Memaparkan catatan dengan label RALAT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label RALAT. Papar semua catatan

Sabtu, Mei 29, 2010

MARUAH

UNTUK apa dipertahankan sesuatu yang hanya sedap disebut tetapi tidak menjamin diri menjadi selesa, kaya dan makmur? Malah, kerana mempertahankan itu, yang jelas diri  bertambah menjadi miskin dan papa.

Hidup bukan hanya menelan angin dan buih. Hidup perlukan lebih dari itu.  Membina mahligai indah nun jauh di angkasa, bercuti dan berbelanja ke luar negara atau paling tidak  menyarung pakaian berjenama dan mahal ke batang tubuh.

Pemikiran jembel dan kelas kambing  mesti dikikis segera dari akal fikiran.  Pemimpin adalah yang memimpin dan bukan pengikut yang membuta tuli mengangguk. Garis pemisahnya mesti jelas.

Apa yang dapat ditawarkan oleh hanya kata indah bernama maruah? Kekayaan? Kesenangan hidup? Atau kepapakedanaan?

Tidak mengapa kalau tanah sudah digenggaman  dilepaskan ke tangan lain. Asal habuannya melabakan tembolok sendiri. 

Itulah tugas yang bernama pemimpin. Membuat pilihan memang sesuatu yang sulit dan sukar. 

Tidak mengapa melepaskan sebuah pulau. Apa lagi kalau hanya selonggok batu yang tidak bererti apa-apa.

Maruah? Memang mudah untuk menyebut. Tetapi siapa akan mencucui najis yang sudah terpalit ke muka sendiri? 

Mei 29, 2010

Jumaat, Julai 10, 2009

GEMBIRA, GEMBIRALAH

TIDAK mengapalah kalau mereka akan mengadakan pesta sambutan kerana kegembiraan mendengar pengumuman itu. Tetapi saya tidak. Saya tidak akan pun berasa gembira dan tidak pun punya niat untuk menyatakan kegembiraan itu walau dengan cara apa pun.

Bayangkan. Sesuatu yang dicanang dan dipaksa terima dalam sekelip mata terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk dinyatakan sebagai dihentikan. Tetapi itu pun memerlukan lagi dalih yang lain konon perlu memaksa lanjutan masa.

Jadi untuk satu lagi sandiwara licik itu, perlu dan mestikah saya bergumbira?

Sudahlah. Kalau kau fikir saya ini bodoh dan tidak tahu berfikir, terserah kaulah. Walau apa fikir kau mengenai saya, saya tetap punya sikap dan pendirian sendiri. Perbodohkanlah terus kalau kau rasa ingin dan perlu berbuat begitu.

Tetapi saya sudah terlalu mual dan bosan dengan segala sandiwara.

Dan bersendirian di sini, saya tidak habis dan sudahnya berfikir betapa hina dan sialnya menjadi bangsa bernama Melayu.

Kautahu kenapa saya katakan begitu?

Kerana bernama Melayulah maka segala yang menjadi milik saya selalu dikhianati dan dikencing najisi oleh bangsanya sendiri.

Bergembira. Bergembiralah mereka yang ingin berbuat demikian. Tidak kuasa dan memang pun bukan hak saya untuk menahan.

Tetapi saya akan tetap bersendirian di sini. Melihat, membaca dan mencatat segala laku dan perbuatan.

Ah, alangkah sialnya menjadi bangsa bernama Melayu. Ketika namamu semakin cuba dilupus dan disunglap menjadi angin. Semata-mata kerana kehendak dan syahwatkan kerusi.

Dan anak, cucu atau cicitku nanti, jangan salahkan aku kerana melawan hanya dengan membentak dan membenci di dalam bungkam dan tulisan.

Gembiralah. Gembiralah untuk sesuatu yang ingin kaugembirakan. Dan siapa peduli kalau kita terus dipermainkan bangsa sendiri.

Julai 10, 2009

Rabu, Jun 24, 2009

NASKHAH SAJAK DI MALAM PUISI UTUSAN 2009



Marsli N.O
SAJAK GELISAH MENJELANG PAGI

Akan kukatakan apa lagi kepadamu, aduhai kenang
yang selalu menderukan ingatan dari silamku yang tidak terhitung
segala ngeri igau dan keperitan
untuk kulepaskan satu persatu seperti membebaskan
tali temali di pelabuhan dan kekasih yang memilih berangkat
kurelakan bersama ke dalam kelam menjadi teman
ketika aku tetap bertatih dan ingin menjauhkan segala cemas
dan debar yang selalu bertalu mendebur
di pantai yang basah di bawah cahaya bulan?

Aku tahu tidak mungkin aku bermusuh dan membunuhmu lenyap
dari hati pendendam
tetapi siapa aku untuk juga berkata tidak
ketika kau kembali bertalu menghantar bayang demi bayang ?
Dan gelisah, dengan cemasnya menderaku bertalu-talu
ketika ingin kusebut lagi berkali-kali namamu, aduhai kekasihku.
Walau kini tidak kutahu sudah di mana engkau bersembunyi
Dan aku tidak sudahnya bertemankan sunyi .

Aku sedang gelisah
menanti pagi segera menjelma dan kuharap suria sudi berkongsi ceria
walau kutahu hari akan kembali menjadi medan pertempuran
dan dengan seru kita bersiap untuk menjadi pembunuh
atau dibunuh
oleh sepi dan gelisah sendiri
yang mendekam di dalam hati gelisah ini.

Disember 18, 2008


Nota:
Kirim kepada Nik Anura (Urusetia Baca Puisi Utusan 2009) via email nikanura@utusan.com.my pada Jun 10, 2009 dan dideklamasikan di Malam Puisi Utusan 2009, 12 Jun 2009 di Laman Beringin Istana Budaya, Kuala Lumpur.


Isnin, Jun 22, 2009

RALAT: MENGENAI PENYIARAN “MEMBACA SEJARAH”



ADALAH dimaklumkan sajak “Membaca Sejarah” yang disiarkan di ruangan sastera Mingguan Malaysia, 21 Jun 2009 telah saya emailkan kepada pegawai penyelenggara Malam Puisi Utusan 2009 dan dicadangkan akan dibacakan di majlis tersebut. Sajak itu telah disiarkan sebelumnya di dalam kumpulan sajak saya “Kepada Angin Juga” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009.

Walau bagaimanapun, pada malam acara saya membacakan sebuah sajak lain berjudul “Sajak Gelisah Menjelang Pagi”. Sajak ini saya emailkan kepada seorang pegawai penyelenggara Malam Puisi Utusan 2009 yang menelefon pengesahan kehadiran saya beberapa hari sebelum malam acara.

Kerana menyangkakan sajak terbaru itu berada di tangan penyelenggara ruangan puisi Mingguan Malaysia, saya mengaku sajak “Sajak Gelisah Menjelang Pagi” ini memang belum tersiar di mana-mana ketika dihubungi dan tidak menyangka sama sekali sajak itu sebenarnya tidak sampai ke meja penyelenggara puisi Mingguan Malaysia.

Oleh kerana sajak “Membaca Sejarah” telah pun dibukukan, saya dengan ini memohon maaf atas kekeliruan penyiarannya di Mingguan Malaysia, 21 Jun 2009 dan memohon agar sajak tersebut juga tidak dimasukkan ke dalam sebarang senarai puisi untuk penilaian HSKU.

Saya mohon maaf atas segala kekeliruan yang tidak disengajakan ini.

MARSLI N.O
Jun 21, 2009