Khamis, Januari 14, 2010

JALAN JAUH SEBUAH PENERBITAN NOVEL (1)

SELALU secara penuh sedar saya memilih berada agak menjauh dan lebih memilih untuk hanya menjadi pendengar bila mendengar orang bercerita dan berbincang secara bersungguh-sungguh mengenai menulis dan menerbitkan novel.

Walau saya memang pernah menerbitkan dua novel, untuk kanak-kanak dan remaja, tetapi secara diam-diam saya menganggap diri saya tidak begitu layak untuk bercakap banyak mengenainya.

Bagi saya secara peribadi apalah sangat menulis dan berjaya menerbitkan novel untuk kanak-kanak dan remaja. Saya sedikit pun tidak ingin berasa terlalu mahu membangga-banggakan diri kerananya.

Tanpa niat untuk meremehkan orang lain yang menulis novel untuk kanak-kanak dan remaja, ujian sebenar seorang novelis bagai saya adalah bila mana dia berjaya menulis sebuah novel untuk dewasa atau umum dan kemudian ada pula pihak yang mahu menerbit dan menjualnya di pasaran.

Lantaran itulah saya tidak begitu mahu bercakap banyak mengenai penulisan novel secara terbuka, walau memang ada pendapat yang menyebut betapa proses menulis sebuah novel untuk kanak-kanak dan remaja itu sesungguhnya sama sahaja dengan menulis novel untuk dewasa atau umum.

Malah kerana itu juga, saya tidak sedikit pun berasa tersentuh atau tersinggung bila secara berlapik seorang sahabat penulis pernah berkata di hadapan saya, pada suatu pagi di sebuah warung di depan bangunan lama Dewan Bahasa dan Pustaka, betapa banyak penulis dari era atau kelompok 1980-an yang tenggelam dan kurang dibicarakan lantaran mereka tidak menulis novel dan kalau ada pun novel mereka itu tidak begitu menimbulkan impak di peta sastera tanah air.

Secara peribadi memang pun jauh di dalam hati saya selalu memandang dengan rasa hormat dan mengagumi siapa sahaja yang menulis novel, apa lagi mereka yang mampu menulis sebuah novel yang tebal melebihi 300 halaman dan produktif pula menerbitkan karyanya demi karya.

Saya katakan begitu kerana saya sedar saya bukanlah jenis manusia yang boleh duduk berlama-lama menulis sesuatu yang begitu detail, panjang dan tebal. Atau menceritakan sesuatu secara bertele-tele, malah boleh dikatakan sangat teliti, untuk hanya misalnya, melukiskan dengan kata-kata, pemandangan seekor katak yang mahu melangkaui rel keretapi seperti di dalam novel Daerah Zeninya A. Samad Said.

Terus terang saya adalah jenis pengarang yang agak kurang sabar dan mahu cepat menyelesaikan sesuatu. Dan saya rasa ini ada hubungkaitnya juga dengan apa yang saya alami sendiri tatkala membaca sesebuah novel karya beberapa pengarang, yang kebanyakannya jarang mendorong saya untuk lebih lanjut membacanya sehingga selesai, atau ditinggalkan begitu sahaja tanpa usai ke akhir halamannya.

Tetapi ini hanyalah soal selera. Jika saya tidak menyukai kebanyakan novel Melayu Malaysia kerana saya berasa kebanyakannya lebih cenderung untuk berlagak dan melagak-lagakkan sesuatu, saya rasa orang lain tidak semestinya sikapnya serupa saya.

Terus terang, saya tidak mahu memaksakan kehendak dan cara saya melihat kebanyakan novel kita ini sebagai suatu pandangan yang sah yang mesti diakuri juga oleh orang lain.

Sebagai pembaca, biarlah orang lain bebas memilih untuk membaca apa sahaja novel yang mereka sukai. Tidak peduli apakah itu novel popular, picisan, atau lucah. Gelar dan label belum pasti sama menentukan nilai. Malah siapa tahu, sebuah novel kisah erotik barangkali nilai dan mutu sasteranya lebih tinggi dari sebuah novel lain yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia kategori novel bagi tahun sekian!

Di luar persoalan selera dan mutu novel yang menjadi pilihan peribadi saya, saya sebenarnya, sebelum menulis dan menerbitkan dua novel untuk kanak-kanak dan remaja itu, di peringkat permulaan menulis dahulu sudah pun menghasilkan beberapa novel untuk umum atau dewasa. Dan ketika menulis novel ini, saya belum pun lagi berjaya menerbitkan apa-apa cerpen saya di mana-mana akhbar atau majalah.

Novel pertama, memang agak pendek dan ringkas, saya tulis berlatar belakangkan semangat dari novel Ziarahnya Iwan Simatupang dan Telegramnya Putu Wijaya. Novel seputar konflik perasaan seorang anak muda menghadapi kekangan tradisi dan cuba melawan dengan caranya sendiri, yang manuskrip asalnya saya tulis sekitar bulan November ke Disember 1980 itu saya yakin tersimpan di antara longgokan fail lama di dalam kamar kreatif saya kini.

Novel kedua pula berlokasikan sebuah ladang getah atau estet sekitar tahun akhir 60-an hingga awal 1970 yang siap saya selesaikan di awal tahun 1981. Manuskrip berjudul "Mengejar Merak Putih" itu saya kirim ke penerbitan Teks Publishing, beradasarkan cop posnya, pada 30 Julai, 1985.

Walau saya terima surat perakuan penerimaan manuskrip dari penerbitnya, namun saya tidak pasti apakah manuskrrip ini telah diterbitkan dan dijual di kedai buku atau tidak. Apa lagi tidak berapa tahun selepas itu penerbitan Teks Publishing juga telah bubar.

Hanya, Rahimidin Zahari, ketika kami berbual di lobi Kompleks Teruntum di Kuantan, kalau tidak silap saya sekitar tahun 1994 pernah bertanya saya di mana kini novel saya itu, kerana menurut Rahimidin dia melihat judul novel saya itu berada di bahagian paling akhir di dalam senarai karya yang akan diterbitkan oleh Teks Publishing yang disiarkan di dalam sebuah akhbar.

Kemudian, selepas itu menyusul pula novel ketiga yang saya anggap hanya sebagai latihan dan lebih cenderung mengikut perasaan muda saya, menjadikan novel itu lebih bertolak dari teori libidonya Freud. Tentu sahaja ketika dimajukan ke sebuah penerbitan, naskhah tersebut telah ditolak dan dianggap tidak sesuai dengan dasar penerbitan yang bermaruah dan gah itu.

Seingat saya baru mulai di tahun 1991, selepas sejumlah cerpen yang saya tulis secara ngawur dan dengan niat melanggar konvensi penulisan cerpen yang sedia ada disiarkan di majalah Fantasi dan tabloid Watan, saya lebih bersungguh menulis sebuah novel yang saya anggap sebagai benar-benar mewakili cara saya mahu menuliskan sebuah novel, mengikut konsep dan keyakinan seni saya sendiri, yang memang tidak ingin sama sekali tunduk dengan konvensi penulisan novel sekitar tahun itu.

Manuskrip itu, kerana saya menulisnya berdirkit-dikit dalam keadaan diri dan imaginasi saya yang sentiasa bertualang ke mana-mana, secara sedar saya berikan judul "PETUALANG" merupakan manifestasi kepengarangan saya yang meyakini bahawa sebuah novel atau sehimpunan cerita boleh sahaja berupa himpunan dari pelbagai cerita yang dikarang-karang atau digubah menjadi satu dalam kesatuan yang agak longgar bentuknya tetapi diikat oleh sebuah tema besar, iaitu "petualang" sebagai landasnya.

bersambung .....

Januari 14, 2010

1 ulasan:

refah00 berkata...

Masing2 ada kelebihan.Ada yang minat tulis blog tapi tak suka terbitkan novel@buku.Ada yang boleh sampaikan ilmu melalui ceramah.Ada yang minat keje pejabat.Masing2 dapat pahala kalau niat ikhlas kerana Allah.