Khamis, September 18, 2014

SASTERAWAN (1)



Sajak MARSLI N.O

di mata khalayak dan penilai
kau sasterawan bijak dan berhemah
kerana selalu berbahasa indah, mudah dan penuh hikmah

di mata mereka kau selalu memukau
di dalam karya
kerana memperagakan kisah manusia
dan berkhutbah mengenai moral   

namun di mataku dan di luar karya
kau adalah manusia pembelit dan penipu
yang membuang segala norma
demi segenggam hasrat dan tujuan

kakimu tega memijak  kepala kawan
ketika bibirmu bercakap mengenai kemanusian
dan tangan rakusmu memulas ruang serta peluang

di mataku, kau lebih hina berbanding
kerbau di padang
dan demi gelar serta status
kau sunglapkan dirimu
menjadi babi yang rakus

September 18, 2014

SARJANA (1)



sajak MARSLI N.O

Dengan hujah lembik yang berkali kau ulang dan peragakan,
kutahu akhir nya status sarjana milikmu.
Kau rupanya hanya, pencuri yang meniru
di sebalik topeng akademik
dan membuka dustamu dengan akal cetek

Di depanku, kulihat wajah manusiamu
kini semakin bertukar
menjadi babi yang rakus
mengejar gelar dan status

September 18, 2014

TIDAK


SAYA mungkin akan berasa sangat sedih dan kecewa atas semua yang berlaku dan terjadi, sama ada yang melibatkan diri saya secara langsung, mahupun yang secara tidak langsung, jika saya datang ke dunia ini dahulunya dengan sambutan sorak-sorai dan tepok tangan alu-aluan.
Tetapi kerana saya datang hanya dengan sebatang tubuh milik sendiri dan tanpa sambutan sesiapa dan tanpa sebarang upacara serta tidak pernah mengharapkan sesuatu yang indah dan muluk-muluk, maka saya menjadi manusia yang  tidak pernah sedikit pun berasa tergugat, sedih dan kecewa dengan semua yang terjadi.

Saya memasuki dunia ini dengan sedar bersama semangat mandiri dan menyendiri. Kerana dengan semangat mandiri dan menyendiri ini jugalah, saya menjadi manusia yang  sentiasa bersedia menerima apa sahaja dan mengajar diri agar tidak mudah berasa kecewa sekiranya gagal atau jika ada sesiapa atau pihak yang mungkin cuba melukakan jasad dan semangat saya. 

Ini dikukuhkan lagi dengan yakin dan percaya saya bahawa yang menentukan rezeki dan hidup mati saya, bukanlah sesama manusia.

September 18, 2014