Sabtu, November 07, 2015

CERITA DAN KHABAR


1
MALAM itu, di kamar 322 Coral Bay Resort, Pangkor, bersaksikan dua teman sekamar, Ridzuan Harun dan Ijamala MN, sekali lagi saya mendengar khabar yang sama. Kata tamu yang bertandang ke kamar itu: Saya hendak jemput awak untuk suatu acara sastera di sini, tetapi ramai orang kata awak begitu awak begini. Kerana kata-kata itulah, saya tak jadi hendak menjemput awak.

Saya hanya ketawa sinis mendengar kata-kata itu dan memberitahunya bahawa ini mungkin sudah kali yang ke seratus saya diberitahu hal yang hampir sama.  Namun jauh di dalam hati saya tercenung sendiri memikirkan, apalah untung yang didapat oleh mereka yang sangat prihatin, yang saya kira kata-katanya tentulah banyaknya yang negatif sahaja mengenai saya itu.

Namun itu tidaklah sampai membuatkan saya berasa terlalu gundah dan sedih.  Kerana sudah sejak lama saya mengambil dan memilih sikap tidak perduli dengan segala gunjing dan umpat, saya seperti selalu tidak ingin membiarkan itu lama berada di dalam fikiran, sehingga sampai membuatkan diri berasa sedih atau terkilan keterlaluan.

Saya sudah alama sedar dan tahu, hidup dan mati saya tidak ditentukan oleh umpatan dan gunjingan orang. Kerana yang mendatangkan rezeki kepada saya hanyalah Dia dan bukannya manusia.

Malah saya sangat tahu dan sedar. Inilah dunia seni dan sastera di mana saya hidup dan bernafas di dalamnya. Dengan segala tipu muslihat dan kerenahnya. Dengan perasaan hasad dan dengki yang tidak berkesudahan, berkroni dan segala macam serta pelbagai lagi.

2
SAYA tahu dan mengaku, sebagai seorang pekerja seni, tentulah pencapaian saya masih tidak setinggi mana dan kerana itulah sampai kini saya masih lagi sanggup ke mana-mana untuk menambahkan ilmu serta pengetahuan.

Saya juga tahu tidak semua yang saya kerjakan itu betul dan saya bersedia untuk ditegor serta diperbetulkan, demi kebaikan dan mutu seni itu sendiri. Namun dalam keadaan dihujat dan sentiasa dihenyak dengan pelbagai tohmah sebagai tidak betul itu, saya masih juga tetap mampu meraih anugerah dan perhatian di luar daerah.

Tetapi mereka yang konon sangat disayang dan dipelihara para aparatus itu bagaimana pula? Kalaulah benar mereka yang lebih hebat, bagus, benar dan betul, kenapa pula tiada suatu pencapaian pun yang telah mereka raih dan capai sehingga kini? Kenapa?

Akhirnya, si bodoh hanya ingin berkawan sesamanya. Saling puji dan memuji dengan pujian yang palsu dan nihil. Meneruskan kesenangan bersama kroni dengan keuntungan seringit dua.

3
SEMUA itu tidak menghairankan hati kecil saya. Kalau mereka yang dilihat dan malah mengaku dirinya lebih bijak, tahu dan berlandaskan ilmu sedemikian perangai dan laku seninya, apalah hendak dihairankan para pencacai seperti mereka yang lain, yang pada hakikatnya tidak punya apa-apa begitu.

Itulah realiti dunia seni dan sastera yang saya tahu dan kenal. Kerana itu juga, saya tidak ingin mengambil peduli bila ada lagi yang masih tetap merungut-rungut dan meminta banyak dari dunia ini.

Buat saya, saya bahagia dengan diri saya sendiri dan kerana itu persetankanlah dengan segala umpat dan keji mereka yang iri dan berhati busuk itu.

Saya tetap ingin terus begini. Sendiri. Sendiri. Dan bersendiri.

November 6, 2013

@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com

Tiada ulasan: