang disiarkan pada tahun 1985 di majalah Mastika, saya yang ketika itu dihantar ke sana oleh penyair Kemala dengan keretanya, seingat saya  yang menyapa saya tanpa saya yang terlebih dahulu menegornya hanyalah allahyarham Mustaffa Nor. Tokoh-tokoh dan orang yang terkenal lain memang tidak mempedulikan saya dan saya pun tiada sedikit terniat di hati hendak memperkenal-kenalkan diri saya kepada mereka.

Ketiadaan niat hendak memperkenal-kenalkan diri  kepada mereka yang bergelar tokoh dan orang terkenal  itu bukanlah kerana saya berasa  sombong atau mahu berbesar diri. Sebaliknya, saya lebih dihalang oleh rasa segan dan rendah diri. Kerana ketika itu almaklum sahajalah, karya saya masih tidak banyak dan  saya sendiri sedar masih tiada suatu pun yang dapat atau dirasakan hebat.

Mustaffa Nor pun menyapa saya bukanlah kerana saya seorang yang apa-apa, saya fikir ketika itu. Sebaliknya, itu kerana saya sempat selama beberapa hari mengikuti bengkel teater yang dikendalikan oleh beliau dan Normah Nordin di Kuantan pada tahun 1985. Seingat saya, di dalam bengkel itu, saya antara salah satu peserta yang banyak bertanya dan kemudian, saya meneruskan perhubungan melalui surat dan sesekali panggilan telefon kepada beliau untuk bertanyakan sesuatu yang saya rasa perlu saya tahu lebih lanjut mengenai teater.

Memang sejak mula saya memilih untuk menjadikan seni sebagai wadah kegiatan dan ruang untuk  saya mengekspresikan perasaan serta buah fikiran saya, saya tidak pernah terfikir untuk  dikenali ramai dan menjadi popular itu sesuatu yang sangat perlu.

Apa lagi ketika itu, trend menyukai dan menyanjungi penyair yang agak boleh bergaya agresif, gelandangan atau ada sedikit kekurangan di segi fizikal sedang diraikan. Saya semakinlah berasa betapa dikenali ramai dan popular itu tidak begitu perlu, sehingga menjadi satu kewajipan untuk saya cari dan kejar.

Kerana itu jugalah, bila setiap kali turun ke Kuala Lumpur dan singgah duduk bersantai di tepi bangunan Pasar Seni, saya selalu mengelak untuk datang ketika sejumlah "seniman" muda di sana sedang membuat pementasan.

Saya, dengan rasa malu serta rendah diri sendiri, memilih untuk hanya menulis sesuatu menurut semampu saya dan membiarkan sahaja berlalu di angin lalu kalau sesekali datang hasrat untuk menjadi terkenal dan popular.

Saya tahu dan sedar, kerana tidak mengejar atau mempunyai niat hendak menjadi terkenal dan popular itu jugalah maka saya sampai kini pun hanyalah dikenali melalui karya dan bukan dirinya.

Tambahan pula, saya tidak diberi peluang menjadi pelakon seperti penyair Pyanhabib dan kerana itu tidak berpeluang juga untuk menyatakan protes secara terbuka dengan cara memulangkan semula anugerah yang diterima dalam suatu majlis penganugerahan trofi sempena suatu festival filem.

Memang kalau hendak dibandingkan penyair Pyanhabib lebih terkenal dan popular berbanding saya. Kerana itu juga, sesekali saya berasa rugi juga kerana tidak pernah cuba mengorek rahsia daripada beliau bagaimana untuk menjadi orang yang terkenal dan popular, ketika sesekali singgah menumpang tidur di kamarnya di rumah Anak Alam dahulu.

Tetapi sekali lagi. Perlukah semua itu buat diri saya?

Popular atau tidak, saya akan tetap dan terus begini juga: menulis dan terus menulis menurut apa yang sudah saya tetapkan dan yakini sendiri.

Saya fikir, kalau saya mengejar popular, saya sudah lama hanyut dan tenggelam. Soal siapa dan siapa kini semakin popular dan dikenali ramai, itu adalah hak dan rezeki mereka.

Selagi mereka tidak mengganggu saya (memang pun), buat apa saya hendak sebok dan ambil peduli sangat.

Bukankah?

Oktober 19, 2012

Selasa, Oktober 16, 2012

MENYAMPAH


LAGI banyak benda dan perkara dalam dunia ini yang boleh membuatkan awak rasa mual, menyampah dan hendak muntah bila membaca apa yang mereka tulis.

Contohnya membaca tulisan  tuan empunya sebuah blog yang bercerita buku dia terbit lagi tahun ini walau isinya  entah apa-apa dan mungkin tiada siapa sudi hendak baca dan beli. 

Atau membaca kisah pemilik blog yang  dengan nada sombongnya bercerita bagaimana tahun ini dia boleh menang lagi  hadiah. 

Atau kalau tidak pun,  kisah dia melancong dan menghadiri seminar ini itu di luar negara.  

Atau mungkin yang paling memualkan dan menyampah sekali,  bila membaca kisah bagaimana tahun ini dia tidak dapat naik pentas mengambil hadiah kerana hendak beranak lagi.

Ah, itu semua cerita dalam kain yang tidak perlu pun diceritakan berlebih-lebihan di dalam blog milik sendiri.

Sebab itulah awak kena berhati-hati dan tidak perlu terlalu banyak merayau dan mencari dan akhirnya terbaca juga benda-benda yang boleh membuatkan awak datang rasa mual, menyampah dan hendak muntah begitu. 

Bukankah lebih baik masa berharga milik awak itu awak gunakan untuk membaca buku-buku yang penulisnya tidak menulis dengan gaya dan nada bahawa hanya dia sahaja yang tahu dan orang lain semuanya bodoh.

Atau lebih baik awak diam-diam di dalam kamar menulis dan menulis apa sahaja benda dan perkara yang awak rasa hendak tulis, asalkan jangan sampai menimbulkan kesan serta nada bahawa awak  seratus peratus pun sama seperti orang lain yang  awak tidak suka kerana perbuatan angkuh mereka itu juga.

Menyampah.

Oktober 15, 2012
 


Isnin, Oktober 15, 2012

KEJAYAAN


SEKALI lagi. Kita hanya mendapat setelah apa yang kita usahakan dengan tekun dan ikhlas. Kerana, seniman sewajarnya lebih banyak memberi daripada terlalu banyak meminta.

Oktober 14, 2012