Khamis, Julai 30, 2009

MARTONO TIDAK INGIN MENJADI MARQUEZ

MARTONO tidak ingin menjadi Marquez. Martono fikir cukuplah di dunia ini hanya ada sejuta Marquez dan dia tidak perlu menjadi hitungan yang seterusnya. Martono fikir cukuplah dia menjadi dirinya sebagai Martono dan bukan Marquez. Martono fikir tidak ada gunanya berbangga dengan nama milik orang lain. Apa lagi kalau nama Marquez yang digilai banyak orang itu hanyalah sulapan. Dan malam itu, entah malam yang kesekian berapa, di dalam mimpinya Marquez mendatangi Martono. Kau fikir kau sudah sangat hebatkah? Cermini dirimu sendiri. Buku apa yang sudah kauhafal dan baca? Begitu Martono mendengar di dalam mimpinya itu Marquez membentak-bentak. Pagi itu, ketika terjaga dan bangkit dari tidurnya, Martono melihat buku terjemahan “Sumpah Tujuh Keturunan” karya Marquez tergelatak di atas meja kecil di samping ranjangnya. Dan Martono tahu, di rak bukunya masih tersusun rapi beberapa buku karya Marquez yang lain. Tetapi biar apa pun, Martono tetap tidak ingin menjadi Marquez. Walau atas nama Marquez dan memetik Marquez, dia pernah beberapa kali melagak-lagakkan pendapat yang diakui Martono sebagai asli miliknya di depan sejumlah kawan-kawan.

Julai 8, 2009

Selasa, Julai 28, 2009

SANTONGO TELAH TERBANG KE LANGIT

SEKARANG telah genap seratus hari Santongo mendapat sayap. Hasrat yang sekian lama terpendam pun kini telah tiba saatnya dilepaskan mencapai hasrat. Santongo. Santongo. Santongo. Dia mendengar laungan bertalu-talu menyeru namanya. Santongo pantang diseru dan dicabar-cabar. Mukanya mudah menjadi merah padam. Santongo sudah lama memendam hasrat. Sekarang sudahlah tiba waktu. Untuk dan perlu apa berkelana di bumi kalau diri boleh terbang dan menerawang nun jauh di angkasa? Berkali-kali tanya itu menerjah benak Santongo. Santongo tersenyum-senyum sendiri. Mereka memang bahlol dan tidak tahu apa-apa. Walau berkali-kali kukencing di atas kepala mereka. Begitu Santongo berbisik kepada dirinya sendiri.

Julai 8, 2009

Khamis, Julai 16, 2009

SAYA DAN BAHASA INGGERIS

KALAU sejarah pendidikan akademik saya diperiksa, jelas dan nyata tiada sebarang catatan menjadi bukti bahawa saya telah dan pernah mempelajari Bahasa Inggeris sehingga melayakkan saya menerima apa-apa sijil dan diploma.

Namun begitu, saya tidak pernah berasa malu dan rendah diri kerananya.

Walau tidak memilik apa-apa sijil dan diploma, saya masih tetap boleh berbahasa Inggeris. Walau saya namakan bahasa Inggeris saya sebagai bahasa Inggeris Apache, tetapi saya tidak pernah berasa malu untuk menyatakan apa yang ingin saya nyatakan melalui bahasa Inggeris Apache saya ini.

Apakah kerana tidak tahu berbahasa Inggeris yang betul nahu dan larasnya, yang membolehkan saya berdebat dan berucap dengan lancar di dalam bahasa Inggeris, maka saya menjadi seorang anak bangsa Melayu yang mundur dan ketinggalan?

Rasa saya tidak juga.

Dan sebagai penulis, apakah kerana saya tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan benar maka karya saya menjadi tidak bererti dan saya tidak akan mampu untuk menyertai apa-apa acara atau seminar sastera di peringkat antarabangsa?

Saya kira ini pun tidak juga.

Malah setakat yang saya tahu, ramai penulis yang tahu berbahasa Inggeris dan ada yang karyanya telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris pun karyanya masih hanya berlingkar di kelompok sendiri sahaja dan tidak terpandang pun hingga ke peringkat antarabangsa.

Jadi apa masalah yang sebenarnya? Pertanyaan saya ini semakin kuat gema dan dengungnya di dalam diri tatkala membaca kenyataan seorang doktor bahasa di sebuah akhbar yang mengatakan betapa sukarnya seseorang jika berada di luar negara sekiranya tidak menguasai bahasa Inggeris.

Menurut hemat saya, pendapat sebegitu jelas bernada angkuh, meremeh-remehkan dan bermindakan penjajah.

Ini samalah atau kurang lebih semacam dengan suatu andaian bodoh yang mengatakan betapa seorang pekerja asing dari Bangladesh yang tidak boleh berbahasa Melayu akan mati kebulur di negeri ini. Walhal itu tidak pun berlaku.

Sebagai manusia biasa dan seorang penulis, saya kira saya tidak mempunyai masalah apa-apa kerana tidak terlalu mahir dengan bahasa Inggeris. Walau tidak mahir berbahasa Inggeris, saya akan tetap dan terus juga menulis.

Malah, tanpa pengetahuan dan kemahiran berbahasa Inggeris yang tinggi, saya sudah beberapa kali menghadiri acara sastera di luar negara, yang memerlukan saya berhubung dengan para peserta yang lain melalui bahasa Inggeris.

Tanpa kemahiran bahasa Inggeris yang tinggi, saya tidak mempunyai masalah untuk berbincang dengan mereka mengenai sastera dan apa saja perkara berkaitan.

Apa lagi kalau di negara sendiri. Tanpa kemahiran bahasa Inggeris yang tinggi, saya bersedia untuk berinteraksi dengan mana-mana doktor dan sarjana sastera.

Jadi apakah sebenarnya yang dikatakan masalah itu?

Saya tidak pernah berasa malu dan rendah diri kerana tidak mahir berbahasa Inggeris. Malah walau merangkak dan terdengkut-dengkut, saya tetap juga membaca karya berbahasa Inggeris.

Walau saya agak lambat faham dan mengerti, tetapi itu semua apa peduli. Janji saya tetap juga faham dan mengerti. Dan untuk sampai ke tahap itu, saya tidaklah perlu sampai ke tahap menghina bahasa milik saya sendiri, seperti apa yang sedang diperbuat oleh mereka itu.

Tetapi jangan salah duga dan lekas berprasangka, saya tidak membenci bahasa Inggeris dan malah menggalakkan sesiapa sahaja belajar dan menguasai bahasa Inggeris. Malah anak-anak saya sendiri mempelajari dan mengajar bahasa ini sebagai bahasa kedua.

Yang salah di mata saya hanya apa bila ada pihak yang sampai ke tahap kesurupan dan menjadikannya sebagai sesuatu yang mengatasi segala-gala yang lain. Sehinggakan tergamak meluahkan kata kononnya kalau tidak belajar dan menguasai bahasa ini, sesuatu bangsa itu akan menjadi bangsa yang bodoh dan ditinggalkan kemajuan dunia global.

Saya tidak fikir begitu.

Contohnya adalah diri saya sendiri. Saya tidak pernah berasa diri saya ini bodoh dan ketinggalan, semata-mata kerana tidak mengusai bahasa Inggeris.

Jadi apa masalah yang sebenarnya?

Jun 14, 2009

Jumaat, Julai 10, 2009

GEMBIRA, GEMBIRALAH

TIDAK mengapalah kalau mereka akan mengadakan pesta sambutan kerana kegembiraan mendengar pengumuman itu. Tetapi saya tidak. Saya tidak akan pun berasa gembira dan tidak pun punya niat untuk menyatakan kegembiraan itu walau dengan cara apa pun.

Bayangkan. Sesuatu yang dicanang dan dipaksa terima dalam sekelip mata terpaksa mengambil masa bertahun-tahun untuk dinyatakan sebagai dihentikan. Tetapi itu pun memerlukan lagi dalih yang lain konon perlu memaksa lanjutan masa.

Jadi untuk satu lagi sandiwara licik itu, perlu dan mestikah saya bergumbira?

Sudahlah. Kalau kau fikir saya ini bodoh dan tidak tahu berfikir, terserah kaulah. Walau apa fikir kau mengenai saya, saya tetap punya sikap dan pendirian sendiri. Perbodohkanlah terus kalau kau rasa ingin dan perlu berbuat begitu.

Tetapi saya sudah terlalu mual dan bosan dengan segala sandiwara.

Dan bersendirian di sini, saya tidak habis dan sudahnya berfikir betapa hina dan sialnya menjadi bangsa bernama Melayu.

Kautahu kenapa saya katakan begitu?

Kerana bernama Melayulah maka segala yang menjadi milik saya selalu dikhianati dan dikencing najisi oleh bangsanya sendiri.

Bergembira. Bergembiralah mereka yang ingin berbuat demikian. Tidak kuasa dan memang pun bukan hak saya untuk menahan.

Tetapi saya akan tetap bersendirian di sini. Melihat, membaca dan mencatat segala laku dan perbuatan.

Ah, alangkah sialnya menjadi bangsa bernama Melayu. Ketika namamu semakin cuba dilupus dan disunglap menjadi angin. Semata-mata kerana kehendak dan syahwatkan kerusi.

Dan anak, cucu atau cicitku nanti, jangan salahkan aku kerana melawan hanya dengan membentak dan membenci di dalam bungkam dan tulisan.

Gembiralah. Gembiralah untuk sesuatu yang ingin kaugembirakan. Dan siapa peduli kalau kita terus dipermainkan bangsa sendiri.

Julai 10, 2009

Khamis, Julai 09, 2009

KALAULAH SAYA MERAJUK HARI ITU

ALAM persekolahan menengah saya secara rasminya tidak selesai sebagaimana wajarnya. Secara rasminya, saya meninggalkan bangku sekolah hanya selepas setahun berada di bangku sekolah menengah. Selepas itu, saya memilih untuk merantau dan mulai bekerja mencari rezeki sendiri.

Tentu sahaja saya tidak ingin mengatakan betapa sepenuhnya kerana kemiskinanlah yang menyebabkan saya meninggalkan bangku sekolah dalam usia yang sangat muda.

Malah kalau saya kenang-kenangkan kembali, kemiskinan memang pun bukan sebab sebenar saya tidak meneruskan persekolahan. Sebaliknya, ada sebab yang lain yang lebih mendorong saya meninggalkan kampung halaman dan merantau ke negeri orang untuk mencari sesuap rezeki.

Sebab lain ini lebih berupa rasa terguris dan terhina di dalam perasaan akibat “kurang kemampuan” dan kerana hidup cuma “menumpang” walau di kampung sendiri. Rasa sedih dan terhina inilah yang memaksa keluarga membawa diri dan saya akur mengikut sambil mengemam rasa pedih perasaan sendiri tatkala mengucapkan selamat tinggal kepada dunia sekolah yang rasmi dalam usia saya yang masih sangat muda.

Malah seringkali ketika mula-mula meninggalkan bangku sekolah, secara diam-diam dan bersembunyi saya menitiskan air mata bila setiap kali melihat teman-teman sebaya berseragam putih pergi dan pulang dari sekolah dan saya berasa amat terkilan kerana tidak dapat bersama atau menjadi seperti mereka sebagai seorang pelajar sekolah. Rasa sedih dan terkilan itu kadang-kadang sampai terbawa pula di dalam mimpi saya.

Namun kerana menyedari siapa dan bagaimana latar kewangan keluarga, saya tidak pernah mahu menyalahkan orang tua dan tidak ingin terus selamanya bersedih.

Saya memilih untuk bekerja dalam usia yang sangat muda tidak semata-mata kerana ingin mencari sumber kewangan untuk menghidupi diri dan membantu keluarga, tetapi jauh di sudut hati tersimpan hasrat agar satu waktu, dengan simpanan yang ditabung, saya boleh belajar sendiri dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Saya insaf dan sedar, tanpa memiliki sebarang sijil di peringkat menengah atau yang lebih tinggi, sulit untuk saya memohon sebarang pekerjaan di jabatan kerajaan atau syarikat swasta.

Keinsafan dan kesedaran inilah yang mendorong saya memaksa diri, tanpa memasuki mana-mana sekolah persendirian, belajar sendiri untuk mengambil peperiksaan secara persendirian.

Caranya, saya membeli buku, membuat nota dan membaca serta cuba menghafal apa yang saya fikirkan perlu di mana sahaja kesempatan dan waktu luang yang saya punya.

Ketika itu saya bekerja di sebuah kilang dan berulang-alik menaiki bas ke tempat kerja.

Ketika membaca dan menelaah nota di dalam bas, saya tahu banyak mata yang mengerling dan menjeling, malah ada yang bertanya apakah saya masih lagi bersekolah, namun saya menjawab hanya dengan senyum dan mengagahkan diri bersikap tidak tahu dan tidak peduli apa kerling dan jeling di sekeliling.

Selepas hampir setahun bergelumang dengan buku dan nota yang dibuat sendiri, saya akhirnya terbaca di akhbar iklan untuk pendaftaran peperiksaan calon persendirian.

Kerana berasa telah benar-benar bersedia dan tidak mahu menunggu lebih lama, pada suatu pagi yang redup, saya menaiki lift ke sebuah pejabat. Niat dan tujuan tidak lain untuk mendaftarkan diri sebagai salah seorang calon perperiksaan persendirian bagi tahun itu.

Saya bertanyakan seorang kerani yang bertugas di kaunter pejabat berkenaan dan menyatakan maksud kedatangan saya adalah untuk mendaftarkan diri sebagai calon perperiksaan secara persendirian.

Saya ditanya dahulunya bersekolah di mana oleh kerani tersebut dan tentu sahajalah jawab saya bahawa saya sudah tidak bersekolah. Kerani yang bertugas yang kelihatan berkerut air mukanya, meminta saya menunggu dan bergegas masuk ke bahagian dalam pejabat.

Sebentar kemudian, keluar seorang pegawai berkaca mata. Pegawai berkaca mata ini memanggil saya masuk ke dalam sebuah bilik dan menyuruh saya duduk.

Sebaik sahaja saya duduk, pegawai berkaca mata itu bersyarah panjang dan lebar di depan saya. Tetapi dari syarahan panjangnnya itu, tiada satu pun pentunjuk atau jalan yang diberikannya yang boleh membantu saya menyelesaikan masalah.

Apa yang jelas di pendengaran saya ketika itu tidak lain hanyalah leteran dan “kutukan” sahaja. Antara katanya, kenapa dahulu saya tidak mahu ke sekolah dan suka-suka hati hendak datang belajar dan tidak. Dan paling saya ingat dan kekal dalam ingatan saya sampai kini adalah katanya yang menyebutkan betapa peperiksaan bukanlah seperti bermain judi ekor yang boleh suka-suka hendak beli dan mengharapkan menang.

Memang darah muda saya berasa menggelegak ketika itu. Lebih-lebih lagi, ketika saya berjalan keluar meninggalkan pejabat itu, saya melihat kerani yang saya temui tadi melihat saya dengan pandangan seribu macam erti, pelik dan seperti mengejek.

Tetapi saya mengambil sikap tidak peduli. Saya katakan kepada diri sendiri betapa kalau pun saya merugikan duit, duit itu hasil titik peloh saya sendiri dan bukan kepunyaan emak atau bapak pegawai yang hanya tahu berleter itu.

Keluar dari pejabat itu dan ketika berjalan menuju ke perhentian bas, saya terpinga-pinga berfikir mahu dibagaimanakan untuk menyelesaikan masalah saya ini. Jenuh saya berfikir bagaimana. Perasaan saya berbaur antara rasa terhina kerana leteran dan tempelak pegawai berkaca mata di pejabat itu, rasa serabut dan gelisah.

Ketika dalam keadaan terpinga itulah saya terpandang pajangan sepanduk iklan untuk pendaftaran pelajar baru sebuah sekolah swasta di tepi pagar masuk ke kompleks pejabat itu. Di dalam hati saya bersorak gembira. Saya tahu inilah jalan selesainya: saya akan mendaftar ke sekolah swasta itu sebagai bukti saya pernah belajar di sebuah sekolah. Pada waktu sama juga, diri sendiri turut saya kutuk kerana tidak melihat sepanduk itu ketika datang di awal btadi pagi.

Menaiki bas, saya kesekolah swasta tersebut dan bertemu dengan pengetuanya. Kepada pengetua berbadan gempal itu saya ceritakan masalah saya dari awal hingga ke bab penghinaan itu.

Tanpa banyak komen dan soal tambahan, pengetua itu mengesyorkan saya hanya mendaftar menjadi pelajar di sekolah itu dengan sejumlah bayaran dan tidak perlu datang ke kelas setiap malam kalau tidak mampu atau kerana berada jauh dari sekolah.

Dengan surat perakuan pendaftaran swasta di tangan, saya kembali ke pejabat itu dan membayar yuran pendaftaran menduduki peperiksaan sebagai calon persendirian. Prosesnya tidak pun sampai dua puluh minit.

Walau pun di dalam hati tidak menyumpah seranah, namun saya tetap jua merungut. Kenapakah penyelesaian ini tidak disyorkan oleh pegawai berkaca mata itu kepada saya ketika di dalam bilik itu tadi pagi. Bukankah sebagai seorang pegawai di pejabat yang menguruskan peperiksaan dia sepatutnya membantu saya yang hendak mengambil peperiksaan dan bukannnya berleter dan menyindir-nyindir saya. Bukankah dia dibayar gaji dengan duit rakyat untuk tugasnya sebagai pegawai itu?

Bila tiba waktunya, peperiksaan itu saya duduki dan walaupun A yang saya perolehi melebihi 20, namun bagi saya yang hanya belajar, membuat nota dan membaca sendiri, saya kira wajarlah saya bersyukur kepada Allah.

Itu peristiwa di tahun 1970-an. Kurang lebih sudah 30 tahun berlalu. Hari ini, di Subuh bening ini, saya kembali merenung dan mengenang peristiwa ini. Saya dapat bayangkan bagaimana saya hari ini, kalau saya merajuk dan kecewa hari itu. Saya yakin, kalaulah saya merajuk hari itu, tentulah saya bukanlah saya yang hari ini.

Saya yakin itu. Dan kalau setiap kali terkenangkan itu, saya fikir penghinaan dan henyakan sebenarnya sudah saya terima dan alami sejak lama. Kerana itu, kalau hari ini saya terus dan masih menjadi pemarah dan suka melawan bila setiap kali berasa dihina atau terhina, saya kira saya mempunyai sebab untuk mewajarkan tindakan saya itu. Saya rasa, saya terus dan tetap melawan begitu tidak lain kerana sebab-sebab psikologi.

Saya fikir, kerana saya melawanlah maka saya ada. Tanpa melawan, saya fikir, saya pastilah sudah lama hanya menjadi angin.

Namun begitu, betapa pun tetap melawan dan menyimpan amarah di dalam diri, saya tidak akan semberono mendamprat kalau tidak kerana sesuatu sebab yang saya fikirkan wajar untuk saya bertindak dan kerana sesuatu yang sampai membuatkan sabar saya lerai.

Walau kehadiran saya pun bukanlah apa-apa dan mungkin juga di mata orang yang lain hanyalah begitu-begitu sahaja, namun setidaknya, saya tidak menyusahkan dan mengemis-ngemis dari orang lain. Apa lagi, saya pun tidak ingin mengharapkan apa-apa sanjung dan hormat orang lain kerana kehadiran saya. Bagi saya, saya hanya ingin tetap begini sahaja, seperti apa adanya diri saya dan ingin tetap menjadi diri saya sendiri.

Namun paling penting, walau kata hinaan dan ejekan pegawai berkaca mata itu masih tetap tidak lekang di dalam ingatan saya, saya bersyukur kerana Allah memberikan kekuatan kepada saya supaya bersabar dan melorongkan hati saya agar tidak merajuk hari itu.

Di Subuh bening ini saya fikir, saya tidak merajuk hari itu kerana saya sedar betapa apa-apa yang dibebelkan oleh pegawai berkaca mata itu sebenarnya menggambarkan kepada saya betapa kurang berakal dan berhemahnya pegawai berkaca mata itu dan saya berasa tiada apa perlunya saya mengacuhkan manusia sebegitu.

Walau kerana peristiwa itu saya memilih untuk melawan rasa kecewa dan kecil diri. Tetapi itu pun bukan kerana kata-kata pegawai berkaca mata itu.

Saya melawan dan berjuang hanya untuk diri saya sendiri. Dan itu tidak ada kena mengena dengan sesiapa. Apa lagi untuk dan kerana seorang pegawai yang bukan pun siapa-siapa di mata saya pada pagi peristiwa itu.

Saya syukur kerana saya tidak merajuk hari itu. Kalau saya merajuk, tentulah saya memperbodohkan diri sendiri dan menyerah kalah semata-mata kerana seorang pegawai yang berlagak dan tidak berhati perut pagi itu.

Itulah pengajaran yang saya petik dari peristiwa itu. Apa pun kecam dan hinaan dari bibir orang atau pihak lain, tidaklah terlalu perlu diambil peduli sehinggakan mengecewakan jiwa dan perasaan sendiri.

Hidup dan mati saya bukan kerana orang lain dan yang menentukan segala-galanya, pun bukan oleh seseorang atau sekelompok manusia.

Kerana itu, datanglah apa sahaja, saya tidak pernah cemas dan risau.

Julai 2, 2009

Rabu, Julai 08, 2009

PASAL PANTUN DAN MEMANTUN

1
MEMANG
pun suka hati dialah hendak mengaku dia pakar atau layak tidaknya bercakap mengenai itu. Apa pula hak saya hendak melarang dan menegah.

Tetapi setahu saya memang pun bab pantun memantun ini bukan bidang dia. Bab sajak bersajak memanglah. Tetapi bab berpantun ini saya tahu memang ada orang lain yang lebih layak bercakap atau tampil sebagai wakil untuk bercakap di depan khalayak.

Begitulah jawaban saya ketika seorang pegawai dari sebuah jabatan pengurusan buaya menghubungi dan meminta saya menjadi wakil untuk bercakap di suatu acara pantun berpantun di sebuah daerah pedalaman di sebuah negeri.

Terus terang kepada pegawai itu saya katakan saya tidak layak kerana pantun dan memantun ini bukan bidang penguasaan saya. Bidang saya adalah sajak dan menyajak. Jadi saya syorkanlah dua nama oknum yang sudah pun veteran yang saya tahu memang mengkaji dan aktif dalam bab pantun dan memantun ini.

Selepas kisah ini saya pun sudah lupalah apa kabarnya. Saya ingat pegawai yang sebelum ini bersusah payah mengajak saya itu sudah pun memilih oknum yang pernah saya sebutkan itu. Dan seperti selalu selepas kisah di luar diri itu, saya pun kembalilah semula sebok dan urusan diri sendiri.

Tetapi hendak jadikan cerita. Suatu hari, seorang kawan dari satu kumpulan nyanyian mengajak saya menemani dan melihat persembahan kumpulannya di suatu daerah pedalaman. Saya yang memang sedang bosan dan rasa agak tertekan bersetuju untuk sekadar mengikut dan menonton.

Ketika tiba di tempat acara di daerah pedalaman itu, barulah saya tahu rupa-rupanya itu adalah ada kena mengena dengan acara pantun dan memantun yang pernah disebutkan pegawai dari jabatan pengurusan buaya itu.

Di situ saya melihat dan bertemu dengan tokoh seperti Pak Ali Badron dari Johor dan Pak Wagiman NS dari Negeri Sembilan. Mereka mengakui datang dan hadir kerana diberikan tugas untuk bercakap mengenai pantun dan memantun serta bidang puisi tradisional yang lain.

Tetapi yang buat saya terperanggah adalah satu nama yang ini. Nama milik seorang oknum yang saya tahu bidang pengkhususan dia bukan pun pantun dan memantun. Itu yang pelik. Kalau sudah tahu bukan bidang yang dikuasai, kenapa hendak mengaku dan terima tugas yang diberi.

Tetapi itulah. Apa hak saya hendak buat bising sangat bab ini. Malah siapa pula diri saya hendak tentukan dia benar-benar tahu atau tidak mengenai sesuatu itu?

Bukankah begitu? Apa yang saya hendak sebok-sebok sangat pasal ini, kan?

2
SETAHUN
kemudian, di lobby sebuah hotel di bandar Kuching. Sambil menunggu tibanya teksi yang ditempah untuk menghantar ke bandar Kuching, saya berbual santai dengan seorang pegawai dari sebuah institusi bahasa.

Tiba-tiba, entah apa puncanya saya tidak ingat dan pasti, pegawai ini membebel mengenai seseorang yang dikatakannya menciplak sebuah tulisannya di suatu seminar mengenai pantun.

Anehnya, ketika nama seseorang itu disebut oleh pegawai itu, saya kembali teringat acara pantun dan memantun di sebuah daerah pedalaman di sebuah negeri itu.

Saya tidak pasti sangat buah dan butir persoalan. Tetapi kata menciplak yang disebut oleh pegawai itu mengenai oknum yang itu, membuat saya diam-diam bertanya sendiri: apakah hari itu apa yang dia cakapkan itu memang seusatu yang dia ciplak dari orang lainkah?

Entahlah dan saya tidak kuasa hendak lama membuang masa memikirkannya.

3
CATATAN
ini memang saya tulis dengan sengaja. Sengaja maksud saya bukan sengaja hendak menjatuhkan maruah orang atau mengutuk seseorang.

Sengaja yang saya maksudkan adalah semoga catatan ini akan menjadi peringatan buat diri saya sendiri, agar sentiasa beringat-ingat dan berhati-hati, agar bila mana ditawarkan sesuatu yang memang jelas bukan hak atau bidang pengetahuan saya, walau ditawarkan ganjaran membukit, mestilah saya tolak dengan baik dan hormat.

Itulah niat saya menuliskan catatan ini. Dan kalau ada sesiapa yang berasa ini hanyalah catatan yang mengada-ada atau tidak berfaedah, biarkanlah itu menjadi hak dia.

Apa pun, saya sudah mencatat sesuatu yang saya rasa perlu dan wajar saya catat sebagai cermin untuk diriku sendiri.

Apa yang selain dari itu, itu memang pun bukan urusan dan bidang pengkhususan saya.

Julai 7, 2009

Khamis, Julai 02, 2009

BAHASA INGGRERIS DAN PENDERITA LANGUE NEUROSIS

ADA orang yang tanpa segan dan silu, malah dengan gaya pongahnya berkata betapa tanpa menguasai Bahasa Inggeris, sesuatu bangsa itu pastilah akan mundur dan tidak dapat menguasai sains dan teknologi. Lalu dengan sebab tidak menguasai itu jugalah maka bangsa yang sedemikian ini akan menjadi bangsa yang tidak dapat bersaing di peringkat global dan selalu ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa ang lain.

Saya tidak pasti orang yang berkata ini sejauh mana sudah dia meraih kemajuan dan sekaligus berjaya menguasai sains dan teknologi, serta terkenal nama dan sumbangannya ke seantero dunia global sebagai bukti yang sahih, betapa dia ini memang seorang yang hebat dan berjaya bersaing di peringkat global, hasil dari ketinggian dan luas penguasaan Bahasa Inggerinya itu.

Saya katakan begitu kerana saya berasa menguasai Bahasa Inggeris bukanlah hanya satu-satunya cara untuk menjadi bangsa yang hebat, maju dan mampu bersaing dengan orang lain di peringkat global.

Tanpa menguasai Bahasa Inggeris, maksud saya sampai ke tahap yang memerlukan dia menguasai dan bercakap mengikut nahu yang betul serta dengan fasihnya, sehingga dia mampu berucap dan berdebat sekalipun, dan sebagai tanda perakuan serta pengesahan akan penguasaannya itu, diperlukan persijilan atau diploma yang diakui oleh sesuatu badan di bawah naungan pemerintah atau yang disahkan, saya yakin, seseorang dan sesuatu bangsa itu tetap boleh menjadi bangsa yang maju dan hebat.

Kalau dimintakan contoh, tentulah saya akan menyebut bangsa Jepun, Jerman, Rusia dan Perancis sebagai contohnya. Malah saya yakin, jika menguasai sesuatu bahasa yang lain di dunia ini, seperti bahasa Arab, Jerman, Perancis atau Jepun, juga tidak menjadikan sebab kita tidak akan maju dan boleh bersaing di peringkat global.

Malah seingat saya, tidak pernah ada sesuatu pengesahan yang menyebutkan bahawa ilmu sains, teknologi dan matematik pembelajarannnya mestilah hanya dengan atau melalui Bahasa Inggeris. Atau ada suatu bukti yang jelas dan sahih yang menyatakan bahawa sesiapa yang belajar ilmu-ilmu ni yang selain dari atau melalui Bahasa Inggeris akan menjadi bangsa yang bodoh dan lemah.

Saya yakin dan percaya Bahasa Inggeris bukanlah segalanya-galanya. Dengan keyakinan ini jugalah saya beberapa kali keluar negara atas urusan pekerjaan seni saya. Dan terbukti saya tidak pun menjadi bangsa yang bodoh dan lemah kerana tidak pandai dan fasih Berbahasa Inggeris.

Tanpa menguasai Bahasa Inggeris dengan begitu fasih dan mampu berucap berdegar-degar di depan khalayak, saya tetap mampu berada dan berinteraksi dengan teman-teman dari negeri yang tidak mengerti Bahasa Melayu. Ketika berada di khalayak antara bangsa begitu, saya tidak pun berasa diri saya kecil atau karya yang saya tulis lebih rendah martabatnya berbanding dengan karya yang ditulis oleh mereka yang tahu atau menuliskannya dalam Bahasa Inggeris.

Jadi apa sebenarnya masalah sehingga kita kadang-kadang bagaikan orang kesurupan terhadap bahasa yang satu ini? Sehinggakan kita berasa sangat perlu menggubal dan membuat suatu syarat yang dengan harapan akan diikut serta dipatuhi oleh anak-anak pelajar kita tanpa dolak-dalik lagi? Dan malangnya, arahan dan penggubalan dasar yang boleh dianggap bodoh ini bukanlah datangnya dari manusia yang pada zahirnya bukanlah manusia yang tidak cerdik, tetapi tindak dan arahannya menggambarkan betapa dia sebenatnya memang tidak cerdik.

Bagi saya ini sebenarnya adalah masalah krisis kepercayaan dan keyakinan diri sendiri.

Krisis ini selalunya dideritai oleh bangsa yang hidup dan jiwanya sudah sekian lama dijajah, dan bagi yang sudah merdeka pula jiwa dan mindanya tetap berasa terjajah di segi psikologinya.

Penderita krisis jiwa dan minda terjajah ini selalu berasa sangat kagum dan takjub melihat apa-apa sahaja yang datang atau asalnya dari bangsa bekas penjajahnya. Bagi mereka asalkan apa sahaja datangnya dari bekas penjajahnya, semuanya adalah hebat dan perlu diwarisi.

Di kalangan individu, penderita krisis jiwa ini bertindak secara sendirian, dengan menonjol dan cuba meniru segala sesuatu yang dirasakannya akan kelihatan hebat dan hampir menyamai.

Demi untuk mengukuhkan rasa percaya diri terhadap tindakan memuaskan kelemahan dan rasa kurang percaya terhadap milik sendiri mereka itu, penderita ini mencari lingkungan dan membina kelompoknya sendiri, yang kian diperkukuhkan kewujudannya di tengah masyarakat dengan pelbagai cara.

Antara lain ini ditonjolkan melalui kelab-kelab elit dan kelompok ekslusif, hiburan, rancangan radio dan tv, dasar budaya, pendidikan dan gaya hidup.

Jika sebagai individu dan kelompok yang kecil memanglah agak mustahil untuk kelompok ini dapat mendominasi sikap dan pemikiran masyarakat.

Masalahnya baru bermula dan mendatangkan pelbagai kekalutan serta kacau bilau bilamana pengidap rasa kurang percaya dan yakin diri terhadap kebudayaan, bahasa dan identiti bangsanya sendiri ini terpilih menjadi pemuka dalam sesuatu hal dan perkara di dalam masyarakat bangsanya.

Di sinilah permulaan segala masalah dan kekecohan terhadap sesuatu bangsa.

Bila mana keyakinan palsu yang berpunca dari penderitaan rasa kurang percaya diri terhadap milik bangsanya sendiri itu berubah menjadi suatu ketetapan bersifat paksaan, maka bangkangan pun bermula, dan tentu sahaja dengan segudang hujah dan dalil sebagai dokongan bantahan yang diutarakan.

Dan tentu sahaja, kerana yang bersifat paksaan itu datangnya dari pihak yang berasa dirinya lebih memegang sesuatu yang namanya kuasa, walau kuasa yang dipegangnya itu sebenarnya dipercayakan oleh kelompok orang lain yang namanya rakyat yang telah memilih, segala upaya akan diusahakan untuk menunjukkan betapa sikap paksaannya itu adalah suatu tindakan yang benar dan betul.

Di sini jugalah, segala propaganda, slogan, muslihat dipergunakan dengan licik dan tanpa segan serta silu terhadap kalangan yang menentang, yang selalunya dilabelkan sebagai penentang kemajuan bangsa.

Jun 14, 2009

Rabu, Julai 01, 2009

TIGA MANUSKRIP SAYA DITOLAAK

TIGA manuskrip saya ditolak. Tentu sahaja bersamanya diiring surat yang kandungannya tentulah menyatakan sebab dan kenapa manuskrip saya ditolak.

Sepanjang menulis, ini bukanlah kali pertama manuskrip saya ditolak. Kerana sudah sering ditolak itu jugalah maka saya tidaklah terlalu berasa terkilan atau kecewa. Lagi pula, saya tahu dan sedar bila mana kuasa menerima atau meluluskan sesuatu itu memang pun bukan di pihak saya, maka saya tidaklah perlu terlalu sangat berharap.

Pasti sahajalah pihak yang menolak punya segudang sebab dan alasan kenapa terpaksa dan mungkin juga perlu menolak sesebuah manuskrip yang tiba. Mereka yang berkenaan, tentulah punya selera, kehendak dan ketetapan tertentu mengenai sesuatu dan apa yang hendak serta perlu mereka diterbitkan. Katakanlah ini suatu dasar di sesebuah penerbitan.

Bagi saya itu adalah normal. Tiada apa yang hendak dikeluh serta dirusuhkan. Masing-masing pihak punya sebab dan kehendaknya sendiri. Penerbit dengan kehendaknya dan pengarang juga tentulah punya kehendaknya juga. Hanya setelah terjadinya jalinan persesuaian rasa dan kehendak di antara kedua belah pihak, baharulah tercapainya hasrat serta kehendak berikut dan seterusnya.

Itulah fahaman dan prinsip yang saya pegang. Walau mungkin ditawarkan duit secara mudah dan cepat, tetapi kiranya tiada rasa sesuai dan keserasian kehendak, sulit dan tidak hendak saya terima tawaran yang mungkin lumayan itu. Walau yang menerbit memiliki wang, tetapi bagi saya, wangnya itu tidaklah sampai bersifat mahu “membeli” pengarang atau sesuatu yang lain. Biarlah segala sesuatu itu bersifat saling memberi dan menerima secara adil dan ikhlas serta memenangkan kedua-dua belah pihak.

Kerana fahaman dan prinsip ini jugalah saya tidak begitu berasa terkilan atau kecewa bila telah acap kali manuskrip saya ditolak. Dan saya juga sedar, penolakan sesebuah manuskrip saya oleh sesebuah penerbitan itu ada juga hubungkait dengan sikap dan pendirian saya sendiri dalam berkarya. Sikap dan pendirian yang saya maksudkan itu tidak lain adalah disebabkan diri saya ini tergolong jenis manusia yang agak degil, yang tidak suka selamanya mengikut kehendak massa dan arus semasa atau dalam kata mudahnya selalu suka melawan arus.

Contohnya, kalau ada ketetapan yang meminta supaya sebuah manuskrip novel tebalnya tidak boleh kurang dari 200 halaman, saya akan kembali bertanya perlukah sebuah novel setebal demikian dan kerana itu saya melanggar peratruran yang sudah ditetapkan. Memanifestasikannya, saya akan mengirimkan manuskrip yang tebalnya mungkin hanya 100 halaman.

Atau kalau dalam sesuatu pertandingan menulis sajak menetapkan betapa sajak yang menyertai pertandingan mestilah sekian jumlah baris dan tidak boleh melebih sekian kata bagi setiap baris, saya biasanya akan menghantar sajak yang lebih pendek dan ringkas pula.

Tentu sahajalah kesudahannya sudah saya ramal. Namun rasa hendak melawan dan melanggar ketetapan itu memang tidak boleh hendak saya tahan. Walau tidak mendapat apa-apa, namun sebagai seorang yang menulis, saya rasa bebas, merdeka dan mandiri kerana tidak terlalu mahu mematuhi apa-apa ketetapan yang ditetapkan untuk suatu pertandingan menulis karya sastera dan seni.

Jadi kalau kerana itu manuskrip saya tidak diterima atau saya sendiri agak kurang disenangi, saya memang sudah bersedia untuk menerima risiko atas pilihan saya itu.

Saya sama sekali tidak berniat hendak menjadi pemberontak atau seorang yang secara membuta tuli hanya asyik hendak melawan dengan cara begini.

Saya sebenarnya hanya hendak menyatakan diri saya sendiri. Tidak lebih dari itu. Maksud saya diri saya yang sebagai seorang pekerja seni.

Kerana itulah saya tidak rasa terkilan, kecewa atau marah bila karya saya ditolak.

Saya tahu orang lain berhak untuk tidak menerima dan menolak sebuah karya saya. Tetapi saya yakin tidak semua orang yang akan menolak. Saya yakin tidak semua orang otak dan cara berfikirnya sama. Saya percaya dan yakin di samping yang menolak, masih ada walau segelintir yang sanggup dan sudi menerima karya saya. Saya yakin itu.

Saya berasa percaya dan yakin kerana saya percaya betapa seorang pekerja seni itu berkarya bukanlah kerana suruhan, kehendak dan batasan yang ditetapkan oleh orang lain terhadap dirinya.

Bagi saya, seorang pekerja seni yang luhur adalah seorang yang berkarya kerana semata-mata mahu memenuhi kata hati dan nuraninya sendiri. Dan kalau ada juga kadang-kadang persamaan dengan kehendak atau tuntutan yang di luar dirinya, itu hanyalah kebetulan dan kerana kebenaran tuntutan itu sendiri, yang tidak menyalahi atau bertentangan dengan nilai moral dan keyakinannya sendiri.

Kerana itu juga bentuk atau genre tidak menjadi persoalan yang besar. Apakah itu sebuah novel pop, apakah itu sebuah sajak yang polos, atau cerpen yang melanggar segala konvensi, yang penting adalah inti dan kejujuran pengucapannya.

Yang disanggah adalah kehendak dari sebelah pihak yang terlalu dipaksakan dan tentu sahajalah yang memaksakan itu kerana berasa dirinya punya kuasa penentu terhadap pihak yang lain.

Apa lagi kini semakin banyak cara untuk menjadi lebih mandiri dan merdeka. Menerbitkan karya juga tidak semestinya menantikan ihsan sepihak yang bergelar penerbit semata-mata.

Bagi saya, walau pun tidak menjadi kaya, mampu membeli kereta atau membayar pendahuluan untuk sebuah rumah, namun menerbitkan karya dengan keringat dan modal sendiri tentulah lebih bererti dari sekadar meratapi nasib diri lantaran tiga manuskripnya telah ditolak.

Saya meyakini cara ini kerana sejak mula memang saya lebih tertarik hanya ingin menjadi diri saya sendiri. Biarlah apa pun anggap dan gunjing orang. Saya akan terus dengan cara dan keyakinan ini.

Walau tidak terlalu kaya kerana berkarya secara begini, tetapi saya tidak menyusahkan sesiapa dan berasa tetap menjadi diri saya, yang dalam erti kata tetap menghormati hak-hak orang lain dan tidak menyusahkan orang lain.

Saya yakin itu dan seorang pekerja seni tentulah bukan hanya seorang yang berkarya dan bekerja kerana suruhan dan kehendak orang lain semata-mata, sehinggakan demi melihat karyanya diterbitkan, misalnya, sanggup dia korbankan hasrat dan jiwa dirinya sendiri di dalam karya.

Tentu sahaja saya juga tidak perlu terlalu berasa sesal ataupun sedih sehinggakan berguling-guling menghempaskan diri di atas tanah jika antara sebab dan alasan penolakan manuskrip saya itu, antaranya ialah dikatakan kononnya kerana kandungannya seiras dengan suatu projek yang sedang diusahakan oleh sepihak yang lain, yang saya agak tentulah dengan restu dan lindungan pihak yang berkenaanlah. Walhal manuskrip saya sudah lama saya siap kerjakan bertahun sebelum itu dan terperam kerana menunggukan waktu yang sesuai untuk dikirim ke penerbitan.

Saya tidak pasti sejauh mana benar dan tepat kekononan dakwaan itu. Tetapi di dalam hati saya, saya menyebut juga.

Masyaallah. Rupanya itu pun menjadi kesalahan juga, ya?

Dan seperti selalu saya diam-diam mentertawakan diri saya sendiri.

Mei 30, 2009