Rabu, Julai 27, 2011

NILAI


8.30 PAGI: KERANA tergesa  hendak melepaskan hajat lantaran desakan angin dan gas yang ditahan di dalam perut sejak selepas Subuh kian melonjak hingga menyenakkan pinggang, saya yang berhenti di tepi sebelah kiri jalan, sambil memberikan signal untuk ke kanan,   menjadi agak gopoh memutar stering menyeberangi jalan ke lorong seberang. Walau telah  berkali-kali menoleh dan melihat ke belakang serta meyakini sudah tiada sebarang kenderaan,  tetapi entah dari mana dan waktu bila, sebaik sahaja membelok sebuah Honda EX5 muncul di belakang dan merempuh dinding sebelah kanan kereta saya

Motornya tercampak ke tengah jalan dan saya melepasi seberang. Rasa senak dan sakit di pinggang hilang lenyap entah ke mana. Pemuda yang memandu motor melompat ke tepi jalan, juga di sebelah kanan. Saya mendengar dia memaki dan menjerit. Katanya sudah melihat saya memberi signal yang teragak-agak  hendak melintas.

Dalam hati saya berasa sebal dan merungut sendiri: kalau kau nampak aku memang sudah berikan signal sejak kau daripada jauh, kenapa kau rempuh juga kereta aku! 

Tetapi rungut itu saya simpan di dalam hati.  Saya tahu saya mungkin bersalah dan saya memang tidak ingin berlakunya kemalangan. Tetapi sudah berlaku, kalau saya bertempik marah pun tiada berguna lagi.  Melihat dia menjerit dan bertempik saya tergerak untuk langsung ke balai polis membuat laporan kemalangan. Apa lagi melihat kerumunan manusia dan seorang lelaki yang menghampiri berbisik agar saya segera ke balai membuat laporan untuk mengelak dipukul.  

Tetapi hati kecil saya melarang dan minta saya bersabar sebagai manusia. Walau masih terkilan kenapa dia meredah juga walau saya sudah memberi signal hendak ke kanan dan dia boleh membelok ke sebelah kiri, saya tetap meminta maaf dan menawarkan untuk menghantar dia ke hospital.

Saya tidak menyalahkan dia kalau bersikap galak dan bersuara kasar bercampur  kurang ajar. Dalam keadaan berasa dirinya betul dan berada di pihak benar,  orang mudah menjadi emosional dan mahu menyalahkan orang lain. Apa lagi ditambah rasa sakit di waktu yang sama.

Saya mengucapkan syukur di dalam hati. Hanya dinding dan dua pintu sebelah kanan  kemek.  Dua anak dan isteri saya tidak cedera apa-apa. Pintu di bahagian pemandu masih boleh ditutup dan buka. Dan pemuda itu saya lihat berdiri dan bergerak ke sana ke mari sambil menelefon.  Juga beberapa orang tolong mengangkat motor  yang terbongkang di tengah jalan ke tepi.
 
Dengan suara kasar pemuda itu menyuruh saya membayar kerosakan motornya. Dengan gaya samseng dan memaksa, walau sudah jelas ada peruntukan undang-undangnya, dia meminta ratusan wang tunai. Tertekan oleh desakannya, tanpa malu saya menjawab di depan orang ramai saya hanya membawa RM 80 untuk membeli minyak menghantar anak saya ke sekolahnya di Kuala Terengganu. Tetapi kata saya, kalau dia mahu juga,  pulang nanti saya akan gadaikan apa sahaja yang saya ada untuk membayar dia!

Mujur kejadian itu berlaku di depan sebuah bengkel membaiki motor dan mendengar keriuhan di depan bengkel pemiliknya datang menjengah. Pemilik bengkel itu menyedapkan hati saya bila memberitahu kerosakannya tidak parah dan boleh diperbaiki dengan kos yang tidak tinggi kerana hanya bahagian depan sahaja yang bengkok dan bukan pun enjinnya yang pecah atau remok.

Tetapi sekali lagi saya mendengar sergahan dan pemuda itu menuntut mahukan semua yang original untuk motornya.

Tidak mahu bertekak dan melayan pergaduhan sia-sia, saya katakan saya akan membayar kesalahan saya, walau saya tahu ini urusan tuntutan insuran  dan memberitahu akan ke balai polis membuat laporan kemalangan. Saya mencatat alamat tempat kerja dan nombor telefon milik saya untuk pemuda itu, juga mencatat butiran maklumat dan alamat mengenai pemuda itu untuk rujukan saya.  Untuk rujukan hubungan dan bayaran, saya juga mencatat nombor telefon pemilik bengkel.

Ketika memandu ke balai polis, isteri saya memberitahu seorang pakcik menasihati sejak awal tadi supaya saya segera ke balai polis membuat laporan kerana khuatir saya dipukul oleh orang ramai atau kawan-kawan pemuda itu. Saya menahan nafas marah dan sesal. Tidak sempat bertanya dan mengambil alamat lelaki budiman itu.

Saya membuat laporan dan  hairannya, walau sudah  saya katakan akan membayar, pemuda itu juga datang membuat laporan.

Di depan pegawai polis yang mengambil laporan, saya tanyakan kepada pemuda itu kenapa dia masih juga meredah walau nampak saya memang sudah memberi signal hendak ke kanan.

Malangnya dia membuka tembelang dirinya yang sebenar,  atau dia menyangka saya memang pengecut yang takutkan sergahannya kerana sejak dari awal tadi saya tidak banyak membantah segala sergah dan tuntutan dia. Tanpa silu di depan pegawai polis disebutnya dia ingin menendang saya dan memberi amaran jangan cuba hendak mengencingi dia sebab dia pernah kena tipu dalam kes kemalangan begini. Malah dengan bongkaknya dia mengaku dia pun kaki motor juga.

Mujur sikap baiknya itu ditegor oleh pegawai polis yang bertugas dan saya berkali-kali menghulur tangan untuk bersalam.

Di luar balai polis, saya meminta maaf dan memohon agar dia tidak memarahi saya kerana saya pun tidak inginkan semua ini. Malangnya pemuda yang saya lihat sihat dan segar ini sekali lagi menyebut bahawa dia berasa geram dan ingin memukul saya kerana banyak bercakap.  Tetapi saya tidak mahu bergaduh, walau di dalam hati mulai berasa berdesing melihat angkuhnya pemuda yang sihat dan siaga ini. Saya tinggalkan pemuda itu dengan kawan atau entah siapa yang berada di dalam kereta yang menghantarnya ke balai itu.


Sungguh saya berasa mata tertekan.  Di mana hendak dicari duit ratusan ringgit ketika ini. Untuk kepastian harga, saya menelefon pemilik bengkel dan meminta harga bagi kos pembaikan motor tersebut. Tetapi katanya dia tidak berani membaiki kerana tidak pasti siapa yang akan membayar. Ketika itu, isteri saya memberitahu di tangannya ada wang untuk belanja dapor sebanyak RM 400 dan gunakanlah untuk membayar. Lantas saya telefon pemilik bengkel memberitahu nanti akan datang membayar,

Pegawai trafik  yang datang mengambil foto kerosakan kenderaan saya dan pemuda tersebut berlalu segera sebaik sahaja pegawai trafik tersebut muncul. 

Pegawai trafik ini mengeluarkan sekeping surat putih dan saya menerima dengan rela  sekeping   saman berharga RM 300.   Saya tahu saya bersalah. Saya pasrah. Punca sebagai sabitan kejadian hanyalah kerana ingin  melepaskan hajat yang menyeksa perut dan meyakitkan pinggang di sebuah tandas di surau di seberang jalan. Kata orang tua-tua hanyalah sabitan atau penyebab.

Tiada yang hendak saya marah dan sesalkan. Segala kejadian sudah ada ketentuan serta peringatannya. Saya diam-diam menghitung segala dosa dan kesalahan diri yang cuba diperingatkan kepada saya.  Tidak melibatkan kemalangan jiwa di pihak mana, saya mengucapkan jutaan syukur kepada Tuhan.

Pegawai trafik tersebut menasihati saya. Katanya saya tidak perlu membuat bayaran apa-apa kepada pihak berkenaan kerana ini sudah merupakan soal tuntutan insuran. 

Saya memberitahu pegawai trafik yang peramah ini betapa ketika di lokasi kejadian, saya disergah agar  membayar kerosakan dan akan dicari kalau tidak menunaikannya. Kata pegawai trafik tersebut, kalau itu berlaku dan sampai ke tahap ugutan,  saya boleh menggunakan prosedur dan saluran yang sedia ada untuk membuat laporan yang lain. Jangan risau, negara kita ada undang-undang, nasihatnya.

Selepas seketika mengambil angin untuk bertenang dan mencuci muka, saya memandu perlahan dan hati-hati kereta yang sudah  kemek dinding dan pintunya itu kembali ke tempat kejadian. Pemuda itu barangkali menyangka saya hendak menipu dia. Telefon saya dideringi panggilannya walhal saya sudah pun berada hanya 20 meter dari tempat kejadian.

Saya memparkir kereta jauh di pingngir jalan dan melintas ke seberang. Tujuanya ke bengkel motor itu untuk membayar wang kos pembaikan yang saya janjikan dengan pemilik bengkelnya.  Di tepi jalan di depan bengkel itu, saya melihat pemuda itu yang berdiri di sebelah sebuah kenderaan, yang saya kira dia menumpangi kenderaan kawan atau saudara maranya, menunggu saya.

Saya beritahu oleh kerana sudah  berjanji sekarang saya datang untuk membayarnya. Tetapi, mungkin kerana menyangka saya memang pengecut dan boleh didesak-desak terus, tanpa segan dan malu, pemuda itu  bertanya apakah tiada wang untuk duit ubat dirinya.

Sabar saya sudah tidak dapat ditahan lagi. Telinga saya berdesing. Marah saya menyinga. Dengan suara tinggi, saya menuding telunjuk ke muka sendiri. "Kau minta duit ubat? Kau hendak pau aku? Kau lihat muka aku ini! Kau lihat kereta aku yang rabak itu!  Kau lihat anak dan bini aku kat dalam kereta yang belum tentu boleh sampai atau tidak ke Kuala Terengganu itu. Kau tengok!" saya menjerit selantang suara. Berasa amat  benci dan mual dengan perangai kurang ajar pemuda yang saya ajak berbaik dan berbincang elok ini, tetapi dibalas dengan kurang ajar dan melampau sikap.

Bertambah rasa marah dan benci saya bila saya melihat tiada calar, luka atau terguris pun kulit dia, tetapi tanpa malu meminta duit ubat daripada saya! Apa dia ingat saya taukeh balak atau pemilik kilang Lynas!

Rupanya jeritan saya itu bagaikan mengejutkan dia daripada igau keangkuhannya. Tahu pun dia kecut. Saya lihat air mukanya berubah kelat. 

"Kau tahu tidak apa polis tu ajar aku. Tetapi aku tidak mahu ikut sebab dah janji dengan kau. Sebab aku tak mahu jadi penipu dan pembohong! Kau jangan hendak pau aku pulak!" saya mematikan cakap dan pemuda itu tergesa masuk ke tempat duduk bahagian belakang kenderaan yang ditumpanginya dan menutup pintu.

Saya membayar RM 400 kepada pemilik bengkel dan dia berjanji akan menyiapkan motor itu sebelum petang. Dia mengaku mahu menasihati saya mengenai bayaran itu ketika menghampiri saya tadi, tetapi tidak berpeluang kerana banyak mata yang memandang.  Kepada pemilik bengkel yang baik itu, saya katakan tidak mengapalah dan nasihat itu pun memang sudah saya terima ketika di balai polis tadi. Kepada pemilik bengkel  yang baik dan berbudi ini, saya mengucapkan terima kasih atas segala kebaikan dan pertolongannya.

Saya memasuki bandar Kuala Terengganu kurang lebih jam 12.30 tengah hari. Saya singgah di sebuah kedai serbaneka membeli masking tape untuk menutup renggangan pintu kanan  di bahagian belakang.  Harap-harap hujan tidak turun di bandar Kuala Terengganu petang ini, harap saya.

Ketika  itulah, saya menerima panggilan daripada pemuda yang amat baik dan sopan itu. Dia meminta maaf kerana telah bercakap kasar dengan saya.  Saya menjawab dengan mengatakan  tidak apa-apa dan lupakanlah semua yang sudah terjadi.

Kemudiannya, ketika berhenti membeli oleh-oleh di Pasar Kedai Payang, pemilik bengkel menelefon. Katanya, motor milik pemuda yang baik dan amat bersopan itu telah siap dibaiki dan dari RM 400 ada lebihan RM 18.  Saya katakan, anggaplah lebihan wang sekecil itu sebagai belanja minum teh saya kepada beliau. Dan saya kagum dengan kepantasan kerjanya: tidak sampai empat jam sudah siap dibaiki!

Tanpa bertangguh, saya menelefon pemilik motor. Saya beritahu motornya sudah siap dan pergilah mengambilnya.

Kami sekeluarga  selamat  tiba ke sekolah anak saya  kurang lebih jam 1.30 petang. Saya bersyukur segalanya dilindungkanNya.

Saya tidak mahu menyalahkan apa-apa. Banyak yang saya pelajari dari kejadian ini. Lain kali, hendak berhenti solatkah, buang airkah atau hendak membeli apa-apakah, saya tidak akan membuat sebarang lencongan ke seberang. Biarlah kenderaan diparkir jauh ke pinggir jalan atau mencari masjid, kedai atau  tandas di tepi laluan yang sedang dilalui. 

Keduanya, andai berlaku lagi sebarang kemalangan selepas ini, saya tidak akan menunggu  di tempat kejadian, sebaliknya  akan terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan kemalangan. Di balai inilah saya akan menunggu untuk apa-apa perbincangan dengan yang berkenaan dan perbincangan ini biarlah di hadapan pegawai polis.

Terakhirnya, selepas ini saya tidak akan berlembut lagi dengan sesiapa yang cuba hendak memeras dan memaksa saya membuat apa-apa bayaran. Peruntukannya sudah jelas. Saya disaman RM 300 ratus kerana kesalahan sendiri dan apa-apa tuntutan sebenarnya boleh dituntut terhadap insuran yang memang pun sudah saya beli sebagai perlindungan dengan nilai RM1000 lebih  setiap tahun.

Kadang-kadang bila kita mengalah, sebahagian orang yang tamak dan kurang bermaruah fikir kita boleh dia peras dan ugut! 

Tiada siapa mahukan kemalangan. Apa yang berlaku boleh diperbincangan dengan elok dan atas nama manusia sesama Islam. Tidak perlu menjerit dan menyergah saya yang sudah berusia lebih setengah abad. 

Saya sendiri berfikir, kalau tidak bersikap sombong dan angkuh, konon atas nama laluan jalannya, buat apa diredah juga walhal sudah dilihat saya daripada jauh memberi signal hampir lima minit di tepi jalan untuk membelok ke kanan?  Tidak bolehkah dia mengalah dan melunturkan sombongnya dengan membelok sedikit ke sebelah  kiri memberikan  saya laluan ke kanan?

Saya tidak berniat menyalahkan. Apa yang berlaku sudah pun berlaku dan saya sudah membayar sebahagian daripada kesalahan itu di atas dunia, sementara yang di dalam akhirat saya belum tahu.

Saya menghitung salah dan dosa sendiri dan ada yang penting saya pelajari hari ini, kerana sikap pongah dan sergahnya yang melampau:  Saya melihat dan menemukan nilai seorang pemuda yang bergelar manusia, hanya dengan kadar  RM 400!

Julai 27, 2011

Jumaat, Julai 22, 2011

PILIHAN


SUDAH pun terlalu jelas. Jadi perlu apa penjelasan?

Setiap kita memilih dan  ingin hidup di dalam kotak kebongkakkannya sendiri, yang disembunyikan dengan dalih-dalih seperti adab, kesopanan, ilmu dan kebenaran.

Tentulah bodoh yang amat meratapi kepuraan dan kemunafikan manusia. Terutama terhadap perilaku mereka yang kita pilih dengan kepercayaan dan  untuk barang seketika meminjam sebuah kerusi bernama kuasa.

Pihak dahulu yang dicaci hina ketika berkuasa, esok atau lusa andai puak kau pula yang berkuasa akan demikian jugalah laku dan perangainya. Malah bertambahlah hebat dan kelihatan bijaknya, andai oknum yang dahulu dihormati kini tega kau tohmah dan pergunjing dengan pelbagai.

Ah, tidak apa-apa. Hidup hanya sekali demikian juga mati. Simpanlah sebal di dalam hati dan pilihlah jalan hidup sendiri-sendiri.

Kerana, pejuang yang berkoar atas nama moral, idealisme dan kepercayaan, pun bisa ditewas serta dibeli dengan ganjaran benda. Atau membina empayar baru yang lebih dan indah dan selesa.  

Jangan jadi si baghal yang kecewa, yang hanya tahu berkata dan menuding.

Bangkitlah bersama merebut segala ruang yang ada dan khabarkan kepada dunia betapa hebat dan bijaknya diri dalam segala perbuatan dan angkara. Sementara yang lain si bodoh dan lembu yang tidak mengerti apa-apa.

Jangan dikesal yang berhujah dengan dalih agama, sombong dan bongkaknya melebihi si baghal yang sedikit pun tidak pandai menyebut ayat dan surah.

Pilihlah dengan percaya dan untuk apa menjadi si bodoh yang memilih derita, ketika ruang dan peluang ternganga di depan mata.

Walau untuknya memijak kepala sesiapa sahaja yang bodoh dan leka atau menyembunyikan kencing di dalam botol pura-pura.

Sampai bila?

Julai 22, 2011

Selasa, Julai 19, 2011

SUKA HATI AKULAH


TIDAK faham atau sengaja buat-buat tidak faham.

Sudah jelas di tepi blog aku itu aku tulis.

Pengisytiharan
ENTRI di dalam blog ini ditujukan khusus kepada pembaca yang hanya bersetuju dengan cara penulisan serta pemikiran MARSLI N.O. Pengunjung yang tidak bersetuju tidak perlu membuang waktunya di sini atau menulis dan meninggalkan sebarang komen.

Tetapi seperti selalu manusia yang dengan sengaja buat-buat tidak faham,  menyebokkan dirinya menulis perkara-perkara yang diselindungkan konon atas nama “perbincangan ilmu dan adab”.

Peduli apa. Ini blog aku. Suka hati akulah aku hendak tulis apa pun. Kalau tidak mahu baca dan tidak suka, kenapa bersusah payah hendak datang menjenguk dan menyebok?

Sudahlah. Kau uruskanlah masalah diri dan jiwa kau sendiri yang tidak sudah-sudahnya ditimpa sindrom kekurangan kasih sayang itu.

Janganlah bertopengkan agama dan ilmu untuk menghina dan mengutuk orang yang kau tidak suka dan tidak bersetuju pendapatnya.

Masing-masing  berhak punya pendapat dan pilihan. Suka hati akulah.

Julai 19, 2011
 

Sabtu, Julai 16, 2011

MARSLI N.O

Apakah Kau Sudah Mendengar

Apakah kau sudah mendengar
Gerak dan suara membara
Hanya meminta dan meminta
Tetapi kau anggap ada agenda

Walau bergerak
Tapi kami tidak bertindak
Kerana kami tahu batas kehendak
Kepadamu tempat hasrat meletak

Walau suara kami seperti meledak
Tetapi kami tetap menjaga jarak
Di antara ganas dan biadap
Dan tidak ingin menjadi bidak

Apakah kau sudah mendengar
Kami menyata pinta dan harap
Tetapi kenapa kami didesak
Dengan air dan pemedih asap
Dan kau tetap memilih pekak?

Mac 7, 2009

Jumaat, Julai 15, 2011

BENARKAH KAU SUDI MENDENGAR?


APA yang disebut dan dipinta, tidak terlalu sulit untuk difaham serta dimengerti, rasanya. Namun, melihat bagaimana reaksi dan balasan tindak, tidak percaya rasanya kau telah memilih untuk barang sekejap menyediakan hati dan telinga untuk mendengar.

Terlalu sulitkah untuk dimengerti apa yang disebut serta telah dinyatakan, sehingga demikian sekali langkah serta tindakan.

Jangan salahkan saya andai rasa percaya ini kian menirus dan sebal kian menebal.

Saya tidak meminta yang berlebihan.  

Tetapi, bagaimanakah pula, tuan?

Julai 15, 2011

Jumaat, Julai 08, 2011

PENGGENGGAM BARA


Segala yang dia percaya
dibuktikan dengan tindak

kerana tidak ingin
menjadi bidak
mengakur segala kehendak

dia bukan penjilat
kerana hasrat
atau berkelit
kerana hati bejat

atas nama benar dan hakiki
dia berdiri

walau menggenggam
bara berapi

dia adalah lelaki berani

Julai 8, 2011

Khamis, Julai 07, 2011

MENGENANG: LELAKI BARA


Dia lelaki
bergelora dalam diamnya
menyimpan bara
dengan kata

tidak mengalah kepada usia

kerana percaya dan yakinnya
menyayangi bangsa
dia sanggup meredah lara

mengasap dupa
tegar jiwa

walau berjuta
keji dan cela
pemilik lidah pendua muka

Julai 1, 2011

Jumaat, Julai 01, 2011

PENDERHAKA BERTERIMA KASIH

TEMAN dan pembaca yang budiman: Terima kasih kerana sudi membaca dan membeli PENDERHAKA. Selamat berkongsi pengalaman resah seorang anak Melayu di negeri tercintanya sendiri yang kian tidak ingin menjadi dirinya sendiri. PENDERHAKA adalah sebuah catatan gelisah yang terbias dari realiti dan imaginasi seorang pengarang yang ingin memilih jalurnya sendiri.
Jauh sekali berniat melagak dan menyombong diri. Menulis  PENDERHAKA adalah proses melihat ke dalam diri sendiri: buruk baik dan jujur tidaknya diri. Kerana sesuatu yang mesti terus dan tetap dipertahankan.  Sesuatu yang tidak dijual di mall atau pasarbesar moden. Sesuatu yang abstrak, yang tidak dapat disentuh, tetapi sangat bermakna bagi sebuah jiwa dan maruah.
Terima kasih buat pembaca dan teman budiamn yang sudi membeli dan menikmati PENDERHAKA. Tanpa kalian, apalah makna dan erti sebuah PENDERHAKA. Sebuah PENDERHAKA adalah dugaan menelusuri pengalaman kejiwaan melalui cara yang lain: merenung dan berfikir mencari tanda di sebalik lambang, makna di sebalik permukaan.
Walau segala seperti tidak jelas. Namun ada yang sebenarnya sudah terlalu jelas di permukaan realiti.
Baca dan hayatilah dengan teliti. Semoga menjadi cermin ibarat buat diri sendiri dan PENDERHAKA tidak ingin berlagak bagaikan nabi atau wali. Jauh sama sekali untuk menghukum dan apa lagi mencaci.
Teman dan pembaca budiman yang sudah dan akan membeli, terima kasih atas segala sudi yang tidak berbelah bagi. Kerana kalianlah PENDERHAKA menjadi bererti.
Julai I, 2011