Rabu, Disember 19, 2012
GENG
KETIKA zaman muda-muda dahulu saya pernah bergeng. Bila bersama bukan main rasa megah dan gagah.
Seolah kalau di depan ada gajah seekor pun sanggup di rempuh begitu sahaja.
Itu bila bersama geng. Kalau sendirian lain pula perasaan.
Rasanya menikus lebih daripada seekor tikus. Takut, gelisah, malu, segan dan tidak tentu arah berasa.
Kerana itu akhirnya saya mengajar diri untuk tidak berharap
dan bergantung dengan geng. Hidup mati biar sendiri. Dan kalau ada yang bergeng
menunjuk lagak hendak bergaduh ketika itu, saya
selalu mencabar mereka dengan berkata kalau benar dia anak jantan dan punya
batu pelir marilah bergaduh satu lawan satu sampai salah seorang membaham
tanah.
Memang pun tidak pernah terjadi pergaduhan sampai ke tahap
itu. Kerana kebiasaannya, mereka yang bergeng ini pengecutnya mengalahkan
beruang yang tidak punya alat kemaluan.
Ketika saya semakin menjadi tua, saya melihat di dalam
sastera dan seni pun perangai dan budaya bergeng ini wujud juga.
Ke mana-mana mesti dengan geng, bercakap hanya sesama geng,
makan dan minum hanya sesama geng, bergelak
ketawa bersama geng dan berjalan pun hanya dalam kelompok sesame geng.
Itu mereka punya sukalah. Hendak bergeng atau tidak siapa patut larang.
Yang menentukan sebuah karya sastera atau hasil seni yang
dihasilkan seseorang itu bagus atau tidak, bukanlah kerana dia bergeng atau
tidak. Atau kerana dia tampil ke pentas dengan geng-gengnya. Itu langsung tiada
kena mengena.
Malah kalau hendak tengok dan tahu sejauh mana hebat dia
sebagai seorang individu seniman, letaklah dia sendirian, tengok apa hasilnya.
Kalau setakat berasa hebat hanya semata-mata kerana datang atau
tampil secara bergeng, buat apa.
Apa lagi kalau berseorang tanpa geng dia berubah
menjadi seekor tikus mondok yang hanya
duduk diam di sudut-sudut dan tidak berani atau mahu bertegor sapa dengan orang
lain yang bukan gengnya.
Memang hampaslah jawabnya.
Disember 19, 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan