Khamis, Oktober 17, 2013

TANPA

PENGALAMAN masa lalu di masa kecil sebagai anak dari seorang bapa berketurunan Jawa, yang kemudiannya ditakdirkan menghadap Penciptanya ketika  saya baru menjejakkan kaki ke darjah satu sekolah rendah, mengajarkan saya untuk tidak terlalu banyak berharap dan meminta sesuatu yang belum pasti hadir atau belum dimiliki.

Ingatan itulah yang selalu mengajar saya untuk bersikap seadanya dan dengannya jugalah saya mengajar diri agar tidak mudah berasa kecewa jika tidak mendapatkan sesuatu yang diingini atau dicita-citakan.

Kerananya, saya mengajar diri untuk lebih gigih berusaha mendapatkan sesuatu yang saya inginkan di dalam hidup dan kemudian, cepat pula mengajar diri agar bersyukur dan tidak bersikap terlalu tamak.

Dengan pengalaman inilah juga maka saya tidak mudah menjadi manusia pemurung dan kecewa.

Kerana saya tahu, selain saya, masih terlalu banyak manusia lain yang nasibnya lebih tidak beruntung ketimbang nasib diri saya.

Segala ketidakberuntungan nasib bukan untuk semata ditangiskan. Apa lagi untuk menyalahkan Tuhan dan takdir.

Sebaliknya, saya jadikan ia batu bara pembakar semangat untuk saya kembali bangkit dan terus berjuang. 

Tentunya dengan cara yang sudah saya pilih sendiri. Dan seboleh daya saya usahakan  supaya tidak sampai memijak orang lain, walau dalam bentuk apa sekalipun.

Oktober 17, 2013

Khamis, Oktober 10, 2013

MEMBACA, KEMUDIAN MENULIS

SELALU di depan anak-anak bengkel saya mengatakan ini. Hendak menjadi penulis mestilah bermula begini: baca, baca, baca, baca,baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, menulis, menulis, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca.

Saya sedar, selalunya anak-anak bengkel ini agak seketika melongo menatap deretan huruf demi huruf yang tertera di layar di dalam dewan kuliah. Dan untuk tidak terlalu lama membiarkan anak-anak ini terus tertanya-tanya dan ditinggalkan bersendirian tanpa sebarang jawaban, saya akan lanjut memperjelaskan.

Kata saya, menulis seumpama mencurahkan semula isi yang ada di dalam bejana. Tanpa memiliki isi di dalamnya, apa yang mahu dicurahkan keluar? 

Justeru itu, tegas saya, bejana itu mesti diisi dan dan dipenuhkan dahulu. Namun setelah berkal-kali dicurah, pasti sahaja isi di dalam bejana itu akan semakin menjad sedikit dan kosong. Justeru itulah kekosongan itu perlu diisi atau ditambah lagi dan penambahan atau pengisian semula ini  tidak lain dan tidak bukan adalah dengan cara kembali membaca dan terus membaca, sebelum kembali menyambung ke kerja penulisan yang seterusnya.

Begitulah saya memberikan perumpaan dan contoh kepada anak-anak bengkel ini. 

Saya fikir kawan-kawan atau siapa sahaja yang mengenal saya, atau yang membaca tulisan-tulisan di blog saya ini, yang bercita-cita atau berniat mahu menjadi penulis, juga perlu melaksanakan hal yang sama.

Untuk menulis atau mulai menulis, anda atau kalian perlulah melakukan ini: baca, baca, baca, baca,baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca, baca.

Tanpa melakukan ini, saya tidak yakin bahawa anda atau kalian akan dapat mulai menulis dan menjadi penulis.

Memanglah saya bukan peramal atau penentu yang memiliki kuasa ajaib yang boleh menentukan sama ada anda, kalian atau sesiapa sahaja yang saya suka, kenal dan berikan sedikit nasihat akan secara automatis boleh menulis dan akan menjadi penulis. 

Sama sekali tidak. Kerana yang menentukan seseorang itu boleh menjadi penulis atau tidak itu adalah diri yang berkenaan itu sendiri. Saya, atau orang yang lain, hanya sekadar sedikit bahagian yang mungkin boleh menyumbang semacam semangat, dorongan atau lowongan permulaan untuk individu berkenaan mulai menulis.

Selebihnya adalah bergantung kepada semangat dan daya usaha individu tersebut secara persendirian, sama ada mahu mulai menulis, terus menulis dan seterusnya.

Saya mengatakan ini berdasarkan pemerhatian dan sedikit pengalaman. 

Beberapa orang yang saya tahu dan kenal, yang pernah berhubung dan mengenal saya, atau yang pernah meminta nasihat daripada saya, akhirnya saya melihat mereka tidak ke mana-mana juga, walau pada mulanya semangat mereka begitu berkobar-kobar dan telah berjaya menyiarkan sejumlah tulisan mereka di akhbar atau majalah.

Bila ditanyakan kepada mereka demi untuk mendapatkan kepastian, jawapan yang saya terima dan dapat dibuat suatu kesimpulan tidaklah sangat mengejutkan saya: rata-rata mereka sedikit membaca dan ada di antaranya tidak pun memiliki koleksi buku sasteranya yang jelas!

Jadi jika demikian, tanpa membaca dan terus membaca, jangan salah sesiapa kalau anda atau kalian sudah tidak mampu terus menulis, tentunya dengan maksud untuk menulis yang lebih baik, teratur dan bermutu.

Bayangkan, kalau anda atau kalian sendiri tidak berminat untuk mempertingkatkan kecerdikan, keupayaan dan mutu pencapaian intelek anda atau kalian sendiri, kenapa pula berharap orang lain yang akan melakukannya untuk anda dan kalian?

Kenapa?

Alangkah bodoh dan bebalnya.

Oktober 10, 2013
@MARSLI NO - Penulis lepas dan sepenuh masa yang sering berpergian ke mana-mana secara bersendirian, demi untuk merangsangkan daya kreatif dan kreativitinya. Beliau bisa dihubungi lewat email marslino@yahoo.com