Khamis, Jun 30, 2011

BENARKAH KITA PEDULI


PERCAKAPAN yang pada mulanya santai tiba-tiba menjadi gelisah dan panas bila menyentuh soal bahasa dan maruah.

Banyak mulut ghairah menyebut itu dan ini. Memberi saran dan cadangan. Menuding dan menunjuk. 

Saya yang lebih memilih menjadi pendengar sendiri berfikir dan tidak ingin terlibat dengan perdebatan sebegini. Saya tidak ingin "membazirkan" waktu dan tenaga memandu kenderaan ratusan kilometer pergi dan pulang ini hanya untuk berdebat mengenai isu yang sudah jenuh dipercakapkan, namun seolah tidak kelihatan jalan selesainya.

Ya, nasib Melayu yang didakwa memiliki ketuanan dan hak di bumi sendiri tetap begitu-begitu juga.

Bahasanya, di antara tempik pejuangnya dan pelbagai helah serta dalih menteri, tetap juga dipersenda dengan pelbagai cara.

Misalnya yang mudah, hanya kerana seorang wakil atau peserta dari luar negara, yang memang pun boleh mengerti bahasa Melayu, maka seboklah menteri atau sang tokoh di depan hendak bercakap bahasa yang didakwa internasional, walau biji butir sebutannya lucu dan memualkan.

Kita selalu berasa rendah diri untuk menjadi diri sendiri dan untuk berasa gagah  serta yakin diri, kita berasa perlu menyunglap dirinya menjadi orang lain.

Kita kelihatannya  memang malu untuk menjadi diri kita sendiri.

Jadi untuk apa perdebatan seperti senja ini diteruskan lagi?


Saya fikir mereka yang ghairah bercakap itu tentu lebih bijak dan lebih maklum ketimbang diri saya.

Siapa sebenarnya yang ambil peduli semua ini?

Di luar sana, di tengah hidup yang nyata, mereka yang bergelar pemimpin apakah benar-benar mengambil peduli semua ini?

Saya menjengah keluar jendela.  Di deretan kedai lama dan baru, semakin ramai pemiliknya bertukar wajah.

Di manakah ketuanan yang dilaung dan didendangkan?

Saya bertanya sendiri di dalam hati. Walau saya tahu, mungkin tiada siapa yang ingin ambil tahu dan peduli lagi semua ini.

Kecuali membuncitkan perut dan mengembongkan poket sendiri.

Jun 30, 2011

Jumaat, Jun 17, 2011

PENDERHAKA MENGENANG


PERTENGAHAN  Jun 1987 di Kampung Belimbing Dalam, Melaka.

Saya bertemu dia dan menyapa. Bertanyakan di daerah manakah dia di negeri kelahiran saya itu.

Jawapannya mesra dan membukakan ruang untuk saya terus bertanya dan meminta nasihat akademiknya. Saya tahu kekurangan ilmu saya, jadi dia ingin saya jadikan guru ilmu sastera saya secara tidak langsung.

Tahun demi tahun berlalu. Usia setiap kita kian bertambah menjadi tua dan menghampiri pergi. Saban pertemuan dia selalu memberikan nasihat dan dorongan secara langsung dan tidak langsung. Pesannya, kalau ada karya baru kirimlah kepada dia, untuk dibaca dan diteliti.

Tetapi saya menjadi malu dengan pelawa dan tangannya yang terlalu lebar terdepang itu. Kian terasa kecilnya diri dan perlu berusaha lebih gigih lagi untuk menulis sesuatu yang lebih bererti.

Lama saya terpisah dan tidak bertemu dia. Saya tahu dia berada di luar negara. Bukunya mengenai teori sastera berhikayat sudah lama dahulu saya beli dan baca sesekali bila terasa perlu.

Khabar terakhir saya tahu, dia sudah menjadi ahli akademik bergelar dan kini kembali sudah ke tanah air.

Semalam saya hubungi dia dan suara ramahnya meminta saya mengirim lagi andai punya karya baru.

Saya tetap mengenang kebaikan dia. Dia antara insan yang sering mendorong saya secara langsung dan tidak langsung, menjadikan saya tidak mudah berasa kecewa bila terhenyak dan dihenyak. Kebaikan dia, dan sejumlah insan baik yang lain, dalam kehidupan sastera dan seni saya, tetap saya kenang sampai bila-bila.

Semalam, lewat pos ekspres, saya kirimi senaskhah novel saya yang baru diterbitkan,  PENDERHAKA kepada dia.  Saya harap dia senang membaca dan menikmatinya.

Juga kepada seorang teman editor yang sering mengajukan tanya dan saran kepada saya, agar menulis sebuah novel yang mencabar, turut saya kirimi novel ini.

Saya harap mereka sudi dan berasa senang menikmati dunia "penderhaka" di dalam sebuah "novel" yang saya tulis pada tahun 1991 itu.

Notakaki
Para pembaca dan peminat budiman silakan membuat pesanan pembelian ke email marslino@yahoo.com dengan menyatakan jumlah pesanan, nomor telefon pemesan dan alamat pos pemesan.

Untuk pesanan dan pembelian segera, sila masukkan jumlah harga buku yang dipesan ke akaun Maybank atas nama RAMLI SELAMAT dengan nombor akaun 1060 1681 4831 dan maklumkan maklumat pembeli serta alamatnya untuk kiriman pesanan ke email marslino@yahoo.com


Harga bagi pesanan lewat pos adalah RM 18.00 + RM 2.00 (ongkos pos ekspres) = RM 20.00


Jun 17, 2011

Rabu, Jun 15, 2011

PENDERHAKA MERAKAMKAN TERIMA KASIH


SEGALANYA dengan  izin serta limpahan kurnia Allah yang melorong segala ruang serta peluang. Dia jugalah yang  telah membukakan hati banyak orang dan pihak untuk membantu sehingga PENDERHAKA yang diusung dan dijaja sekian lama, akhirnya terbit sebagai bentuknya sebuah buku yang sah.

Kisahnya bermula dengan Bengkel Pemantapan Karya dan Pembinaan Judul yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur di Cameron Highland pada 9 - 11 Ogos, 2007.  

Acara yang berlangsung di hotel Star Regency, Brinchang, Cameron Highland itu menampilkan para tokoh akademik dan sastera selaku penceramah. Mereka adalah nama besar di bidang masing-masing:  Prof. Dato' Dr. Salleh Yaapar, Dr. Rahimah Abd Hamid, Prof. Dr. Rahman Shaari, Norhisham Mustapha dan Tuan Shariff Putera.

Dari Kiri: Mahanie, Hajjah Nor Akmal, Indah Hairani, Dr. Norhayati, Puan Ariza; dan Dr. Rahimah
Sumber Foto: Dr. Norhayati Ab Rahman
Rakaman ucapan terima kasih kepada: Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur ketika itu bersama pasukannya,  Tuan Haji Mohamad Yussop bin Ishak; Puan Ariza Ismail selaku editor yang memastikan penerbitan PENDERHAKA  sampai jaya; pembaca pertama naskah yang dikemukakan untuk penilaian projek, Dr. Rahimah Abd Hamid; pelukis dan pereka cover PENDERHAKA  daripada DAWAMA; sejumlah kawan-kawan yang tega berdebat dan berbual hingga santak ke pagi di sepanjang acara bengkel itu;  Saudara Sharrul Rizal Hashim dan  Saudara Asri; Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu; Mahanie Sulong; Dr. Norhayati; Wikunila MS;  Shariff Putera; Wan Ahmad Ismail; Husna Nazri; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur kini, Saudara Azmi Ibrahim, kerana  segala sokongan moral dan bantuannya juga  sama mendorong penulis  agar tidak mudah patah semangat; petugas dan pengurusan Kedai Buku Ibzanis, Kuala Terengganu yang menguruskan penjualan novel PENDERHAKA dengan jayanya; dan jurutaip naskhah dari versi mesin taip ke versi komputer, Amir Hamzah dan Asrul Sani.  

Ucapan terima kasih juga tidak dilupakan kepada siapa sahaja yang sudi membeli dan membaca PENDERHAKA, kerana tanpa sokongan dan bantuan mereka juga, kehadiran PENDERHAKA tidak akan bererti apa-apa.

Nota Kaki
Para pembaca dan peminat budiman silakan membuat pesanan pembelian ke email marslino@yahoo.com dengan menyatakan jumlah pesanan, nomor telefon pemesan dan alamat pos pemesan.

Untuk pesanan dan pembelian segera, sila masukkan jumlah harga buku yang dipesan ke akaun Maybank atas nama RAMLI SELAMAT dengan nombor akaun 1060 1681 4831 dan maklumkan maklumat pembeli serta alamatnya untuk kiriman pesanan ke email marslino@yahoo.com

Jun 15, 2011
 

Ahad, Jun 12, 2011

PENDERHAKA BERKISAH TIDAK


TERUS-TERANG, lewat PENDERHAKA saya tidak sepenuhnya ingin berkisah menjabarkan peristiwa demi peristiwa dan mengharapkan pembaca menjadi seoronok kerana membaca kisah demi kisah yang menarik dan membuai mereka sehingga ke alam mimpi.

Bukan itu yang menjadi niat serta tujuan saya  sebenarnya.  Saya sebenarnya,  menulis PENDERHAKA dengan   maksud dan niat:  untuk berkias dan menyatakan sesuatu secara tamsilan.

Jadi lantaran itu,  kisah bagi saya hanyalah alat yang saya peralatkan untuk saya menyata serta menyampaikan sesuatu  yang lain, yang tidak ingin saya nyatakan secara langsung dan gamblang.

Tujuannya? Untuk mengajak pembaca dan peminat karya saya merenung serta berfikir.

Kenapa? Sebab saya tahu dan sedar betapa pembaca karya saya adalah manusia cerdik dan bijak, mereka yang tidak suka diguru-gurui tentang segala sesuatu.

Jadi? Lewat PENDERHAKA mereka hanya tinggal memilih apa yang ingin mereka faham dan terima secara sepenuhnya atas nama masing-masing peribadi.

Kerana sebagai pengarang, saya sekadar menyusun apa yang saya fikirkan perlu dan mampu menyampaikan sesuatu kepada pembaca karya saya.

Dan untuk itu, saya memang tidak pernah ambil peduli dengan persoalan alur dan segala tetek-bengiknya.

Selamat membaca.

NOTA KAKI 1

PENDERHAKA merupakan novel umum/dewasa pertama MARSLI N.O yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada tahun 2011. Harga di pasaran novel ini ialah RM 18.00.  Untuk pesanan dan urusan pos tambah RM 2 + 18 = RM 20.00

Para pembaca dan peminat budiman silakan membuat pesanan pembelian ke email marslino@yahoo.com dengan menyatakan jumlah pesanan, nomor telefon pemesan dan alamat pos pemesan.

Untuk pesanan dan pembelian segera, sila masukkan jumlah harga buku yang dipesan ke akaun Maybank atas nama RAMLI SELAMAT dengan nombor akaun 1060 1681 4831 dan maklumkan maklumat pembeli serta alamatnya untuk kiriman pesanan ke email marslino@yahoo.com


NOTA KAKI 2

SAYA sudah sejak lama mengharapkan kerelaan segala dan maaf dari dia. Atas nama persahabatan tanpa sebarang pamrih, saya tega menerima dan meredakan segala.

Keikhlasan dan kejujuran dalam persahabatan, bagi saya menjadi bermakna serta bererti kerana saling memahami dan mengerti.  Selebihnya, adalah kepuraan dan munafik belaka.

Tiada lagi kata muluk yang ingin disebut kerana segalanya telah saya curah dan sebutkan sejak lama dahulu. Hanya dia dan saya yang lebih  tahu dan mengerti. Walau apa pun yang  sudah dan pernah terjadi.

Hidup memang tidak mudah dan indah. Apa yang pernah kami lalui bersama selama bertahun-tahun biarlah menjadi rahsia selamanya.

Saya sudah lama memberi maaf dan merelakan. Kerana, tiada kata-kata yang mampu untuk menyatakan segala peristiwa dan perasaan.  Kerana, lewat dia, saya pernah mengenal siapa sebenarnya sahabat sejati yang sanggup berpayah sesama derita, atau memilih hanya kerana ingin diperkuda dan diperalat semata.

Dalam diam dan sunyi, saya selalu.

Jun 12, 2011

Jumaat, Jun 10, 2011

PENDERHAKA: Novel MARSLI N.O


TANGGAL  9 Jun 2011 secara rasmi PENDERHAKA  berdiri sebagai sebuah buku ke persada sastera Malaysia. Acara peluncurannya berlangsung di Pesta Buku Negeri Terengganu 2011 bertempat di Galeri A, Pusat Dagangan Terengganu di Kuala Terengganu.  

Acara anjuran Perbadanan Perpustakaan Negeri Terengganu ini telah dirasmikan oleh Pengurusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu YB Haji Ahmad Razif bin Abd Rahman mewakili Menteri Besar Terengganu.

PENDERHAKA merupakan novel umum/dewasa pertama MARSLI N.O yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur pada tahun 2011. Harga di pasaran novel ini ialah RM 18.00.  Untuk pesanan dan urusan pos tambah RM 2 + 18 = RM 20.00

Para pembaca dan peminat budiman silakan membuat pesanan pembelian ke email marslino@yahoo.com dengan menyatakan jumlah pesanan, nomor telefon pemesan dan alamat pos pemesan.

Untuk pesanan dan pembelian segera, sila masukkan jumlah harga buku yang dipesan ke akaun Maybank atas nama RAMLI SELAMAT dengan nombor akaun 1060 1681 4831 dan maklumkan maklumat pembeli serta alamatnya untuk kiriman pesanan ke email marslino@yahoo.com

Selamat memesan dan menikmati karya MARSLI N.O.

Jun 10, 2011
 

Sabtu, Jun 04, 2011

SAYA BERTANYA


Dear. Jang Moo-ryeong
Sorry to ask and confirm that from you.

Did you receive my essay title   POEM AND I: FROM BIRTHPLACE, DESIRE AND AIMS By MARSLI N.O  ?

I ask that for confirm because I didn’t see any part of my essay  reading in that schedule.

Sorry about this question to you. I hope you don’t angry  to me for that my “stupid” question. I’m only want to confirm about this paper if you receive or not and not for the essay reading.

I’m worry a lot if you don’t receive my paper about that.

Thanks for everything.

Marsli N.O
2010/11/24


Mereka Menjawab:

Dear. Marsli N O

I am very sorry if the schedule we set upset you. We got your essay well, and your essay is  in the book that we have made for the festival.

We settled the schedule to Asean poets to read two times. We thought your poems are great to be read out loud. So we set your poem reading time in Festival eve, and the Night of Asean Poets 1 which we put our most effort on, considerer most important times among festival events.

We absolutely think your essay is also great as your poems, but we thought it would be great honor if we could hear your voice reading your poems.

We apologize if we have made you feel uncomfortable and angry.
  
Thank you

Jang Moo-ryeong
Wednesday, November 24, 2010 8:49 AM

Khamis, Jun 02, 2011

NUKLEAR DAN KECERDIKAN MANUSIA


HUJAH demi hujah saya dipatahkan. Jelas dan nyata, begitu kesimpulan dari pematahan terhadap hujah  demi hujah saya itu,  saya ini terlalu berlebih-lebihan dalam menanggapi suatu isu. Dan dengan begitu juga, sikap saya yang sedemikian itu bisa mendatangkan pula rasa bimbang yang berlebihan dan tidak kena pada tempatnya di dalam sanubari saya.

Hujahnya, di mana-mana pun isunya serupa dan sama sahaja. Polusi, pencemaran alam sekitar, terjadi pada setiap ketika. Tetapi apakah kerana itu maka manusia tidak dapat hidup dengan aman dan bahagia? 

Saya diam memikirkannya. 

Saya mungkin memang bodoh dan kerana kebodohan itulah maka saya memiliki sikap dan perasaan yang sedemikian rupa.

Lama saya merenung wajah manusia-manusia cerdik di hadapan saya itu.

Bagaimana dengan isu di Bukit Merah? Akhirnya saya yang mulai berasa dirinya mungkin bodoh ini mengajukan tanya kepada mereka yang  cerdik itu.

Bukit Merah? Pusat peranginan itukah? Salah seorang mereka yang cerdik itu kembali menghujat saya dengan tanyanya. 

Saya menatap wajah manusia cerdik itu ke atas dan ke bawah.

Bukit Merah? Apa kisahnya di sana? Sampuk  pula rakan si cerdik yang sejak tadi menjadi pendengar setia di sebelah si cerdik itu.

Saya menatap wajah kedua mereka. 

Masakan si cerdik seperti mereka tidak mengerti dan tahu apa yang pernah terjadi di sana. Atau mereka memang menjadi tidak tahu kerana sudah sekian lama dengan sengaja tidak diizinkan menjadi manusia yang tahu oleh pemimpin mereka.

Saya tersenyum sendiri akhirnya. Tidak mengapalah kalau saya dikatakan bodoh dan tidak mengerti. Saya tidak sesal.

Kerana selalunya begitulah. Mereka yang berasa dirinya lebih tahu dan cerdik ketimbang orang lain itulah  yang selalunya membawa segala kerosakan serta bencana kepada dunia dan orang lain.

Dan saya? Saya tahu saya mungkin bodoh dan tidak mengerti. Tetapi rasanya, saya masih dapat membezakan yang mana satu tindakan saya, yang boleh mendatangkan bencana serta kesusahan kepada orang lain.

Kerana itulah agaknya, saya tidak pernah ingin menjadi manusia politik  dan bergelar atas nama kuasa serta kepercayaan yang diberikan oleh jutaan jelata.

Tentulah puncanya kerana  saya ini memang bodoh dan tidak mengerti.

Dan mereka yang cerdik?

Jun 2, 2011

Rabu, Jun 01, 2011

NUKLEAR DAN KEBODOHAN MANUSIA


SAYA mungkin salah seorang yang tergolong bodoh dan kerana itu tidak mengerti serta tahu apa-apa mengenai segala kebaikan yang kononnya didatangkan oleh suatu kuasa yang dinamakan sebagai nuklear.

Memang sering terdengar sesiapa berkata,  betapa dengan kecerdikan serta kepintarannya manusia mampu menangani kuasa yang satu ini: untuk dimanfaatkan sebaik dan seperlu yang mungkin demi kepentingan hidup manusia.

Tetapi dalam erti kata yang sebenar-benarnya, mampukah kita? 

Seperti yang telah saya katakan sebelumnya, saya mungkin seorang yang tergolong bodoh dan kerana itu saya tidak pernah percaya terhadap segala sesuatu yang lebih jelas kemudaratan berbanding kebaikannya. 

Saya fikir, mereka yang mengaku dirinya lebih bijak dan cerdik ketimbang diri saya ini, masakan tidak memahami maksud pepatah yang menyebut betapa ketika kecil adalah kawan tetapi setelah besar menjadi lawan.

Mungkin saya memang terlalu bodoh untuk mengerti. Apa lagi andai dibandingkan dengan mereka yang menyokong dan mendengungkan dakwaan mengenai penting dan segala kebaikan yang akan menjelang  sekiranya   sebuah kilang didirikan tidak jauh dari kampung kediaman saya. Tentulah dengan dalih dan hujah: pembangunan, peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan, sumber pendapatan negeri dan negara.

Mungkin saya memang terlalu bodoh untuk mengerti dan faham  dan lantaran itu, selalu saya bertanya sendiri: kalau benar tidak berbahaya akan kesannya kenapa kilang itu tidak didirikan di kampung halaman mereka sendiri. Atau, kenapa sebelum ini sebuah negeri sudah pun menolak dan menghindar? Sedangkan, kalau benar bagai didakwa, tidakkah kilang nyang bakal didirikan bisa mendatangkan laba dan pendapatan yang besar?

Saya mungkin terlalu bodoh untuk faham dan mengerti.

Tetapi itu tidak bererti saya dengan mudah merelakan negara kecil saya ini diperkotak-katikkan oleh tangan serakah yang lebih pentingkan perut dan kerusi, ketimbang kesejahteraan warga yang sudah menyerahkan jutaan percaya kepada mereka.

Apa lagi kalau setiap rayuan jelata  agar  hasrat mengizinkan sebuah firma dari negara luar nun ribuan kilometer jaraknya untuk mendirikan sebuah kilang berkenaan segera dihentikan selalu dianggap sebagai suara berontak dan keluhan  kecewa mereka yang tidak sama mendapat habuan.

Aneh. Habuan? Habuan apa yang mereka maksudkan sebenarnya?

Sebagai seorang jelata  di sebuah negara merdeka, saya hanya mampu merayu dan meminta.

Tetapi kalau rayu dan pinta saya itu sudah dianggap sebagai suara derhaka, apa lagi yang mampu saya katakan?

Ya, saya mungkin salah seorang yang tergolong bodoh dan kerana itu tidak mengerti serta tahu apa-apa mengenai segala kebaikan yang didengung serta disemboyankan itu.

Tetapi kalau kepada mereka saya sudah tidak bisa merayu dan meminta, kepada siapa lagi saya mahu berpaling dan berharap?

Atau, mereka sudah semakin menjadi tuli dan tidak sudi lagi untuk mendengar?

Mei 31, 2011