Khamis, Julai 09, 2009

KALAULAH SAYA MERAJUK HARI ITU

ALAM persekolahan menengah saya secara rasminya tidak selesai sebagaimana wajarnya. Secara rasminya, saya meninggalkan bangku sekolah hanya selepas setahun berada di bangku sekolah menengah. Selepas itu, saya memilih untuk merantau dan mulai bekerja mencari rezeki sendiri.

Tentu sahaja saya tidak ingin mengatakan betapa sepenuhnya kerana kemiskinanlah yang menyebabkan saya meninggalkan bangku sekolah dalam usia yang sangat muda.

Malah kalau saya kenang-kenangkan kembali, kemiskinan memang pun bukan sebab sebenar saya tidak meneruskan persekolahan. Sebaliknya, ada sebab yang lain yang lebih mendorong saya meninggalkan kampung halaman dan merantau ke negeri orang untuk mencari sesuap rezeki.

Sebab lain ini lebih berupa rasa terguris dan terhina di dalam perasaan akibat “kurang kemampuan” dan kerana hidup cuma “menumpang” walau di kampung sendiri. Rasa sedih dan terhina inilah yang memaksa keluarga membawa diri dan saya akur mengikut sambil mengemam rasa pedih perasaan sendiri tatkala mengucapkan selamat tinggal kepada dunia sekolah yang rasmi dalam usia saya yang masih sangat muda.

Malah seringkali ketika mula-mula meninggalkan bangku sekolah, secara diam-diam dan bersembunyi saya menitiskan air mata bila setiap kali melihat teman-teman sebaya berseragam putih pergi dan pulang dari sekolah dan saya berasa amat terkilan kerana tidak dapat bersama atau menjadi seperti mereka sebagai seorang pelajar sekolah. Rasa sedih dan terkilan itu kadang-kadang sampai terbawa pula di dalam mimpi saya.

Namun kerana menyedari siapa dan bagaimana latar kewangan keluarga, saya tidak pernah mahu menyalahkan orang tua dan tidak ingin terus selamanya bersedih.

Saya memilih untuk bekerja dalam usia yang sangat muda tidak semata-mata kerana ingin mencari sumber kewangan untuk menghidupi diri dan membantu keluarga, tetapi jauh di sudut hati tersimpan hasrat agar satu waktu, dengan simpanan yang ditabung, saya boleh belajar sendiri dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Saya insaf dan sedar, tanpa memiliki sebarang sijil di peringkat menengah atau yang lebih tinggi, sulit untuk saya memohon sebarang pekerjaan di jabatan kerajaan atau syarikat swasta.

Keinsafan dan kesedaran inilah yang mendorong saya memaksa diri, tanpa memasuki mana-mana sekolah persendirian, belajar sendiri untuk mengambil peperiksaan secara persendirian.

Caranya, saya membeli buku, membuat nota dan membaca serta cuba menghafal apa yang saya fikirkan perlu di mana sahaja kesempatan dan waktu luang yang saya punya.

Ketika itu saya bekerja di sebuah kilang dan berulang-alik menaiki bas ke tempat kerja.

Ketika membaca dan menelaah nota di dalam bas, saya tahu banyak mata yang mengerling dan menjeling, malah ada yang bertanya apakah saya masih lagi bersekolah, namun saya menjawab hanya dengan senyum dan mengagahkan diri bersikap tidak tahu dan tidak peduli apa kerling dan jeling di sekeliling.

Selepas hampir setahun bergelumang dengan buku dan nota yang dibuat sendiri, saya akhirnya terbaca di akhbar iklan untuk pendaftaran peperiksaan calon persendirian.

Kerana berasa telah benar-benar bersedia dan tidak mahu menunggu lebih lama, pada suatu pagi yang redup, saya menaiki lift ke sebuah pejabat. Niat dan tujuan tidak lain untuk mendaftarkan diri sebagai salah seorang calon perperiksaan persendirian bagi tahun itu.

Saya bertanyakan seorang kerani yang bertugas di kaunter pejabat berkenaan dan menyatakan maksud kedatangan saya adalah untuk mendaftarkan diri sebagai calon perperiksaan secara persendirian.

Saya ditanya dahulunya bersekolah di mana oleh kerani tersebut dan tentu sahajalah jawab saya bahawa saya sudah tidak bersekolah. Kerani yang bertugas yang kelihatan berkerut air mukanya, meminta saya menunggu dan bergegas masuk ke bahagian dalam pejabat.

Sebentar kemudian, keluar seorang pegawai berkaca mata. Pegawai berkaca mata ini memanggil saya masuk ke dalam sebuah bilik dan menyuruh saya duduk.

Sebaik sahaja saya duduk, pegawai berkaca mata itu bersyarah panjang dan lebar di depan saya. Tetapi dari syarahan panjangnnya itu, tiada satu pun pentunjuk atau jalan yang diberikannya yang boleh membantu saya menyelesaikan masalah.

Apa yang jelas di pendengaran saya ketika itu tidak lain hanyalah leteran dan “kutukan” sahaja. Antara katanya, kenapa dahulu saya tidak mahu ke sekolah dan suka-suka hati hendak datang belajar dan tidak. Dan paling saya ingat dan kekal dalam ingatan saya sampai kini adalah katanya yang menyebutkan betapa peperiksaan bukanlah seperti bermain judi ekor yang boleh suka-suka hendak beli dan mengharapkan menang.

Memang darah muda saya berasa menggelegak ketika itu. Lebih-lebih lagi, ketika saya berjalan keluar meninggalkan pejabat itu, saya melihat kerani yang saya temui tadi melihat saya dengan pandangan seribu macam erti, pelik dan seperti mengejek.

Tetapi saya mengambil sikap tidak peduli. Saya katakan kepada diri sendiri betapa kalau pun saya merugikan duit, duit itu hasil titik peloh saya sendiri dan bukan kepunyaan emak atau bapak pegawai yang hanya tahu berleter itu.

Keluar dari pejabat itu dan ketika berjalan menuju ke perhentian bas, saya terpinga-pinga berfikir mahu dibagaimanakan untuk menyelesaikan masalah saya ini. Jenuh saya berfikir bagaimana. Perasaan saya berbaur antara rasa terhina kerana leteran dan tempelak pegawai berkaca mata di pejabat itu, rasa serabut dan gelisah.

Ketika dalam keadaan terpinga itulah saya terpandang pajangan sepanduk iklan untuk pendaftaran pelajar baru sebuah sekolah swasta di tepi pagar masuk ke kompleks pejabat itu. Di dalam hati saya bersorak gembira. Saya tahu inilah jalan selesainya: saya akan mendaftar ke sekolah swasta itu sebagai bukti saya pernah belajar di sebuah sekolah. Pada waktu sama juga, diri sendiri turut saya kutuk kerana tidak melihat sepanduk itu ketika datang di awal btadi pagi.

Menaiki bas, saya kesekolah swasta tersebut dan bertemu dengan pengetuanya. Kepada pengetua berbadan gempal itu saya ceritakan masalah saya dari awal hingga ke bab penghinaan itu.

Tanpa banyak komen dan soal tambahan, pengetua itu mengesyorkan saya hanya mendaftar menjadi pelajar di sekolah itu dengan sejumlah bayaran dan tidak perlu datang ke kelas setiap malam kalau tidak mampu atau kerana berada jauh dari sekolah.

Dengan surat perakuan pendaftaran swasta di tangan, saya kembali ke pejabat itu dan membayar yuran pendaftaran menduduki peperiksaan sebagai calon persendirian. Prosesnya tidak pun sampai dua puluh minit.

Walau pun di dalam hati tidak menyumpah seranah, namun saya tetap jua merungut. Kenapakah penyelesaian ini tidak disyorkan oleh pegawai berkaca mata itu kepada saya ketika di dalam bilik itu tadi pagi. Bukankah sebagai seorang pegawai di pejabat yang menguruskan peperiksaan dia sepatutnya membantu saya yang hendak mengambil peperiksaan dan bukannnya berleter dan menyindir-nyindir saya. Bukankah dia dibayar gaji dengan duit rakyat untuk tugasnya sebagai pegawai itu?

Bila tiba waktunya, peperiksaan itu saya duduki dan walaupun A yang saya perolehi melebihi 20, namun bagi saya yang hanya belajar, membuat nota dan membaca sendiri, saya kira wajarlah saya bersyukur kepada Allah.

Itu peristiwa di tahun 1970-an. Kurang lebih sudah 30 tahun berlalu. Hari ini, di Subuh bening ini, saya kembali merenung dan mengenang peristiwa ini. Saya dapat bayangkan bagaimana saya hari ini, kalau saya merajuk dan kecewa hari itu. Saya yakin, kalaulah saya merajuk hari itu, tentulah saya bukanlah saya yang hari ini.

Saya yakin itu. Dan kalau setiap kali terkenangkan itu, saya fikir penghinaan dan henyakan sebenarnya sudah saya terima dan alami sejak lama. Kerana itu, kalau hari ini saya terus dan masih menjadi pemarah dan suka melawan bila setiap kali berasa dihina atau terhina, saya kira saya mempunyai sebab untuk mewajarkan tindakan saya itu. Saya rasa, saya terus dan tetap melawan begitu tidak lain kerana sebab-sebab psikologi.

Saya fikir, kerana saya melawanlah maka saya ada. Tanpa melawan, saya fikir, saya pastilah sudah lama hanya menjadi angin.

Namun begitu, betapa pun tetap melawan dan menyimpan amarah di dalam diri, saya tidak akan semberono mendamprat kalau tidak kerana sesuatu sebab yang saya fikirkan wajar untuk saya bertindak dan kerana sesuatu yang sampai membuatkan sabar saya lerai.

Walau kehadiran saya pun bukanlah apa-apa dan mungkin juga di mata orang yang lain hanyalah begitu-begitu sahaja, namun setidaknya, saya tidak menyusahkan dan mengemis-ngemis dari orang lain. Apa lagi, saya pun tidak ingin mengharapkan apa-apa sanjung dan hormat orang lain kerana kehadiran saya. Bagi saya, saya hanya ingin tetap begini sahaja, seperti apa adanya diri saya dan ingin tetap menjadi diri saya sendiri.

Namun paling penting, walau kata hinaan dan ejekan pegawai berkaca mata itu masih tetap tidak lekang di dalam ingatan saya, saya bersyukur kerana Allah memberikan kekuatan kepada saya supaya bersabar dan melorongkan hati saya agar tidak merajuk hari itu.

Di Subuh bening ini saya fikir, saya tidak merajuk hari itu kerana saya sedar betapa apa-apa yang dibebelkan oleh pegawai berkaca mata itu sebenarnya menggambarkan kepada saya betapa kurang berakal dan berhemahnya pegawai berkaca mata itu dan saya berasa tiada apa perlunya saya mengacuhkan manusia sebegitu.

Walau kerana peristiwa itu saya memilih untuk melawan rasa kecewa dan kecil diri. Tetapi itu pun bukan kerana kata-kata pegawai berkaca mata itu.

Saya melawan dan berjuang hanya untuk diri saya sendiri. Dan itu tidak ada kena mengena dengan sesiapa. Apa lagi untuk dan kerana seorang pegawai yang bukan pun siapa-siapa di mata saya pada pagi peristiwa itu.

Saya syukur kerana saya tidak merajuk hari itu. Kalau saya merajuk, tentulah saya memperbodohkan diri sendiri dan menyerah kalah semata-mata kerana seorang pegawai yang berlagak dan tidak berhati perut pagi itu.

Itulah pengajaran yang saya petik dari peristiwa itu. Apa pun kecam dan hinaan dari bibir orang atau pihak lain, tidaklah terlalu perlu diambil peduli sehinggakan mengecewakan jiwa dan perasaan sendiri.

Hidup dan mati saya bukan kerana orang lain dan yang menentukan segala-galanya, pun bukan oleh seseorang atau sekelompok manusia.

Kerana itu, datanglah apa sahaja, saya tidak pernah cemas dan risau.

Julai 2, 2009

5 ulasan:

Wahyu Budiwa Rendra berkata...

salam bang marsli. entri ini memberi semangat; seharusnya menjadi inspirasi kepada pelajar. saya terkesan dan seakan merasakan situasi ketika membacanya.

Nur Fatiha Fadila berkata...

Assalamua'laikum Tuan,
Sekolah bukanlah satu-satunya institusi dan jalan untuk insan mengenal erti sebenar kehidupan tetapi pengalaman itulah sekolah terbaik dalam melakar peribadi dan pemikiran seseorang terhadap kehidupan yang dijalani.

Tahniah, kerana setiap kejayaan yang dihadapi dengan cara yang sukar tentunya lebih bermakna dan dihargai dan setiap palitan luka yang menguji perjalanan, menanti di hujungnya kemanisan yang tidak terungkap.

wallahu'alam

Rusdi Abd Rahman berkata...

Tuan Marsli,
1. Terkesan minda dan hati membaca entri pengalaman ini. Pengalaman penuh makna dan bermanfaat.
2. Menunggu entri @ tulisan tuan seterusnya tentang kemelut yang makin meributkan tentang pemansuhan PPSMI 2012 (kenapa tidak 2010?), pasti ada kelainan dalam pandangan tuan nanti. Percambahan idea dan minda mematangkan diri.

Melihat Kesunyataan berkata...

Assalammualaikum Marsli,
Saya beranggapan kekuatan saudara bukan kerana marah tetapi kecekalan.
Begitu juga dalam berkarya. Cekal dan tekal.

Unknown berkata...

Salam Silaturahim Marsli.
Tersentuh emosi saya membaca derita yang dilalui. Patut sekali anak remaja saya membaca pengalaman Tuan dan tahu susah payah orang lain. Semoga Allah SWT melimpah ruah rezekiNya kepada Tuan dan diberi banyak ilham untuk terus berkarya. Salam hormat jumpa lagi.