Isnin, Januari 11, 2010

REZEKI DAN KETENTUAN ALLAH

LAMA saya tercenung. Kata yang baru sebentar usai dia ucap masih membekas kesannya di hati kecil saya. Di dalam hati, tanpa suara saya bertanya kepada diri: apa dosa saya kepada mereka sehingga begitu tega mereka berbuat?

Saya sedar tidak ada gunanya saya marah dan membentak. Saya tahu andai itu saya perbuat, yang akan kelihatan jahat dan buruk tetaplah diri saya dan bukan mereka.

Saya masih ingat. Beberapa bulan yang lalu seseorang mengajak saya ke pejabatnya dan menawarkan saya suatu tugasan. Katanya seorang yang lain merekomen bahawa saya boleh membantu untuk menyelesai beberapa tugasan yang menimbun di ruang pejabatnya yang baru dia terima sebagai amanah.

Kepada dia, saya hanya mengangguk dan berjanji akan melaksanakan tugas itu sebaik mungkin dan sejujur saya. Kerana sudah berjanji menjaga rahsia, tidak saya ceritakan kepada sesiapa pun bahawa saya sedang melaksanakan salah satu tugas itu.

Tetapi tengah hari ini, seseorang ini memberitahu saya betapa dia telah ditegor atasannya kerana memberikan saya tugas itu.

Tentu sahaja saya terperanggah kerana saya tidak pernah meminta tugas itu atau sampai ke tahap merayu-rayu dia agar diberikan tugas itu.

Saya menerima kerana ada yang mahu memberi dengan harapan agar saya dapat membantu meringankan longgokan tugas di ruang pejabatnya, kononnya kerana seorang teman baiknya telah merekomenkan nama saya. Kerana itulah saya terima tugas itu dan tugas itu telah pun saya selesaikan sejujur yang saya mampu.

Tegoran atasannya bermula tatkala dia menyerahkan sekeping surat untuk ditandatangani. Surat yang perlu ditandatangani oleh atasannya itu, antara lain akan memastikan saya akan menerima bayaran untuk kerja yang telah saya laksanakan.

Saya tidak terkilan kalau misalnya atasannya tidak mahu menandatangani surat itu atas alasan saya bukanlah seorang yang lulus dari mana-mana universiti.

Tetapi apa dalihnya? Seseorang itu memberitahu, atasannya kononnya telah dimaklumkan oleh seorang yang entah siapa bahawa saya adalah seorang yang kata-katanya tidak sanggup saya hendak menyebutnya.

Saya tahu hidup dan mati saya, juga rezeki-rezeki saya, bukanlah ditentukan oleh seseorang atau sejumlah manusia.

Saya sangat meyakini dan percaya itu. Kerana itulah saya tidak terlalu runsing kalau kerana khabar yang disampaikan seseorang kepada atasannya itu maka saya tidak diperbolehkan lagi melaksanakan sesuatu tugas yang bisa mendatangkan sedikit upah.

Yang tidak sudah saya fikirkan, di kalangan manusia seniman dan sasterawan ini, masih ada rupa-rupanya mereka yang sanggup bersusah payah melaporkan ke sana dan ke mari bahawa si anu begitu atau begini.

Sungguh saya tidak tahu siapa mereka ini dan biar Allah sahajalah yang memberikan nilaian terhadap apa sahaja perbuatan mereka terhadap saya.

Tetapi, yang juga tidak sudah saya fikirkan, kenapakah pula seorang manusia yang memanggul gelar ketua di sebuah jabatan, pun begitu dungu dan mudahnya percaya dengan sesuatu khabar tanpa usul dan periksa.

Saya fikir tentulah dia berasa hina dan akan menjadi rendah martabat dirinya kalau dia langsung bertanya kepada saya akan kebenaran serta mendapatkan kepastian segala perkhabaran itu.

Atau mungkin juga, kerana gelar dan kuasa yang dia ada, atasan ini fikir dia mampu menghidup dan mematikan peluang rezeki orang lain yang kebetulan melaksanakan sesuatu tugas di sana.

Saya sebenarnya tidak sedikit pun berasa terganggu, atau ingin marah dan berasa terkilan. Saya tahu Allah sudah tentukan tiada rezeki saya di sana, maka saya redhalah.

Hanya, ketika seorang yang menyampaikan berita ini kepada saya segera mengajak saya berlindung di sebalik tiang, begitu melihat atasannya lewat berhampiran tempat kami sedang berbual, atas alasan takut dilihat bersama saya, saya sendiri bertanya di dalam hati kenapa pula sehingga demikian sekali lakunya.

Mungkin memang ada sesuatu yang saya benar-benar tidak tahu. Dan saya serahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah jua.

Mungkin selama ini saya berjalan dengan kepala di bawah dan kebodohan saya sendiri menyebabkan saya tidak pernah sedar serta terlalu lama membiarkan orang lain mentertawakan kebodohan diri saya itu.

Januari 11, 2010

Tiada ulasan: