Jumaat, Oktober 19, 2012
POPULAR
TAHUN 1986, ketika saya hadir ke sebuah dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur untuk mengambil dan menerima hadiah saguhati Hadiah Sastera Utusan - Public Bank bagi karya puisi saya yang disiarkan pada tahun 1985 di majalah Mastika, saya yang ketika itu dihantar ke sana oleh penyair Kemala dengan keretanya, seingat saya yang menyapa saya tanpa saya yang terlebih dahulu menegornya hanyalah allahyarham Mustaffa Nor. Tokoh-tokoh dan orang yang terkenal lain memang tidak mempedulikan saya dan saya pun tiada sedikit terniat di hati hendak memperkenal-kenalkan diri saya kepada mereka.
Ketiadaan niat hendak memperkenal-kenalkan diri kepada mereka yang bergelar tokoh dan orang terkenal itu bukanlah kerana saya berasa sombong atau mahu berbesar diri. Sebaliknya, saya lebih dihalang oleh rasa segan dan rendah diri. Kerana ketika itu almaklum sahajalah, karya saya masih tidak banyak dan saya sendiri sedar masih tiada suatu pun yang dapat atau dirasakan hebat.
Mustaffa Nor pun menyapa saya bukanlah kerana saya seorang yang apa-apa, saya fikir ketika itu. Sebaliknya, itu kerana saya sempat selama beberapa hari mengikuti bengkel teater yang dikendalikan oleh beliau dan Normah Nordin di Kuantan pada tahun 1985. Seingat saya, di dalam bengkel itu, saya antara salah satu peserta yang banyak bertanya dan kemudian, saya meneruskan perhubungan melalui surat dan sesekali panggilan telefon kepada beliau untuk bertanyakan sesuatu yang saya rasa perlu saya tahu lebih lanjut mengenai teater.
Memang sejak mula saya memilih untuk menjadikan seni sebagai wadah kegiatan dan ruang untuk saya mengekspresikan perasaan serta buah fikiran saya, saya tidak pernah terfikir untuk dikenali ramai dan menjadi popular itu sesuatu yang sangat perlu.
Apa lagi ketika itu, trend menyukai dan menyanjungi penyair yang agak boleh bergaya agresif, gelandangan atau ada sedikit kekurangan di segi fizikal sedang diraikan. Saya semakinlah berasa betapa dikenali ramai dan popular itu tidak begitu perlu, sehingga menjadi satu kewajipan untuk saya cari dan kejar.
Kerana itu jugalah, bila setiap kali turun ke Kuala Lumpur dan singgah duduk bersantai di tepi bangunan Pasar Seni, saya selalu mengelak untuk datang ketika sejumlah "seniman" muda di sana sedang membuat pementasan.
Saya, dengan rasa malu serta rendah diri sendiri, memilih untuk hanya menulis sesuatu menurut semampu saya dan membiarkan sahaja berlalu di angin lalu kalau sesekali datang hasrat untuk menjadi terkenal dan popular.
Saya tahu dan sedar, kerana tidak mengejar atau mempunyai niat hendak menjadi terkenal dan popular itu jugalah maka saya sampai kini pun hanyalah dikenali melalui karya dan bukan dirinya.
Tambahan pula, saya tidak diberi peluang menjadi pelakon seperti penyair Pyanhabib dan kerana itu tidak berpeluang juga untuk menyatakan protes secara terbuka dengan cara memulangkan semula anugerah yang diterima dalam suatu majlis penganugerahan trofi sempena suatu festival filem.
Memang kalau hendak dibandingkan penyair Pyanhabib lebih terkenal dan popular berbanding saya. Kerana itu juga, sesekali saya berasa rugi juga kerana tidak pernah cuba mengorek rahsia daripada beliau bagaimana untuk menjadi orang yang terkenal dan popular, ketika sesekali singgah menumpang tidur di kamarnya di rumah Anak Alam dahulu.
Tetapi sekali lagi. Perlukah semua itu buat diri saya?
Popular atau tidak, saya akan tetap dan terus begini juga: menulis dan terus menulis menurut apa yang sudah saya tetapkan dan yakini sendiri.
Saya fikir, kalau saya mengejar popular, saya sudah lama hanyut dan tenggelam. Soal siapa dan siapa kini semakin popular dan dikenali ramai, itu adalah hak dan rezeki mereka.
Selagi mereka tidak mengganggu saya (memang pun), buat apa saya hendak sebok dan ambil peduli sangat.
Bukankah?
Oktober 19, 2012
Kategori:
Autobiografi Marsli N.O (1980-an)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan