Isnin, Februari 21, 2011

SELEBRITI (2)

Sajak MARSLI N.O

Impian yang menghidupkan selebriti kita menjadikan dirinya manusia sejuta mungkin.  Cintanya sering bertukar dan berganti seperti kasut atau pakaian. Di pentas peragaan, dilepaskan cantiknya yang palsu dari celah wajahnya yang terbelah dan di kamar sunyinya, dia  berkelahi dengan usia yang selalu mencemburuinya tanpa mengira waktu dan lokasi.

Sunyi yang selalu mengalir di pembuluh darahnya cuba ditawarkan dengan riuh yang selalu memabukkan. Dia mereguk dukanya yang  rakus dan tiada rasa belas. Jantungnya yang setiap detik mendegupkan lagu rindu menjadikan dadanya semakin menipis dan leper.

Populariti merubah dirinya menjadi boneka jinak. Tanpa soal, dia  menyerah kepada  siapa yang menawarkan harga paling tinggi dan mahal. Dengan mata terpejam dan kepala yang diletakkan di bawah, dia terbang mencari syorga demi syorga.

Jun 30, 2010 –  Julai 14,  2010

Sumber Siaran: Mingguan Malaysia, 20 Februari 2011 

Ahad, Februari 20, 2011

LIHAT SECARA TERBALIK


LIHAT secara terbalik, jika kakinya tiada, maka hantulah dia. Pesanan nenek yang saya dengar semasa saya masih kanak ini sampai kini bagi saya tetap relevan dan berguna.

Begitu selalu saya melihat dan membaca sesuatu. Bagi saya, setiap segala sesuatu, teks, yang tertulis sebagai buku atau laporan akhbar dan majalah, persitiwa, lukisan, percakapan dan apa lagi janji-janji manis menteri,  perlu dilihat dan dibaca juga secara terbalik. 
 
Dengan begitu saya menjadi tidak mudah terpedaya dan selalu kritis berfikir untuk menerima dan menolak.

Memasuki dunia kreatif dan sastera,  semakin menjadikan saya kian  mempercayai dan sekaligus mempraktikkan petua almarhum nenek saya yang sudah sekian lama berpulang ini.

Saya membaca karya sastera dan bukan sastera juga secara terbalik. Bagi saya maknanya tidak hanya apa yang tertera di permukaan, tetapi juga di belakang sesuatu teks.

Begitu juga ketika sedang menuliskan sebuah karya. Saya juga berfikir dan menghantarnya secara terbalik.

Saya maklum kalau ada pembaca karya saya yang tidak begitu memahaminya. Saya tidak mahu atau tidak akan mempersalahkan mereka. 

Hidup di tengah dunia yang selalu memaksakan keseragaman dan ikut-ikutan, memang mudah menjerumuskan manusia yang  kurang kuat untuk bertahan dengan keperibadiannya sendiri supaya mengangguk dan bersetuju dengan apa sahaja makna yang sudah disepakati ramai.

Mereka tidak mahu sampai dituduh pendurhaka atau manusia kurang ajar. Kerana itu lebih berbahagia sekadar menjadi penurut dan pengekor.

Saya tidak akan memaksa siapa sekalipun pembaca karya saya. Terserah mereka mahu menjad pembaca golongan mana. Tugas saya hanya menulis. Kalau mereka mahu terus membaca secara penurut, nah saya tidak apa-apa.

Kerana itu juga, saya membaca apa yang selalu ditulis  dalam bahasa Melayu oleh seorang penulis berbangsa lain  itu dengan pemahaman dan makna yang lain. Tidak hanya sebagai apa adanya di permukaannya sahaja.

Begitu juga dengan sikap diam dan kebaikan melampau yang dipamerkan oleh seorang lagi sahabat baiknya itu. Maknanya tentulah lebih dari itu.

Dan lebih-lebih lagi mengenai isu yang dibangkitkan, yang semakin menjadi meleret-leret.  Isu sebenarnya bukan hanya sebuah buku. Tetapi lebih dari itu.  

Terserahlah apakah kita mahu mengerti atau terus menjadi buta.

Dan waktu sama, saya kembali mengenang almarhum nenak saya. Dia tidak pernah ke universiti, tidak tahu dan tidak pernah pun belajar mengenai teori semiotik atau simboisme. 

Namun petuanya mengenai bagaimana untuk mengenal apakah seseorang atau sesuatu lembaga itu hantu atau manusia, sampai kini tetap membantu saya. Samada sebagai warga di sebuah negeri yang mengaku  sudah sepenuhnya merdeka, mahu pun sebagai manusia yang bergulat dengan seni dan karya kreatif.

Untuk itu, terima kasih, Nenek.

Februari 20, 2011

Rabu, Februari 16, 2011

JANGANLAH KAU MENYEBOK


BIARKAN aku dengan segala kerja serta urusanku. Dan kau, tidak perlulah hendak menyebok dan berlagak sebagai wali yang memarahi aku kerana kononnya kini semakin kesurupan menghamun serta memaki-maki.

Jangan ambil peduli. Aku terlalu benci melihat segala lagak kau itu. Konon  kaulah seorang wali, tetapi di belakang, siapa tahu segala tembelang dan topeng yang yang sembunyikan itu?

Pedulilah apa pun kalau aku akan terus menghamun dan memaki. Kalau kau tidak faham dan tahu mengenai sesuatu, atau memang dengan sengaja hendak membodohkan kau dirimu kononnya tidak tahu, silakanlah. Itu bukan masalah diriku.

Macam aku katakan sejak dulu. Jangan hendak menyebok dan bersusah payah hendak berkhotbah bagaikan seorang wali,  sedangkan segala apa yang sedang berlaku tidak pun kau faham dan mahu ambil tahu.

Nasihatku, duduklah diam-diam  dan selesaikan urusan diri kau sendiri.  Kalau kau rasa diri kau terlalu mulia dan suci, duduk dan diamlah di dalam kamar mulia dan suci kau sendiri itu. 

Janganlah kau marah atau berasa terguris di hati kalau aku katakan betapa  bodoh dan bahlolnya diri kau itu yang tidak henti dan sudahnya dengan perasaan mulia dan suci itu.

Kerana, walau di depan matamu, cacing seekor yang dahulu kau langir dan nobatkan dengan segala gelar itu kini telah berubah laku dan  melakon watak seekor naga, serta tanpa sedikit pun silu dan segan telah  merenjiskan kencingnya ke muka maruahmu,  namuntetap juga kau tega berpelok mesra dengan dirinya.

Dan malah, betapakah bodoh dan bangangnya diri kau itu bertambah-tambah. Bila seekor lagi cacing yang dengan licik dan bijak melakonkan peran seorang budiman  lagi cendikiawan, tetapi di dalam diam menghenyak segala yang boleh dihenyak serta segala yang boleh disunglap untuk kepentingannya sendiri, kini kau nobatkan berlebihan lagi sebagai tokoh yang didahulukan di mana-mana.

Walhal, tidakkah kau tahu, cacing yang seekor ini sebenarnya lebih licik  dari segala cacing yang ada, dengan segala lakon dan sandiwaranya itu.  Konon, dialah pembela, dialah pemuka yang bijak dan pintar bercakap mengenai segala benda dan perkara yang ada kaitan dengan jatuh dan bangun bangsamu.

Tetapi tahukah kau betapa dengan lakon dan puranya itu  jugalah nama dan hebatnya diri dia dijaja ke mana-mana. Seolah-olah tiadalah orang lain yang lebih bijak dan cerdik berbanding diri dia dan kerana itu, jika ada segala sesuatu, maka hanya diri dialah yang layak didahulu  serta dikedepankan. 

Kerana itu, kerana bodoh dan bahlolmu yang berlebihan itu, janganlah kau hendak jadi penyebok dan berlagak suci konon dirimu adalah wali.

Sudahlah. Janganlah kau menyebok.

Februari 16, 2011

Jumaat, Februari 11, 2011

AKU PEDULI APA


ALANGKAH bodoh dan sia-sia usaha dan perbuatan mereka. Orang sedang berlumba ke bulan dan meneroka dasar laut, mereka masih bertempik dan berteriak hanya kerana sebuah buku dan sebongkah kata yang semakin nipis maknanya bernama bahasa.

Bukan sekali atau dua kata kejian itu bergema, secara langsung atau bersimbol diucapkan. Dan pengucapnya pula, bukanlah siapa lagi kalau tidak mereka yang sekulit dan setanah lahir dengan bangsaku juga.

Aku tahu dan sedar semua itu. Ketika dunia semakin merajai benda dan kuasa,  bagi mereka, bercakap mengenai maruah dan bahasa sendiri, tidak lebih sekadar membuang tenaga dan waktu yang konon sepatutnya dipergunakan untuk benda dan perkara yang lebih mendatangkan laba dalam bentuk benda,  yang mudah dilihat dan dipegang oleh mata zahir dan kuasa yang boleh dipergunakan untuk terus membelit dan mengkuntau siapa sahaja yang boleh dibelit serta dikuntau.

Aku peduli apa. Walau kata pepatah sepuluh jong masuk, namun anjing tetap bercawat ekor juga. Apa hendak aku sedih hingga membawa alir air mata tanpa hentinya.

Nama menyebut dan berkata, tetaplah menyebut dan berkata juga. Kerana,  dengan sengaja membiarkan mata dan mulut menjadi buta dan bisu terhadap segala yang bermaharajalela di depan mata, samalah membiarkan diri mati sebelum waktu matinya yang sebenar.

Biarlah tiada siapa ingin mengacuhkan. Namun aku tetap akan berkata juga.

Peduli apa aku kalau masih tiada yang sedar dan peduli segala dan tega terus berjoget dan berjabat tangan mesra dengan para anjing yang menyamarkan diri sebagai sahabat dan pembela, walhal di belakang dan secara berselindung dialah antara pemuka penting menjadi dalangnya angkara.

Seperti juga seekor biawak yang kini sudah menunjukkan lidahnya yang sebenar itu. Dahulu begitu ditatang dan dilangir dengan segala air wangian. Tetapi kini, biawak itulah yang sudah berubah wajahnya menjadi seekor anjing yang galak menyalak dan tanpa sedikit pun  silu dan segan menghamburkan kencingnya ke wajah maruah mereka yang pernah dahulu menatang  dan melangir dia.

Memang bangsa yang bernama Melayu ini mudah lupa dan mudah terlalu memberikan segala, hanya kerana didodoi dengan mimpi dan igau. Pantang yang datang pandai berlakon dengan songkok dan kopiah, atau bersampin dan berbaju cekak musang, sanggup diserah segala yang disayang dan dimiliki konon sebagai tanda amat merai dan memberikan mesra.

Walau segala akhirnya terbukti juga bahawa tidak lain segala itu hanyalah pura untuk menjerat hati manusia yang bernama Melayu untuk memberikan percaya dan ikhlasnya.  Sehingga akhirnya, segala tergadai dan menjadi milik orang lain.

Biarkan andai masih mereka ingin terus menjadi leka dan alpa. Aku akan tetap berkata dan berbicara juga. Dan setitis air mataku akan tiada walau apa pun diperbuat oleh mereka yang  hanya sekejap diberikan kerusi bernama kuasa. 

Kerana aku tahu, bila tiba waktunya, akan kupergunakan juga apa yang kumiliki sebagai warga di tanah merdeka.

Jangan diperkira segala boleh terus dibiarkan menjadi kesewenangan dan setiap orang boleh terus diperbodohkan bagai seekor lembu.  

Hari ini, siapa sahaja, berlagak dan berlakonlah sebagai apa sahaja. Namun akhirnya, akan terserlah juga segala bukti yang benar.

Dan kalau masih kalian tidak mahu sedar dan masih tega berpelok mesra dengan para biawak dan anjing, berpeloklah, bermesralah dan teruslah serlahkan keserakahan dirimu walau kau lindungkan atas nama moral dan ilmu, kerana segala yang palsu akhirnya akan diketahui orang juga.

Atas nama adab, sopan dan segala yang sejenisnya,  marah dan hamunlah aku kerana segala kata dan perbuatanku.

Tetapi, aku peduli apa. Kerana aku tahu dan sedar segala yang  kalian atau kau lakonkan,  walau kerananya  maruah bangsa sendiri dikencing serta dinajisi, namun tetap kalian atau  kau teruskan juga tidak lain semata demi perut dan kepentingan sendiri.

Februari 11, 2011

Ahad, Februari 06, 2011

KAU DIAM, SUDAHLAH



KALAU tidak tahu hujung pangkal kisah dan perkara,  tidak payah kau hendak menyebok masuk campur. 

Aku hendak menjerit memekakkah,  aku hendak mencarut dan memakikah, apa sangat hendak kau ambil peduli. 

Ini urusan aku sendiri. Kau pergilah uruskan segala masalah  kau  dan tidak perlulah hendak menyebok  sangat  mengenai hal dan perkara  orang lain yang sama sekali  tidak bersangkut dan berkait dengan dirimu.

Macam aku kata tadilah. Kalau kau tidak faham dan tidak tahu apa hujung kisah dan perkaranya tidak payahlah kau hendak menyebok masuk campur. 

Bukankah kau itu orang yang kononnya suci bagaikan wali?  Jadi apa perlunya hendak kau ambil peduli segala benda dan perkara yang kau sendiri caci dan benci?

Pergilah kau bergebang,  berlabun dan bergabung sesama kaum yang sesama  bermahligai nun jauh tinggi di angkasa itu. Janganlah hendak kau ambil peduli  segala yang  diperbuat oleh insan lain yang kau tuduh kononnya tidak berhemah lagi berpekerti tinggi seperti diri kau yang berlagak suci bagaikan wali.

Kalau kau hendak diam dan berwirid sampai ke pagi, silakanlah. Kalau kau hendak mengangguk dan mengucap syukur sepanjang detik dan waktu, silakanlah. Tidak langusng hendak aku menegor serta melarang. 

Tetapi aku tidak akan terus menunduk, membisu dan diam semata-mata kerana mahu dianggap dan disanjung bagaikan wali ketika kepala maruah bangsa dan bahasaku dikencingi  oleh silahnat dari negeri di atas angin.

Tidak sedikit pun aku akan berasa perlu untuk mengambil tahu  serta menegor segala bodohmu. Ketika kau memilih untuk berpelok mesra dengan mereka yang sedemikian rupa.  Mereka yang dahulunya datang meminta belas dan kini setelah berasa kian gagah dan kukuh kaki berpijak, kembali menggigit dan menghamburkan kencingnya sesuka hati ke muka maruah bangsaku.

Biarlah kau terus berenang di lautan bodohmu dan janganlah kau hendak berkhotbah dan menyebok dengan segala fatwamu hendak mencaci serta mengeji aku.  Kalau memang itu pilihmu hendak berbaik dan bersahabat dengan mereka yang lakunya bagaikan anjing itu, silakan dan apa hendak aku peduli.

Seperti kukatakan tadi. Kalau kau tidak tahu dan faham punca dan pangkal segala benda serta perkara baiknya kau diam sahaja sudahlah.

Ya, baiknya,  kau diam sahaja. Sudahlah.

Februari 5, 2011

Khamis, Februari 03, 2011

MEMANGLAH KAU ANJING


KETIKA kau berkata ada anjing yang terus menyalak tidakkah kau sedar bahawa kau sebenarnya memang pun anjing.

Kerana begitulah sifat seekor anjing. Waktu dan ketika  sedang  lapar dan tersepit,  kau buatlah muka sedih dan merayu-rayu minta dikasihan. Ketika badan anjingmu dipenuhi panau dan kurap, kau datanglah merayu dan memohon belas agar tubuh kurap dan berpanau milikmu dibersih serta dilangir dari segala penyakit dan kotoran.

Tetapi apa selepas itu? Tentulah tidak perlu hendak diperpanjangkan cerita kerana segala dan semua sudah menjadi jelas dan nyata bagaimana kau punya angkara.

Kaulah punca segala salakan bermula. Segala kebaikan yang diberi kau balas dengan tuba dan mereka yang pernah menghulur tangan sahabat, kini bukan setakat kau gigit, tetapi kepalanya kau kencing dan lemparkan najis juga.

Memang demikianlah dasar kau anjing. Kau gigit tangan yang pernah membuka pagar rumahnya untuk kau masuk dan tumpang berteduh dari tempias hujan. Kau kencing kepala mereka yang menerima kau sebagai sahabat dan najis anjingmu kau lemparkan ke muka siapa yang pernah membersihkan kurap dan segala panau di tubuhmu.

Kalau kau katakan tidak faham atau mengerti memanglah aku tidak berasa aneh atau hairan. Kerana memang pun demikian sikap kau. Walau berkali sudah dijelas dan diberikan penerangan tetapi kerana  sombong dan angkuhmu manalah hendak kau membuat menjadi faham.

Ketika kecil dan belum faham kau datang dan buat muka baik konon hendak berkawan serta bersahabat. Tetapi sejak mula dahulu aku sudah  dapat agak siapa kau yang sebenarnya.

Sebab itulah sudah sejak dahulu di dalam pepatah lama bangsaku ada menyebutkan suatu kisah mengenai bagaimana sudahnya jika  melepaskan anjing yang tersepit. 

Dan anjing itu memanglah diri kau. Sebab dan kenapa aku katakan begitu?

Apa lagi jawapannnya kalau bukan kerana kau memangnnya anjing. Seekor anjing yang bertopengkan manusia. Dan janganlah kau lupa kalau kau katakan orang lain adalah anjing maka kau juga sebenarnya anjing. Anjing yang dengan sombongnya tidak pernah mahu sedikit pun mengenang kebaikan orang lain.

Memang kau sebenarnya anjing. Anjing yang tidak sahaja mencari fasal dan mencari gaduh tetapi lebih hina dan menghinakan ketimbang seekor anjing yang sebenarnya.

Kerana, anjing yang memang pun sejak azali memanglah dilahirkan sebagai seekor anjing tetaplah dengan laku anjingnya tanpa berselindung di sebalik topeng apa pun. Jika ingin menyalak, menyalaklah dia sebagai seekor anjing dan tidak sedikit pun berpura atau berselindung kerana sebab dan maksud yang lain.


Tetapi kau?   Betapa lebih hina dan menghinakan  melebihi sifat seekor anjing lagi, bila tanpa malu dan silu, kau pijak kepala orang lain konon atas nama kebenaran. Walhal jangan kau sangka orang tidak tahu maksud dan hasrat sebenar dirimu bahawa  segala yang kau kejar adalah tidak lain cita-cita hendak menjadi tokoh terpandang dan sanjungan. 

Kau katakan ada orang lain menyalak bagaikan anjing tetapi kau pura-pura lupa bahawa diri kau sendiri memang pun seekor anjing.

Dan aku? Janganlah kau kisahkan apakah anjing atau tidak. Sebabnya, kalau kau sebagai anjing boleh menyalak dan menggigit, aku pun boleh juga kembali menggigit diri anjing kau itu lebih dari segala salakan atau gigitan anjing kau.

Februari 3, 2011