Khamis, Jun 02, 2011

NUKLEAR DAN KECERDIKAN MANUSIA


HUJAH demi hujah saya dipatahkan. Jelas dan nyata, begitu kesimpulan dari pematahan terhadap hujah  demi hujah saya itu,  saya ini terlalu berlebih-lebihan dalam menanggapi suatu isu. Dan dengan begitu juga, sikap saya yang sedemikian itu bisa mendatangkan pula rasa bimbang yang berlebihan dan tidak kena pada tempatnya di dalam sanubari saya.

Hujahnya, di mana-mana pun isunya serupa dan sama sahaja. Polusi, pencemaran alam sekitar, terjadi pada setiap ketika. Tetapi apakah kerana itu maka manusia tidak dapat hidup dengan aman dan bahagia? 

Saya diam memikirkannya. 

Saya mungkin memang bodoh dan kerana kebodohan itulah maka saya memiliki sikap dan perasaan yang sedemikian rupa.

Lama saya merenung wajah manusia-manusia cerdik di hadapan saya itu.

Bagaimana dengan isu di Bukit Merah? Akhirnya saya yang mulai berasa dirinya mungkin bodoh ini mengajukan tanya kepada mereka yang  cerdik itu.

Bukit Merah? Pusat peranginan itukah? Salah seorang mereka yang cerdik itu kembali menghujat saya dengan tanyanya. 

Saya menatap wajah manusia cerdik itu ke atas dan ke bawah.

Bukit Merah? Apa kisahnya di sana? Sampuk  pula rakan si cerdik yang sejak tadi menjadi pendengar setia di sebelah si cerdik itu.

Saya menatap wajah kedua mereka. 

Masakan si cerdik seperti mereka tidak mengerti dan tahu apa yang pernah terjadi di sana. Atau mereka memang menjadi tidak tahu kerana sudah sekian lama dengan sengaja tidak diizinkan menjadi manusia yang tahu oleh pemimpin mereka.

Saya tersenyum sendiri akhirnya. Tidak mengapalah kalau saya dikatakan bodoh dan tidak mengerti. Saya tidak sesal.

Kerana selalunya begitulah. Mereka yang berasa dirinya lebih tahu dan cerdik ketimbang orang lain itulah  yang selalunya membawa segala kerosakan serta bencana kepada dunia dan orang lain.

Dan saya? Saya tahu saya mungkin bodoh dan tidak mengerti. Tetapi rasanya, saya masih dapat membezakan yang mana satu tindakan saya, yang boleh mendatangkan bencana serta kesusahan kepada orang lain.

Kerana itulah agaknya, saya tidak pernah ingin menjadi manusia politik  dan bergelar atas nama kuasa serta kepercayaan yang diberikan oleh jutaan jelata.

Tentulah puncanya kerana  saya ini memang bodoh dan tidak mengerti.

Dan mereka yang cerdik?

Jun 2, 2011

Tiada ulasan: