Jumaat, Disember 25, 2009

RESENSI POLITIKUS, BADUT & SEBUAH CERMIN



Dunia Buku: Politikus, Badut & Sebuah Cermin
Oleh Nazmi Yaakub di ruang Sastera, Berita Harian Jumaat 25 Disember 2009. Sila telusur.

Pengarang mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca dan pembeli yang sudi membeli dan membaca buku ini. Semoga sama-sama bermanfaat.

Pesanan pembelian sila majukan ke email marslino@yahoo.com untuk makluman kemasukkan RM 20.00 ke akaun Maybank pengarang.

Terima kasih.

Khamis, Disember 24, 2009

STINGARDEN

SINDIRAN POLITIK GAYA SINAGANAGA

Tajuk: Stingarden
Penulis: Sinaganaga
Penerbit: PTS Publication & Distributors Sdn Bhd
Tahun Terbit: 2009
Halaman: 160 halaman
Peresensi: MARSLI N.O


PADA zahirnya, lelaki yang memasyhurkan dirinya di komuniti blogger sebagai Sinaganaga bukanlah seorang sasterawan. Namun begitu, pada tahun 1997 sebuah buku untuk kanak-kanak yang ceritanya ditulis dan gambarnya dilukis oleh Sinaganaga dengan judul “Kasut Belang Hilang” telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kebolehan menulis dan kegemarannya melukis itu diteruskan seiringan oleh Sinaganaga. Karya ilustrasi Sinaganaga selepas “Kasut Belang Hilang” berikutnya menghiasi buku-buku bergambar untuk kanak-kanak yang lainnya seperti antaranya “Si Lalai”, “Adikku Sayang”, “Sayangku”, “Din Nakal”, “Anak Itik Cerdik” (terbitan DBP), “My Friend” (terbitan Asia/Pacifik Culture Centre for UNESCO), “All About Gragong” (terbitan Ameen Books) dan beberapa buah buku lagi terbitan penerbit lain.

Semakin asyik menulis dan semakin banyak karyanya yang tersiar, Sinaganaga mulai diterjahi rasa bimbang kalau-kalau karyanya nanti hilang tanpa bekas. Akal kreatifnya segera mencari alternatif dan keakrabannya dengan dunia siber menemukan Sinaganaga dengan laman sesawang Tripod. Lalu di Tripodlah Sinaganaga memindah salin karya tulisnya.


Tahun 2004 menjadi titik tolaknya. Perkenalan Sinaganaga dengan blog Tok Rimau dan kemudian dengan empunya diri bernama Tok Rimau sendiri, memarakkan ghairah Sinaganaga menulis di blog pula, yang diberikannya judul Hikayat Sinaganaga Origami.


Tahun 2009, tulisan yang diterbitkan itu kini sebahagiannya dibukukan di dalam sebuah buku yang diberikannya judul “Stingarden”.


Tulisan di bahagian permulaan buku ini, Pra Stingarden dan Stingarden, yang dapat dirujuk dengan mudah atau secara berasingan kerana sudah diberikan judulnyan yang tersendiri dapat dikategorikan sebagai memoir hidup masa kanak Sinaganaga di pelbagai lokasi: Kuantan, Gemas, Kampung Kasipillay dan berakhir di Kuala Lumpur.

Kisah-kisah kecil ini menyerlahkan ingatan dan imbas kembali Sinaganaga terhadap masa lalu di zaman kanak yang pernah dilewatinya. Watak-watak mak, abah, kakak, Siah dan sejumlah nama kawan-kawan masa kanaknya bergiliran muncul di dalam kisah-kisah kontotnya yang selalu disalut dengan humor memukau.


Membaca bahagian awal kisah-kisah kecil di dalam buku ini, sekaligus mengajak kita selaku pembaca yang sebaya dengan Sinaganaga kembali mengimbas masa lalunya dan bagi yang lebih muda pula, mereka berpeluang mengenal kota Kuala Lumpur yang sekitar tahun 1970-an belum lagi demikian menggila diasak sesak dan keriuhan.

Melalui hampir sebahagian besar wataknya adalah kanak-kanak, Sinaganaga mengemukakan kisah-kisah kecil yang berkisar di sekitar mereka, asyik dengan permainan dan gurau senda: menjadi tentera, perlawanan bola sepak, alam persekolahan dan masak-masak.

Kisah-kisah yang pada permukaannya kelihatan lugu dan didokong oleh watak-watak yang selalunya bersifat inosen ini menjadi menarik kerana Sinaganaga melalui tulisan di dalam bukunya ini selalu bermain dan mempermainkan segala macam unsur yang boleh menimbulkan kelucuan: sikap lurus bendul, bena tak bena, kurang ambil peduli dan keluguan.

Sinaganaga juga bijak bermain dengan manipulasi: makna ganda dan luar duga.


Teknik ini kelihatannya sering digunakan Sinaganaga dalam banyak judul untuk tulisan di dalam bukunya ini dan lebih ketara mulai di bahagian yang diberinya judul “ Rashid Bulan, Sarjan Saunders dan lain-lain” dan “Drama Fajar di Bumi Stingarden”.


Kisah-kisah di dua bahagian ini memperlihatkan bagaimana Sinaganaga benar-benar merayakan kebolehannya bermain dengan kisah dan makna. Di dalam banyak kisah di kedua bahagian ini, kata dan makna tertentu sekehendak hati dipermainkannya sama ada secara sedar mahupun tidak untuk memancing daya ingin tahu pembaca.


Judul seperti “Bernas”,”Keluar Pati”, “Budak-Budak Main belakang” pada zahirnya sudah pun membayangkan sebuah maksud, namun pada sisi tersiratnya turut juga melanjutkan makna yang lain. Makna ini pula sifatnya menjadi lebih menganjal, lebih terbuka dengan pelbagai kemungkinan serta ruang: politik, satira dan sinikal.

Malah tidak hanya dengan judul, melalui kisahnya sendiri juga, kesan kebijaksanaan Sinaganaga memanipulasikan makna dapat dirasai dan ditemui.


Dalam kisah “Cinta itu Love” seketika kita merenung dalam sentakan ketika membaca tanya yang dilontar: “Awakk, Siah tanya, make love tu apa?” dan kita menjadi lebih terentak ketika membaca apa yang ditulis pengarang berikutnya: “Awakkk, Siah kata, jom kita make love”.


Kepandaian Sinaganaga dalam memanipulasikan ruang pelebaran dan penggandaan makna ini menyebabkan munculnya unsur polisemi bila mana Stingarden dibaca oleh pembaca yang berlainan latar pendidikan, pengalaman dan usia.

Sebagai contoh, pertanyaan dan pernyataan seperti mana yang dipetik dalam kisah “Cinta itu Love”: “Awakk, Siah tanya, make love tu apa?” dan jawaban berikutnya: “Awakkk, Siah kata, jom kita make love”, bagi pembaca sebaya wataknya (kanak-kanak) pastilah akan difahami seperti apa adanya sahaja.


Namun bagi pembaca yang semakin lebih berusia dan dewasa, pasti sahajalah pelbagai makna ganda yang lain akan segera bermunculan menggeranyangi benak yang bergayut kepada situasi, pengalaman dan fokus perasaan ketika membaca.


Bukan mustahil beberapa cuplikan kisah di dalam Stingarden, seperti isu kepala lelaki yang lebih besar dan melekat bernuansakan syahwat. Tetapi pada waktu sama Sinaganaga bijak pula menyunglapinya menjadi sebuah satira sosial dengan nuansa politik berbaur sinis lagi tajam menggigit dan kerana itu kita akan segera melompat ke daerah pemaknaan yang lain.

Nuansa politik ini lanjut terkesan bila membaca perihal di sebalik kisah Rashid menyepak bulan, Siah yang tidak mahu lagi menjadi lelaki atau kisah naga yang menelan mimpi.

[MARSLI N.O: September 17 – 18, 2009]

Sumber Siaran: Suara Keadilan Bil 212, 22 – 29 Disember 2009

PERHATIAN: Siapa pun anda yang membaca resensi ringkas saya ini, seluruh penghargaan hendaklah diberikan kepada penulis buku ini Sdr Sinaganaga. Buku beliau dapat dipesan langsung kepada penulisnya atau langsung membeli di kedai buku berhampiran yang men jual buku-buku terbitan PTS.

Selasa, Disember 22, 2009

MOHON DIKEMBALIKAN


UNTUK kesekian kali, saya memohon bantuan insan berbaik hati yang tolong menyimpan bekas hitam saya yang tertinggal pada malam 4 Disember 2009, ketika saya mengemasi beg kembara saya seusai acara baca puisi di Rumah Pena, kembalikanlah pen drive di dalamnya kepada saya atau kepada yang bertugas di sana.

Saya juga memohon bantuan teman-teman yang berbaik hati untuk tolong menyampaikan maklumat ini dan jika kebetulan bertemu atau terjumpa bekas yang dimaksudkan di mana-mana agar membantu mengirimkan ke alamat saya.

Kebaikan siapa pun kalian atau mereka, saya harap diberikan ganjaran olehNya.

Jumaat, Disember 18, 2009

SALAM MAAL HIJRAH




SELAMAT
menyambut Tahun Baru Hijrah 1431 kepada seluruh orang baik dan berbudi di seluruh dunia. Tidak lupa juga ucapan yang sama kepada orang jahat, yang di dalamnya termasuk juga para pemimpin yang khianat dan tega menipu rakyatnya dalam apa juga bentuk dan cara, semoga di tahun baru ini didatangkan keinsafan untuk kembali menyantuni rakyat yang telah menobatkan dirinya sebagai pemimpin.

Kepada yang berbaik hati menemukan dan membantu menyimpan bekas hitam yang berisikan pen drive milik saya, juga saya tidak lupa mengucapakan ucapan yang sama. Saya memohon kebaikan siapa pun anda untuk mengembalikan pen drive itu ke alamat saya seperti yang tertera di sisi kiri blog saya ini. Atau jika tidak pun, meletakkannya semula di mana tempat pertama anda menemukan bekas itu.

Tidak lupa juga kepada kawan dan lawan, pembaca dan pembeli karya karangan saya, ucapan selamat menyambut Tahun Baru Hijrah 1431 juga saya ucapkan. Tanpa kalian, apalah sangat ertinya seorang pengarang seperti saya.

Kuantan,
Disember 18, 2009

Rabu, Disember 09, 2009

SAYA MERAYU

KEPADA insan yang berbaik hati tolong menyimpan bekas hitam milik saya yang tertinggal sewaktu saya mengemasi beg di Rumah Pena malam 4 Disember 2009 lalu, yang antara lain di dalamnya berisikan beberapa pen drive milik saya, saya merayu, kembalikanlah bekas tersebut kepada saya atau kepada yang bertugas di Rumah Pena.
Kepada insan yang berbaik hati ini, siapa pun dia, saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas segala kebaikan dan pertolongan.
Hanya Allah yang mampu memberikan setimpal ganjaran untuk segala kebaikan yang diberikan dan pertolongan.
MARSLI N.O
Disember 9, 2009

Ahad, Disember 06, 2009

MOHON BANTUAN


SAYA tertinggal folder/ planner/ pengurus peralatan yang boleh dilipat sebesar planner ukuran standar berwarna hitam ketika mengemaskan beg seusai baca puisi di Rumah Pena pada malam 4 Disember 2009 lalu. Saya telah ke Rumah Pena tadi pagi dengan bas jam 1.00 pagi dan ketika tiba di sana kurang lebih jam 5.00 pagi, tempat di mana saya tertinggal bekas peralatan tersebut telah digantikan dengan sekaki payung.

Saya MOHON BANTUAN sesiapa yang telah berbaik hati tolong menyimpan bekas berwarna hitam milik saya tersebut, yang di dalamnya antara lain berisikan pen drive dan earphone telefon, saya mohon tolong kembalikan kepada saya.

Saya MOHON sangat-sangat. Saya kini sedang bingung. Di dalam pen drive itu seluruh hasil karya dan dokumentasi saya berada di dalamnya. Tanpanya, saya kini sedang mati akal. Masih banyak deraf dan tulisan yang belum disiar dan belum saya muatkan di mana-mana berada di dalam pen drive itu.

Sekali lagi, saya merayu dan MOHON BANTUAN, kembalikanlah kepada saya. Saya merayu.

MARSLI N.O
Kuantan
Disember 6, 2009

MOHON BANTUAN

SAYA tertinggal folder/ planner/ pengurus peralatan yang boleh dilipat sebesar planner ukuran standar berwarna hitam ketika mengemaskan beg seusai baca puisi di Rumah Pena pada malam 4 Disember 2009 lalu. Saya telah ke Rumah Pena tadi pagi dengan bas jam 1.00 pagi dan ketika tiba di sana kurang lebih jam 5.00 pagi, tempat di mana saya tertinggal bekas peralatan tersebut telah digantikan dengan sekaki payung.

Saya MOHON BANTUAN sesiapa yang telah berbaik hati tolong menyimpan bekas berwarna hitam milik saya tersebut, yang di dalamnya antara lain berisikan pen drive dan earphone telefon, saya mohon tolong kembalikan kepada saya.

Saya MOHON sangat-sangat. Saya kini sedang bingung. Di dalam pen drive itu seluruh hasil karya dan dokumentasi saya berada di dalamnya. Tanpanya, saya kini sedang mati akal. Masih banyak deraf dan tulisan yang belum disiar dan belum saya muatkan di mana-mana berada di dalam pen drive itu. Sekali lagi, saya merayu dan MOHON BANTUAN, kembalikanlah kepada saya. Saya merayu sangat-sangat.

MARSLI N.O
Kuantan
Disember 6, 2009