Jumaat, November 13, 2015

1981, SEJAK MALAM ITU


SATU  malam di tahun 1981, masih saya ingat, saya merayu dan mengharapkan ihsan seorang kawan, yang saya kenal baik dan dia pun memang tahu bahawa saya sudah pun menyiarkan beberapa sajak di media, yang mengacarakan majlis baca sajak agar nanti sudi memanggil nama saya untuk naik ke pentas dan membacakan sebuah sajak. Dan saya menunggu. 

Hingga majlis berakhir, ramai yang tampil membacakan sajak, dan mereka itu saya tahu tidak pernah pun menyiarkan sajaknya di mana-mana, tetapi saya, yang sudah menyiarkan beberapa sajak di majalah Dewan Sastera, tetap tak dipanggil.

Hati saya memang rasa tersentuh. Ketika saya perlahan-lahan mendorong basikal lumba yang saya tunggangi untuk pulang ke rumah sewa, teman itu datang menghampiri saya dan memberitahu, dia ingin memanggil saya di bahagian akhir acara tetapi beberapa orang kuat  dalam persatuan yang menganjurkan majlis baca sajak itu yang menghalang, menurut kawan itu, mereka berkata saya belum waktunya untuk diberikan ruang dan peluang sebegitu.

Hati saya memang berasa tersenuth dan ketika saya bersendirian pulang mengayuh basikal lumba meredah gelap malam larut yang dingin, hujan merenyai turun. Saya kebasahan dan tanpa sedar meneteskan air mata. Sambil perlahan meneruskan kayuhan basikal dan menyapu air mata, saya berfikir.

Demikianlah cara mereka menerima dan memandang saya di sini. Saya mungkin tak ingin mereka perhitungkan kerana walau sudah hidup di sini sejak usia belasan, namun tetap dianggap orang luar dan asing! 

Sejak malam Itulah, di tahun 1981 itu, saya bertekad untuk terus berkarya dan tak ingin menoleh lagi kepada mereka. Saya tahu siapa saya di mata kebanyakan mereka. Saya tak akan berharap dan meminta apa-apa lagi dari mereka. Apakah itu sedikit ruang dan peluang untuk bergerak dan berseni, atau kesempatan dan jemputan untuk tampil mempersembahkan karya saya, atau juga anugerah, hadiah atau pun penghormatan daripada pihak mereka.

Begitulah. Sehingga kini dan sesudah berusia hampir 60 tahun. Tanpa menoleh saya berusaha untuk terus menerus berkarya dan hasilnya, sejumlah buku saya telah pun diterbitkan. 

Demikian juga kekecewaan saya pada suatu malam di tahun 1981 itu. Saya sudah lama menawarkan dukanya bila sudah beberapa kali diundang keluar negara, disponsor sepenuhnya oleh pihak yang mengundang, untuk membacakan beberapa sajak. Hanya membacakan sajak!

Kini, saya tetap berada di sini. Dengan kesedaran dan pendirian yang demikian. Saya tak pernah ingin mengharapkan apa-apa daripada mereka di sini, atau kini, daripada sesiapa pun. Saya tidak ingin dan tidak akan meminta apa-apa kepada sesama manusia!

Kerana, rezeki, hidup dan mati saya, saya sedar dan tahu, bukan ditentukan oleh mereka yang bernama sesama manusia, apa lagi oleh manusia yang tamak dan serakah, seperti sebagian besar mereka yang bercokol di singgahsana itu!

Kini malah, dengan kesedaran serta keyakinan sedemikian itu, saya tidak pun berasa kecut dan takut, andai ada yang berkata dan berniat mahu menggusur, menolak dan menyisihkan saya. Kerana, di usia yang semakin menghampiri 60 ini, yang saya buru dan kejar bukan lagi hal-hal yang sifatnya keduniaan. 

November 6, 2015

@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com


Sabtu, November 07, 2015

CERITA DAN KHABAR


1
MALAM itu, di kamar 322 Coral Bay Resort, Pangkor, bersaksikan dua teman sekamar, Ridzuan Harun dan Ijamala MN, sekali lagi saya mendengar khabar yang sama. Kata tamu yang bertandang ke kamar itu: Saya hendak jemput awak untuk suatu acara sastera di sini, tetapi ramai orang kata awak begitu awak begini. Kerana kata-kata itulah, saya tak jadi hendak menjemput awak.

Saya hanya ketawa sinis mendengar kata-kata itu dan memberitahunya bahawa ini mungkin sudah kali yang ke seratus saya diberitahu hal yang hampir sama.  Namun jauh di dalam hati saya tercenung sendiri memikirkan, apalah untung yang didapat oleh mereka yang sangat prihatin, yang saya kira kata-katanya tentulah banyaknya yang negatif sahaja mengenai saya itu.

Namun itu tidaklah sampai membuatkan saya berasa terlalu gundah dan sedih.  Kerana sudah sejak lama saya mengambil dan memilih sikap tidak perduli dengan segala gunjing dan umpat, saya seperti selalu tidak ingin membiarkan itu lama berada di dalam fikiran, sehingga sampai membuatkan diri berasa sedih atau terkilan keterlaluan.

Saya sudah alama sedar dan tahu, hidup dan mati saya tidak ditentukan oleh umpatan dan gunjingan orang. Kerana yang mendatangkan rezeki kepada saya hanyalah Dia dan bukannya manusia.

Malah saya sangat tahu dan sedar. Inilah dunia seni dan sastera di mana saya hidup dan bernafas di dalamnya. Dengan segala tipu muslihat dan kerenahnya. Dengan perasaan hasad dan dengki yang tidak berkesudahan, berkroni dan segala macam serta pelbagai lagi.

2
SAYA tahu dan mengaku, sebagai seorang pekerja seni, tentulah pencapaian saya masih tidak setinggi mana dan kerana itulah sampai kini saya masih lagi sanggup ke mana-mana untuk menambahkan ilmu serta pengetahuan.

Saya juga tahu tidak semua yang saya kerjakan itu betul dan saya bersedia untuk ditegor serta diperbetulkan, demi kebaikan dan mutu seni itu sendiri. Namun dalam keadaan dihujat dan sentiasa dihenyak dengan pelbagai tohmah sebagai tidak betul itu, saya masih juga tetap mampu meraih anugerah dan perhatian di luar daerah.

Tetapi mereka yang konon sangat disayang dan dipelihara para aparatus itu bagaimana pula? Kalaulah benar mereka yang lebih hebat, bagus, benar dan betul, kenapa pula tiada suatu pencapaian pun yang telah mereka raih dan capai sehingga kini? Kenapa?

Akhirnya, si bodoh hanya ingin berkawan sesamanya. Saling puji dan memuji dengan pujian yang palsu dan nihil. Meneruskan kesenangan bersama kroni dengan keuntungan seringit dua.

3
SEMUA itu tidak menghairankan hati kecil saya. Kalau mereka yang dilihat dan malah mengaku dirinya lebih bijak, tahu dan berlandaskan ilmu sedemikian perangai dan laku seninya, apalah hendak dihairankan para pencacai seperti mereka yang lain, yang pada hakikatnya tidak punya apa-apa begitu.

Itulah realiti dunia seni dan sastera yang saya tahu dan kenal. Kerana itu juga, saya tidak ingin mengambil peduli bila ada lagi yang masih tetap merungut-rungut dan meminta banyak dari dunia ini.

Buat saya, saya bahagia dengan diri saya sendiri dan kerana itu persetankanlah dengan segala umpat dan keji mereka yang iri dan berhati busuk itu.

Saya tetap ingin terus begini. Sendiri. Sendiri. Dan bersendiri.

November 6, 2013

@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com