Jumaat, Julai 10, 2009

GEMBIRA, GEMBIRALAH

TIDAK mengapalah kalau mereka akan mengadakan pesta sambutan kerana kegembiraan mendengar pengumuman itu. Tetapi saya tidak. Saya tidak akan pun berasa gembira dan tidak pun punya niat untuk menyatakan kegembiraan itu walau dengan cara apa pun.

Bayangkan. Sesuatu yang dicanang dan dipaksa terima dalam sekelip mata terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk dinyatakan sebagai dihentikan. Tetapi itu pun memerlukan lagi dalih yang lain konon perlu memaksa lanjutan masa.

Jadi untuk satu lagi sandiwara licik itu, perlu dan mestikah saya bergumbira?

Sudahlah. Kalau kau fikir saya ini bodoh dan tidak tahu berfikir, terserah kaulah. Walau apa fikir kau mengenai saya, saya tetap punya sikap dan pendirian sendiri. Perbodohkanlah terus kalau kau rasa ingin dan perlu berbuat begitu.

Tetapi saya sudah terlalu mual dan bosan dengan segala sandiwara.

Dan bersendirian di sini, saya tidak habis dan sudahnya berfikir betapa hina dan sialnya menjadi bangsa bernama Melayu.

Kautahu kenapa saya katakan begitu?

Kerana bernama Melayulah maka segala yang menjadi milik saya selalu dikhianati dan dikencing najisi oleh bangsanya sendiri.

Bergembira. Bergembiralah mereka yang ingin berbuat demikian. Tidak kuasa dan memang pun bukan hak saya untuk menahan.

Tetapi saya akan tetap bersendirian di sini. Melihat, membaca dan mencatat segala laku dan perbuatan.

Ah, alangkah sialnya menjadi bangsa bernama Melayu. Ketika namamu semakin cuba dilupus dan disunglap menjadi angin. Semata-mata kerana kehendak dan syahwatkan kerusi.

Dan anak, cucu atau cicitku nanti, jangan salahkan aku kerana melawan hanya dengan membentak dan membenci di dalam bungkam dan tulisan.

Gembiralah. Gembiralah untuk sesuatu yang ingin kaugembirakan. Dan siapa peduli kalau kita terus dipermainkan bangsa sendiri.

Julai 10, 2009

6 ulasan:

sahrunizam abdul talib berkata...

Benar Melayu tak habis-habis kena kencing. Bayangkan 5 bilion untuk perkasa BI dalam tempoh 5 tahun. Kanak-kanak sekolah rendah akan disogokkan dengan sastera Inggeris.
Untuk BM bukannya 5 bilion, 5 sen takda bunyi.

Lihat di sana. Ramainya bangsaku yang kena kencing.

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tn. Marsli,
Seperti yang saya jangka pastinya pandangan tuan agak berlainan tetapi punya makna yang bukan tersembunyi... Terima kasih atas entri yang boleh dikongsi untuk dibaca serta yang penting difikirkan bersama.

Zarif Hassan berkata...

Saya setuju dengan tuan. Gembira yang sementara itu apalah sifatnya. Semakin hari saya semakin mengerti dan tahu, begitu sukar menjadi Melayu.

sinaganaga berkata...

Lain kali jangan berpecah! Lain kali jangan lupa bawa garam! Lain kali bawa kamera yang kalis hujan ha ha!

Oh ya, lain kali... ya, masih ada lain kali, rasanya! :)

Haris Zalkapli berkata...

Konsensus media berbahasa Inggeris di dalam dan luar negara menjadikan rancangan menamatkan PPSMI sebagai sebahagian naratif gerakan etnonasionalis Melayu di Malaysia. Fokus juga diberikan kepada bahasa Melayu, sedangkan bahasa ibunda lain juga kembali digunakan. Perjuangan anti-PPSMI telah diletakkan dalam tajuk besar gerakan anti-Barat/bahasa Inggeris. Isu kelemahan bahasa Inggeris di negara kita tidak bermula dengan PPSMI ditamatkan, dan PPSMI bukan penyelesaian menaikkan kualiti penguasaan bahasa Inggeris, seperti implikasi diberikan konsensus pro-PPSMI.

ekspresi berkata...

salam tuan,
gembira atau lega bukanlah soalnya sangat sebab itu perasaan, yang sementara sifatnya. tentang PPSMI ini bukanlah perkara main-main. kesannya sangat mendalam, terutama yang cintakan bahasa dan bangsa ini. cuma bimbang juga apa agenda lain yang merasuk kepala-kepala yang di atas bukit sana.