Namun begitu, saya tidak pernah berasa malu dan rendah diri kerananya.
Walau tidak memilik apa-apa sijil dan diploma, saya masih tetap boleh berbahasa Inggeris. Walau saya namakan bahasa Inggeris saya sebagai bahasa Inggeris Apache, tetapi saya tidak pernah berasa malu untuk menyatakan apa yang ingin saya nyatakan melalui bahasa Inggeris Apache saya ini.
Apakah kerana tidak tahu berbahasa Inggeris yang betul nahu dan larasnya, yang membolehkan saya berdebat dan berucap dengan lancar di dalam bahasa Inggeris, maka saya menjadi seorang anak bangsa Melayu yang mundur dan ketinggalan?
Rasa saya tidak juga.
Dan sebagai penulis, apakah kerana saya tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan benar maka karya saya menjadi tidak bererti dan saya tidak akan mampu untuk menyertai apa-apa acara atau seminar sastera di peringkat antarabangsa?
Saya kira ini pun tidak juga.
Malah setakat yang saya tahu, ramai penulis yang tahu berbahasa Inggeris dan ada yang karyanya telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris pun karyanya masih hanya berlingkar di kelompok sendiri sahaja dan tidak terpandang pun hingga ke peringkat antarabangsa.
Jadi apa masalah yang sebenarnya? Pertanyaan saya ini semakin kuat gema dan dengungnya di dalam diri tatkala membaca kenyataan seorang doktor bahasa di sebuah akhbar yang mengatakan betapa sukarnya seseorang jika berada di luar negara sekiranya tidak menguasai bahasa Inggeris.
Menurut hemat saya, pendapat sebegitu jelas bernada angkuh, meremeh-remehkan dan bermindakan penjajah.
Ini samalah atau kurang lebih semacam dengan suatu andaian bodoh yang mengatakan betapa seorang pekerja asing dari Bangladesh yang tidak boleh berbahasa Melayu akan mati kebulur di negeri ini. Walhal itu tidak pun berlaku.
Sebagai manusia biasa dan seorang penulis, saya kira saya tidak mempunyai masalah apa-apa kerana tidak terlalu mahir dengan bahasa Inggeris. Walau tidak mahir berbahasa Inggeris, saya akan tetap dan terus juga menulis.
Malah, tanpa pengetahuan dan kemahiran berbahasa Inggeris yang tinggi, saya sudah beberapa kali menghadiri acara sastera di luar negara, yang memerlukan saya berhubung dengan para peserta yang lain melalui bahasa Inggeris.
Tanpa kemahiran bahasa Inggeris yang tinggi, saya tidak mempunyai masalah untuk berbincang dengan mereka mengenai sastera dan apa saja perkara berkaitan.
Apa lagi kalau di negara sendiri. Tanpa kemahiran bahasa Inggeris yang tinggi, saya bersedia untuk berinteraksi dengan mana-mana doktor dan sarjana sastera.
Jadi apakah sebenarnya yang dikatakan masalah itu?
Saya tidak pernah berasa malu dan rendah diri kerana tidak mahir berbahasa Inggeris. Malah walau merangkak dan terdengkut-dengkut, saya tetap juga membaca karya berbahasa Inggeris.
Walau saya agak lambat faham dan mengerti, tetapi itu semua apa peduli. Janji saya tetap juga faham dan mengerti. Dan untuk sampai ke tahap itu, saya tidaklah perlu sampai ke tahap menghina bahasa milik saya sendiri, seperti apa yang sedang diperbuat oleh mereka itu.
Tetapi jangan salah duga dan lekas berprasangka, saya tidak membenci bahasa Inggeris dan malah menggalakkan sesiapa sahaja belajar dan menguasai bahasa Inggeris. Malah anak-anak saya sendiri mempelajari dan mengajar bahasa ini sebagai bahasa kedua.
Yang salah di mata saya hanya apa bila ada pihak yang sampai ke tahap kesurupan dan menjadikannya sebagai sesuatu yang mengatasi segala-gala yang lain. Sehinggakan tergamak meluahkan kata kononnya kalau tidak belajar dan menguasai bahasa ini, sesuatu bangsa itu akan menjadi bangsa yang bodoh dan ditinggalkan kemajuan dunia global.
Saya tidak fikir begitu.
Contohnya adalah diri saya sendiri. Saya tidak pernah berasa diri saya ini bodoh dan ketinggalan, semata-mata kerana tidak mengusai bahasa Inggeris.
Jadi apa masalah yang sebenarnya?
Jun 14, 2009
8 ulasan:
Salam Tuan Marsli,
Masalahnya ialah orang yg kononnya hebat bahasa Inggerisnya telah menjadi manusia yang bodoh sombong. Lagilah bodoh kalau hanya menurut sahaja membuta tuli. Asal orang kata dengan bahasa Inggeris boleh maju dia pun ikut. Saya rasa jepun dan Korea lagi maju. Jadinya kita patut belajar bahasa Jepunlah. Kan Jepun pun penjajah kita dulu kan.. haiya.. kata saja anak Malaysia, tapi menganaktirikan bahasa sendiri!
Maaf, saya rasa saudara silap faham dengan kenyataan doktor itu...pernyataan doktor itu menurut petikan saudara adalah ...
"betapa sukarnya seseorang jika berada di luar negara sekiranya tidak menguasai bahasa Inggeris."
Ada benarnya kenyataan doktor itu. Dan kenyataan itu bukanlah bermaksud untuk memperlekehkan sesiapa sahaja yang tak pandai berbahasa Inggeris...
Dia kata sukar untuk berada diluar negara....dia sebut SUKAR...dia tak mengandaikan apa-apa tentang kebulur dan sebagainya seperti yang saudara rujuk kepada pekerja-pekerja Bangladesh disini...
jadi tak perlu rasanya saudara menghukum doktor itu dengan kesimpulan dia seorang yang "angkuh, meremeh-remeh dan bermindakan penjajah..."
Wallahualam.
Salam Sdr Hasbullah: Ketaksuban membuat kita jadi lupa siapa diri kita. Semoga kita dilindungi Allah dari segala marabahaya.
Marsli N.O
Sdr Oh Me: Kita melihat dan mentafsir dari persepsi dan situasi yang mungkin berbeda. Juga terhadap rujukan dan kenyataan. Pastinya bukan soal betul atau salah.
Marsli N.O
Apa salahnya menguasai bahasa lain. Kaum lain boleh je kuasai sampai 3 hingga 4 bahasa. Belajar bahasa lain tidak semestinya membuatkan kite lupa jati diri dan melupakan bahasa ibunda.
kenapa kita perlu mahir dalam bahasa inggeris?
Bahan rujukan di universiti terutamanya dalam bidang sains 99% dalam bahasa inggeris. jika kita menggunakan khidmat mengalih bahasa semua buku rujukan tersebut, bukan sahaja ambil masa, dan saya rasa kite tidak mahu mengambil banyak bahasa inggeris yang dimelayukan dalam kamus dewan.
apa yang agung memelayukan bahasa inggeris?
Pelajar yang kurang mahir dalam bahasa inggeris akan merasa ketinggalan sewaktu belajar di universiti kerana perlu mengalih bahasa, membaca dan memahami. bukan dah jadi satu masalah ke?
untuk menjadikan sesebuah universiti kompeten. banyak universiti sekarang telah mengambil pelajar antarabangsa. tun tas nya perlu penggunaan bahasa inggeris secara meluas.
Jangan samakan peradaban kita dengan jepun mahupun jerman. Peradaban mereka sudah lama bermula. Segala teknologi dan bidang sains mereka telah mula sejak zaman kita masih berperang dengan ilmu silat.
saya bukan bencikan bangsa sendiri, tetapi untuk mencipta tamadun sendiri kita harus berkembang mengikut keadaan semasa. contohnya kite harus mengadakan auto check dictionary dalam bahasa malaysia.
bahasa melayu sangat indah. sangat klasik penuh simbolik dan kaya dengan ciri-ciri kemelayuan itu sendiri. tetapi bukan untuk bahasa teknikal.
maaflah. ini hanya pendapat saya yang tidak bermakna. semua bebas untuk memiliki pendapat masing-masing. tapi saya memang menyanjungi karya-karya saudara dari jauh.
Sdr Babe: Saya menghargai pandangan Sdr.
Marsli N.O
Catatan ini menarik perhatian. Kerana sempat mencuri selera sebelum sarapan pagi. Mohon petik ke blog CelikHuruf. Terima kasih.
Salam En Marsli.
Masalah sebenarnya pada pandangan saya, sengaja mencipta masalah.
Rasanya, saya pernah menulis tentang pengalaman peribadi saya mengenai sekeping sijil yang terkurang nilai.
Catat Ulasan