Sabtu, Disember 22, 2012

PUISI, TOLONGLAH


SIAPA sahaja berhak tulis puisi, baca puisi dan isytihar diri dia secara langsung atau tidak langsung sebagai penyair atau pembaca puisi. 

Tetapi, tolonglah. Janganlah peralatkan puisi dan jadikan dia seperti pelacur haram jadah yang boleh kau setubuhi sesuka hati demi untuk memuaskan nafsu menghina dan mengeji orang lain. Atau untuk kau bermegah-megah konon dirimu sudah jadi penyair dengan hanya menulis sebuah atau beberapa buah puisi dan membaca puisi yang macam haram jadah juga.

Aku kena cakap ini juga kerana aku sudah terlalu berasa mual, jemu, letih dan bosan melihat orang terus-terusan memperalat dan menjadikan puisi tidak ubah macam pelacur haram jadah yang boleh sesuka hati dirogol dan dikencani demi memuaskan nafsunya konon ingin sama bergelar penyair.

Tolonglah. Tidak salah kalau kau hendak tampil ke pentas membaca puisi. Tidak semestinya untuk tampil kau pun kena mesti menulis puisi juga kalau kau memang tidak boleh  menulis puisi yang baik. Tetapi pinjam dan bacalah mana-mana puisi yang sudah sedia ada dan yang sudah menjadi yang ditulis oleh mereka yang memang benar-benar hidup dan matinya menulis puisi.

Sekali lagi kataku, tolonglah dan janganlah bodohkan dirimu dengan hanya percaya dengan cakap dan segala pujian para pengampumu yang selalu memuji dan mengiyakan apa sahaja yang kautulis dan cakapkan, konon itulah puisi yang benar-benar puisi.

Tolonglah. Aku berasa kasihan juga melihat kau memperbodohkan dirimu sendiri dengan menulis dan membaca sesuatu yang kau katakan sebagai puisi tetapi hakikatnya hanyalah tahi.

Tolonglah. Tolonglah.

Disember 21, 2012

Rabu, Disember 19, 2012

GENG


KETIKA zaman muda-muda dahulu saya pernah bergeng.  Bila bersama bukan main rasa megah dan gagah. Seolah kalau di depan ada gajah seekor pun sanggup di rempuh begitu sahaja.

Itu bila bersama geng. Kalau sendirian lain pula perasaan. Rasanya menikus lebih daripada seekor tikus. Takut, gelisah, malu, segan dan tidak tentu arah berasa.

Kerana itu akhirnya saya mengajar diri untuk tidak berharap dan bergantung dengan geng. Hidup mati biar sendiri. Dan kalau ada yang bergeng menunjuk lagak  hendak bergaduh ketika itu, saya selalu mencabar mereka dengan berkata kalau benar dia anak jantan dan punya batu pelir marilah bergaduh satu lawan satu sampai salah seorang membaham tanah.

Memang pun tidak pernah terjadi pergaduhan sampai ke tahap itu. Kerana kebiasaannya, mereka yang bergeng ini pengecutnya mengalahkan beruang yang tidak punya alat kemaluan.

Ketika saya semakin menjadi tua, saya melihat di dalam sastera dan seni pun perangai dan budaya bergeng ini wujud juga.

Ke mana-mana mesti dengan geng, bercakap hanya sesama geng, makan dan minum hanya sesama geng,  bergelak ketawa bersama geng dan berjalan pun hanya dalam kelompok sesame geng.

Itu mereka punya sukalah.  Hendak bergeng atau tidak siapa patut larang.

Yang menentukan sebuah karya sastera atau hasil seni yang dihasilkan seseorang itu bagus atau tidak, bukanlah kerana dia bergeng atau tidak. Atau kerana dia tampil ke pentas dengan geng-gengnya. Itu langsung tiada kena mengena.

Malah kalau hendak tengok dan tahu sejauh mana hebat dia sebagai seorang individu seniman, letaklah dia sendirian, tengok apa hasilnya.

Kalau setakat berasa hebat hanya semata-mata kerana datang atau tampil secara bergeng, buat apa.

Apa lagi kalau berseorang tanpa geng dia berubah menjadi  seekor tikus mondok yang hanya duduk diam di sudut-sudut dan tidak berani atau mahu bertegor sapa dengan orang lain yang bukan gengnya.

Memang hampaslah jawabnya.

Disember 19, 2012

Sabtu, Disember 08, 2012

SUMBANGAN BUAT SAHABAT

ANAK  sulung Jimadie Shah Othman, Adam Azfar, 6 tahun, mengidap ketumbuhan di bahagian otak (tengah) sepanjang 2.5 cm atau Pontine Glioma dan sudah menjalani 13 kali rawatan radioterapi. Sumbangan untuk anak sahabat kita ini, boleh disalurkan langsung melalui akaun Jimadie Shah bernombor 164717019142 (Maybank).

Selasa, Disember 04, 2012

KISAH SECEBIS DARIPADA HAYAT SEORANG ANONIM


Judul:       MERANGKAI KISAH, MERENDA KATA           
Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia
Harga:      RM 20.00

Kiriman naskhah ikhlasnya telah saya terima petang Disember 3, 2012  daripada ITBM. Terima kasih atas kiriman dan penerbitannya. Buat semua di ITBM, daripada yang paling atas hingga yang paling bawah saya berasa sangat berhutang budi dengan kalian. Juga teman-teman di PENA, saya juga mengucapkan jutaan terima kasih. Tanpa bantuan kalian meluangkan jalan penerbitannya dalam bentuk buku yang lebih bermaruah, apalah ertinya karya demi karya yang telah saya tulis dan hanya disimpan di dalam almari.

”Tahniah sahabat atas penerbitan terbaharu ini. Tahun 2012 merupakan tahun yang paling banyak buku sdr diterbitkan . Kalau tak silap ini yang ke-3. Sangat layak untuk SEA Write Award dengan pengalaman menulis yang panjang, sentiasa konsisten dan tak kenal lelah dan bilangan buku yang banyak yang telahpun diterbitkan”. Begitu kata penyair Pahang Sahrunizam Abdul Talib dalam reaksinya di wall FB saya.

Saya juga tidak melupakan untuk kembali mengucapkan terima kasih kepada semua yang mencatat ucapan dan like mereka di wall FB saya. Juga untuk ucapan tahniah dan sambutan daripada Sri Diah Shaharuddin dan Shapiai Mohd Ramly. Terutama juga ucapan yang berikut.

Siti Zaleha M Hashim:   
Setinggi-tinggi tahniah sdr. Marsli NO, saya juga amat gembira dengan kehadiran buku ini dalam dunia sastera. Wajah bukunya unik, spt penulisnya juga unik!

Namun terus terang sahaja. Semakin saya berasa ke hujung hayat semakin saya berfikir dan merasa. Yang saya takut dan khuatirkan kalau saya semakin tanpa sedar menjadi sombong dan bongkak dalam menulis dan berkata-kata dan kerana itu menganggap segala yang saya tulis dan katakan adalah sesuatu yang sangat-sangat bernilai buat orang lain yang membaca, sedangkan pada hakikatnya, saya hanya sekadar syok sendiri dan semua itu tidak memberikan sebarang faedah kepada orang lain.

Apakah yang saya tulis dan terbitkan atau siarkan,  memang memberikan manfaat buat sesiapa yang membaca? Sungguh saya takut andai hanya menulis semata-mata untuk seronok sendiri. Sungguh.

Untuk dan kerana itu jugalah, saya ingin kembali ke dalam diri sendiri. Lebih jauh merenung dan membaca segala kebodohan diri sendiri.

Semoga walau pun sedikit, segala yang saya tulis dan katakan tetap juga memberikan sedikit manfaat kepada pembaca dan orang lain. Semoga.

Disember 4, 2012

Ahad, Disember 02, 2012

KETIKA GAZA: PENYAIR MEMBANTAH


MEMAKLUMKAN.  Antologi KETIKA GAZA PENYAIR MEMBANTAH memuatkan puisi hasil cipta Adi Wahab, Abd Razak Rezeki Othman, Azridah PS Abadi, Darma Mohamad, Fadhel Jaffrey, Gopa,Hasyuda Abadi, Ilhami Hisham, Ja'afar Haji Hamdan, Kamarulzaman Ismail, Kathirina Tati, Lim Kim Hui, M.A. Nast, Moh. Ghufron Cholid, Musa Masran, Norjannah MA, Nilamsuri, Norhayati Ab.Rahman, Noor Aisya Buang, Phaosan Jehwae, R. Hamzah Dua, Ridzuan Harun, Rosnani Ahmad, Rosmiaty Shaari, Saedon Ibrahim, Sahrunizam Abdul Talib, Shapiai Muhammad Ramly, Wan Asyeah Wan Nawang, Wan Ahmad Ismail, Yusuf Fansuri dan Zurina Shafie kini sudah memasuki proses percetakan. Penyumbang yang disenaraikan dimuat kesemua puisi kiriman mereka. Kiriman naskhahnya akan menyusul selewatnya awal Januari 2013. 

Para sahabat, rakan dan teman FB: saya sangat menghargai semangat solidaritas kalian. Kita memang wajar berkata mengikut cara kita. Tanpa perlu meremehkan sesiapa. Terima kasih atas sambutan kalian. 

Semoga.

Sekian dimaklumkan.


Disember 1, 2012