Selasa, Januari 12, 2010

ATAS NAMA MARUAH

TIADA suatu mahkluk pun yang bernama manusia di atas muka bumi ini, yang sihat akal serta fikirannya dan cinta sepenuh-penuhnya cinta terhadap bangsa, agama, bahasa dan budayanya yang sanggup membiarkan begitu sahaja segala perbuatan kesewenangan terhadap kecintaannya itu.

Katakanlah itu sebagai maruah, atau harga diri bagi seorang makhluk bernama manusia, pastilah segala perbuatan kesewenangan itu akan membangkitkan rasa marah dan rasa tercabarnya.

Kerana itulah juga, hidup di dalam sebuah negara yang pelbagai bangsa, kaum, agama dan bahasanya, sikap untuk saling menyantuni serta tidak menyentuh apa yang dapat dianggap sebagai maruah atau harga diri pihak yang lain, sama sekali tidak akan disentuh, apa lagi untuk dipersenda-sendakan pula.

Ini sebenarnya adalah lumrah yang sepatutnya dimengerti oleh setiap kita yang bernama manusia yang diberikan otak dan akal untuk mempertimbang segala sebab dan akibat dari sesuatu perbuatan.

Tetapi kenapa tiba-tiba masih ada di antara kita meminta sesuatu yang bukan haknya? Atau tiba-tiba berasa itu sesuatu yang memang haknya walau sudah jelas bukan haknya?

Saya memang berasa marah kerananya. Tetapi marah saya tidak bererti saya akan mengamuk membuta tuli menyerang sesiapa sahaja.

Saya juga tidak akan menuduh bahawa ada dalang atau sesiapa yang menjadi biangnya. Saya tahu tuduhan-tudahan melulu dan tindakan yang membuta tuli tidak akan memberi untung dan malah akan bertambah memperjelaskan sosok kebodohan sikap dan tindak.

Tetapi begitulah di tangan para politikus. Segala yang boleh dipolitikkan, akan mereka politikkan, walau tiada siapa pun di kalangan jelata yang akan beroleh manfaat darinya.

Sehingga akhirnya, yang menjadi tanya dan soal, apakah seorang politikus memang begitu laku dan tindaknya?

Tidakkah menunjukkan ketidakcerdikan kita sendiri bila sesuatu yang sejak mula boleh diperbincangkan secara senyap dan berhemah, akhirnya terdedah dan bergaung hampir menjadi jerit dan pekik yang lantang?

Saya sedar saya bukanlah seorang yang terlalu cerdik dan bijak untuk menjadi seorang politikus. Tetapi biar pun begitu, saya tidak rela kerana kekurangan cerdik saya itu maka para politikus mengambil pula kesempatan untuk menjadikan saya kaldai yang boleh mereka tunggangi dengan pelbagai isu yang kadang-kadang dangkal dan terlalu bodoh.

Demikian juga halnya dengan para jelata. Kepercayaan yang telah mereka serahkan kepada kalian yang bergelar politikus bukan bermakna suatu lesen untuk mereka diperbodoh dan cuba dijadikan baghal.

Saya fikir para politikus kita tidak perlu cuba berlagak untuk menjadi juara yang palsu dan bohong.

Hati jelata sebenarnya bukanlah terlalu payah dan keras untuk dimenangi. Asal sahaja suara rintih nuraninya didengar, pastilah jelata berbesar hati menemui pemimpin yang sedemikian.

Soalnya sudikah pemimpin kita bersikap demikian, tanpa perlu terlalu bersusah payah untuk berlakon atau berpura-pura menjadi juara, semata-mata untuk sepeser undi?

Zaman jelata boleh dipergula-gula dengan retorik dan omong kosong yang sedap didengar telinga sudah lama berlalu.

Zaman kini, jelata menuntut janji yang jujur dan jika itu tidak mampu diberikan oleh setiap mereka yang bergelar pemimpin, silalah lucutkan gelar atau turun dari kerusi itu.

Siapa pun kau yang bergelar pemimpin, itulah yang memang dituntut jelata. Jelata tidak pernah mahu ambil peduli yang kauperjuangkan itu atas nama maruah atau pun tidak.

Kerana kini, kata maruah sudah semakin menjadi nipis dan ringan ertinya lantaran sudah terlalu acap dan jenuh dicelup dengan lumpur retorik.

Atas nama maruah? Maruah apa? Dan siapa?

Januari 12, 2010

Tiada ulasan: