Rabu, Januari 27, 2010

SELEPAS BERTAHUN MEREDAM

MENJENGAH 2010 ini bererti sudah 53 tahun saya berusia. Di kamar sendiri, saya mencongak dan menghitung.

Katakanlah kalau tahun 1979 diambil kira sebagai tahun di mana saya secara rasminya boleh dinamakan penyajak atau penyair, berdasarkan kerana tahun itulah sajak saya mula disiarkan di majalah Dewan Sastera (Mei 1979), bererti sudah kurang lebih 31 tahun saya di sini.

Atau, saya mencongak dan menghitung lagi. Kalau tahun penciptaan sajak saya berjudul "Harapan" yang disiarkan di majalah Dewan Sastera itu diambil kira, sebagaimana yang saya catat bertarikh 5 Mei 1977, bererti saya sebenarnya sudah di sini kurang lebih 33 tahun.

31 atau 33 tahun? Memang suatu jangka waktu yang boleh dikatakan agak lama juga dan saya sedar, lama atau sekejap bukanlah penentu bahawa segala karya yang telah saya hasilkan sebelum ini
sangat bermutu dan juga karya-karya yang akan saya tulis di masa mendatang akan menjadi lebih bermutu kerana fakta tersebut semata-mata.

Begitu juga di segi menerima hadiah dan anugerah. Kalau saya bandingkan dengan banyak kalangan penulis yang lebih baru dan muda, saya fikir mereka malah lebih banyak yang menerima berbanding saya.

Tetapi ketika bersendirian mencongak dan mengira-ngira di kamar ini, bukan soal hadiah atau anugerah itu yang sedang saya fikirkan. Sebaliknya, apa yang berlegar di fikiran saya ketika ini ialah betapa sepanjang tempoh 31 atau 33 tahun, saya sebahagian besarnya lebih bersifat meredam dan menyimpan sendiri segala rasa hati dan perasaan saya terhadap dunia ini. Apakah itu berhubung dengan sikap orang lain terhadap sastera dan lebih-lebih lagi bila diri saya sendiri dihenyak dan disergah oleh mereka.

Saya meredamkan segalanya dengan penuh sedar, semata-mata kerana tidak mahu menjadi manusia sastera yang terlalu mudah melenting dan lebih saya tidak sanggup kalau sampai saya dituduh kurang ajar dan tidak sopan.

Walau apa pun, saya berusaha untuk
meredamkan segala rasa marah, mual dan jengkel di dalam hati dan merelakan perasaan membungkam menjadi pekasam. Walau melihat segala lagak dan sewenang lakon di depan pandangan, namun tetap juga diredamkan dengan diam demi menjaga santun dan sopan.

Tetapi ada juga waktu sabar menjadi lerai. Bila sesekali hati yang bergelora tidak tertahan maka diri mengajukan sedikit tanya. Seperti sudah diduga, segera datang bentak dan sergah, konon diri ini berlagak tahu dan terlalu pandai walhal baru setahun berjagung di ladang.

Memang diri juga tahu betapa di belakang umpat dan keji konon diri si kurang ajar dan pongah yang tidak tahu diri. Namun demi sopan, tetap diri memilih diam dan tidak kembali bangkit melawan.

Sehingga bila? Akhirnya bertanya juga kepada diri yang sendiri.

Kalau sikap diam dianggap seolah pengecut dan dayus yang tidak punya maruah dan harga diri, dan diri terus disindir, diasak dan diperpayahkan jalan seninya, wajarkah diam itu diteruskan semata-mata kerana mahu menjaga sopan?

Jadi sekarang jangan salahkan saya kalau saya memilih untuk tidak lagi diam dan meredam segala di dalam diri sendiri.

Kalau begitu orang seperti tidak peduli mengenai perasaan dan hati kecil saya dan sanggup terus menerus berbuat sesuatu yang saya benci dan sampai ke suatu tahap seperti dengan sengaja mahu menghina saya, kenapa pula saya masih hendak terus diam?

Kini adalah waktunya untuk saya berkata. Walau kerana itu akan ada yang kurang senang dan membenci.

Setelah sekian lama sabar saya dikencingi, kini saya memiih untuk tidak peduli lagi.

Januari 26, 2010

Isnin, Januari 25, 2010

MENERUSKAN TATIH DI NEGERI SUNYI

WALAU dikeliling keluarga yang mesra dan riuh, saya selalu entah kenapa berasa sunyi dan lebih ingin bersendiri.

Begitu juga ketika di tengah ramai atau acara yang lebih besar. Rasa sunyi dan ingin bersendiri tetap juga terasa dan malah selalu saya dengan sengaja akan memilih untuk bersunyi dengan caranya sendiri. Mencari satu ruang yang agak terasing, atau memilih lebih membisu dan bersendiri, seolah-olah sedang hanyut di dunianya sendiri.

Malah selalu berlaku dan terjadi berulang-ulang, begitu terjaga dari lelap di tengah malam yang menghampiri subuh dan mata tidak boleh diajak lelap lagi, saya diam-diam bangun dan memilih untuk bersendirian di kamar sendiri.

Saya tahu perbuatan seperti itu selalu menyebabkan ada yang tersentuh rasa hatinya di kalangan keluarga atau kawan-kawan, sehinggakan kerana itu juga selalu saya disangka sombong, berlagak dan susah hendak dimengerti.

Tetapi saya sebenarnya sudah tidak begitu mahu ambil peduli walau apa pun sangka dan tuduhan yang mahu dilemparkan orang.

Saya berasa lebih senang dan bahagia secara begini. Lebih-lebih lagi ketika usia semakin menjelang senja dan satu demi satu teman, sahabat, atau orang-orang yang pernah saya kenal berangkat pergi meninggalkan dunia.

Saya tahu, bukan saya yang menentukan apa dan bagaimana hidup atau mati saya. Hanya sebagai manusia, tugas saya sekadar berusaha untuk tidak terus berbuat dosa, menunaikan segala kewajipan dan suruhan yang diwajibkan ke atas dirinya.

Sebagai manusia, saya sedar dan tahu betapa banyaknya kelemahan dan kekurangan diri saya sendiri. Kerana itu jugalah, maka saya saban waktu sentiasa berusaha memperkuatkan niat dan tekad untuk tidak berterusan mengulang-ulanginya lagi.

Malah semakin pula berasa malu bila mengenangkan betapa tidak selalunya niat itu menjadi makbul lantaran kelekaan dan alpa saya sendiri. Kerana rasa malu dan insaf yang sedemikian, saya semakin berasa ingin lebih bersendiri dan menjauh dari segala keriuhan yang sangat bersifat dunia.

Jauh di sudut hati juga, semakin saya berasa benci dan mual melihat segala hipokrasi dan kedurjanaan manusia. Konon, dirinyalah pejuang kebijaksanaan yang selalu bercakap atas nama moral, tetapi pada waktu sama mereka jugalah yang sanggup memijak kepala orang lain hanya untuk secuil peluang atau demi sebuah kerusi.

Dunia dijadikan pasar loak tempat mereka longgokan segala yang boleh diperdagangkan, walhal harga diri, dan kepercayaan sekalipun. Atas nama bangsa dan negara, asalkan dapat menguntungkan diri, sanggup juga digadai maruahnya oleh mereka yang meletak harga manusia dirinya setaraf haiwan.

Katalah saya pemarah atau perengus yang sok berlagak dirinya suci, saya tidak peduli. Kerana saya tahu marah saya sekadar menyatakan sikap dan pendirian diri. Itu pun selepas bertahun sabar dan memilih diam tatkala diri tidak hentinya disindir perli oleh mereka yang berasa dirinya semakin berkuku dan bergigi, atau oleh manusia yang tidak sedar akan hakikat dirinya sendiri.

Dan lebih-lebih saya semakin menjadi tidak peduli kalau disebut sebagai perengus dan pemarah, hanya kerana semata-mata tidak sudi sama bersekongkol menjadi serigala yang lapar merenggut segala peluang atau merelakan diri menjadi baghal semata-mata demi secuil ganjar kehormatan atas nama dunia.

Apalah sangat yang hendak diperebutkan di atas tanah bernama dunia yang sementara ini.

Hari ini saya mungkin terlalu bendul dan bodoh kerana menolak peluang yang ada di depan mata. Atau sekadar bercakap melepaskan rasa kecewa.

Tidak mengapa.

Berbahagialah setiap mereka yang ingin memilih dunia.

Saya akan tetap meneruskan tatih di sebuah negeri bernama sunyi. Membaca dan kembali meluruskan huruf-huruf kesilapan diri yang semakin banyak condong dan terkhilaf dari paksinya.

Januari 25, 2010

Ahad, Januari 24, 2010

DI NEGERI YANG MENGALUKAN PENJILAT


KISAH
seorang budak cerdik bernama Nadim yang menyelamatkan ribuan nyawa warga Kota Singa ketika di serang todak di zaman bahari dari mati sia-sia, selalu segar di dalam fikiran saya. Kerana syor Nadimlah maka terserlah dan terbukti betapa bodohnya perintah seorang yang bergelar raja di zaman itu. Bayangkanlah, menghadapi serangan todak dengan berkubukan betis sendiri. Dan Nadim datang dengan akal cerdiknya, menukarkan betis sendiri dengan batang pisang.

Namun seperti yang dihikayatkan dari zaman bahari itu, Nadim tidak menerima anugerah setimpal kerana akal cerdiknya itu.

Sebaliknya, angkara hasut para pembesar Melayu di zaman bahari itu, Nadim tanpa sedikit pun rasa belas dan simpati digesa agar dibunuh.

Mudah sahaja alasan mereka yang bergelar pembesar dan penasihat raja ketika itu: kalau kecil sudah demikian bijaknya budak itu, besar nanti pastilah akan mampu dia berfikir untuk menderhaka dan itu tentulah tidak selamat demi kesejahteraan raja terus di takhta.

Demikianlah diriwayatkan akhirnya hayat si budak cerdik bernama Nadim itu. Dia diikat dengan rantai besi dan dihumban lemas ke laut lepas. Maka bersukarialah sekalian para pembesar yang kerja sehari-harinya merubungi raja, konon memberikan segala setia dan nasihat demi untuk kesejahteraan sebuah negara.

Entah kerana raja yang memerintah ketika di zaman bahari itu memang tidak tahu berfikir maka segala nasihat
para pembesar yang penuh dengan muslihat dan iri itu diterimanya sepenuh hati, atau pada hakikatnya memang raja sendiri yang sedar akan bahaya yang menanti jika Nadim dibiarkan terus hidup dan mendewasa di dalam negeri, lalu demi menjamin survival dan kekekalan kuasa di takhta, jalan terbaik yang ada adalah melenyapkan sahaja dia dari muka dunia.

Itulah tragedi yang menimpa seorang budak Melayu yang cerdik di zaman bahari bernama Nadim. Walau takdir mungkin menentukan Nadim sudah demikian nasib hidupnya, tetapi melenyapkan seseorang, apa lagi seorang kanak-kanak, semata-mata kerana cerdiknya dan dikhuatir nanti mengancam kedudukan seorang yang berkuasa, memang perbuatan yang sangat tidak berperi kemanusiaan, bodoh dan bahlol.

Di sini jugalah penanda aras bermulanya penafian terhadap kecerdikan di kalangan jelata dan siapa yang berkuasa serta menjadi pembesarnya pula tidak boleh sama sekali diberitahu andai telah berbuat silap atau sesuatu yang mrugikan anak bangsanya sendiri.

Rakyat dan jelata cukup hanya menerima perintah dan jangan sekali-kali mempersoalkan apa yang telah diturunkan sebagai perintah. Andai itu cuba disanggah, maka akan buruklah padahnya.

Inilah tragedi suatu bangsa bernama Melayu. Pemerintah dan para pembesar yang berlegar di sekeliling mereka yang memerintah selalu berasa cuak, khuatir dan jika perlu membunuh apa sahaja bentuk kecerdikan yang muncul di kalangan jelata.

Apa yang menimpa Nadim jelas menjadi bukti betapa siapa yang memerintah dan juga juak-juak di sekelilingnya lebih rela rakyat dan jelata hidup terus di dalam kebodohan, asalkan mereka dapat terus menggenggam kuasa.

Bererti dengan terus membiarkan rakyat dan jelata terus hidup di dalam kebodohan, maka segala urusan pemerintahan hanya berada di kalangan sekelompok orang, yang walau pada hakikatnya mungkin lebih bodoh dari jelata yang diperbodohkan, namun merekalah yang akan menentukan segala hala tuju pemerintahan dan nasib masa depan bangsanya.

Tentu sahaja upaya memperbodohkan itu tidak dilaksanakan hanya dengan satu atau dua cara. Malah selagi ada ikhtiar dan upaya, akan diusahakan ia agar menjadi alat dan senjata ampuh untuk terus memperbodohkan jelata.

Sebutlah apa sahaja. Akta, bahan bacaan, budaya, seni dan hiburan atau apa sahaja bidang kehidupan yang boleh dieksploit, pastilah digencarkan usaha dan upaya pembodohan itu, semada secara langsung atau tidak sedar.

Tidak memadai dengan semua itu, ditakut-takutkan pula mereka dengan pelbagai momok, ancaman dan ugutan akta yang tujuannya memang jelas untuk menghindar jelata berfikir kritis dan lebih cerdik.

Usaha yang digerakkan secara terancang ini, kemudian diperkuatkan lagi tatkala bangsa yang merdeka ini dengan rela pembesar dan pemerintah yang berkepentingan dicampur urus oleh bangsa penjajah yang bersilih datang, Portugis, Belanda dan Inggeris pula.

Warisan penjajahan yang memang dengan jelas berusaha memperbodohkan jelata itu semakin diperkukuhkan cengkamannya setelah negara kembali diperintah bangsa sendiri.

Dengan upaya yang lebih licik, pembodohan itu kini semakin berubah bentuknya menjadi lebih mesra pengguna.

Penerbitan berupa buku-buku, majalah dan hiburan-hiburan yang meleka lagi menyesatkan pemikiran jelata dengan sengaja diperbanyakkan. Sementara yang sifatnya mengajak jelata lebih berfikir kritis dan terbuka, baik dalam bentuk buku atau penerbitan seni dan budaya yang lain, dikekang dengan akta dan sebahagian yang lain tidak diizinkan terbit dengan dalih moral dan kebijaksanaan yang pura-pura dan palsu.

Ketika dan saat ini jugalah, di kalangan sasterawan dan seniman seni serta budaya yang lain muncul mereka yang sanggup menjadi penjilat dan sekaligus bersekongkol dengan kebejetan-kebejatan untuk terus memperbodohkan pemikiran jelata.

Dari melahirkan karya yang lebih bersifat seni murni dan mengajak masyarakat pembacanya berfikir lebih kritis, beralih pula mereka melahirkan lebih banyak karya yang sifatnya berpura-pura dan menjilat segala slogan, konon atas nama pembangunan dan tendensi moral.

Sementara sasterawan dan seniman yang ingin terus melahirkan karya yang semata-mata bertolak dari hati nurani kesenimanannya, yang tidak sanggup menjadi pengampu serta penjilat yang melulu selalu menerrima nasib malang: sulit mendapat tempat, sulit menemui penerbit dan segala macam kepayahan.

Atau kalau tidak pun sampai sedemikian nyata penderitaan yang perlu ditanggung, mereka selalunya dipersulitkan.

Itulah nasib yang menimpa nama karyawan filem seperti Nasir Jani, Mansor Puteh, Anuar Nor Arai, Mustapha Noor, Fauziah Nawi dan Khalid Salleh di di teater, atau yang tidak tersebut namanya di sastera, sebagai contohnya.

Siapa yang tidak memilih penjadi penjilat, dinafikan haknya untuk mendapatkan dana, anugerah ketimbang mereka yang sanggup menjadi pengampu serta penjilat, yang sanggup seiring mengembek atas nama pelbagai slogan yang muluk dan indah.

Tragedi bangsa bernama Melayu ini akan terus dilanjutkan dari dekad ke dekad. Kecuali jika kuasa dan kerusi tidak lagi dianggap sebagai hak milik kekal siapa yang kebetulan bergelar penguasa dan yang memimpin.

Untuk itu tentu sahajalah harapan tertuju ke alternatif lain, yang walau atas nama apa pun, bersedia untuk melihat jelata sebagai rakan yang sama mendokong dan bukan sekadar kerbau untuk ditunggangi terus menerus.

Januari 23, 2010

Khamis, Januari 21, 2010

BELASUNGKAWA DR. ANUAR NOR ARAI



Sumber: Utusan Malaysia, Khamis 21 Januari 2010

SEBUAH KARYA SEBUAH HADIAH

SAYA tidak fikir seorang yang mengirim pesanan ringkas lewat telefon saya itu mau berlagak, menunjuk-nunjuk dan berbangga-bangga diri. Saya tidak fikir begitu.

Saya lebih kepada anggapan bahawa seorang ini hanya mahu bertanya khabar dan bertukar maklumat.

Jadi kerana itu saya memilih untuk menjawab pesanannya itu juga dengan perasaan lapang dan berterus-terang.

Seorang itu bertanya apakah saya menerima kartu undangan untuk menghadiri suatu acara menerima hadiah sastera.

Oleh kerana memang tiada maka saya jawablah sebagai tiada. Juga sebagai lanjutan dan tambahan maklumat, saya sebutkan bahawa kalau saya tidak silap ingatan dahulu ada iklan di akhbar untuk penilaian karya yang diterbitan sekitar tahun sekian perlulah dikirimkan kepada urusetianya sahaja. Jadi kalau tidak dikirim karyanya, mana mungkin akan masuk penilaian.

Seketika kemudian saya terima lagi jawapan darinya. Kata seorang ini, karya dia tidak pun dikirimkan untuk penilaian kepada urusetia, tetapi dia menerima surat memaklumkan bahawa karyanya itu antara yang memenangi hadiah. Namun kata seorang ini lagi, atas sebab kesihatan dan tidak begitu bisa berjalan jauh, dia terpaksa tidak menghadirkan diri.

Usai upacara saling berbalas pesanan ringkas ini, saya segera membuka fail dokumentasi karya bagi tahun sekian seperti mana yang disebutkan oleh seorang tadi.

Karya yang disebutkan seorang tadi saya temui dan saya baca secara pantas.

Jadi betullah anggapan awal saya tadi. Seorang itu menelefon bukanlah dengan maksud hendak berlagak-lagak atau menyombongkan diri kerana mendapat surat makluman karyanya meraih salah satu hadiah.

Saya tidak sedikit pun bersalah sangka terhadap seorang yang saya tahu memang baik hati ini. Apa yang berlegar di benak saya ketika itu hanyalah tanda soal. Tanda soal mengenai perlunya mengirim karya untuk penilaian bagi hadiah yang dikatakan diberikan untuk karya-karya yang baik yang diterbitkan dalam tempoh waktu tertentu.

Pada detik sama, saya teringat ada saya membaca di blog sasterawan Anwar Ridhwan yang menyentuh betapa tugas mendokumentasi dan mengumpul karya untuk penilaian hadiah sastera bagi sesuatu tahun patutnya diuruskan oleh satu urus setia yang khusus.

Sasterawan atau penyair, begitu kalau saya tidak salah ingatan yang saya baca antara lain disebutkan oleh sasterawan Anwar Ridhwan di blognya, biarlah meneruskan kerjanya berkarya dan terus berkarya sebaik yang boleh dan jangan dibebani dengan urusan kumpul mengumpul karya.

Sekali lagi, saya tidak ada sebarang buruk sangka terhadap seorang yang baik hati itu.

Hanya, membaca karyanya, saya lama tercenung apakah setahap itu sahajakah tema, mesej dan pencapaian mutu sebuah karya yang diinginkan mereka yang bijaksana selaku panel hadiahnya?

Kata seorang penulis yang masih muda belia, di dalam suatu bualan di telefon, mutu karya itu subjektif.

Tetapi kalau setakat berkisah mengenai kisah benda yang ditenggelami banjir atau kerinduan cinta ketika berada jauh di negeri orang, terpaku melihat taburan sakura, misalnya, ketika negara sendiri dilanda perebutan kuasa dan ribut, atau bahasanya sendiri sedang dilumuri najis, lama saya tercenung berfikir, itukah sahaja tema dan kehebatan dari sebuah karya yang mampu dilihat panel hadiahnya?

Sekali lagi, saya teringat kata penulis yang masih muda belia itu, mutu adalah subjektif.

Mungkin siapa tahu, di sebalik karya yang pada permukaannya kelihatan terlalu simple dan mudah itu dilihat panel membawa makna baru dan lain yang berlapis-lapis pula. Dan untuk itu, negeri sastera kita memang terkenal dengan segala rupa bentuk persilatan dan permainan kata bernama teori. Walau sebahagiannya hanyalah guyonan.

Memang pun secara peribadi ada atau tidak pun sesuatu hadiah saya akan tetap menulis juga. Malah ketika kali pertama memilih untuk menulis dahulu, bukanlah hadiah dan anugerah yang menjadi motivasi atau dorongannya.

Jadi persoalan apa yang diberikan hadiah atau siapa yang memilih untuk memberi hadiah pun bukanlah suatu isu yang besar sehingga boleh menyebabkan saya kecewa tidak tentu pasal tidak mahu menulis.

Malah, kalau tidak dapat memetik dan menikmati anggur di pohon yang tinggi itu sekalipun, saya tidak mahu ambil peduli apakah ianya masam atau tidak.

Sebabnya, saya tahu dan sedar sangat, ketika sastera dan seni semakin dicemari intrig politik dan budaya mengampu, jangan pandai-pandai hendak bercakap soal mutu dan penerokaan baik teknik mahu pun tema, tetapi cukuplah dengan memuji-muji, menggosok-gosok dan membodek-bodek mana-mana pihak berkaitan yang dirasakan perlu untuk di bodek.

Atau kalau tidak pun, berlagak dan berlakonlah seperti wali layaknya dan di dalam karya deretkanlah khutbah dan jargon demi jargon atau atas nama agama, walau pada hakikatnya andalah si hipokrit yang selalu berlagak baik di depan khalayak dan peminat.

Tidak mengapa jika negerimu semakin menjadi galau oleh konflik sesama bangsa, laman rumah maruahmu disimbahi kencing atau bahasa sendiri diperkuda, tetapi kau teruslah menulis dan bercerita mengenai salju di Jepun atau pembantaian di Palestine, duka di Aceh. atau segala sesuatu yang indah dan merdu belaka. Seolah-olah di negerimu sendiri tiada duka dan gelisah.

Tulisah sesuatu yang penuh dengan "hemah" dan "sopan", jangan sekali menulis kata "babi" dan "anjing" di dalam karya, kerana nanti karyamu tidak layak dinilai untuk apa-apa hadiah kerana ketidaksopanan dan celupar bahasanya.

Kau pilih itu dengan sedar kerana kau tahu memang begitulah resamnya negeri sasteramu yang semakin dicemari politik dan ampuan.

Tetapi saya, akan tetap begitu juga. Menulis sesuatu yang saya yakin, walau tidak disenangi.

Kerana, saya tidak mahu berbohong kepada diri saya sendiri.

Dan kalau anda tidak setuju, saya tidak peduli. Seperti juga sekian lama anda bersikap tidk peduli.

Januari 21, 2010

Selasa, Januari 19, 2010

SEBUAH AUTOBIOGRAFI: SIAPA YANG LAYAK

KETIKA mengetik entri ini, saya teringatkan beberapa nama tokoh sasterawan, seni dan budayawan yang banyak menyumbangkan bakti seni masing-masing di daerah atau negeri di luar Kuala Lumpur.

Sebutlah mereka: Shariff Putera, Marzuki Ali, Ali Jusoh, Norhisham Mustapha, Darma Mohamad, Wan A Rafar, Rejab F.I, Nahmar Jamil, Shapiai Mohd Ramly, Mahaya Mohd Yassin, Abdullah Ngah, Ramli Daud, Talib Samat dan banyak lagi.

Andai kata satu saat mereka tergerak dan mula menulis kisah hidup mereka sendiri, apakah syarat-syarat yang benar-benar melayakkan mereka untuk menerbitkannya ke tengah khalayak pembaca?

Saya membayangkan Shariff Putera menuliskan riwayat hidupnya. Dari awal mula lahir mengenal dunia, bersekolah, dewasa dan gigih berkaya serta menggerakkan persatuan.

Begitu juga Ramli Daud seorang yang hidup di alam peneroka Felda dari negeri Perak. Ramli Daud yang menghasilkan cerpen "Tandan Tua" pada suatu hari, kerana menyedari usianya semakin senja dan mahu meninggalkan sesuatu kepada masyarakat, memilih untuk menuliskan riwayat hidupnya sendiri.

Setelah usai dan sempurna, katakanlah Sahriff Putera atau Ramli Daud mengirimkan manuskrip riwayat hidup mereka kepada penerbit naungan kerajaan bernama Dewan Bahasa dan Pustaka.

Apakah agaknya jawapan pihak yang menerima manuskrip riwayat hidup mereka?

Tentu sahajalah saya tidak tahu dan tidak pandai hendak menduga-duga apakah jawapan itu.

Tetapi saya agak tersentuh sebenarnya mengenai sikap banyak di kalangan kita yang mudah dan suka mencemoh bila di kalangan sesama sasterawan atau seniman ada yang mulai menuliskan riwayat hidupnya.

Malah saya berasa sangat terperanjat bila suatu malam, ketika menumpangi keretanya untuk ke hentian Puduraya, seorang teman penyair memberitahu bagaimana seorang penyair tersohor seolah menempelak beliau dengan tanya apakah sumbangan seorang sasterawan veteran yang hendak dikerjakan oleh teman penyair ini koleksi tulisan mengenai diri dan sumbangannya.

Saya fikir di Malaysia, khususnya di kalangan bangsa Melayu, perangai buruknya antara lain ialah perangai tidak suka menghargai sumbangan dan bakat sasterawan dan senimannya sendiri. Bangsa Melayu ini sombong, bongkak untuk menghargai sumbangan mereka dan tidak mahu mengaku betapa mereka adalah harta bangsa yang tidak ternilai harganya.

Nampaknya, dengan semangat untuk membodek dan mengampu yang tinggi, bangsa Melayu lebih suka mengangkat-angkat dan mengagung-agungkan hanya tokoh politik, dan itu pun tokoh politik yang sama suara dengan tokoh yang sedang memegang kuasa.

Dalam keadaan ini, suara rakyat jadi bungkam, atau kalau tidak pun, diperbodohkan seperti lembu sahaja. Supaya menerima tokoh palsu yang cuba diagung-agungkan itu.

Kecuali bagi lapangan yang boleh menghibur dan melalaikan. Nama penyanyi dan pelakon termasuklah juga disebut-sebut.

Tetapi kalau pelakon, tidak kira filemkah atau teater, yang lebih ke arah seni dan memilih lebih menyuarakan kegelisahan rakyat, seperti Khalid Salleh, nasibnya pun seperti tidak sudi diperakukan sebagai harta bangsa dan negara.

Khalid Salleh pernah mengaharumkan nama negara bila meraih award pelakon terbaik peringkat Asia dan Pasifik. Tetapi lihatlah apa nasibnya. Usahkan hendak berikan Khalid dana membuat filem atau teater yang bagus, hendak dijadikan karyawan tamu di mana-mana institusi pun tiada yang mahu dan sudi.

Bagaimana pula nasibnya kalau Khalid Salleh menulis riwayat hidupnya sendiri dan cuba mencari penerbit?

Saya teringat Matari Rahman, Kalam Hamidi, Bidin Subari, Saparman Bakri, Wagiman Ns di bidang teater atau drama. Bagaimana dengan kisah riwayat hidup mereka?

Saya tidak tahu dengan pasti dan tidak berani untuk menduga jawapan yang pasti.

Mungkin suatu hari, saya bertemu dengan Shariff Putera secara kebetulan, Shariff Putera saya lihat sedang terkebil-kebil matanya seusai membaca surat penolakan manuskrip riwayat hidupnya yang baru diterima dari sebuah institusi.

Alasan penolakannya: Shariff Putera bukanlah seorang tokoh nasional.

Kalau begitu siapa sebenarnya tokoh nasional?

Kerana setahu saya, Shariff Putera sudah ke mana-mana dengan sasteranya. Apakah itu belum cukup untuk meletakkan beliau sebagai nasional?

Januari 19, 2010

TATKALA AYAH MENJADI BOS





Tajuk: Ayah Kita Bos

Penulis: Tok Rimau dan Sinaganaga

Penerbit: Sindiket Sol-jah

Tahun: 2006

Halaman: 160 halaman


DUA blogger yang memasyhurkan diri mereka sebagai Sinaganaga dan Tok Rimau telah bergabung menerbitkan tulisan mereka yang sebelumnya disiarkan di blog masing-masing, ke dalam sebuah buku dengan judul “Ayah Kita Bos”.


Buku yang dibahagikan kepada 9 bahagian dan masing-masing bahagian pula diberikan judul sebagai rujukan dengan susunan penulis secara bergilir-gilir. Karya-karya Sinaganaga dengn judul “Hijau Pucuk Pisang”, “Merah Jambu”, “Ungu Biji Kundang” dan “Haru Biru”.


Karya-karya Tok Rimau pula dirangkumkan di bawah judul-jdul “Ekor”, “Taring”, “Misai”, “Kuku” dan sebuah komik “Ajan & Rima”.


Membaca secara pantas dan imbasan, kisah dan cerita yang dihidangkan kembali dalam bentuk buku oleh kedua blogger ini memang terasa menarik untuk dibaca kerana sifat ceritanya yang amat santai dan tidak terlalu diberati longgokan kata-kata besar atau jargon, baik atas nama apa pun.


Kebolehan mereka sebagai pencerita kelihatannya dibarengi sama dengan sifat yang jelas kelihatan untuk tidak terlalu mahu mengada-ada dan menayangkan ego mereka sebagai penulis, baik dalam cara bercerita atau kisah yang dipaparkan.


Sinaganaga dan Tok Rimau terkesan hanya mau menyata dan menyajikan sejumlah cerita kepada para pembacanya secara apa adanya dan kerana itu jugalah, kalau hanya dibaca secara sekali imbas, khususnya kisah-kisah yang dihidangkan oleh Sinaganaga, kebanyakan cerita dan kisah yang dihidangkan di dalam buku ini bagaikan kisah-kisah yang sangat iseng, enteng dan bermain-main.


Bayangkan, apalah sangat erti dan gunanya, jika dibaca secara pantas dan sekali imbas kisah mencari pelangi, menelan biji tembikai atau kisah ayam tersepit bagi kita selaku pembaca yang selalu terlalu sebok befikir ini?


Namun begitu, dalam keisengan dan enteng kisahnya, Sinaganaga sempat juga melontar sindir terhadap perilaku kurang sopan jurujual wanita Melayu yang menjawab tanya pelanggan hanya dengan memuncungkan bibirnya.


Sejumlah cerita dan kisah yang dipaparkan Sinaganaga di bahagian yang dijudulinya “Merah Jambu” sebahagian besarnya adalah pengalaman pertulangan di negeri matahari terbit. Dalam satu dua kisah yang lain di bahagian ini, Sinaganaga menyunglapkan diri menjadi tukang pemberi maklumat mengenai budaya dan tatacara berurusan dengan orang Jepun. Malah ada juga sesekali Sinaganaga cuba berlucu dengan kisah kimono yang ketiaknya berlubang.


Namun begitu lain sedikit dengan Tok Rimau yang kelihatannya lebih menunjukan keseriusannya dalam bercerita. Meski berkisar sebahagiannya di sekitar nostalgia diri dan masa lalu, amun di sebalik cerita dan kisahnya terselit juga sindiran dan komentar.


Cerita Tok Rimau mengenai tong sampah, otak dan kentut atau Mat yang tiba-tiba memakai kot ternyata tidak semata-mata kisah dan cerita tetapi menyiratkan pula komentar sosial Tok Rimau mengenai sesuatu isu yang difikirkan wajar dikomentarinya.


Di dalam kisah “Otak Aku Terkentut” misalnya, Tok Rimau berkomentar betapa melepaskan sesuatu (kentut) yang pada mulanya baik untuk kesihatan tetapi di segi budaya dan masyarakat selalu diberikan pandangan negatif terhadapnya.


Kerana pandagan negatif masyarakat itu jugalah maka perbuatan menegor kesalahan, terutama kesalahan orang berdarjat juga dilarang, sehingga menimbulkan budaya yang dinamainya sebagai “budaya bisu” dan “budaya berbisik-bisik”. Tularan dari budaya ini adalah apa yang diperpatahkan oleh Tok Rimau sebagai baling batu sembunyi tangan.


Kisah Mat yang masuk ke tandas dan kemudian keluar ke pejabat pos dengan mengenakan kot sebenarnya bukanlah kerana keinginannya hendak berlagak. Puncanya, seluar Mat yang disangkutkan di kepala paip sebelah tangki pam di dalam tandas dibasahi air yang meleleh, untuk mengelak difitnah dirinya kencing dalam seluar, Mat mengenakan kot.


Memang pun secara bersungguh-sungguh Tok Rimau kelihatannya seolah-olah hanya mahu bercerita mengenai Mat mengenakan kot. Namun di sebalik cerita itu, Tok Rimau secara langsung telah mengomentari perbuatan orang yang suka mencuri penyangkut tembaga di dalam tandas.


Cara bercerita Tok Rimau yang lebih bersungguh-sungguh semakin ketara dalam bahagian atau bab seterusnya di dalam buku ini. Kisah di dalam serial “Bumbung Aku Lantai Orang” memperihalkan cerita aku “Tok Rimau” yang tinggal di flat Bukit Cagar.


Kisah ini saling tidak tumpah menjadi autobiografi penulis sendiri, yang sekali gus melukiskan panorama budaya dan masyarakat sekitarnya: budaya samseng, masalah sosial dan jenayah.


Namun begitu, dalam kesungguhan bercerita itu, Tok Rimau sempat juga melontarkan sindir terhadap birokrasi dan seribu satu macam kerenah mengenai pegawai kerajaan yang korup melalui kisah “Lori Kuih Mat Zain”. Di dalam kisah ini, Mat Zain yang sering diganggu oleh kerani Majlis yang korup.


Berbanding dengan Tok Rimau, kisah atau cerita yang dipaparkan oleh Sinaganaga di dalam buku ini lebih enteng dan iseng. Tetapi tidaklah bererti dalam keisengan dan enteng kisahnya itu Sinaganaga sekadar mahu atau terlalu seronok bermain dengan kata-kata dan bahasa, sehinggakan kisah dan cerita yang dipaparkannya sekadar kisah dan cerita yang kosong dan nihil sirat makna dalamannya.


Di sini jugalah kelihatan kehebatan dan kelebihan Sinaganaga sebagai seorang pencerita. Dalam kisah pendek dan ringkas yang dipilih sebagai judul buku ini berjudul “Ayah Kita Bos” di halaman 92, Sinaganaga memaparkan kisah kanak-kanak A yang mengagumi ayahnya sebagai “bos” semata-mata kerana mendengar Cina penjual VCD memanggilnya bos.


Bagi seorang lelaki dewasa yang mendengar, tentulah panggilan itu tidak memberikan erti apa-apa, malah mengundang ketawa di dalam hatinya sendiri.


Lebih jauh merenungkan kisah kecil dan mudah ini, imiginasi kita mudah meliar dan menghubungkannnya dengan makna yang lebih jauh mendasar. Antaranya, kita sebenarnya selalu merasa kita adalah bos, tuan atau pemilik, walau pada zahirnya segala yang dibanggakan sudah menjadi milik orang dan kita terus terbuai oleh gelar dan sanjung nan palsu.


Sebagai kesimpulan dan perbandingan, tulisan Sinaganaga di dalam buku ini memang lebih memperjelaskan sosok dan stail penulisannya yang bersifat santai, kenes, dan membling. Sementara Tok Rimau pula, di sebalik kisah dan cerita-nya yang kelihatan biasa di permukaan, seringkali menyelitkan kritik dan komentar sosialnya.


Tidak percaya? Baca antara kisah Tok Rimau berjudul “Marhalah” di halaman 84. Renungkan kata-kata ini: “Aku rasa pemandu-pemandu jahat juga sedang melalui zaman kegelapan mereka. Tidakkah mereka tahu kerap sekali jalan raya adalah lokasi musabah untuk mati?”


MARSLI N.O

September 10, 2009


Sumber siaran: Suara Keadilan, Bil 216 19 – 26 Januari 2010


Sabtu, Januari 16, 2010

JALAN JAUH SEBUAH PENERBITAN NOVEL (2)

KETIKA menuliskan novel ini, saya sepenuhnya sedar betapa saya akan menghadapi pelbagai gugatan dari kalangan yang menganggap sastera dan seni adalah ruang untuk mengajar manusia menjadi patuh secara membuta tuli dan membuang jauh daya kreativiti yang dimilikinya.

Namun itulah kedegilan saya. Kata saya kepada diri sediri, kalau saya tidak berani mendobrak konvensi, walau hanya sendirian, siapa lagi yang akan memulakannya. Tetapi sekali lagi, saya tidak berniat hendak menjadi hero atau apa sahaja gelar kerana "pemberontakan" saya itu. Pokoknya, saya hanya ingin menuliskan sebuah karya, karya yang menurut keyakinan dan konsep seni saya waktu itu.

Selesai merampung manuskrip novel setebal 180 halaman itu saya berasa sangat letih dan tertekan. Anehnya juga, manuskrip itu tidak begitu berghairah untuk segera saya kirimkan ke mana-mana penerbitan atau memberitahu sesiapa bahawa saya sudah pun menyiapkan novel itu. Selama beberapa tahun manuskrip novel itu saya simpan.

Kemudiannya, tatkala mengetahui Mohd Isnin Tawaf bertugas sebagai editor di Creative Enterprise, baru tergerak hati saya untuk menyerahkan manuskrip itu kepada beliau.

Ketika datang menyerahkan manuskrip itu secara serahan tangan kepada Mohd Isnin, saya berpesan agar manuskrip saya itu tidak diconteng, kecuali setelah memang jelas ada persetujuan mahu diterbitkan. Tujuan saya berpesan begitu kerana saya sudah berasa tidak sanggup lagi untuk menaip kembali dengan mesin taip manuskrip itu dari awal jika saya hendak mengirimkannya ke penerbitan lain selepas itu.

Ketika di meja Mohd Isnin saya melihat ada manuskrip Shamsiah Mohd Nor dan Mohd Isnin sebagai kawan menasihati saya agar tidak menerima tawaran untuk menjual manuskrip dengan mana-mana syarikat penerbitan.

Seperti saya duga, mansukrip saya berjudul “Petualang” itu telah ditolak oleh atasan Mohd Isnin Tawaf dan tentulah penolakan itu berdasarkan saran oleh seorang editor atau penilai manuskrip itu, yang juga teman Mohd Isnin, yang telah menconteng-conteng dan mencari-cari logik dan realiti di dalam naskhah saya itu, dengan alasan tidak sesuai untuk diterbitkan.

Saya menerima penolakan itu dengan hati tenag, tetapi yang agak sedikit saya terkilan, walau dikatakan tidak sesuai diterbitkan, namun manuskrip itu telah diconteng dan diedit di sana sini.

Begitu ditolak oleh Creative Enterprise, manuskrip itu kembali terbenam di celah fail dan bahan dokumentasi lain di kamar kreatif saya beberapa tahun lagi.

Baru di pertengahan tahun 1999 ketika bertemu dengan sorang kawan yang bekerja di sebuah penerbitan milik kerajaan, saya memberitahu saya memiliki sebuah manuskrip yang tidak saya tahu mahu dihantar ke mana lagi dan saya juga langsung bertanya apakah beliau sudi meninjaunya secara tidak rasmi akan kesesuaiannya sebelum saya kirimkan ke penerbitan berkenaan.

Teman ini bersetuju untuk meninjau dan selepas saya kirimkan selang sebulan kemudian, saya bertanya pendapat teman ini. Teman ini mengaku mansukrip ini memang tidak mungkin dapat diterbitkan di penerbitan tempat beliau bertugas kerana masalah isi kandungannya yang agak sensitif. Apa lagi kebetulan ketika itu juga kisah penentangan dan reformasi sedang hangat membara.

Saya pun tidak memberikan reaksi apa-apa dengan penerangan teman ini, walau ketika saya menulis manuskrip ini di sekitar tahun 1991, oknum yang dirujukkan itu pun namanya memang sudah agak tersohor namanya di persada politik tanah air dan saya tidak pun terbayangkan untuk menulis sesuatu yang seakan berkait dengan dirinya.

Dan saya malah makin mendiamkan diri ketika seorang teman lain yang juga bertugas di penerbitan berkenaan memberitahu bahawa dia turut membaca manuskrip saya itu dan kesan beliau ialah saya menulis dalam keadaan yang terlalu emosional.

Walau tidak sampai ke tahap kecewa atau patah hati, tetapi naskhah itu kembali saya simpan dan berharap agar suatu waktu, jika punya modal, saya akan menerbitkannya dengan kudrat saya sendiri.

Malah tatkala bertemu Pak Shahnon Ahmad di Universiti Sains Malaysia dalam satu acara sastera, saya hanya mendiamkan diri ketika disyorkan supaya menulis sebuah novel. Saya tidak mengatakan ya dan tidak juga memberitahu beliau bahawa saya memang sudah menulis novel.

Entah kenapa, ketika novel “Shit” Pak Shahnon Ahmad heboh diperkatakan, saya seakan mendapat pencerahan kembali dan rasa bersemangat untuk kembali menjengah manuskrip novel saya itu. Tanpa berfikir dua kali, satu salinan manuskrip yang sudah kembali saya taip dengan perisian Microsoft Word dan disimpan di dalam disket serta komputer, saya kirim kepada Pak Shahnon.

Saya tidak pun mengharapkan apakah ianya akan diterbitkan dengan bantuan kewangan dari Pak Shahnon. Rasanya, saya mengirim manuskrip itu kepada Pak Shahnon lebih kerana mahu memberitahu secara tidak langsung dan menjawab saranannya ketika di Universiti Sains Malaysia dahulu bahawa saya sebenarnya memang sudah menulis sebuah novel.

Kalau tidak kerana surat yang saya terima bertarikh 31 Julai 2007 yang ditandatangani oleh Tuan Haji Mohamad Yussop Ishak, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, yang memaklumkan saya sebagai salah seorang peserta bengkel pemantapan karya di Brinchang, Cameron Highland, pastilah manuskrip novel “Petualang” saya itu akan tenggelam selama-lamanya di bawah ingatan dan kerana segala macam kesebokan peribadi.

..... bersambung

Januari 16, 2010

Khamis, Januari 14, 2010

JALAN JAUH SEBUAH PENERBITAN NOVEL (1)

SELALU secara penuh sedar saya memilih berada agak menjauh dan lebih memilih untuk hanya menjadi pendengar bila mendengar orang bercerita dan berbincang secara bersungguh-sungguh mengenai menulis dan menerbitkan novel.

Walau saya memang pernah menerbitkan dua novel, untuk kanak-kanak dan remaja, tetapi secara diam-diam saya menganggap diri saya tidak begitu layak untuk bercakap banyak mengenainya.

Bagi saya secara peribadi apalah sangat menulis dan berjaya menerbitkan novel untuk kanak-kanak dan remaja. Saya sedikit pun tidak ingin berasa terlalu mahu membangga-banggakan diri kerananya.

Tanpa niat untuk meremehkan orang lain yang menulis novel untuk kanak-kanak dan remaja, ujian sebenar seorang novelis bagai saya adalah bila mana dia berjaya menulis sebuah novel untuk dewasa atau umum dan kemudian ada pula pihak yang mahu menerbit dan menjualnya di pasaran.

Lantaran itulah saya tidak begitu mahu bercakap banyak mengenai penulisan novel secara terbuka, walau memang ada pendapat yang menyebut betapa proses menulis sebuah novel untuk kanak-kanak dan remaja itu sesungguhnya sama sahaja dengan menulis novel untuk dewasa atau umum.

Malah kerana itu juga, saya tidak sedikit pun berasa tersentuh atau tersinggung bila secara berlapik seorang sahabat penulis pernah berkata di hadapan saya, pada suatu pagi di sebuah warung di depan bangunan lama Dewan Bahasa dan Pustaka, betapa banyak penulis dari era atau kelompok 1980-an yang tenggelam dan kurang dibicarakan lantaran mereka tidak menulis novel dan kalau ada pun novel mereka itu tidak begitu menimbulkan impak di peta sastera tanah air.

Secara peribadi memang pun jauh di dalam hati saya selalu memandang dengan rasa hormat dan mengagumi siapa sahaja yang menulis novel, apa lagi mereka yang mampu menulis sebuah novel yang tebal melebihi 300 halaman dan produktif pula menerbitkan karyanya demi karya.

Saya katakan begitu kerana saya sedar saya bukanlah jenis manusia yang boleh duduk berlama-lama menulis sesuatu yang begitu detail, panjang dan tebal. Atau menceritakan sesuatu secara bertele-tele, malah boleh dikatakan sangat teliti, untuk hanya misalnya, melukiskan dengan kata-kata, pemandangan seekor katak yang mahu melangkaui rel keretapi seperti di dalam novel Daerah Zeninya A. Samad Said.

Terus terang saya adalah jenis pengarang yang agak kurang sabar dan mahu cepat menyelesaikan sesuatu. Dan saya rasa ini ada hubungkaitnya juga dengan apa yang saya alami sendiri tatkala membaca sesebuah novel karya beberapa pengarang, yang kebanyakannya jarang mendorong saya untuk lebih lanjut membacanya sehingga selesai, atau ditinggalkan begitu sahaja tanpa usai ke akhir halamannya.

Tetapi ini hanyalah soal selera. Jika saya tidak menyukai kebanyakan novel Melayu Malaysia kerana saya berasa kebanyakannya lebih cenderung untuk berlagak dan melagak-lagakkan sesuatu, saya rasa orang lain tidak semestinya sikapnya serupa saya.

Terus terang, saya tidak mahu memaksakan kehendak dan cara saya melihat kebanyakan novel kita ini sebagai suatu pandangan yang sah yang mesti diakuri juga oleh orang lain.

Sebagai pembaca, biarlah orang lain bebas memilih untuk membaca apa sahaja novel yang mereka sukai. Tidak peduli apakah itu novel popular, picisan, atau lucah. Gelar dan label belum pasti sama menentukan nilai. Malah siapa tahu, sebuah novel kisah erotik barangkali nilai dan mutu sasteranya lebih tinggi dari sebuah novel lain yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia kategori novel bagi tahun sekian!

Di luar persoalan selera dan mutu novel yang menjadi pilihan peribadi saya, saya sebenarnya, sebelum menulis dan menerbitkan dua novel untuk kanak-kanak dan remaja itu, di peringkat permulaan menulis dahulu sudah pun menghasilkan beberapa novel untuk umum atau dewasa. Dan ketika menulis novel ini, saya belum pun lagi berjaya menerbitkan apa-apa cerpen saya di mana-mana akhbar atau majalah.

Novel pertama, memang agak pendek dan ringkas, saya tulis berlatar belakangkan semangat dari novel Ziarahnya Iwan Simatupang dan Telegramnya Putu Wijaya. Novel seputar konflik perasaan seorang anak muda menghadapi kekangan tradisi dan cuba melawan dengan caranya sendiri, yang manuskrip asalnya saya tulis sekitar bulan November ke Disember 1980 itu saya yakin tersimpan di antara longgokan fail lama di dalam kamar kreatif saya kini.

Novel kedua pula berlokasikan sebuah ladang getah atau estet sekitar tahun akhir 60-an hingga awal 1970 yang siap saya selesaikan di awal tahun 1981. Manuskrip berjudul "Mengejar Merak Putih" itu saya kirim ke penerbitan Teks Publishing, beradasarkan cop posnya, pada 30 Julai, 1985.

Walau saya terima surat perakuan penerimaan manuskrip dari penerbitnya, namun saya tidak pasti apakah manuskrrip ini telah diterbitkan dan dijual di kedai buku atau tidak. Apa lagi tidak berapa tahun selepas itu penerbitan Teks Publishing juga telah bubar.

Hanya, Rahimidin Zahari, ketika kami berbual di lobi Kompleks Teruntum di Kuantan, kalau tidak silap saya sekitar tahun 1994 pernah bertanya saya di mana kini novel saya itu, kerana menurut Rahimidin dia melihat judul novel saya itu berada di bahagian paling akhir di dalam senarai karya yang akan diterbitkan oleh Teks Publishing yang disiarkan di dalam sebuah akhbar.

Kemudian, selepas itu menyusul pula novel ketiga yang saya anggap hanya sebagai latihan dan lebih cenderung mengikut perasaan muda saya, menjadikan novel itu lebih bertolak dari teori libidonya Freud. Tentu sahaja ketika dimajukan ke sebuah penerbitan, naskhah tersebut telah ditolak dan dianggap tidak sesuai dengan dasar penerbitan yang bermaruah dan gah itu.

Seingat saya baru mulai di tahun 1991, selepas sejumlah cerpen yang saya tulis secara ngawur dan dengan niat melanggar konvensi penulisan cerpen yang sedia ada disiarkan di majalah Fantasi dan tabloid Watan, saya lebih bersungguh menulis sebuah novel yang saya anggap sebagai benar-benar mewakili cara saya mahu menuliskan sebuah novel, mengikut konsep dan keyakinan seni saya sendiri, yang memang tidak ingin sama sekali tunduk dengan konvensi penulisan novel sekitar tahun itu.

Manuskrip itu, kerana saya menulisnya berdirkit-dikit dalam keadaan diri dan imaginasi saya yang sentiasa bertualang ke mana-mana, secara sedar saya berikan judul "PETUALANG" merupakan manifestasi kepengarangan saya yang meyakini bahawa sebuah novel atau sehimpunan cerita boleh sahaja berupa himpunan dari pelbagai cerita yang dikarang-karang atau digubah menjadi satu dalam kesatuan yang agak longgar bentuknya tetapi diikat oleh sebuah tema besar, iaitu "petualang" sebagai landasnya.

bersambung .....

Januari 14, 2010

Selasa, Januari 12, 2010

ATAS NAMA MARUAH

TIADA suatu mahkluk pun yang bernama manusia di atas muka bumi ini, yang sihat akal serta fikirannya dan cinta sepenuh-penuhnya cinta terhadap bangsa, agama, bahasa dan budayanya yang sanggup membiarkan begitu sahaja segala perbuatan kesewenangan terhadap kecintaannya itu.

Katakanlah itu sebagai maruah, atau harga diri bagi seorang makhluk bernama manusia, pastilah segala perbuatan kesewenangan itu akan membangkitkan rasa marah dan rasa tercabarnya.

Kerana itulah juga, hidup di dalam sebuah negara yang pelbagai bangsa, kaum, agama dan bahasanya, sikap untuk saling menyantuni serta tidak menyentuh apa yang dapat dianggap sebagai maruah atau harga diri pihak yang lain, sama sekali tidak akan disentuh, apa lagi untuk dipersenda-sendakan pula.

Ini sebenarnya adalah lumrah yang sepatutnya dimengerti oleh setiap kita yang bernama manusia yang diberikan otak dan akal untuk mempertimbang segala sebab dan akibat dari sesuatu perbuatan.

Tetapi kenapa tiba-tiba masih ada di antara kita meminta sesuatu yang bukan haknya? Atau tiba-tiba berasa itu sesuatu yang memang haknya walau sudah jelas bukan haknya?

Saya memang berasa marah kerananya. Tetapi marah saya tidak bererti saya akan mengamuk membuta tuli menyerang sesiapa sahaja.

Saya juga tidak akan menuduh bahawa ada dalang atau sesiapa yang menjadi biangnya. Saya tahu tuduhan-tudahan melulu dan tindakan yang membuta tuli tidak akan memberi untung dan malah akan bertambah memperjelaskan sosok kebodohan sikap dan tindak.

Tetapi begitulah di tangan para politikus. Segala yang boleh dipolitikkan, akan mereka politikkan, walau tiada siapa pun di kalangan jelata yang akan beroleh manfaat darinya.

Sehingga akhirnya, yang menjadi tanya dan soal, apakah seorang politikus memang begitu laku dan tindaknya?

Tidakkah menunjukkan ketidakcerdikan kita sendiri bila sesuatu yang sejak mula boleh diperbincangkan secara senyap dan berhemah, akhirnya terdedah dan bergaung hampir menjadi jerit dan pekik yang lantang?

Saya sedar saya bukanlah seorang yang terlalu cerdik dan bijak untuk menjadi seorang politikus. Tetapi biar pun begitu, saya tidak rela kerana kekurangan cerdik saya itu maka para politikus mengambil pula kesempatan untuk menjadikan saya kaldai yang boleh mereka tunggangi dengan pelbagai isu yang kadang-kadang dangkal dan terlalu bodoh.

Demikian juga halnya dengan para jelata. Kepercayaan yang telah mereka serahkan kepada kalian yang bergelar politikus bukan bermakna suatu lesen untuk mereka diperbodoh dan cuba dijadikan baghal.

Saya fikir para politikus kita tidak perlu cuba berlagak untuk menjadi juara yang palsu dan bohong.

Hati jelata sebenarnya bukanlah terlalu payah dan keras untuk dimenangi. Asal sahaja suara rintih nuraninya didengar, pastilah jelata berbesar hati menemui pemimpin yang sedemikian.

Soalnya sudikah pemimpin kita bersikap demikian, tanpa perlu terlalu bersusah payah untuk berlakon atau berpura-pura menjadi juara, semata-mata untuk sepeser undi?

Zaman jelata boleh dipergula-gula dengan retorik dan omong kosong yang sedap didengar telinga sudah lama berlalu.

Zaman kini, jelata menuntut janji yang jujur dan jika itu tidak mampu diberikan oleh setiap mereka yang bergelar pemimpin, silalah lucutkan gelar atau turun dari kerusi itu.

Siapa pun kau yang bergelar pemimpin, itulah yang memang dituntut jelata. Jelata tidak pernah mahu ambil peduli yang kauperjuangkan itu atas nama maruah atau pun tidak.

Kerana kini, kata maruah sudah semakin menjadi nipis dan ringan ertinya lantaran sudah terlalu acap dan jenuh dicelup dengan lumpur retorik.

Atas nama maruah? Maruah apa? Dan siapa?

Januari 12, 2010

Isnin, Januari 11, 2010

MUNAJATKU

ALLAH

ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH

ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH ALLAH
ALLAH ALLAH
ALLAH

k
u

Januari 2, 2010

REZEKI DAN KETENTUAN ALLAH

LAMA saya tercenung. Kata yang baru sebentar usai dia ucap masih membekas kesannya di hati kecil saya. Di dalam hati, tanpa suara saya bertanya kepada diri: apa dosa saya kepada mereka sehingga begitu tega mereka berbuat?

Saya sedar tidak ada gunanya saya marah dan membentak. Saya tahu andai itu saya perbuat, yang akan kelihatan jahat dan buruk tetaplah diri saya dan bukan mereka.

Saya masih ingat. Beberapa bulan yang lalu seseorang mengajak saya ke pejabatnya dan menawarkan saya suatu tugasan. Katanya seorang yang lain merekomen bahawa saya boleh membantu untuk menyelesai beberapa tugasan yang menimbun di ruang pejabatnya yang baru dia terima sebagai amanah.

Kepada dia, saya hanya mengangguk dan berjanji akan melaksanakan tugas itu sebaik mungkin dan sejujur saya. Kerana sudah berjanji menjaga rahsia, tidak saya ceritakan kepada sesiapa pun bahawa saya sedang melaksanakan salah satu tugas itu.

Tetapi tengah hari ini, seseorang ini memberitahu saya betapa dia telah ditegor atasannya kerana memberikan saya tugas itu.

Tentu sahaja saya terperanggah kerana saya tidak pernah meminta tugas itu atau sampai ke tahap merayu-rayu dia agar diberikan tugas itu.

Saya menerima kerana ada yang mahu memberi dengan harapan agar saya dapat membantu meringankan longgokan tugas di ruang pejabatnya, kononnya kerana seorang teman baiknya telah merekomenkan nama saya. Kerana itulah saya terima tugas itu dan tugas itu telah pun saya selesaikan sejujur yang saya mampu.

Tegoran atasannya bermula tatkala dia menyerahkan sekeping surat untuk ditandatangani. Surat yang perlu ditandatangani oleh atasannya itu, antara lain akan memastikan saya akan menerima bayaran untuk kerja yang telah saya laksanakan.

Saya tidak terkilan kalau misalnya atasannya tidak mahu menandatangani surat itu atas alasan saya bukanlah seorang yang lulus dari mana-mana universiti.

Tetapi apa dalihnya? Seseorang itu memberitahu, atasannya kononnya telah dimaklumkan oleh seorang yang entah siapa bahawa saya adalah seorang yang kata-katanya tidak sanggup saya hendak menyebutnya.

Saya tahu hidup dan mati saya, juga rezeki-rezeki saya, bukanlah ditentukan oleh seseorang atau sejumlah manusia.

Saya sangat meyakini dan percaya itu. Kerana itulah saya tidak terlalu runsing kalau kerana khabar yang disampaikan seseorang kepada atasannya itu maka saya tidak diperbolehkan lagi melaksanakan sesuatu tugas yang bisa mendatangkan sedikit upah.

Yang tidak sudah saya fikirkan, di kalangan manusia seniman dan sasterawan ini, masih ada rupa-rupanya mereka yang sanggup bersusah payah melaporkan ke sana dan ke mari bahawa si anu begitu atau begini.

Sungguh saya tidak tahu siapa mereka ini dan biar Allah sahajalah yang memberikan nilaian terhadap apa sahaja perbuatan mereka terhadap saya.

Tetapi, yang juga tidak sudah saya fikirkan, kenapakah pula seorang manusia yang memanggul gelar ketua di sebuah jabatan, pun begitu dungu dan mudahnya percaya dengan sesuatu khabar tanpa usul dan periksa.

Saya fikir tentulah dia berasa hina dan akan menjadi rendah martabat dirinya kalau dia langsung bertanya kepada saya akan kebenaran serta mendapatkan kepastian segala perkhabaran itu.

Atau mungkin juga, kerana gelar dan kuasa yang dia ada, atasan ini fikir dia mampu menghidup dan mematikan peluang rezeki orang lain yang kebetulan melaksanakan sesuatu tugas di sana.

Saya sebenarnya tidak sedikit pun berasa terganggu, atau ingin marah dan berasa terkilan. Saya tahu Allah sudah tentukan tiada rezeki saya di sana, maka saya redhalah.

Hanya, ketika seorang yang menyampaikan berita ini kepada saya segera mengajak saya berlindung di sebalik tiang, begitu melihat atasannya lewat berhampiran tempat kami sedang berbual, atas alasan takut dilihat bersama saya, saya sendiri bertanya di dalam hati kenapa pula sehingga demikian sekali lakunya.

Mungkin memang ada sesuatu yang saya benar-benar tidak tahu. Dan saya serahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah jua.

Mungkin selama ini saya berjalan dengan kepala di bawah dan kebodohan saya sendiri menyebabkan saya tidak pernah sedar serta terlalu lama membiarkan orang lain mentertawakan kebodohan diri saya itu.

Januari 11, 2010

Isnin, Januari 04, 2010

KEPADA INGATAN

TIDAK ingin aku bermusuh denganmu
walau berkali kaudatangkan marah
dan dendam yang meredam
mengajak aku kembali jadi keliru
digoda cemburu yang menderu

Aku hanya ingin menjadi diriku
marah tatkala perlu
di luar cemburu atau hasad yang kelabu

Walau diriku bertalu
dilempari kaca dan paku

Aku akan tetap juga di situ

Kuantan
Januari 4, 2010

Ahad, Januari 03, 2010

TAHUN BARU, MELANGSAI TEKAD DARI TAHUN YANG BERLALU


SAYA tidak terlalu ingin terpedaya dan terpengaruh dengan ritual sambutan awal tahun yang selalunya dimulai dengan ciptaan pelbagai tekad dan azam yang kononnya juga baru di tahun 2010 ini.

Saya katakan begitu kerana tahun ini saya hanya ingin merayakannya untuk diri sendiri dengan niat untuk melangsaikan segala baki dan hutang tekad serta azam dari tahun-tahun sebelumnya, yang belum saya tunai sepenuhnya.

Kerana di usia yang semakin merangkak ke senja ini, saya tidak mahu lagi begitu mudah terpedaya dengan segala macam cermin tipu daya, yang mudah mengajak saya agar berleka-leka agar membazirkan waktu terhadap benda dan perkara-perkara yang sebenarnya tidak perlu.

Tidak pedulilah apakah cermin tipu daya itu berupa ajakan dan bujukan kawan-kawan, keadaan atau tuntutan dari orang-orang yang saya sayang, saya mesti lebih bertegas untuk mengatakan tidak terhadap segala sesuatu yang boleh melekakan saya dari niat dan tujuan mula saya memasuki dunia tulis dan menulis ini: menulis, menulis, menulis dan membaca, membaca, dan kemudian menulis lagi.

Saya sedar saya sudah cukup dewasa untuk membuat pilihan sendiri, sama ada menerima dan menolak, juga dengan sikap bersedia menanggung segala risiko dari pilihan yang telah dan sudah saya buat.

Walau apa pun, saya hanya ingin menulis dan terus menulis. Hanya itulah sahaja kesenangan dan perkara yang menjadikan saya manusia bahagia di dalam hidup.

Kerana itu, selalu saya meminta dan berdoa kepada Dia yang Maha Memberi dan Mengasihani agar membantu dan terus memberikan saya kekuatan tenaga, akal, jiwa dan fikiran untuk menghadapi segala dugaan, baik dari kalangan sesama manusia, mahupun dari kalangan jin, iblis dan syaitan.

Tuhan, hanya kepadaMu aku berserah dan hanya kepadaMu aku merayu.

Januari 2, 2010