Memaparkan catatan dengan label Menjengah Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Menjengah Buku. Papar semua catatan

Khamis, Mei 23, 2013

3 KUNTUM HUJAN: BERCERITA DENGAN PUITIS DAN TANDA-TANDA



Tajuk: 3
Kuntum Hujan
Penulis: Darma Mohammad
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Tahun Terbit: 2013
Jumlah Muka Surat: 237 Halaman
Harga: RM25.00
Nombor Resit: ITBM02000552

BERCERITA DENGAN PUITIS DAN TANDA-TANDA

MENJADI sasterawan adalah pilihan dan  seorang individu yang memilihnya, telah memilihnya  dengan kesedaran untuk menerima dan menanggung segala beban serta risikonya secara bersamaan. Kerana, seorang sasterawan yang dalam erti kata sebenarnya tidak lain dan tidak bukan merupakan  juru bicara dalam masyarakatnya, mahu atau tidak, selain menyatakan segala sesuatu yang menyentuh hati serta perasaannya, sekaligus juga harus memikul tanggungjawab untuk menyampaikan pesan-pesannya kepada masayarakat.

Peranan  atau tanggung jawab ini mesti dipikul serta dilaksanakan seorang sasterawan dengan penuh rasa cinta demi untuk melestarikan hakikat betapa sebuah karya sastera, selain perlu dipapar dan dihidangkan dengan penuh keindahan, pada waktu sama tidak boleh tidak perlu juga memberikan manfaat kepada khalayak pembaca atau masyarakatnya.

Dalam proses menyata dan menghidang perasaan serta buah fikirannya ini, di samping  menyampaikan pesan-pesan yang penuh dengan unsur-unsur keindahan, selain pilihan genre, seorang sasterawan juga bergulat dengan persoalan yang berhubungan dengan cara dan teknik  untuk menyatakan serta menyampaikan pesan-pesannya itu kepada khalayak pembaca atau masyarakat.



Di sudut inilah kelihatannya Darma Mohammad selaku seorang sasterawan yang mengarang dan sekaligus juga penyair membuat pilihan ketika berusaha menyampaikan pesan demi pesannya di dalam 23 cerpen yang dikumpulkannya di dalam 3 Kuntum Hujan ini.

Sebagai pengarang cerpen yang sekaligus juga menyair, Darma Mohammad memilih jalan yang sedikit berbeza dengan banyak pengarang cerpen lain yang bukan penyair.

Jika kebanyakan pengarang cerpen aliran konvensional dan bukan penyair memilih untuk menyatakan segala sesuatu sebagai suatu tiruan dan salinan realitas serta menyampaikan maknanya secara langsung atau polos dan kita selaku pembaca akan dapat segera memahami atau membina suatu makna yang jitu dan tunggal, namun  hal ini tidak berlaku pada Darma Mohammad.

Darma Mohammad memilih jalur atau aliran yang lain. Walau pada permukaannya cerpen-cerpen beliau di dalam kumpulan 3 Kuntum Hujan ini seolah-olah bertolak daripada sesuatu yang real dan beraliran realisme, namun beliau tidak menyampaikan amanat atau pesannya kepada khalayak dan masyarakat secara langsung dan polos.

Membaca cerpen-cerpen Darma Mohammad di dalam kumpulan 3 Kuntum Hujan ini merupakan satu pengembaraan kejiwaan yang menuntut kita selaku pembaca mencari maksud serta maknanya lewat petunjuk dan petanda yang berserakan di sana-sini.

Pada bahagian yang lain pula, sesekali, kita perlu pula menyusun dan mengatur sendiri potongan demi potongan tanda tersebut untuk mendapatkan makna. Namun makna yang ditemui pada permulaannya tetap bukan sesuatu yang jitu dan tunggal. Begitu pembacaan dilanjut serta diteruskan lagi, kita selaku pembaca akan menemui pula tanda-tanda baru yang akan menyampaikan makna lain yang lebih baru di dalam kumpulan cerpen 3 Kuntum Hujan ini.

Tidak bersalahan jika dikatakan di dalam kumpulan 3 Kuntum Hujan ini kita menemukan keremangan dan ketaksaan yang kian memperkayakan makna setiap buah cerpen yang dibaca, bergantung kepada dari sudut dan sisi mana ianya didatangi.

Darma Mohamad dengan penuh lihai, ketika menukangi cerpen yang dikumpulkannya di dalam kumpulan 3 Kuntum Hujan ini ternyata telah memadukan bakat kepengarangannya dengan bakat penyair yang dimilikinya sehingga dengan demikian banyak ditemukan kata dan ungkapan yang sangat berbau puitis.

Sebagai contohnya judul kumpulan cerpen ini yang diberikan sebagai “3 Kuntum Hujan” sudah memberikan bukti yang jelas. Selaku pembaca, kita pasti saja boleh bertanya lanjut mengenai kenapa mesti diberikan penjodoh bilangan “kuntum” dan tidak “bilah”, sebagai contohnya. Malah beberapa judul lain seperti “Bumi Mencari Langit” (halaman 169), “Kura-Kura Mencari Langit” (halaman 187) juga dapat dijadikan contoh.

Lanjut membaca cerpen-cerpen di dalam kumpulan  ini, akan kita temukan lagi kata-kata puitis ini seperti “Biarlah guruh mengarang lirik-lirik lukanya” (halaman 13),  “Membilang gugus gerimis yang masih bergantungan di langit” (halaman 59), atau “Bau dusun Merayap di mana-mana. Pohon-pohon berdiri” (halaman 170).

Tidak hanya melalui ungkapan tertentu, keterikatan Darma Mohamad dengan dunia kepenyairannya turut diserlahkan beliau dalam sebuah cerpen yang diberikannya judul “Pensajak dan Iklah” (halaman 25 – 33). Di dalam cerpen ini, Darma tidak hanya menyampaikan cerita kosong atau melulu mengenai kisah percintaan aneh di antara seorang penyair (pensajak) dengan seekor ikan bernama Iklah yang hidup di dalam sebuah akuarium, tetapi sekaligus juga pesan-pesan yang sangat jauh dan dalam dengung maknanya bagi seorang pembaca yang mahu berfikir.

Sebagai contohnya, di halaman 32, antara lain Darma menerakan dialog yang kononnya diucapkan oleh Iklah: “ Sayang, manusia mempunyai lidah, tapi tidak semua yang  berani berzikir,” kata Iklah. “Malah, ramai yang menggunakan lidahnya untuk berdusta.”  Tentu sahaja ayat  di dalam cerpen  ini bisa mampu membuat kita jauh dan lanjut berfikir, sekiranya kita ingin sama kembali berfikir.

Secara keseluruhan Darma di dalam kumpulan 3 Kuntum Hujan ini memang tidak mengemukakan maknanya secara perse. Sebaliknya, dengan warna kepuitisan yang kental dan pekat, Darma menyuguhkan banyak keremangan yang menghantar kita ke daerah pemaknaan yang sangat tidak terbatas. Makna hujan di dalam cerpen 3 Kuntum Hujan (halaman 161 hingga 168) misalnya bukanlah hujan sebagai objek, tetapi suatu tanda yang menghantar pembaca ke daerah makna yang lebih jauh dan berbaur surealis.

Kura-kura  di dalam cerpen “Kura-Kura Bermain Pedang” di halaman 179 hingga 185  bukanlah hanya semata-mata kura-kura begitu selesai kita menamatkan bacaannya, kerana makna (sindiran) yang disampaikan adalah kepada mereka yang membenci puisi.

Sementara di dalam cerpen “Lelaki yang Memanah Langit ) di halaman 188 hingga 197 bukanlah langit dan panah yang menjadi titik persoalan tetapi mengenai gambaran keangkuhan  seorang seniman pelukis dengan ego dan prinsip seninya.

Pada sisi lain, terkesan juga Darma Mohammad seolah-olah turut berasa gusar dan khuatir andai pilihannya untuk menyampaikan pesan-pesannya secara begini boleh membuat khalayak pembaca yang terlalui biasa dengan aliran realis kurang dapat menangkap maksud yang ingin disampaikan di dalam cerpen yang dikumpulkannya di dalam kumpulan 3 Kuntum Hujan  ini.

Mungkin lantaran inilah Darma sampai terdorong menulis semacam penjelasan dalam kata pengantarnya di awal kumpulan cerpen ini.  Darma membuat semacam pengakuan serta garis pandu kepada para pembacanya dengan menyatakan judul-judul cerpen tertentu yang dikatakannya menyampaikan maksud-maksud tertentu.

-MARSLI N.O


Khamis, April 18, 2013

SHAPIAI BERPUISI DENGAN HATI DAN FIKIR JERNIH

Oleh MARSLI N.O
marslino@yahoo.com

Aku Ingin Berbeka-Beka Dengan-Mu
Pengarang Shapiai Muhamad Ramly
Penerbit  Institut Terjemahan & Buku Malaysia

Shapiai Muhamad Ramly penyair dan juga cerpenis yang juga pernah menggunakan nama samaran Syafiq SH dan Abdul Arif SH kini tampil  lagi  dengan  antologi puisi terbaru beliau berjudul “Aku Ingin Berbeka-Beka Dengan-Mu.”

 Antologi puisi terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia ini merupakan antologi puisi   beliau yang ketiga selepas  “Melihat Kesunyataan”  oleh  Biro Penerbitan, Persatuan Penulis Johor (PPJ) tahun 2000 dan “Keris Sebilah Itu” (Kurnia, 2009).

Sebagai penyair,  Shapiai yang pernah menjadi Setiausaha PPJ, pensyarah Pendidikan Seni dan menjadi Ketua Jabatan Kajian Sosial di sebuah institusi pendidikan perguruan di Johor ini merupakan antara beberapa penyair tanah air  yang secara berani dan tegas mengisytiharkan pendirian kepenyairannya secara terbuka.

Bagi penyair yang bertitle haji ini, puisi diakui beliau merupakan nasi yang disuapnya  setiap hari.  Justeru itulah dalam antologi yang memuatkan 100 puisi  ini, berdasarkan catatan tanggal di setiap akhir puisi beliau,  dapat ditemukan beberapa puisi ditulis beliau dalam masa sehari atau selang beberapa hari.

Sekali imbas memang kelihatan Shapiai terlalu mudah menuliskan puisi. Apa sahaja yang dilihat serta menyentuh hati penyairnya, akan diungkapkan menjadi puisi. Justeru itulah isu yang diutarakan beliau beragam dan pelbagai. Dari soal renungan diri menjalar ke persoalan perasaan, melingkar pula ke soal politik dan survival bangsa, atau sesekali  mengirim  misteri.

Jika di dalam puisinya “Perjalanan Hidup”(halaman 1) Shapiai  merenung perjalanan hidupnya sendiri dari muda sehingga menjadi tua, beliau menyinggung pula nasib bahasa yang  menjadi mangsa manusia rakus kebendaan. Di dalam puisinya “Bas Terakhir” (halaman 13) Shapiai membiarkan kita selaku pembaca menebak sendiri maksud bas terakhir yang : “menjemput dan melaju/ ke dunia sunyi/ jauh sekali”.

Namun keprolifikan Shapiai dalam berpuisi tidak bermakna beliau semborono mencopot kata yang hanya berupa  kata-kata kosong dan diletakkan begitu sahaja tanpa perhitungan nilai seni dan sesuatu yang mampu makna yang lebih bererti sebagai bahan renungan buat kita selaku pembaca.

Di sinilah kelihatannya kelebihan dan keistimewaan Shapiai sebagai seorang penyair. Betapa prolifik dan gencarnya beliau menuliskan puisi saban hari, namun bagi Shapiai kata bukanlah hanya alat dan permainan atau sekadar kenderaan yang ditunggangi dengan perasaan yang hambar lagi kosong.

Bagi Shapiai pendirian beliau adalah jelas. Sebuah tulisan (puisi) bagi beliau mestilah mengandungi pesan-pesan dan peringatan, kisah pendidikan dan teladan, pengukuhan iman, mengajak kepada kebaikan dan seterus mengajak pembaca menjauhi perkara mungkar.

Dengan prinsip sebeginilah, di samping bancuhan pengalaman serta latar sebagai pendidik di sebuah institusi perguruan, di tangan Shapiai,  setiap kata yang dirangkai serta direndakan beliau menjadi baris dan bait di dalam puisinya merupakan kata-kata yang penuh dengan daya yang tidak hanya menyampaikan nuansa makna yang lebih mendalam tetapi sekaligus memaparkan inti pemikiran berasaskan daya intelek.

Inilah kelihatannya yang menjadi kiblat serta pendirian kepenyairan Shapiai.  Buat Shapiai setiap kata mestilah menawarkan pemikiran dan ini secara tegas dinyatakan beliau di dalam prakata antologi puisi terbarunya ini, yang diberikannya judul  sebagai “Sastera Untuk Akhirat”, Shapiai menekan betapa pentingnya sebuah karya sastera, dalam hubungan ini puisi, berkiblatkan intelek.

Untuk membuktikan benar atau tidaknya pernyataan penyair kelahiran  Gunung Semanggol, Perak pada 26 Ogos 1950 lewat puisi-puisi beliau di dalam antologi ini tidaklah terlalu sulit.  Oleh kerana intelek yang menjadi landasnya, isu dan persoalan yang diperkatakan Shapiai sering cenderung mengajak kita sebagai pembaca lanjut berfikir.

Dalam puisinya “Suara Melayu” (halaman 48) kata “kita”, “serambi” atau “tetamu” memang adalah kata-kata biasa yang diucapkan sehari-hari, tetapi di sebalik biasanya itu, kita selaku pembaca tetap akan terus  bertanya mengenai siapakah sebenarnya “tetamu” dan apakah sebenarnya menguji yang dimaksudkan penyair: “Betapa kita sering bertolak ansur/ membenarkan serambi kita dihuni/ oleh tetamu/ yang terus menguji.”

Atau di dalam puisinya yang lain berjudul “Persidangan Politik Kapak” (halaman 49), Shapiai menjadikan kapak sebagai kata biasa yang membawa maksud alat untuk memotong atau menebang pokok dan kayu dipergunakan penyair sebagai simbol yang memusnahkan: “Suara-suara kapak/ masih kedengaran/ menumbangkan beribu pohon kebaikan/ di dunia politik rimba.”

Di sini juga kelihatan betapa lihainya Shapiai menghubungkan suatu makna yang biasa (kapak) dengan isu lain iaitu kebaikan dan politik. Malah untuk lebih menimbulkan kesan di segi pemaknaan lain yang lebih ambigious sifatnya, penyair mengaitkan pula dengan kata “rimba” yang boleh membawa atau menyampaikan maksud “tidak teratur, tanpa peraturan dan susila serta penegakan hukum secara sewenangan. 

Shapiai juga tidak lupa mengkritik perilaku bangsanya yang bernama Melayu di dalam puisinya “Islah Melayu” (halaman 109). Di mata kepenyairan Shapiai: “Yang membunuh Han Nadimbukan raja/ tetapi Melayu!/ yang membunuh Jebat bukan Tuah/ tetapi Melayu!/ kerismu itu/ pamor bisa hasadnya/ membunuh Melayu sendiri.”

Memang  keprolifikan Shapiai dalam berpuisi dapat dikatakan bersebab juga. Sebahagian ungkapan dalam puisinya “Pekan-Pekan Perasaan” (halaman 3) setidaknya memperjelaskan: “perjalanan meletihkan/ haruskah kita menyerah?/ pada tangan-tangan nakal/ memintal persoalan jadi persefahaman sukar.” 

Ternyata kegelisahan itulah yang merongrong sensitivity nurani Shapiai sebagai penyair untuk terus menyalurkannya ke dalam puisi demi puisinya. Seperti diakuinya lagi dalam baris berikutnya puisi beliau: “Pekan-pekan perasaan/ sering dimamah tegar bimbang/ tanyalah kenapa mereka sanggup berperang.”

Secara keseluruhan, suara gelisah Shapiai sebagai penyair  sangat jelas terserlah di dalam puisi-puisi beliau yang membicarakan persoalan politik, bahasa dan nasib masa depan bangsanya sendiri.

Namun hebatnya Shapiai, betapapun dilanda resah dan gelisah, suara puisi yang dilontarkan beliau bukanlah suara herdik dan bentakan.  Suara kepenyairan Shapiai adalah suara seorang yang sama sekali tidak membenarkan perasaan mendahului fikirannya. Setiap yang menyentuh perasaan kepenyiarannya diluahkan kembali dalam bentuk puisi yang bening dan agak jernih. Misalnya di dalam puisi “Imam Menangis” (halaman 76) dengan nada merendah Shapiai menyatakan:  Imam menangis/ di mimbar kesal/ melihat mungkar makmum/nafsu dan kuasa/ bisu dan buta.”

Di tangan Shapiai puisi tidak dijadikannya alat untuk menghukum. Sebaliknya, dengan puisi Shapiai menyatakan harapan dan ajakan kepada kita selaku pembaca puisinya  untuk sama merenung. Di depan pertelingkahan sesama ummah misalnya, dengarkan apa pinta dan harap Shapia di dalam puisinya “Membuka Pintu Pengertian” (halaman 31): "Di rumah ukhwah ini/ pilihlah kamar benar/ tanpa ada keraguan// Membuka pintu pengertian/ lebih bermakna/ dari menutup pintu percaya.”

Alangkah indah dan baiknya jika  para politikus kita dari paksi mana pun  membaca dan memetik iktibar dari puisi ini. Malah tidak bersalaha kiranya dikatakan betapa elok benar buku ini disebarluaskan di kalangan mereka para politikus itu, moga dengan dana seeorang atau institusi. Semoga keseronokan  saling bercakar di antara sesama mereka akan segera memudar.

Selain memetik iktibar dan mendengar harapan dan pinta yang diungkapkan dengan fikiran jernih seorang penyair   kita juga menemui sehimpun metafora baru dan menarik seperti "Di Kerajaan Hujan" (halaman 86), "Ribut Mungkar" (halaman  92), "Kelambu Kaca" (halaman 21), "Seulas Nangka  Amanah" (hal 9).

Ternyata Shapiai menuliskan puisi-puisinya  memang benar-benar dengan hati jernih, tanpa rasa amarah dan dendam. Terpancar kejernihan jiwa sang penyair dalam setiap tutur dan kata puisinya. Kerana kedatangan Shapiai seperti diakui di dalam puisi yang menjadi judul antologinya ini “Aku Ingin Berbeka-Beka DenganMu” (halaman 45) memang dengan sikap seorang insan yang benar-benar  insaf  lagi tawadduk.

END

Sumber siaran: Mingguan Malaysia, 14 April 2013

Ahad, Januari 20, 2013

MENIKMATI PUISI SI DARWIS RIDZUAN HARUN


Oleh MARSLI N.O
marslino@yahoo.com

Buku Si Darwis
Pengarang Ridzuan Harun
Penerbit  Institut Terjemahan & Buku Malaysia

RIDZUAN HARUN atau nama penuhnya Mohd Ridzuan Harun lahir 1 Jun 1975 di  Kebun 500, Pokok Sena, Kedah. Pendidikan awalnya di Sekolah Kebangsaan Haji Idris, Tajar, Kedah.

Tahun 1988 hingga 1992 Ridzuan mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Jabi, Pokok Sena sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dari tahun 1993 hingga 1994 belajar di Sekolah Menengah  Dato' Syed Omar, Alor Setar sehingga STPM.  Namun begitu, Ridzuan gagal memperolehi sijil penuh.

Kegagalan itu tidak mematahkan semangat Ridzuan. Percubaannya kali kedua menerusi sekolah swasta pada tahun 1996 telah berjaya dan beliau berhasil menggenggam segulung sijil penuh STPM.

Dengan sijil penuh STPM itulah yang kemudiannya melayakkan Ridzuan melanjutkan pengajiannya ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dari tahun 1997 hingga 2000 di bidang  Bacelor Sastera (Pengkhususan Bahasa dan Linguistik Melayu) dan kini beliau sedang menyambung pengajiannnya ke peringkat sarjana di universiti yang sama.

Tetapi sebagai penyair, dari manakah sebenarnya Ridzuan Harun bertolak dan bermula? Selepas tampil dengan antologi puisi pertamanya “Suluk Cinta”  yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008, tahun 2012 ini Ridzuan Harun tampil lagi dengan antologi puisi kedua beliau ”Buku Si Darwis” yang diterbitkan Institut  Terjermahan dan Buku Malaysia.

Dalam pengantar buku puisi terbarunya ini, yang dijuduli sebagai “Catatan Si Darwis Puisi”, Ridzuan Harun mengakui betapa beliau memilih ruang dan jalan yang payah untuk mencintai puisi..

Bagi  Ridzuan Harun, menulis puisi bukan suatu kerja mudah. Namun begitu, beliau tetap percaya dan sepenuhnya meyakini betapa: “Penyair harus berdiri di hadapan bangsa, di hadapan zamannya – menjadi perenung, pencatat, menjadi cermin nusa; bahkan menjadi “pengingat”.

Untuk dan kerana itulah melalui antologi yang memuatkan 50 puisi hasil cipta beliau sekitar tahun 2006 hingga 2011 ini  Ridzuan Harun menampilkan puisi-puisi yang sebahagian besarnya memaparkan gelodak resah dan gelora yang sesekali keras mendebur pantai emosi kepenyairannya bila berhadapan dengan persoalan maruah bangsa, bahasa dan madsa depan negaranya.

Malah sikap dan tegasnya pendirian Ridzuan Harun  sebagai penyair yang diakuinya sebagai perlu memikul peran sebagai “pengingat” ini ketara dinyatakan melalui susun atur puisi-puisinya di dalam antologi ini, dengan mengawalinya melalui puisi berjudul “Di Bawah Bulan Berwarna Emas Kudoakan Kau Sejahtera Selalu, Bahasaku” sebagai puisi pertama mendepani pembaca.

Melalui puisi ini, Ridzuan Harun menyatakannya melalui simbol betapa bahasa adalah:  kunang-kunang, sumbu, kandil, pelita, lentera, dian, suluh dan matahari, yang sentiasa didoakan agar sejahtera sentiasa.

Memang jika dibaca secara permukaan atau apa yang tersirat, puisi ini tidak lebih sekadar sebuah puisi berisikan doa dan harapan daripada seorang penyair Melayu  agar bahasa miliknya sentiasa sejahtera.

Tetapi lantaran apakah yang mendorong doa dan harapan itu dilontarkan penyair di dalam puisinya ini? Apakah ini berarti bahasa Melayu sedang diancam oleh sesuatu sehingga wujud kebimbangan di hati penyair dan mendorong puisi ini dizahirkan?

Secara tersirat dan tidak langsung Ridzuan Harun, dengan menggunakan objek-objek sebagai pembanding dan simbol,   ingin menyatakan betapa bahasa Melayu mempunyai kekuatannnya yang teramat hebat. Namun kepekaan mata batinnya sebagai seorang penyair,  yang melihat dan meneliti  apa yang sedang dan sudah melanda bahasa Melayu,  mendorong Ridzuan melahirkan rasa bimbangnya  secara tidak langsung melalui doa dan harapan.

Tidak hanya soal bahasa yang menjadi titik tolak kebimbangan Ridzuan Harun. Persoalan politik bangsa dan negara juga turut menenerjah sensitiviti kepenyairan Ridzuan.

Di dalam antologi ini, puisi-puisinya seperti “Politik Malaysia, 2009” di halaman 19, “Aduhai Tanah Air” (20), dan serial sajaknya di bawah judul “Sifir Politik” dengan jelas menyerlahkan pendirian Ridzuan yang mempercaya betapa penyair:  “....  harus berdiri di hadapan bangsa, di hadapan zamannya – menjadi perenung, pencatat, menjadi cermin nusa; bahkan menjadi “pengingat”.

Sebagai pemerhati, perhatian Ridzuan di dalam puisinya “Politik Malaysia, 2009” jelas tertumpu kepada situasi di tahun 2009, yang dinyatakannya sebagai: “...terasa kita sedang menangisi demokrasi tercalar/ atau terasa kita/ sedang mentertawakan demokrasi.”

Namun begitu, Ridzuan  Harun di dalam puisinya ini tidak meletakkan diri di pososi penghukum atau pengikut buta seperti mana-mana kelompok yang sentiasa ingin memenangkan kelompoknya semata-mata. Ridzuan sebaliknya memilih untuk menjadi lebih terbuka dan kembali kepada hakikat diri kemanusiannya dengan melontarkan tanya kepada Sang Maha Pencipta dengan tanya: “Tuhan, iktibar apakah ini?”

Atau dalam puisinya “Aduhai Tanah Air”, Ridzuan melihat dan menyatakan rasa bimbangnya bila melihat pertelingkahan yang terjadi di antara sesama, baik politikus mahupun agamawan, yang menurut hemat Ridzuan tidak lain kerana: “...kerana sebidang kuasa/ dan sebaris penghormatan yang dikejar.”

Peristiwa sosial seperti kehilangan adik Sharlinei, kehilangan Pulau Batu Putih, pemergian Zubir Ali turut tidak lepas dari mata perhatian Ridzuan.

Ridzuan juga tidak melupakan untuk menyatakan sesuatu mengenai penyair yang dikaguminya, T. Alias Taib dalam puisinya “Puisi Adalah Peta Perjalanan Hidupnya”. Menurut hemat Ridzuan, segala khazanah puisi yang ditinggalkan oleh T. Alias Taib melayakkannya diibaratkan sebagai “... songket berkilau/ dari jauh pun tampak sinar dan serinya.”

Perjalanan dan kunjungan juga turut menyentuh sensitiviti kepenyairannya, yang diutarakan antaranya melalui puisi “Percakapan Kepada Mudsi (iii)” di halaman 14, “Tanjung Rhu, Petang Runduk (41)”, “Catatan di Beting Pasir” (43) dan  “Tanjung Rhu, Lewat Malam” (44).

Antologi puisi “Buku Si Darwis” buah tangan penyair Ridzuan Harun dapat ditanggap sebagai sebuah pengukuhan pengakuan seorang penyair yang kian menampakkan sosok keperibadian kepenyairannya.

Justeru itu jugalah, Ridzuan tidak lupa menurunkan sejumlah puisi bersifat renungan dan rekrospektif dirinya, seperti di dalam puisi”Belajar Menjadi Rama-Rama dan Merpati” di halaman 56, “Memilih Diam” (57), “Sebahagian Autobiografi” (58), “Kepada Ridzuan” (63), “Darwis” (64) dan “Buku Si Darwis” (65).

Ternyata, melalui antologi puisi keduanya ini Ridzuan sudah cukup bersiap sedia dengan penampilan puisi-puisinya. Dengan kesedarannya sebagai “darwis puisi”, Ridzuan menyedari dan insaf akan kehadiran dirinya. Ridzuan harun bukan seluruhnya seorang darwis, tetapi sudah mulai berjalan dan menuju ke arah yang lebih jauh di tengah peta kepenyairan Malaysia.

END